Skip to main content

Komentar

NOTA DARI KL: Antara Gelora Melaka, Kemelut Istana dan Bayangan ‘Bossku’

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI KL: Antara Gelora Melaka, Kemelut Istana dan Bayangan ‘Bossku’

Kerajaan MADANI sedang melalui satu fasa yang cukup getir. (Gambar: Bernama; CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 29 Sep 2026 05:54PM
  • Belanjawan 2027 yang dijangka dibentangkan Anwar Ibrahim pada 9 Oktober menjadi ujian besar kepada Kerajaan MADANI, kerana kegagalannya diluluskan boleh menggugat kedudukan beliau.
  • Kerajaan mahu mengekalkan disiplin fiskal, mengurangkan defisit, meneruskan bantuan bersasar dan rasionalisasi subsidi, sambil mempercepat reformasi seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Awam.
  • PRN Melaka selepas pembubaran DUN oleh Ab Rauf Yusoh menguji BN, PH dan PN, ketika PN berdepan penggantungan sementara serta UMNO menilai strategi kerusi Melayu.
  • Krisis Negeri Sembilan dan tahanan rumah Najib membebankan UMNO, manakala Anwar dilihat berpeluang menggunakan ketidaktentuan ini untuk mengukuhkan kedudukan menjelang PRU16.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Sesi Dewan Rakyat yang akan bersidang semula dari 5 Oktober hingga 8 Disember bakal menjadi salah satu babak terpenting sepanjang karier politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Beliau dijangka akan membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen pada 9 Oktober ini, belanjawan negara yang kelima oleh pentadbirannya.
Related article image
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di parlimen pada 3 Mac 2026. (Gambar fail: Bernama)
Ia tampil ketika Kerajaan MADANI sedang menempuh satu fasa yang cukup getir, diapit oleh ‘hubris’ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mencabar pembubaran Parlimen lebih awal, serta desakan tertentu terhadap PM Anwar ke atas kelembapan perjalanan tuntutan reformasi institusi.

Melatari keadaan sukar tersebut adalah tiga perkembangan politik.

Pertama, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang menjadi ujian Pilihan Raya Negeri (PRN) keempat bagi PM Anwar.
Related article image
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka menjadi satu lagi ujian bagi PM Anwar Ibrahim. (Gambar: Bernama)
Kedua, krisis perlembagaan yang meruncing di Negeri Sembilan.

Dan ketiga, isu tahanan rumah mantan PM Najib Razak.

Belanjawan 2027 dilihat bukan lagi sekadar ‘Bajet Pilihan Raya’ untuk mengagih peruntukan pembangunan dan kebajikan bagi mengunci sokongan rakyat, malah berpotensi menjadi medan yang menguji soal kesetiaan pemain-pemain politik. Jika gagal diluluskan akibat undi tidak mencukupi, maka PM Anwar terpaksa berundur.

Talian Hayat Terakhir

Merujuk kepada Kenyataan Prabelanjawan 2027 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), dokumen tersebut menegaskan komitmen Putrajaya terhadap disiplin fiskal di sebalik ruang kewangan yang semakin sempit. Belanjawan kali ini dianggarkan oleh ramai pemerhati akan melepasi jumlah RM480 bilion.

Ia turut menggariskan sasaran mengurangkan defisit secara berfasa, sejajar dengan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), sambil memberi isyarat jelas bahawa pelebaran asas hasil, bantuan tunai bersasar dan peluasan rasionalisasi subsidi akan diteruskan walaupun berdepan tekanan rantaian bekalan dan ketidaktentuan geopolitik global.

Bagi membendung kejatuhan populariti gabungan Pakatan Harapan (PH), PM Anwar diramal akan menyegerakan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan reformasi seperti pemisahan peranan Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Awam (PP), serta had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri yang terkandas sebelum ini.
Related article image
PM Anwar berucap di Dewan Rakyat. (Gambar fail: Bernama)
Langkah-langkah ini penting untuk diselesaikan di Dewan Rakyat kerana ia mampu menepis persepsi bahawa Kerajaan MADANI sekadar 'menunggu masa untuk tumbang’, selain menutup peluang buat UMNO dan gabungannya Barisan Nasional (BN) dari terus menggugat kestabilan.

Meneruskan ‘Gelombang Biru’

DUN Melaka yang sepatutnya berakhir pada Disember 2026 ditamatkan awal oleh Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh pada 23 September lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai 60 hari untuk menentukan tarikh PRN Melaka, yang dikhabarkan bakal berlangsung pada sekitar penghujung Oktober atau awal November.
Related article image
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh di sidang media di Seri Negeri pada 22 September 2026. (Gambar: Petikan skrin video Facebook/Ab Rauf Yusoh)
Sebanyak 28 kawasan dipertandingkan, dengan BN selaku penyandang belum menentukan sama ada mahu bergerak solo, berunding kembali dengan PH, atau terus bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). Ia masih menghitung taktik politik terbaik memandangkan persaingan merebut kerusi tradisi Melayu semakin tegang.

Jenama PN sedang berdepan masalah besar akibat tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menggantung sementara gabungan pembangkang itu menyusuli aduan salah laku oleh sebuah komponennya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Ketiadaan logo PN memberikan sedikit kelebihan taktikal kepada BN.

Sebelum ini, UMNO turut berasa yakin mengekalkan dominasi di Melaka berdasarkan prestasi baik wakil rakyatnya seperti Mohd Noor Helmy (ADUN Duyong), Khaidhirah Abu Zahar (ADUN Rim) dan Dr Akmal Saleh (ADUN Merlimau). Pun begitu, ada sedikit kekhuatiran bagaimana impak situasi di Negeri Sembilan mempengaruhi PRN Melaka.

Tamparan Hebat Ciptaan UMNO

Pertikaian takhta melibatkan Yamtuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan empat pembesar ‘Undang Luak’ telah memasuki sepuluh bulan sejak insiden tercetus pada 19 April lalu. Walaupun pasca PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026, ia masih berlarutan sehingga menjadi satu krisis perlembagaan.
Related article image
Yamtuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. (Gambar: Bernama)
Pada 16 September 2026, Menteri Besar Ismail Lasim dan barisan Exconya pula menandatangani satu deklarasi menyokong usaha empat ‘Undang Luak’ untuk menurunkan Yamtuan Tuanku Muhriz. Asasnya ditolak oleh Peguam Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Related article image
Menteri Besar Ismail Lasim. (Gambar: Bernama)
Reaksi balas dari Yamtuan adalah memecat kesemua Exco Kerajaan, selaras dengan kuasanya dan mengarahkan pegawai-pegawai tinggi negeri meneruskan tugas dengan mewartakan pemecatan itu bagi melumpuhkan pentadbiran Ismail.

Kronologi pertembungan terbuka antara Yamtuan Tuanku Muhriz yang mewakili institusi diraja dengan pihak badan eksekutif yang diketuai oleh Ismail telah mencalarkan imej UMNO selaku parti membela kepentingan orang Melayu. Pelbagai muslihat politik UMNO sepanjang krisis ini mula memakan diri menjelang perkiraan PRN Melaka.

Malah, terdapat spekulasi serius sama ada pemecatan berunsur ‘derhaka’ ini akan memaksa pihak istana membubarkan DUN Negeri Sembilan sekali lagi untuk mengadakan PRN mengejut. Ada juga ura-ura dilibatkan campur tangan Persekutuan dengan mengisytiharkan darurat terhad bagi meleraikan keadaan dan menjalani proses kehakiman.

1MDB Kembali Menghantui

Selain kesilapan percaturan politik di Negeri Sembilan, UMNO turut menghadapi cabaran rumit akibat keputusan mengejut Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September 2026 yang membenarkan pengampunan bersyarat kepada mantan PM Najib Razak menjalani baki hukuman beliau secara tahanan rumah.
Related article image
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)
Terdapat dua sebab mengapa kes berkait Najib penting dalam landskap politik Malaysia. Pertama, setakat 27 September 2026, sebanyak RM9.25 juta telah dikutip UMNO daripada jumlah RM50 juta yang ditetapkan sebagai syarat oleh Agong. Jika Tabung Solidariti mencapai tujuan, UMNO pasti bersedia ‘frame’ bahawa sokongan buat parti itu kian pulih.

Kedua, akibat dari titah Sultan Ibrahim, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah menawarkan diri untuk meletak jawatan. Pengunduran ini berbeza daripada janji-janji sebelum ini untuk peletakan jawatan beramai-ramai membabitkan kesemua menteri DAP. Langkah taktikal mengorbankan hanya satu jawatan membuktikan bahawa DAP tidak mempraktikkan " walk the talk ", sekali gus mendedahkan situasi terdesak semata-mata untuk melindungi sokongan awam yang kian merosot.
Related article image
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke mengesahkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan daripada Kabinet kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 28 September 2026. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Strategi DAP kelihatan mahu menjarakkan diri dari terikat dengan nasib politik UMNO yang dibayangi sejarah skandal kewangan dan persepsi salah guna kuasa, kini seperti kosmetik politik. Lantaran keputusan UMNO sewaktu PRN Johor dan Negeri Sembilan, DAP sekadar melakukan pengunduran berhati-hati ini untuk meminimumkan risiko terhadap kredibiliti PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menarik juga melihat gelagat beberapa pemimpin UMNO yang percaya sosok “Bossku” mampu menjadi ‘magnet magis’ untuk menarik undi Melayu pulang ke pangkuan UMNO. Tetapi, sejauh mana pengaruh berbaki dan modal politik sebenar Najib sekiranya berjaya kembali ke arena politik berbanding hanya ilusi nostalgia tajaan dana politik?

Sokongan sebahagian akar umbi UMNO buat Najib sering kali bersifat ‘transactional’ dan dibina atas budaya ‘patronage’, bukannya kelangsungan ideologi tulen. Mempertaruhkan nasib parti pada susuk tubuh yang telah dihukum proses kehakiman bagi kes korupsi berskala global membuktikan ketandusan bakat yang dialami UMNO.

Peluang Emas Anwar

Gelora yang melanda ibu kota Putrajaya, Kompleks Seri Negeri Ayer Keroh, Istana Besar Seri Menanti dan kediaman Langgak Duta tidak harus dilihat sebagai ‘garis penamat’, sebaliknya satu kesempatan berharga untuk PM Anwar. Belanjawan 2027 wajar menjadi instrumen induk bagi beliau menyuntik modal dan moral sebelum menempuh PRU16.
Related article image
Menara Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya, Malaysia. (Gambar: Bernama)
Perpecahan kronik blok pembangkang PN akibat sengketa BERSATU-PAS, ketiadaan kepimpinan nasional alternatif yang berkaliber, serta UMNO yang terus terbeban dengan legasi Najib dan krisis melibatkan pihak istana sebenarnya meletakkan PM Anwar dalam kedudukan unik untuk melancarkan gerak susulan.

Segala ketidaktentuan ini usah dianggap ancaman, bahkan boleh diolah PM Anwar untuk menetapkan semula 'rules of the game'.

UMNO semakin hari semakin kekurangan titik-titik tekanan untuk meneruskan momentum ‘gelombang biru’. Justeru, misi utama PM Anwar ialah meluluskan Belanjawan 2027 di Parlimen tanpa sabotaj.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Halmie Azrie ialah Penyelidik Kanan (Politik) di Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP) di Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman dalam sektor perhubungan antarabangsa, kajian dasar awam dan perundingan hal ehwal kerajaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita