Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: Apakah nasib anak-anak wanita M'sia yang dilahirkan di luar negara?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Apakah nasib anak-anak wanita M'sia yang dilahirkan di luar negara?

(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

BERITAmediacorp: Dalam kes mustahak bagi kaum wanita di Malaysia, Mahkamah Tinggi memutuskan pada 9 September 2021 bahawa anak-anak kepada ibu warganegara Malaysia bersama pasangan warga asing yang dilahirkan di luar negara harus diberikan kewarganegaraan secara automatik.

Alasan yang diberikan bagi keputusan itu adalah "bapa" dalam Jadual Kedua, Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan, harus ditafsirkan secara "harmoni" untuk meliputi seorang ibu atau salah seorang ibu atau bapa.

Keputusan itu mengambil kira pindaan Perkara 8(2) yang menghalang diskriminasi berdasarkan jantina terhadap mana-mana warganegara Malaysia. Kesaksamaan dan perlindungan sama rata bagi semua warganegara Malaysia adalah satu hak asasi.

Bagaimanapun, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu atas alasan mahkamah tidak dibenarkan meminda perlembagaan, mahupun menyemak tafsiran undang-undang.

Menteri Ehwal Dalam Negeri berkata rang undang-undang untuk meminda perlembagaan sedang diusahakan bagi memudahkan wanita Malaysia, tetapi ia perlu diluluskan Parlimen dan kemudian dipersetujui Majlis Raja-Raja.

Setakat ini, Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang anak yang dilahirkan di luar negara kepada seorang bapa warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan asing, menerima kewarganegaraan secara automatik dan hanya perlu pulang ke Malaysia untuk mengesahkan kewarganegaraannya.
Istana Kehakiman di mana Mahkamah Persekutuan Malaysia ditempatkan. (Gambar: CNA/Vincent Tan)
Sebaliknya, seorang ibu warganegara Malaysia perlu memohon kewarganegaraan bagi anak mereka (Perkara 15(2)) dan tiada jaminan permohonan mereka akan diluluskan.

Menurut laporan-laporan anekdot, sesetengah ibu dibiarkan untuk menantikan kelulusan selama tiga hingga sembilan tahun, hanya untuk mendapat tahu permohonan mereka ditolak tanpa sebarang alasan diberikan.

Ibu-ibu berkenaan boleh mengemukakan permohonan sehingga anak-anak mereka mencecah usia 21 tahun.

Mahkamah Rayuan menyebelahi pendirian kerajaan dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan keputusan majoriti. Hakim yang menentang keputusan itu berkata keadaan di mana seorang kanak-kanak dinafikan kewarganegaraan atas sebab demikian “tidak logik, sumbang dan menghakis hak dan maruah ibu-ibu warganegara Malaysia."

Bagaimanapun, hakim-hakim yang bersetuju menyatakan satu-satunya jalan penyelesaian adalah untuk meminda perlembagaan.

Sejak dari itu, tiga kanak-kanak yang terlibat dalam kes mahkamah pada mulanya, yang diwakili oleh Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers), dianugerahi kewarganegaraan Malaysia, tetapi haluannya masih tidak jelas bagi kanak-kanak lain yang dilahirkan di luar negara.

Setakat sehingga 23 Ogos 2022, Family Frontiers menyatakan masih belum ada sebarang petunjuk sama ada kerajaan akan meminda Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan semasa sidang parlimen seterusnya.

LATAR BELAKANG KEPUTUSAN MAHKAMAH

Pada tahun 1957 ketika Suruhanjaya Reid sedang menyiapkan saranan-saranan bagi perlembagaan sulung Persekutuan Tanah Melayu, ia mengusulkan agar kewarganegaraan hanya boleh diwarisi daripada seorang bapa kepada anaknya (seperti yang ditetapkan dalam undang-undang Britain), terutamanya jika seorang anak dilahirkan di luar negara.

Kerajaan yang berkuasa pada masa itu, Parti Perikatan dan Majlis Raja-Raja menerima saranan itu. Pindaan undang-undang kewarganegaraan tidak dilakukan semasa pindaan perlembagaan 2001 untuk menegakkan kesaksamaan antara jantina.

Perlembagaan Singapura turut mempunyai fasal serupa dalam perlembagaannya apabila ia berpisah dari Malaysia, tetapi ia dipinda pada 2004 untuk meliputi kedua-dua ibu bapa (Fasal 122(1)(b)).

Malaysia adalah salah satu daripada 22 negara di merata dunia yang menghalang seorang ibu daripada mewariskan kewarganegaraannya kepada anak yang dilahirkan di luar negara. Hanya tiga negara, Barbados, Bahamas dan Malaysia, melarang seorang bapa untuk mewariskan kewarganegaraannya kepada anak-anak yang dilahirkan di luar 'perkahwinan yang sah'.
(Gambar hiasan: iStock)

Pada hakikatnya, istilah 'perkahwinan yang sah' kadangkala termasuk perkahwinan yang dijalankan menurut prosedur yang sah di sisi undang-undang luar negara, tetapi tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dalam kes-kes sedemikian, anak-anak berkenaan perlu mengikut kewarganegaraan ibu.

NASIB ANAK-ANAK TIDAK BERNEGARA

Malaysia tidak mengiktiraf dwikewarganegaraan.

Lantaran itu, seseorang anak itu perlu didaftarkan dalam pasport asing atau dianggap tidak bernegara.

Sepanjang pandemik COVID-19, keadaan itu menyukarkan ibu-ibu yang ingin meninggalkan negara-negara yang berdepan dengan kes-kes koronavirus yang menular pesat bersama anak-anak atau pasangan warganegara asing.

Tiada jaminan mereka akan mendapat visa jangka panjang dan syarat-syarat kuarantin adalah berbeza antara seorang warganegara dengan warga asing.

Kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara juga hanya dibenarkan berada di Malaysia untuk tempoh lebih singkat jika menggunakan visa pelajar atau visa tanggungan.

Ia amat sukar bagi mereka untuk mendapatkan status Penduduk Tetap. Mereka juga tidak mempunyai hak akses kepada jagaan kesihatan atau sistem pendidikan kerajaan yang lebih dimampui.

Sekiranya seorang ibu masih berada di luar negara, tetapi membuat keputusan untuk menceraikan pasangannya, atau cuba meloloskan diri daripada penganiayaan oleh pasangannya, status anak-anaknya merumitkan lagi masalah tersebut kerana mereka mungkin tidak diiktiraf sebagai warganegara sekembalinya ke Malaysia dan proses imigresen lazimnya memerlukan kehadiran bapa (warganegara Malaysia atau sebaliknya).

(Gambar: Mohd Rasfan/ AFP)
Menurut tinjauan Malay Mail berhubung jawapan kepada pertanyaan di Parlimen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada November 2021, hanya 15.5 peratus daripada ibu-ibu yang memohon kewarganegaraan untuk anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kelulusan sepanjang tempoh 12 tahun (2010 hingga 2021).

Ini bermakna hanya 951 daripada 6,296 permohonan diterima. Sebanyak 2,241 atau 36 peratus permohonan ditolak dan selebihnya masih sedang diproses.

Menurut Family Frontiers, hanya 142 daripada 4,000 permohonan antara 2013 dengan 2018 diluluskan.

KEHILANGAN BAKAT BERHARGA

Rencana media tempatan baru-baru ini menukil laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai menyatakan terdapat 1.86 juta wanita warganegara Malaysia yang sedang menetap di luar negara dan mereka membentuk 12 peratus jumlah penduduk wanita warganegara Malaysia.

Jika ia benar, dan semakin ramai wanita kian meninggalkan Malaysia bukan sahaja untuk menetap bersama dengan pasangan mereka di luar negara, tetapi juga untuk melanjutkan kerjaya di luar negara, maka isu kewarganegaraan anak-anak mereka akan terus kekal relevan.

Ini akan memburukkan lagi masalah kehilangan bakat di Malaysia apabila wanita berbakat meninggalkan negara untuk mencari kerja tetapi memutuskan untuk tidak kembali ke tanah air atas dasar-dasar yang membebankan.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada 2020 adalah 55.3 peratus.

Pertubuhan Tindakan Wanita menyatakan lebih 50 peratus wanita melaporkan diskriminasi di tempat kerja.

Selain daripada isu kewarganegaraan kanak-kanak, ramai wanita juga bergelut dengan diskriminasi berdasarkan jantina, kaum dan agama disebabkan institusi mahupun secara tidak formal di tempat kerja.

Jika diberi peluang, ramai ibu warganegara Malaysia berkata mereka ingin kembali ke Malaysia dan segera mendaftarkan anak-anak mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak semua ibu bapa yang mempunyai pilihan untuk berada di Malaysia semasa kelahiran cahaya mata mereka, sama ada atas sebab-sebab pekerjaan, kesihatan mahupun sebab-sebab lain.
(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
COVID-19 merumitkan keadaan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Namun bagi mereka yang pulang ke tanah air dan terus mencuba untuk mendaftarkan kewarganegaraan anak-anak mereka, setiap kunjungan ke Jabatan Imigresen untuk memperbaharui visa merupakan pengalaman yang menggerunkan dan penuh dengan tanda tanya.

Keadaannya lebih sukar bagi mereka yang sudah bercerai atau berpisah dari bapa kepada anak-anak mereka. Hak-hak asasi seorang ibu tunggal seolah-olah terabai saja.

Bagi wanita-wanita yang tidak perlu kembali ke Malaysia untuk terus mengemukakan permohonan kewarganegaraan yang ditolak berulang kali bagi anak-anak mereka, ia adalah usaha yang sia-sia saja.

Ada wanita yang pasrah dan memilih untuk terus menetap di luar negara yang menyediakan peluang-peluang pendidikan dan pekerjaan, keselamatan dan jagaan kesihatan yang lebih baik.
(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)
Kanak-kanak yang membesar di luar negara dan mendapati diri mereka tidak diiktiraf oleh Malaysia, mungkin tidak ingin lagi kembali ke tanah air yang tidak pernah mereka kenali.
Zamil Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Dr Serina Rahman.
MENGENAI PENULIS:
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau menulis tentang kehidupan di kawasan-kawasan luar bandar dan golongan miskin yang menetap di kawasan-kawasan bandar di Malaysia. Bidang penyelidikannya termasuk pembangunan tidak mampan, masyarakat-masyarakat yang menetap di habitat marin dan ekologi politik.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan