Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: Baju sukan & pakaian 'selesa tetapi sopan' bukan huraian jangka panjang lawan gelombang haba

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pada 27 April 2023, rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita mengenai seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang meninggal dunia di Kelantan akibat gelombang haba dan berita yang lebih mengejutkan adalah jantung dan buah pinggangnya 'terbakar' kerana darah dan air di dalam badannya telah kering sepenuhnya. 

Selepas sekurang-kurangnya 6 bulan dilanda hujan tanpa henti, banjir dan cuaca dingin disebabkan oleh fenomena La Niña, perubahan mendadak pada cuaca di Malaysia mengejutkan banyak pihak, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberi amaran sebelum ini bahawa akan berlaku hari kering dan cuaca panas berterusan.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan 1 kematian akibat strok haba di Kelantan, 2 kes keletihan haba di Kelantan dan Sarawak, dan 2 lagi kes kekejangan haba yang berkaitan secara langsung dengan gelombang haba. Dua lagi kes kematian kanak-kanak yang dilaporkan akibat suhu tinggi sebenarnya disebabkan oleh renjatan septik (di Kluang, Johor) dan dehidrasi teruk dengan sepsis asas (bagi Wakaf Che Yeh, Kelantan). 

Cuaca Panas Berterusan 

(Gambar fail: TODAY)

Bagi mereka yang tinggal dan bekerja di bandar-bandar yang mungkin terdapat penghawa dingin di pejabat dan pusat beli-belah, terdapat sedikit kelegaan daripada cuaca panas terik itu. Walau bagaimanapun, kesan haba di muka anda sebaik sahaja anda keluar rumah, semakin terasa dan lebih ketara.

Tetapi tidak semua orang di bandar mampu membeli penghawa dingin di rumah. Di pangsapuri perumahan kos rendah di mana kebanyakan penduduk miskin bandar menetap, sebagai contoh, keadaan yang sempit, pengudaraan yang lemah dan selalunya ramai penduduk dalam unit kecil memburukkan lagi keadaan. Di Malaysia, ketidakselesaan diburukkan lagi dengan tahap kelembapan yang tinggi.

Adakah kehidupan lebih baik bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, yang tinggal di rumah dengan kawasan terbentang luas di antara pokok, lengkap dengan anjung depan dan ruang luar yang terlindung untuk menikmati tiupan angin? Memandu di beberapa kawasan luar bandar pada sebelah petang akan menunjukkan bahawa banyak keluarga duduk di luar untuk pengudaraan yang lebih baik - rumah mereka yang dilindungi zink sering memerangkap haba, walaupun mereka biasanya mempunyai celah-celah yang diukir di bahagian atas dinding rumah mereka untuk menyejukkan rumah.

Rumah yang paling selesa untuk cuaca panas ini adalah yang asalnya dibuat oleh masyarakat orang asli. Terletak di dalam hutan dan dibina daripada bahan semula jadi, rumah ini selalunya dibina tinggi di atas tiang untuk melindungi penduduknya daripada haiwan liar dan paras air yang semakin meningkat. Bahan semula jadi yang digunakan untuk bumbung dan dinding membantu mengekalkan ruang yang sejuk dan biasanya terdapat juga beranda.

Malangnya, rumah-rumah ini tidak lagi seperti dahulu. Banyak masyarakat orang asli di seluruh Malaysia telah dipindahkan dan tanah dan hutan tradisional telah ditebang atau ditukar menjadi ladang dan kawasan pelombongan. Rumah penempatan semula yang dibina kerajaan biasanya adalah blok konkrit kecil di kawasan tandus tanpa pokok - ruang yang tidak selesa dan asing bagi masyarakat yang biasa hidup di antara alam semula jadi. Dengan gelombang haba yang berterusan, ketidakselesaan ini semakin meningkat.

Tetapi apakah yang menyebabkan gelombang haba ini?

(Gambar: BERNAMA)

Ramai berpendapat bahawa ia akan menjadi tahun El Niño. Ia merujuk kepada kitaran lebih panas yang dikaitkan dengan El Niño – Ayunan Selatan (ENSO) dan pemanasan suhu permukaan laut (SST) di Lautan Pasifik. Ini menjejas Asia Tenggara kerana ia biasanya mengakibatkan suhu yang lebih tinggi dan kurang hujan. 

Rantau ini baru sahaja keluar dari fasa La Niña dengan suhu lebih dingin dan hujan yang lebih kerap dan kini dalam fasa peralihan. Selaras dengan ramalan untuk rekod suhu tinggi yang diramal berlarutan sehingga Ogos, El Niño dijangka bermula menjelang Jun.

Mereka yang mengkaji perubahan iklim sering kedengaran bercakap tentang 'titik kritis' di mana suhu bumi meningkat lebih daripada 1.5 darjah Celsius. Ini mungkin kelihatan sangat dekat dengan suhu di beberapa bahagian di Malaysia yang mencecah 37 darjah Celsius sejak sebulan lalu. Di Asia Tenggara, Myanmar dan Thailand dijangka mencecah paras tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu antara 44 hingga 45 darjah Celsius.

'Titik tolak' ini menandakan gelombang haba yang melampau, kenaikan paras air laut akibat pencairan glasier dan ais, dan 70 hingga 90 peratus kemusnahan terumbu karang akibat pelunturan karang. Ini akan menjejas jaminan makanan disebabkan oleh suhu laut yang lebih tinggi dan ini akan membawa kepada hasil tangkapan ikan yang berkurangan. Laporan di Kelantan telah menunjukkan bahawa selepas banjir baru-baru ini, ia mengalami kerugian RM26.19 juta akibat kerosakan 4,500 hektar sawah padi, menjejaskan 1,365 petani dan peladang; kemarau kini memusnahkan 7,800 hektar tanaman disebabkan oleh kekurangan air, tanaman terbantut dan tangkai daun kosong. Ini telah menjejas lagi 390 petani setakat ini.

Para nelayan dan petani yang meletakkan makanan laut dan nasi di atas meja kita akan mengalami kerugian besar pada mata pencarian mereka. Mereka yang membeli hasil dan tuaian mereka pula akan mendapati bahawa jumlah bekalan untuk mereka makan juga sudah berkurangan.

(Gambar: BERNAMA)

Memburukkan lagi El Niño adalah jumlah penebangan hutan yang berlaku di seluruh Malaysia. Walaupun sebahagiannya adalah hasil daripada penukaran tanah dan pembandaran, yang lain disebabkan oleh pembalakan haram, pencerobohan ke dalam tanah orang asli dan industri peladangan dan pelombongan yang dibenarkan kerajaan. 

Kajian yang tidak terkira banyaknya menunjukkan bahawa kehadiran pokok dan tumbuh-tumbuhan boleh mengurangkan suhu udara dan permukaan bumi sebanyak 11 hingga 25 darjah Celsius bagi kawasan-kawasan terlindung. Suhu tertinggi semasa musim panas boleh dikurangkan sebanyak 1 hingga 5 darjah Celsius.

Tetapi beberapa minggu kebelakangan ini telah menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja mengalami terlalu banyak cuaca panas, terdapat juga ribut aneh, terutamanya di Johor. Ini telah mengakibatkan banjir kilat, kemusnahan rumah dan kereta akibat bumbung terbang dan pokok tumbang, antara kesan lain.

(Gambar: BERNAMA)

Dengan suhu permukaan yang semakin hangat di laut, dan peratusan kelembapan yang tinggi, belalai air sering terbentuk di kawasan pantai. Tidak dapat diramalkan, apabila belalai air ini beralih ke darat, ia boleh menjadi puting beliung kecil, memungut serpihan dan kereta kecil, bot - malah haiwan.

Salah satu kesan perubahan iklim adalah cuaca ekstrem yang semakin kerap dan ini jelas apa yang kita alami sejak beberapa bulan lalu; ribut petir berulang, haba melampau dan puting beliung mini atau belalai air yang beralih ke darat.

Apa yang akan berlaku seterusnya?

Apa yang kita lihat di hadapan kita mungkin hanya baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya akan berlaku. Jerebu sudahpun melanda rantau ini, dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh pembakaran terbuka dan kebakaran hutan yang tidak terkawal di utara Thailand, Myanmar dan Laos. 

Tetapi dengan cuaca kering yang melanda sekarang, sebarang percikan api boleh menyalakan api. Perkara ini telahpun berlaku sejak sebulan lalu di Kedah dan Terengganu. Di Johor yang mempunyai banyak kawasan tanah gambut, kebakaran amat sukar dipadamkan kerana ia membakar jauh di bawah tanah dan boleh mengambil masa selama beberapa minggu untuk dipadamkan.

Dengan kekurangan hujan, ia hanya menunggu masa sebelum masalah air mula melanda. Orang asli Bateq dan Mendriq di Gua Musang, Kelantan telahpun melaporkan empangan yang kering di kawasan penempatan semula mereka. Rumah asal mereka dan sebahagian besar hutan mereka telah dibersihkan dan sumber air sungai mereka sangat tercemar oleh kedua-dua pertanian dan pelombongan. Pembenihan awan telah dilakukan di ruang udara berdekatan empangan Pulau Pinang. Selangor dan Johor juga sering mengalami masalah kekurangan air atas pelbagai sebab; para penduduk hanya boleh mula menyimpan air hujan sebagai persediaan menghadapi bulan kering yang nampaknya tidak dapat dielakkan.

Ironinya, di tengah-tengah pemanasan bumi dan keadaan cuaca yang panas terik, golongan mewah akan dapat menghidupkan penghawa dingin mereka untuk menyejukkan tubuh, manakala golongan miskin terpaksa kipas sendiri dalam apa cara sekalipun. 

Anehnya, orang kaya sebenarnya mengeluarkan lebih banyak karbon berbanding penggunaan tenaga yang semakin meningkat, sekali gus menambahkan lagi penderitaan golongan kurang berkemampuan. Kerakusan pemilik ladang dan lombong dan mereka yang menjual tanah mereka menambahkan lagi kesengsaraan penduduk asli yang miskin.

Tiada huraian mudah bagi semua ini 

Kementerian Pendidikan Malaysia baru sahaja mengumumkan aktiviti luar darjah tidak dibenarkan buat masa ini dan kakitangan dan pelajar boleh memakai pakaian 'selesa tetapi sopan' ke sekolah. 

Bagi mereka yang masih beruniform, pemakaian tali leher tidak diwajibkan. Pakar kesihatan menyarankan minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari dan kurangkan masa di luar rumah, khususnya di bawah terik matahari.

Walaupun nampaknya kita mungkin telah melepasi 'titik tolak' itu apabila kita merasai sinaran matahari yang tajam pada kulit kita yang terdedah, ia akan memerlukan banyak usaha dan perubahan untuk menghentikan atau mengurangkan kesan pemanasan bumi. 

Gambar: Bernama

Daripada keputusan harian kecil kepada transformasi korporat dan transformasi nasional, nampaknya cabaran ini ibarat gunung yang mustahil untuk didaki. 

Hanya apabila golongan yang sangat mewah terjejas secara peribadi oleh kesan peningkatan suhu dan pemanasan bumi, maka akan ada kemahuan politik atau tindakan konkrit untuk benar-benar membuat perubahan yang ketara. 

Selagi belum tercapai matlamat itu, malangnya, kita mungkin berdepan dengan lebih banyak laporan mengenai kematian atau kemasukan ke hospital akibat strok haba dan dehidrasi.

MENGENAI PENULIS:

Pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak, Dr Serina Rahman.
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau mengkaji interaksi antara manusia dengan habitat di kawasan pantai, politik sekitaran dan luar bandar serta sumber-sumber perikanan artisan di Malaysia.
Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan