NOTA DARI KL: Bagaimana untuk cegah tragedi tanah runtuh Batang Kali daripada berulang?

Pasukan-pasukan penyelamat mencari mangsa yang terperangkap di dalam tanah runtuh pada 17 Dis 2022 di Batang Kali, Selangor. (Gambar: AP/Vincent Thian)
BERITAmediacorp: Sejurus selepas 2.00 pagi pada 16 Disember 2022, dua kejadian tanah runtuh berlaku di Seksyen 13.0 Jalan B66 Batang Kali ke Genting Highlands di Gohtong Jaya.
Tanah runtuh yang pertama menimbuni beberapa bahagian tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm terletak kira-kira 100 meter dari lereng bukit dan 30 meter di bawah paras jalan dan terbukti menjadi petanda buruk.
Kurang setengah jam kemudian, kejadian tanah runtuh kedua yang lebih besar menimbuni seluruh tapak perkhemahan yang menimbus hampir 100 orang.
Selepas tiga hari, usaha mencari dan menyelamat (SAR) bertukar menjadi operasi pemulihan sedang hujan berterusan, lumpur sedalam sehingga 19 meter serta batang-batang pokok dan serpihan batu menghambat operasi mencari. Mesin pengorek dan radar pengesan bawah tanah digunakan untuk mencari mayat, namun kejayaan operasi itu juga bergantung kepada pengalaman dan kemahiran kira-kira 400 kakitangan kecemasan daripada 15 agensi kerajaan dan anjing pengesan dari unit K9.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan bahawa kawasan tanah runtuh berkenaan adalah sepanjang 500 meter dan selebar 200 meter, yang menyesarkan tanah sebanyak 450,000 meter padu. Ini bersamaan dengan isi padu 180 kolam renang bersaiz Olimpik dan meninggalkan cerun rata di antara dua lereng bukit berhutan yang bermula dari bahagian bawah jalan raya.
BAGAIMANA IA BERLAKU?
Kawasan berkenaan tidak dianggap kritikal oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dalam senarai cerun berbahaya yang perlu dipantau tetapi kajian mereka hanya tertumpu kepada kawasan petempatan dengan cerun semula jadi.
Oleh sebab kawasan terjadinya tanah runtuh di Batang Kali tidak disenaraikan sebagai tempat berbahaya yang perlu dipantau, ladang-ladang, tapak-tapak perkhemahan dan para pekhemah tidak mempunyai apa-apa bayangan pun tentang sebarang ancaman kerana mereka percaya bahawa mereka berada di tanah yang agak rata meskipun beralun.

Menurut pakar bencana geologi Malaysia, Profesor Ibrahim Komoo, kegelongsoran tanah bermula di cerun tambakan yang didirikan untuk menyokong bahagian jalan yang dibina di lereng bukit. Ketepuan tanah dan tekanan air tanah yang memenuhi celah-celah batu dan tanah menyebabkan keseluruhan cerun buatan tergelincir.
Aliran tanah mengikuti laluan benteng yang roboh dan kawasan pertanian di bawah dan kemudian menimbunkan tanah dan runtuhan ke dalam lembah kecil di mana terletaknya Father’s Organic Farm.
Meskipun Prof Komoo menyebut bahawa kebanyakan kejadian tanah runtuh berpunca daripada tambak jalan yang roboh, pakar-pakar lain juga merujuk kepada masalah saliran air yang tidak memadai atau tidak disenggara dengan baik dan memburukkan lagi masalah.
Batang pokok, dedaun atau bahan-bahan lain boleh menyebabkan tali air, longkang dan pembetung tersumbat.
Ini mengakibatkan penimbunan bahan-bahan yang berbahaya dan air hujan meresap ke dalam tanah dan di bawah jalan raya. Ia diburukkan lagi oleh hujan yang turun mencurah-curah sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini.
Dalam catatan Facebooknya, ahli geologi dan jurutera geoteknik Jeffrey Lim bersetuju dengan pemerhatian tentang kawasan hutan yang dibersihkan dan lereng bukit curam yang mendahului kejadian tanah runtuh.
Beliau mengatakan bahawa faktor-faktor itu juga merupakan petunjuk bahawa kejadian hakisan dan tanah runtuh adalah perkara biasa di kawasan berkenaan.
Beliau juga menyebut tentang kemungkinan jenis tanah atau tanah liat yang salah digunakan dalam kerja-kerja menambak, yang boleh meningkatkan kemungkinan berlaku kejadian kegelongsoran tanah. Ini diburukkan lagi oleh tekanan tambahan daripada air hujan yang turun dengan deras dari paras lebih tinggi dalam keadaan cuaca hujan lebat baru-baru ini, yang boleh menyebabkan keruntuhan tanah rendah.
Beliau juga mengatakan bahawa penyerapan air ke dalam tanah akan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mengakibatkan kegelongsoran tanah. Ini bermakna punca bencana tersebut sudah lama berputik tanpa pengetahuan orang ramai – lebih-lebih lagi kerana terdapat hanya segelintir pakar geologi.
Orang ramai tidak akan dapat meramalkan kemalangan yang begitu dahsyat lebih-lebih lagi apabila hujan turun tidak begitu lebat.
Malangnya, tidak ramai yang menyedari bahawa tiada satu-satu pihak yang memiliki dan bertanggungjawab atas penyenggaraan di merata Malaysia.
Sesetengah batang jalan dan penyenggaraannya terletak pada bidang kuasa majlis bandaran tempatan dan ada pula yang dimiliki oleh agensi-agensi kerajaan negeri atau persekutuan, manakala yang lain ‘dimiliki’ oleh syarikat-syarikat pemaju atau syarikat konsesi lebuh raya.
Maka itu, usaha menguatkuasakan dan memastikan pemantauan saliran air di jalan raya agak rumit meskipun ia amat penting sepanjang musim tengkujuh.
TERKORBAN KETIKA DIBUAI MIMPI
Operasi SAR ditamatkan secara rasmi pada tengah hari Hari Krismas; 31 mayat dan bangkai dua ekor anjing ditemui.
Seramai 61 mangsa berjaya diselamatkan atau mampu melarikan diri.
Dalam kalangan para mangsa, 12 adalah wanita dengan enam daripadanya merupakan guru daripada Sekolah Rendah Cina Mun Choong dan 13 adalah kanak-kanak, termasuk seorang bayi berusia satu tahun.

Secara keseluruhannya, 26 daripada mangsa-mangsa yang maut ada kaitan dengan sekolah tersebut; anggota keluarga, kakitangan dan pengendali kantin yang berada di ladang berkenaan untuk berkhemah selama tiga hari.
Mereka sebenarnya dijadualkan pulang pada hari bencana melanda.
Pada waktu siang hari menyusuli tragedi itu, pemilik tapak perkhemahan berkenaan seolah-olah dipertanggungjawabkan kerana dikatakan tidak memiliki lesen untuk mengendalikan tapak perkhemahan.
Siasatan lanjut bagaimanapun mendapati bahawa lesen perkhemahan sedemikian sebenarnya tidak wujud.
Kebanyakan perusahaan ekopelancongan dan tapak perkhemahan di kawasan itu hanya mempunyai lesen perniagaan biasa atau pertanian. Pengusaha-pengusaha di situ bersetuju bahawa ia adalah bidang kawal selia yang perlu dipertingkatkan demi keselamatan semua.
Persoalannya masih berlegar-legar, sama ada para pengendali tapak perkhemahan itu berupaya meramalkan kejadian tanah runtuh sekalipun ia diberi lesen.
Meskipun Jabatan Perhutanan Selangor sudah menutup semua hutan dan taman bagi kegiatan riadah buat sementara waktu disebabkan oleh musim tengkujuh dan kemungkinan besar berlaku kepala air di kawasan air terjun dan sungai, arahan untuk menutup semua kawasan riadah, perkelahan dan perkhemahan hanya diumumkan pada 17 Disember.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di Selangor memasang sensor untuk memantau pergerakan tanah bagi mengesan risiko tanah runtuh di kawasan hanya sepanjang tempoh operasi SAR.
Prof Komoo menegaskan bahawa tapak-tapak perkhemahan dan kawasan perkelahan tidak seharusnya dibenarkan untuk dikendalikan di bawah kawasan cerun tambakan dan benteng bertetulang.
Tragedi Batang Kali adalah yang kedua paling dahsyat dalam sejarah Malaysia selepas bencana Highlands Tower pada 1993 yang meragut nyawa 48 mangsa.
Ia adalah kejadian tanah runtuh ketujuh yang dilaporkan pada tahun 2022 saja; tujuh mangsa maut dalam kejadian-kejadian lain.
Kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2008 juga dikatakan mempunyai banyak punca serupa; tanah gembur di cerun tambakan semasa proses pembinaan, saliran yang tidak disenggara dan hujan berterusan sebelum berlaku kejadian tanah runtuh. Empat orang terbunuh dalam bencana itu, 15 lagi cedera dan 14 rumah musnah.
Malangnya, bencana sedemikian seolah-olah berlaku berulang kali dan setiap kali ia berlaku kita dihantui kisah mangsa yang melarikan diri atau mereka yang ketinggalan.
Media memaparkan kisah sebuah keluarga yang tertimbus separuh tubuh dalam keruntuhan pertama, tetapi berjaya keluar dari khemah mereka dan melarikan diri ke tempat letak kereta sebelum tanah gelongsor kedua menimbus merata kawasan.
Catatan-catatan di Facebook menggambarkan rakan dan jiran yang menjadi yatim atau tinggal sebatang kara kerana tidak sempat menyertai keluarga dalam perkhemahan.
Sekolah Rendah Cina Mun Choong mengadakan upacara khas bagi memperingati para guru, kakitangan dan ahli keluarga yang terkorban dalam kejadian yang amat memilukan bagi masyarakat sekolah itu.

Para pekerja penyelamat juga menderita kerana mereka membanting tulang untuk menarik keluar seberapa banyak mayat yang termampu. Ramai yang dilaporkan enggan menjalani ujian perubatan supaya mereka boleh terus terlibat dalam operasi tersebut walaupun mereka sangat letih.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis dikejarkan ke hospital kerana mengalami strok ringan dan keletihan semasa tempoh SAR tetapi terus kembali ke lokasi untuk meninjau dan memimpin pasukannya sebaik saja dibenarkan pulang dari hospital.
Malah Blake, anjing pengesan K9, turut rebah akibat keletihan dan ini mendorong para pengendali pasukan K9 untuk bertugas secara bergilir-gilir dan merehatkan anjing-anjing pengesan demi keselamatan haiwan tersebut.

Kakitangan yang diwawancara berkongsi bagaimana mereka terpaksa menahan sebak apabila mereka menemui seorang ibu yang memegang anaknya dalam pelukan yang erat di dalam lumpur.
Dan bagaimana mereka begitu terdesak untuk mencari mangsa terakhir, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun, yang akhirnya ditemui dalam beg tidurnya empat meter dari tapak perkhemahan.
Seorang budak perempuan berusia enam tahun ditemui pada kedalaman 17 meter; tanah runtuh itu turut meragut nyawa ibu bapa dan adik lelakinya berumur dua tahun.
Catatan tular di media sosial yang menggambarkan seorang lelaki ditemui tertimbus sambil memegang anjingnya; seekor lagi haiwan peliharaan turut ditemui berhampiran tuannya, tetapi anjing ketiga dan beberapa lagi haiwan peliharaan tidak ditemui.
Pada 28 Disember, tiga hari selepas tamat operasi SAR, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Abd Aziz Usoff meninggal dunia akibat serangan jantung. Beliau adalah antara pegawai yang pertama tiba di lokasi menyusuli tragedi Batang Kali.
Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, keperitan mereka yang meratapi pemergian orang-orang tersayang akan bertambah luluh, namun tidak mustahil tragedi serupa boleh berulang.
Penguatkuasaan, kawal selia, pemantauan dan penyaliran air di jalan raya perlu dipertingkatkan bagi mencegah malapetaka berbuah dua kali.
Meskipun perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem tidak dapat dikawal, tekad politik dan tindakan tegas perlu dipergiatkan untuk mengurangkan kesan tanah runtuh pada masa akan datang.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.