Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Wajah Baharu Aktivisme Digital Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Wajah Baharu Aktivisme Digital Indonesia

Visual “Peringatan Darurat Garuda Biru” tersebar luas di media sosial Indonesia pada Ogos 2024 dan menjadi tular hanya dalam masa beberapa jam. (Gambar: Ilustrasi)

Diterbitkan : 31 Aug 2026 10:21AM
JAKARTA: Antara jutaan akaun Instagram di Indonesia, nama “Cabinet Couture” kedengaran seperti sebuah akaun fesyen. Kandungannya juga, sekali imbas, memberi gambaran yang sama. Akaun ini memaparkan foto individu yang memakai beg, kasut, jam tangan dan pakaian berjenama, lengkap dengan anggaran harga yang begitu tinggi dan jauh di luar kemampuan kebanyakan rakyat Indonesia.

Namun, mereka bukan selebriti atau pempengaruh. Mereka ialah pegawai pemerintah, elit politik dan anggota keluarga mereka. Rane Hafied menyelongkar perkembangannya.

Akaun ini mula muncul pada pertengahan September 2025, tidak lama selepas gelombang demonstrasi besar pada penghujung Ogos, dan dengan cepat menarik perhatian kerana menyorot gaya hidup mewah pegawai tinggi negara serta keluarga mereka.

Pada Jun 2026, akaun tersebut tidak lagi dapat diakses dari Indonesia selepas Instagram mengenakan sekatan wilayah, yang dilaporkan dibuat atas permintaan Kementerian Komunikasi dan Digital. Tetapi tidak lama kemudian, akaun itu muncul semula dengan nama baharu dan kini sudah diikuti oleh lebih 270,000 orang.

“Cabinet Couture” bukan sekadar menunjukkan betapa mahalnya barangan berjenama yang dipakai oleh golongan elit politik, tetapi turut mempersoalkan gaya hidup mereka yang memegang kuasa serta mendorong tuntutan terhadap akauntabiliti awam.
Related article image
Contoh laman Instagram Cabinet Couture, yang mengkritik golongan elit politik dengan menyorot barangan mewah yang mereka tampilkan di ruang awam. (Sumber: Instagram)
Yang menarik, aktiviti yang pada dasarnya mempersoalkan kuasa ini hadir dalam bahasa visual yang sekali imbas tidak kelihatan seperti aktivisme politik. Dan “Cabinet Couture” bukan satu-satunya contoh.

Amaran Kecemasan Garuda Biru

Dua tahun sebelumnya, pada Ogos 2024, sebuah gambar ringkas menunjukkan betapa kuatnya bentuk aktivisme digital masa kini. Garis masa media sosial di Indonesia tiba-tiba dipenuhi gambar berlatar biru, dengan lambang Garuda Pancasila dan tulisan besar “Peringatan Darurat” (Amaran Kecemasan).

Garisan-garisan mendatar yang samar membuatkannya kelihatan seperti skrin televisyen analog yang sedang menyiarkan keadaan kecemasan.

Dalam masa beberapa jam, gambar itu tersebar luas di pelbagai platform media sosial dan kumpulan WhatsApp. Walaupun pada asalnya, gambar tersebut diambil daripada sebuah video seram yang langsung tidak mempunyai unsur politik.

“Amaran Darurat Garuda Biru” menjadi tular ketika Parlimen Indonesia, iaitu Dewan Perwakilan Rakyat atau DPR, sedang membincangkan perubahan terhadap peraturan pilihan raya kepala daerah yang baru sehari sebelumnya diputuskan oleh Mahkamah Konstitusi, iaitu mahkamah perlembagaan Indonesia.

Salah satu perkara yang paling mencetuskan kontroversi ialah had umur calon gabenor dan timbalan gabenor. Mahkamah Konstitusi menegaskan bahawa had minimum 30 tahun mesti sudah dipenuhi ketika pendaftaran. Namun, DPR kemudian membincangkan peraturan agar umur tersebut dikira ketika pelantikan.

Perubahan itu akan membuka peluang kepada Kaesang Pangarep, anak bongsu mantan Presiden Joko Widodo yang ketika itu masih berusia 29 tahun, untuk bertanding dalam pilihan raya kepala daerah.

Gelombang kritikan di media sosial kemudian beralih ke jalanan. Demonstrasi (tunjuk perasaan) tercetus di Jakarta dan beberapa bandar lain ketika DPR bersiap sedia untuk meluluskan perubahan tersebut.
Sidang pengesahan akhirnya ditangguhkan, dan perubahan itu tidak diteruskan.

Sebenarnya, aktivisme digital bukanlah sesuatu yang baharu di Indonesia. Jauh sebelum Instagram dan TikTok menjadi sebahagian daripada perbualan politik, Internet sudah digunakan untuk menyebarkan maklumat, membina solidariti, menggembleng sokongan, malah menyeru orang ramai turun ke jalan.

Cuma, seiring perubahan zaman, bentuknya turut berubah.

Daripada Seruan Kepada Sorotan

Pada akhir 1990-an semasa pemerintahan Presiden Soeharto, sebuah senarai mel (notis) Internet yang terkenal, “Apakabar”, membantu menyebarkan maklumat politik yang sukar ditemui di media arus perdana dan menjadi antara ruang penting bagi perbincangan politik di luar kawalan negara.

Pada 2009, “Koin untuk Prita” mengubah solidariti dalam talian (online) terhadap seorang pesakit yang disaman oleh sebuah hospital menjadi gerakan mengumpul dana secara besar-besaran, dengan wang syiling dijadikan simbol penentangan.
Related article image
Gerakan “Koin untuk Prita” yang tular pada 2009 mengumpulkan duit syiling daripada orang ramai sebagai tanda sokongan kepada Prita Mulyasari, seorang pesakit yang berdepan tindakan undang-undang selepas mengkritik layanan sebuah hospital. (Gambar: Antara)
Pada 2014, “KawalPemilu” mengajak orang ramai secara dalam talian untuk bersama-sama memantau pengiraan undi dalam pilihan raya presiden. Lima tahun kemudian, tanda pagar “#ReformasiDikorupsi” menunjukkan bagaimana seruan di media sosial berkembang menjadi mobilisasi mahasiswa di jalanan.

Bentuk-bentuk aktivisme itu tidak hilang. Media sosial masih digunakan untuk menggalang (menggembleng) sokongan, mengatur gerakan dan membawa orang ramai ke jalanan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kekuatannya semakin kerap terletak pada keupayaan untuk mengarahkan sorotan, bukan sekadar mengajak orang ramai menyertai gerakan, menyumbang atau berdemonstrasi.

Sorotan itu boleh menjadikan persoalan yang rumit, atau yang hanya diketahui segelintir orang, lebih mudah dilihat dan difahami oleh jutaan orang, dengan kesan yang sangat besar.

Sebagai gambaran, DataReportal Digital 2026 mencatatkan terdapat 180 juta identiti pengguna media sosial aktif di Indonesia. Angka itu bersamaan kira-kira 62.9 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia.

Pada penghujung Ogos 2025, warna juga menjadi bahasa politik. Selepas gelombang demonstrasi besar dan kematian pemandu ojek dalam talian (pekerja penghantaran), Affan Kurniawan, ramai pengguna media sosial di Indonesia menukar gambar profil mereka kepada gabungan warna merah jambu dan hijau yang kemudian dikenali sebagai “Brave Pink–Hero Green.”
Related article image
Seorang wanita bertudung warna merah jambu berdepan dengan anggota pasukan keselamatan ketika demonstrasi besar pada Ogos 2025. Aksinya menjadi tular, manakala warna tudungnya kemudian digunakan ramai pengguna media sosial sebagai warna gambar profil mereka sebagai tanda solidariti. (Gambar: Jakarta Post/AFP)
Warna merah jambu itu diilhamkan oleh warna tudung seorang wanita yang tular ketika berdiri berhadapan dengan polis dalam demonstrasi, manakala warna hijau merujuk kepada warna jaket yang dipakai Affan Kurniawan ketika digilis kenderaan anggota keselamatan.

Dalam masa singkat, kedua-dua warna itu berubah menjadi simbol solidariti yang memenuhi garis masa media sosial.

“Cabinet Couture” melakukan perkara serupa dengan mengarahkan perhatian kepada gaya hidup elit politik menerusi format yang mudah dikenali dan dikongsi.

Dalam bentuk aktivisme seperti ini, perhatian awam menjadi sumber daya politik. Orang ramai hanya perlu berkongsi Garuda Biru, menukar gambar profil, atau menghantar gambar dari jarak dekat jam tangan mahal milik seorang pegawai kanan pemerintah.

Tindak Balas Elit Politik

Perubahan cara aktivisme digital berfungsi turut mengubah cara elit politik bertindak balas. Apabila perhatian awam menjadi modal politik, pertarungannya tidak lagi hanya berkisar tentang dasar, tetapi juga tentang siapa yang berjaya menentukan apa yang dilihat dan diperkatakan orang ramai.

Ada kajian yang mendapati bahawa perbualan mengenai “Indonesia Gelap” jauh lebih besar, tetapi naratif tandingan “Indonesia Terang” mendapat jangkauan luas selepas diperkuat oleh pegawai, ahli politik, media dan akaun yang dikategorikan sebagai 'buzzer' politik.
Related article image
Tanda pagar #IndonesiaGelap merebak ke pelbagai daerah di Indonesia, termasuk Ternate, Maluku Utara, apabila para mahasiswa turut membawa naratif itu ke jalanan. (Sumber: Antara)
Perebutan perhatian ini turut menimbulkan persoalan tentang keaslian. Penyokong pemerintah mudah dituduh sebagai 'buzzer', manakala kritikan pula boleh dianggap sebagai operasi politik.

Akibatnya, kepercayaan terhadap ruang awam digital turut terhakis.
Di sinilah pemerintah dan institusi politik mungkin perlu melihat aktivisme digital dengan cara yang berbeza. Tindak balas pertama tidak semestinya perlu berupa kandungan tandingan, sekatan akses atau usaha untuk memenangi perbualan. Yang lebih penting ialah memahami apa yang menyebabkan sesuatu isu mendapat perhatian sejak awal.

Daripada melihat aktivisme digital semata-mata sebagai ancaman komunikasi, pemerintah dan elit politik sepatutnya menganggapnya sebagai isyarat tentang keresahan masyarakat yang belum dapat dikesan melalui tinjauan, media tradisional atau saluran politik formal.

Cabaran bagi negara dan elit politik kini bukanlah untuk menjadi lebih mahir melawan naratif yang tular dalam masyarakat, tetapi untuk menjadi lebih baik dalam memahami mengapa naratif itu muncul pada awalnya.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita