Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI KL: Antara retorik & sikap pragmatik bagi Pakatan Harapan dalam PRU

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Di tengah-tengah bahang hujung minggu pada awal Ogos di pinggir Kuala Lumpur, para penceramah, seorang demi seorang, menaiki pentas acara politik anjuran Pakatan Harapan (PH) Selangor untuk membakar semangat para pengikut setia.

Mereka berpidato tentang pilihan raya akan datang serta merencanakan bagaimana mereka akan mencapai kejayaan dan mengecam individu-individu yang mengkhianati perjuangan parti sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Acara-acara sedemikian berlangsung lebih kerap kebelakangan ini sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Gambar: Facebook/ Amanah Negeri Selangor

Semangat berkobar-kobar yang dipaparkan menerusi kata-kata perangsang itu melindungi kebimbangan para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam berdepan dengan pilihan raya umum seterusnya - khususnya menyusuli kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor yang mencerminkan realiti di kawasan undi.

Selain itu, PH seolah-olah taksub dengan perkara-perkara lama. Para pemidato masih menyebut-nyebut skandal 1MDB dan Najib Razak dan menyalahkan para pengkhianat yang mengutamakan jawatan dan sanggup mengabaikan agenda reformasi.

Salah satu perkara yang dibincang luas dalam kalangan penganalisis dan ilmuwan tetapi tidak dibincangkan oleh pembangkang adalah bagaimana PH kehilangan hampir separuh pengundi Melayu yang mendorong kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Umum 2018 (PRU14).

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)
KEMENANGAN MENGEJUT

Kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum 2018 mengejutkan ramai pihak.

Perpecahan undi Melayu, disebabkan sebahagian pengundi yang menolak UMNO, menguntungkan PH yang meraih jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, termasuk 97 kerusi bagi Semenanjung Malaysia.

Kemenangan itu didorong oleh 23 peratus pengundi Melayu yang berpaling ke PH. Mereka termasuk para penyokong Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Sesetengah pengundi Melayu, terutamanya di kawasan-kawasan ramai pengundi Melayu, sebaliknya memilih PAS. Ini menyebabkan UMNO dan BN kehilangan kerusi-kerusi parlimen.
Dr Mahathir semasa sidang media selepas pengumuman kemenangan Pakatan Harapan. (Gambar: AFP/Manan Vatsyayana)
TERAS PENGUNDI MELAYU

Akhirnya, peralihan undi Melayu tidak menguntungkan Dr Mahathir mahupun Muhyiddin seperti mana ia memanfaatkan PKR dan Amanah.

Bersatu kemudian mengisi jurang perbezaan kerusi dengan mengalu-alukan penyertaan para Ahli Parlimen yang melompat dari UMNO dalam langkah yang dipersoal dan ditentang oleh PH.

Menyusuli langkah tersebut, UMNO masih memegang bilangan kerusi dan jumlah penyokong yang cukup besar. Secara beransur-ansur, UMNO bekerjasama dengan PAS untuk menumpaskan PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenyih dan Tanjung Piai pada 2019.

Kekalahan teruk PH di Tanjung Piai membayangkan kejatuhan kerajaan PH. Kekalahan berturut-turut serta faktor-faktor lain mendorong Langkah Sheraton.

Peristiwa-peristiwa yang menyusul terakam dalam lembaran sejarah.

Lebih dua tahun kemudian, PH tidak lagi mampu menutupi kelemahannya. Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor merupakan petanda keputusan pilihan raya yang boleh dijangkakan dalam masa terdekat. Dengan meraih hanya 10 peratus hingga 12 peratus undi Melayu, PH hanya dapat berharap untuk memenangi kerusi-kerusi yang tidak ada ramai pengundi Melayu dan lantaran itu, sangat bergantung kepada sokongan para pengundi bukan Melayu.

Hakikat politik Malaysia adalah tiada parti yang akan dapat meraih majoriti mutlak di parlimen. Sejarah sosiopolitik, geografi dan sistem pilihan raya Malaysia menentukan hanya parti yang berhasil meragut undi majoriti atau undi terbanyak boleh meraih bilangan kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ini sekali gus memaksa pembentukan gabungan-gabungan parti berbilang kaum.

Setakat ini, kemungkinan PH mengulangi kemenangan mengejut seperti yang diraih pada 2018 adalah kecil.
Gambar: Bernama

Bahkan penilaian demikian turut diakui oleh sebilangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Namun keputusan pilihan raya di Johor dan Melaka juga memperlihatkan beberapa kesimpulan yang menarik.

Analisis kami mengenai keputusan pilihan raya di negeri-negeri itu mendapati sokongan bagi Barisan Nasional (BN) juga tidak meningkat dalam kalangan pengundi di negeri-negeri itu.

Sebaliknya kemenangan BN bergantung kepada para penyokong tegar yang keluar mengundi untuk mengembalikan tampuk kepimpinan kerajaan negeri-negeri itu kepada BN.

Sebanyak 13 daripada 21 kerusi yang dimenangi di Melaka dan 20 daripada 40 kerusi yang dimenangi di Johor, mendapat sokongan kurang 50 peratus pengundi. Sokongan terhadap BN dalam kalangan pengundi Melayu juga tidak berubah di Melaka dan bahkan merosot di Johor.

Secara kesimpulan, PH kalah akibat peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan penyokong bukan Melayu serta peralihan lebih separuh penyokong Melayunya ke Perikatan Nasional (PN).

Menjelang penghujung penggal politik sekarang - parlimen akan dibubarkan secara automatik pada Julai 2023 - timbul banyak tanda tanya berhubung tindak-tanduk seterusnya oleh para pelaku politk.

Sekiranya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk membubarkan parlimen sebelum akhir 2022, PH perlu menghadapi pilihan raya dengan sokongan sedia ada dan begitu juga bagi Perikatan Nasional (PN).

Gambar: Bernama
BN mempunyai kelebihan jelas sungguhpun dengan masalah-masalah yang dihadapinya sekarang. Ia mampu menyeru kepada para penyokongnya supaya keluar mengundi dan menawan kembali kerusi-kerusi parlimen, sedang parti-parti pembangkang berpecah belah.

Kemungkinan itu tidak dipandang enteng oleh pucuk kepimpinan dan barisan ahli parti yang berulang kali mendesak PM Ismail Sabri agar mengadakan pilihan raya secepat mungkin.

Setakat ini belum jelas sama ada langkah-langkah yang dirancang PH akan mengembalikan sokongan Melayu yang diperlukan untuk mengurangkan kerugiannya. Pelancaran kempen Ayuh Malaysia baru-baru ini di kawasan undi Kuala Lumpur menunjukkan gabungan parti itu lebih giat di kawasan bandar dan akan terus menghadapi kesukaran dalam mendampingi para pengundi Melayu di kawasan-kawasan seperti Tanjung Malim, Perak, Indera Mahkota, Pahang, atau Johor Bahru.

Jika undi yang diraih dalam kalangan belia Melayu di Johor dianggap sebagai suatu petanda, keupayaannya untuk memegang kerusi-kerusi kawasan dengan lebih 65 peratus pengundi Melayu menjadi suatu kebimbangan.

Ini mendorong sebilangan penganalisis untuk meramalkan PH akan kehilangan segmen pengundi yang kritikal itu.
Para penyokong parti pembakang, Pakatan Harapan meraikan kemenangan keputusan pilihan raya umum pada 10 Mei 2018. (Gambar: Manan Vatsyayana / AFP)

ANTARA RETORIK DENGAN SIKAP PRAGMATIK

Sungguhpun demikian, sebahagian besar pemimpin PH menolak sama sekali kemungkinan kerjasama dengan bekas parti-parti rakan yang dianggap sebagai pengkhianat.

Sesetengah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggembar-gemburkan isu demikian semasa kempen pemilihan parti.

Mereka kemudian dipilih untuk mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam parti dan berada dalam kedudukan untuk menentukan hala tuju parti dalam pilihan raya seterusnya.

Parti-parti dalam PH boleh memilih antara dua haluan di depan mereka.

Pertama, mencari jalan untuk menggandakan sokongan pengundi Melayu semasa pilihan raya atau kedua, menjalin kerjasama dengan parti-parti seperti Bersatu untuk mengimbangi kekurangannya.

Gambar: Facebook/ Pakatan Harapan

Jalan pertama memakan masa dan mencabar manakala jalan kedua disukarkan oleh halangan psikologi.

Setelah mengapi-apikan para ahli parti supaya menghukum para pengkhianat dan memusnahkan masa depan mereka, PH mungkin memencilkan dirinya sendiri.

Bukan saja para pengkhianat akan kalah, bahkan Ahli Parlimen PH akan turut kecundang.

Akibat strategi sedemikian, PH mungkin ditumpaskan oleh BN yang meraih sokongan lebih luas dalam BN.

Para pemimpin PH, terutamanya PKR, perlu memutuskan sama ada mereka sanggup membenarkan masalah-masalah peribadi yang tercetus pada 2020 untuk membayangi agenda gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau mendakapi sikap pragmatik yang membolehkan mereka untuk menawan kembali kerusi-kerusi parlimen dan sekali gus membuka haluan bagi aturan-aturan politik baru di mana mereka dapat memainkan peranan untuk mencarta hala tuju Malaysia sepanjang lima tahun akan datang.

MENGENAI PENULIS:

Gambar: Ibrahim Suffian
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan