NOTA DARI KL: Apabila Golongan Belia Semakin Lantang Bersuara ...
Tunjuk perasaan di Jakarta Pusat pada Mei 2025; Penunjuk perasaan bertembung dengan anggota polis rusuhan di Kathmandu pada 8 September 2025; Kekecohan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur pada 11 September 2025; dan penunjuk perasaan Filipina membantah rasuah di Quezon City, Metro Manila, Filipina, pada 11 September 2025. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar/AFP/Prabin Ranabhat/Facebook/Saifuddin Nasution Ismail/REUTERS/Lisa Marie David)
Seluruh dunia telah menyaksikan bagaimana golongan Gen-Z menunjukkan penentangan mereka terhadap apa yang mereka anggap sebagai cara lapuk institusi negara dan kegagalan sistem sedia ada.
Malah, akibat daripada konflik dengan pihak pasukan keselamatan, terdapat ramai mangsa korban dan kos kerosakan harta benda awam. Walaupun keganasan yang berlaku bukanlah satu perkara baharu dari segi sejarah politik, namun kekerapan gelombang bantahan Gen-Z di kebanyakan negara yang kadangkala bertukar tidak terkawal amat merisaukan.
Berlaku jurang besar antara pelaksanaan dasar oleh pemerintah semasa berbanding dengan jangkaan tinggi Gen-Z yang mendewasa dalam era globalisasi, amalan perdagangan bebas dan terdedah kepada kemajuan teknologi yang pernah diterajui oleh negara-negara Barat beberapa dekad yang lalu.
Tetapi, realiti persaingan geopolitik kuasa-kuasa besar dunia serta kecenderungan populisme konservatif kanan di Amerika Syarikat dan Eropah telah merubah landskap politik sehingga terhakisnya kepercayaan Gen-Z terhadap sistem antarabangsa.
Mereka juga berang terhadap karenah beberapa ahli keluarga golongan elit yang mempamerkan kemewahan taraf kehidupan mereka tatkala golongan anak muda ini terpaksa bergelut untuk menambah pendapatan bagi menangani isu kos sara hidup yang melambung tinggi.
Sentimen anti-kerajaan dan anti-‘nepo kids’ menuntut kepimpinan mana-mana negara masa kini untuk mengambil tahu nasib generasi mudanya sendiri dan peka terhadap trend kebangkitan rakyat agar tidak ditumbangkan secara mengejut.
Tuntutan Demokrasi Tulen
Mengimbau memori fenomena 'Arab Spring' dan penggunaan aplikasi Twitter pada 2010 serta pengaruh Gen-Y dalam agenda 'Occupy Movement' pada 2011 telah menetapkan ‘template’ ikutan bagi kesemua gelombang bantahan susulan seperti yang sedang dilakukan Gen-Z hari ini.
Iktibar dari Taiwan, kaedah duduk dan bantah oleh Sunflower Movement pada awal 2014 menandakan detik kelahiran semula aktivisme tersusun oleh para pelajar.
Mereka berjaya mencipta tekanan awam terhadap pemerintah bagi menangguhkan pelaksanaan perjanjian perdagangan antara republik itu dengan Tanah Besar China.
Ia juga berjaya membina budaya politik baharu di pulau Asia Timur itu yang kemudiannya melahirkan generasi aktivis yang ‘masuk gelanggang politik’ untuk bersaing menguasai pilihan raya demi mengubah naratif identiti kebangsaan mereka.
Hong Kong pula, melalui 'Umbrella Movement' pada penghujung 2014 menunjukkan versi yang sedikt berbeza iaitu protes pro-demokrasi yang melibatkan pendudukan di bandar selama berbulan-bulan hingga berlaku ‘standstill’ politik yang meluas. Tetapi pada masa yang sama ia telah mengundang tindakan balas yang keras dari Beijing.
Padah Kemerosotan Ekonomi
Meninjau contoh-contoh yang berlaku di Asia Selatan, ia menampilkan keruntuhan beberapa dinasti politik berikutan kegagalan mengurus krisis. Sri Lanka pada 2022 dirudum siri rusuhan oleh rakyat khususnya golongan belia yang hilang sabar dan memaksa pengunduran keluarga Mahinda Rajapaksa dari tampuk kekuasaan.
Pada 2024, demonstrasi jaringan mahasiswa universiti Gen-Z yang pada mulanya menentang amalan keistimewaan kuota oleh pemerintah Bangladesh memuncak sehingga menjatuhkan pemerintahan autokratik Sheikh Hasina yang sarat dengan tuduhan rasuah dan rekod pelanggaran hak asasi manusia.
Dalam tempoh hanya beberapa hari sahaja, pemerintah Nepal tewas kepada asakan Gen-Z yang menggunakan Discord untuk berbincang isu kebebasan bersuara, merancang serangan saraf, koordinasi pergerakan protes, menyasarkan bangunan penting dan membuat keputusan kolektif untuk merombak kepimpinan negara.
Mobilisasi yang berlaku amat pantas, bersifat 'desentralisasi' dan menonjolkan penggunaan alat komunikasi yang bukan arus perdana. Ilusi kekebalan politik selama berpuluh-puluh tahun di negara-negara itu lenyap dengan serta-merta.
Bagaimanapun, kebimbangan di sini bukanlah penggantian rejim di wilayah yang padat penduduk dan mundur keadaan ekonominya tetapi transisi (peralihan) dari ruangan kosong atau ‘vacuum’ kuasa yang bakal dimanipulasi oleh watak-watak baharu.
Tempias Asia Tenggara
Beralih ke sekitar 2018, gerakan belia Thailand telah merintis pendekatan unik dengan menghimpunkan suara radikal terhadap status quo kepada arus politik progresif melalui kelahiran parti Future Forward, sebelum berevolusi kepada jenama parti Move Forward dan jelmaan terkini merupakan People’s Party.
Kehebatan parti ini menjadi blok pembangkang terbesar di Parlimen Thailand menjadi inspirasi golongan Gen-Z. Namun mereka diuji dengan sering diheret ke mahkamah oleh kaum bangsawan dan junta tentera dengan dakwaan anti-monarki (anti-raja).
Seterusnya, kesilapan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia pada Ogos lalu yang mengusulkan kenaikan elaun dan keistimewaan buat Ahli Parlimen menjadi punca berlakunya ledakan emosi besar-besaran di Jakarta sebelum merebak ke kota-kota utama seluruh Indonesia.
Akhirnya, Presiden Prabowo Subianto terpaksa mengarahkan pembatalan usul DPR tersebut demi memelihara reputasi politik beliau.
Risiko bagi negara-negara berdagang yang mempunyai populasi besar dan ekonomi membangun seperti Indonesia dan Filipina ialah persepsi ketidakstabilan sosial yang boleh menjejaskan minat pelabur asing.
Melawan Secara Pintar
Wajar untuk dikaji strategi-strategi yang digunakan Gen-Z untuk menjatuhkan atau menggulingkan beberapa pemerintah yang masih diterajuii generasi lama dan tidak lagi mewakili aspirasi masa depan. Gen-Z merubah dasar negara secara drastik dan menyebarkan ‘mood’ perubahan.
Kaedah Gen-Z memanfaatkan ruang siber untuk melancarkan gerakan akar umbi tanpa melantik sosok pimpinan secara formal dan penggunaan naratif ketidakadilan sosioekonomi untuk menuntut akauntabiliti (kebertanggungjawaban) daripada pemerintah masing-masing menjadi ciri utama gelombang bantahan ini.
Hasilnya, beberapa pola sampingan menarik telah dikenal pasti. Seruan untuk bertindak disebabkan oleh ‘kemarahan online’ kepada aksi mobilisasi fizikal, penggunaan simbol-simbol ‘budaya pop’ seperti anime dan lagu sebagai mesej, serta hujah kritikan terhadap dasar awam membentuk dan kini mewajarkan keadilan ‘perjuangan kelas’.
Mana-mana pemerintah sekali pun harus berwaspada terhadap kombinasi ruang sivik yang sengaja disempitkan, kegagalan mengukuhkan ekonomi atau mengagihkan kekayaan secara saksama dan pemusatan kuasa politik hanya kepada sebilangan kecil golongan elit berpotensi menjentik semangat warga Gen-Z.
Peringatan Kepada Putrajaya
Penurunan usia mengundi (UNDI18) pada 2019, penubuhan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada 2020, solidariti bersama kempen Flotilla Sumud Nusantara pada 2025 dan peningkatan aktif penggunaan aplikasi TikTok dan juga kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT, DeepSeek dan Gemini adalah antara peristiwa penting bagi golongan anak muda di Malaysia.
Sebarang perubahan dasar yang sensitif seperti subsidi petrol, kuota Bumiputera atau sistem pendidikan perlu dibahaskan dengan cermat dan berhemah agar tidak mengundang padah. Ibarat menarik rambut dalam tepung.
Maka itu, Kerajaan MADANI perlu membina naratif nasional yang inklusif, bermula dari sekarang sebagai pemudah cara menerima tuntutan Gen-Z berkaitan pekerjaan berkualiti, mobiliti sosial, perumahan mampu milik dan perlindungan kesihatan demi kestabilan jangka panjang.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.