NOTA DARI KL: Asia Tenggara berisiko terkesan teruk akibat perubahan iklim; COP28 mesti segera bertindak
(Gambar: AFP/Giuseppe Cacace)
KUALA LUMPUR: Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) baru sahaja berakhir di Johor Bahru, iaitu yang keempat dalam siri Minggu Iklim Serantau anjuran Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCC).
Kesemua acara ini diadakan menjelang Sidang Puncak COP28 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan Disember, dan direka sedemikian rupa untuk menyediakan platform bagi pemerintah, pemimpin, perniagaan, pertubuhan antarabangsa dan masyarakat sivil untuk bersama-sama membincangkan huraian dan inovasi iklim.
MATLAMAT SEBENAR
Pada 12 Jun 1992, satu perjanjian antarabangsa (UNFCCC) telah ditandatangani oleh 154 negara di Rio de Janeiro semasa Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCED), yang lebih biasa dirujuk sebagai 'Sidang Puncak Bumi'.
Matlamat menyeluruh perjanjian itu adalah untuk mencegah 'campur tangan manusia yang berbahaya ke atas sistem iklim;' yang pada asasnya bermatlamat untuk 'menstabilkan' (idealnya, mengurangkan) pelepasan gas rumah hijau, antara inisiatif lain.
Sejak itu, sebuah jawatankuasa bagi mereka yang terlibat dalam menandatangani perjanjian tersebut berhimpun setiap tahun untuk membuat keputusan dan memantau kemajuan pelaksanaan sebenar di lapangan.

Mesyuarat ini dirujuk sebagai 'COP' yang bertemu hampir setiap tahun di lokasi yang berbeza di seluruh dunia. Mesyuarat ini menyatukan penyelidikan saintifik, dasar perubahan iklim dan usaha lain untuk memerangi perubahan iklim, dengan sesetengah daripada berjaya menghasilkan perjanjian tambahan seperti Protokol Kyoto 1997 yang melanjutkan pelaksanaan UNFCCC.
Walaupun mereka yang terlibat dalam perbincangan utama biasanya adalah diplomat dan ahli politik, pelbagai inisiatif telah berkembang sepanjang perjalanan UNFCCC untuk keterangkuman yang lebih baik dan untuk membuka perbincangan kepada suara-suara lain. Minggu Iklim Serantau diadakan menjelang COP28 untuk memanfaatkan sumbangan individu dan pertubuhan di Asia-Pasifik, Afrika, Timur Tengah dan Afrika Utara, serta Amerika Latin dan Caribbean.
Matlamat sesi ini adalah untuk membolehkan pertukaran pengetahuan dan amalan-amalan terbaik di peringkat akar umbi, dan membincangkan huraian inovatif kepada masalah-masalah yang disebabkan oleh perubahan iklim yang mungkin boleh dibangkitkan di Sidang Puncak COP28.
​COP sendiri menampilkan pelbagai acara sampingan (seminar, mesyuarat, aktiviti, dan pameran) yang mengetengahkan pandangan, pengalaman dan pada asasnya, saranan-saranan syarikat perniagaan, pelobi dan wakil negara, serta pencinta alam, pertubuhan masyarakat dan lain-lain yang ingin menunjukkan usaha dan tindakan mereka untuk memerangi perubahan iklim. Ia, sebenarnya, telah menjadi satu usaha pemasaran yang besar untuk 'membuktikan' bahawa entiti melakukan 'baik' atau bahawa mereka tidak 'buruk' (memberi kesan negatif kepada planet ini) seperti yang disangka ramai.

COP-COP lalu turut menampilkan pameran yang luas (dan mahal) oleh pemaju hartanah, syarikat minyak dan gas serta pelbagai entiti lain yang secara meluas dipercayai memberi kesan negatif kepada alam sekitar.
Kumpulan alam sekitar menunjukkan bahawa terdapat lebih ramai pelobi bahan api fosil daripada beberapa wakil negara pada COP27, yang diadakan di Sharm El Sheikh, Mesir.
Sungguhpun demikian, COP27 adalah yang pertama untuk menubuhkan dana kerugian dan kerosakan, di mana negara-negara mewah bersetuju untuk menyumbang berbilion-bilion dolar sebagai sokongan kepada negara-negara miskin yang paling menderita akibat kesan perubahan iklim, dan yang mungkin memerlukan pembiayaan kecemasan sekiranya berlaku cuaca ekstrem.
Keberkesanan dana itu, dan sumbangan kewangan sebenar negara-negara anggota yang lebih kaya akan dinilai dalam COP28.
APCW JOHOR 'PERSIAPAN' BAGI COP28
CPP28 bermatlamat untuk menjadi yang paling inklusif setakat ini, menjanjikan untuk membawa pejuang tanah dan pencinta alam ke meja rundingan, dan berhasrat untuk meletakkan alam semula jadi, manusia, kehidupan dan mata pencarian di tengah-tengah tindakan iklim. Turut penting kepada mesyuarat itu ialah Global Stocktake (GST), iaitu mekanisme untuk menilai kemajuan pada matlamat yang ditetapkan dalam COP21 2015 di Paris.
Perjanjian Paris, yang ditandatangani oleh 196 negara, adalah ikrar untuk melakukan penyesuaian, usaha mitigasi dan pembiayaan kewangan bagi memerangi perubahan iklim.
Rantau Asia Pasifik berada di barisan hadapan kesan perubahan iklim – bermakna masyarakat-masyarakat pantai yang ramai penduduk akan menjadi yang pertama mengalami perubahan iklim secara fizikal. Ini terdiri daripada kesan kenaikan paras laut seperti hakisan pantai, penenggelaman air masin di kawasan tanaman dan kehilangan tempat tinggal, kepada kejadian cuaca ekstrem yang meletakkan perikanan artisanal Asia Tenggara pada risiko fizikal yang besar.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melaporkan pada 2018 bahawa suhu udara telah meningkat di Asia Tenggara sejak 1960. Laporan itu juga memetik Indeks Risiko Iklim Global kumpulan alam sekitar Germanwatch, yang menyenaraikan Vietnam, Myanmar, Filipina dan Thailand sebagai antara 10 negara berisiko mengalami kesan perubahan iklim yang dahsyat.
Unjuran 2023 oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) menganggarkan bahawa ekonomi Asia Tenggara akan menyusut sebanyak 11% menjelang akhir abad ini, sebahagiannya disebabkan oleh kesan perubahan iklim terhadap pertanian, perikanan dan pelancongan.
Namun Asia Pasifik juga merupakan rantau huraian inovatif dan penyesuaian kepada kesan perubahan iklim, kebanyakannya memanfaatkan pengetahuan tempatan atau orang asli. Selaras dengan aspirasi COP28, APCW dengan itu membuka pintunya kepada masyarakat tempatan, belia dan wanita untuk mempamerkan usaha akar umbi sebenar dari seluruh Asia Pasifik. Di bilik seminar yang besar dan acara 'Hab Tindakan' yang memudahkan lebih banyak interaksi antara penceramah dan peserta, pelbagai usaha asas telah ditonjolkan.
Sekumpulan belia dari Terengganu menyentuh tentang bagaimana mereka melihat pendekatan seni bina tradisional (rumah panggung) amat berguna dalam menghadapi banjir yang semakin kerap berlaku dan ribut monsun yang teruk di negeri itu.
Satu lagi kumpulan masyarakat nelayan dari Johor menggambarkan bagaimana mereka terlibat secara aktif dengan pihak-pihak berkepentingan dan syarikat-syarikat perniagaan untuk menyokong usaha tempatan menjana pendapatan tambahan, disebabkan oleh pengurangan tangkapan ikan melalui pelancongan dan penternakan ikan.
Kedua-dua kumpulan menekankan betapa pentingnya untuk memanfaatkan pengetahuan tempatan dan orang asli dalam memerhati dan mendokumentasikan kesan perubahan iklim, serta dalam mendapatkan tindakan mitigasi.

Buat pertama kalinya juga, hubungan antara kesan perubahan iklim dan kesihatan telah disentuh dalam perbincangan sebuah panel khas, di mana para peserta boleh bertanya tentang hubungan antara pemerhatian terhadap lonjakan pada jumlah kejadian penyakit tertentu dengan perubahan iklim. Perbincangan menarik itu turut menyentuh tentang penciptaan patogen akibat peningkatan suhu, ditambah lagi dengan penebangan hutan dan kerosakan alam sekitar yang disebabkan oleh kerakusan manusia.
Sesi ini mempunyai lebih ramai peserta berbanding jumlah kerusi yang disediakan, mungkin kerana betapa segarnya pandemik COVID-19 dalam fikiran semua peserta.
Di bilik seminar pula, para wakil dari Pelabuhan Tanjung Pelepas berkongsi tentang usaha mereka untuk mengurangkan impak perkapalan terhadap iklim dengan menjadi hab bunkering yang mesra alam dan beralih ke bahan api alternatif, termasuk hidrogen yang dijana daripada tenaga boleh diperbaharui.
Ekosistem yang sering diabaikan seperti tanah gambut juga diberi keutamaan melalui seminar-seminar yang diadakan untuk menyerlahkan peranan penting tanah gambut dan usaha masyarakat untuk memelihara dan menambah simpanan karbon air tawar yang penting ini. Beberapa sesi lain turut menyentuh tentang kepentingan hak wanita terhadap tanah dalam mewujudkan huraian-huraian kepada usaha memerangi perubahan iklim.
KESAN SEBENAR?
Analisis hasil APCW menarik perhatian bagaimana sesi tersebut menunjukkan keperluan untuk kejelasan, rangka kerja dan pembiayaan dana untuk memastikan peralihan yang adil kepada paradigma mampan baharu yang melangkaui proses penggubalan dasar sedia ada. Malah, sebahagian besar penceramah bercakap tentang keperluan untuk lebih banyak dana bagi menyokong inisiatif-inisiatif masyarakat, serta untuk meneruskan input asas kepada penggubalan dasar.

Walaupun COP28 bertujuan untuk mengubah kewangan iklim dengan mewujudkan rangka kerja untuk tawaran kewangan yang inovatif bagi tindakan iklim, adalah jelas bahawa keputusan dan perbincangan di peringkat elit ini mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan, apatah lagi ke peringkat akar umbi.
Walaupun Protokol Kyoto diterima pakai pada tahun 1997, ia hanya disahkan sepenuhnya (diluluskan dan dibenarkan sepenuhnya) oleh semua anggota COP pada tahun 2005. Proses dan prosedur untuk mendapatkan hampir 200 entiti menyokong dan mengesahkannya adalah satu perkara yang terlalu rumit.
Dalam pada itu, para penduduk yang tinggal di tepi pantai sudah mula menanggung padah akibat kenaikan paras air laut dan cuaca ekstrem. Harta benda dan nyawa melayang, hasil pertanian dan perikanan pula, semakin berkurangan.
Walaupun amat memberangsangkan untuk melihat sumbangan dan pengetahuan masyarakat tempatan dipamerkan, dan golongan belia pula diberikan platform yang berprestij untuk mengembangkan idea mereka dan memberi impak, di manakah kesan itu?
Adakah lebih baik untuk para peserta melakukan perjalanan (dengan menaiki bas) ke lokasi penduduk tempatan untuk belajar daripada pengalaman dan usaha sebenar yang dijalankan di lapangan?
Bagaimanakah perbincangan dasar peringkat tinggi ini boleh diterjemahkan dan dilaksanakan dengan pantas, jika tidak serta-merta, bagi menyokong inovasi-inovasi peringkat akar umbi ini?
Mungkin syarikat-syarikat perniagaan yang mewah boleh menunjukkan sokongan dan komitmen mereka kepada golongan yang paling memerlukannya dengan menawarkan bantuan dana?
Secara keseluruhannya, sumber makanan, kesihatan dan keselamatan umat manusia kini di ambang bahaya yang serius. Tindakan perlu diambil sekarang!
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS-Yusof Ishak Institute. Nelayan dan rumput laut di Mukim Tanjung Kupang, Johor telah dijadikan sebagai bahan utama kajiannya sejak 2008.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.