Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Ujian Besar Kredibiliti Program Makan Bergizi Gratis Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Ujian Besar Kredibiliti Program Makan Bergizi Gratis Indonesia

Murid-murid sekolah rendah menikmati makanan yang disediakan di bawah program makanan gratis pemerintah di sebuah bilik darjah di Jakarta, pada 23 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Bay Ismoyo)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Jun 2026 10:08AM
JAKARTA: Encik Dadan Hindayana mungkin tidak pernah menyangka jalan hidupnya akan berubah sedemikian cepat. Beliau merupakan antara orang terdekat Presiden Prabowo Subianto. Kepercayaan itu dapat dilihat melalui penunjukannya untuk melaksanakan salah satu janji politik terbesar pemerintahan Prabowo: Makan Berkhasiat Percuma atau yang di Indonesia dikenali sebagai Makan Bergizi Gratis (MBG).

Program ini, menurut Rane Hafied, bukan projek kebajikan biasa. Ia dirancang untuk menjangkau sekitar 82 hingga 83 juta orang, termasuk murid sekolah, kanak-kanak bawah lima tahun, ibu hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Dengan skala sebesar itu, MBG bukan sahaja menjadi antara program sosial terbesar di Indonesia, tetapi juga antara program makan percuma terbesar di dunia.

MBG baru dimulakan kira-kira setahun lalu di beberapa bandar, dan secara berperingkat diperluaskan ke seluruh Indonesia.

Malah, baru-baru ini di sela-sela ibadah haji, Dadan sempat bercakap kepada media mengenai kemungkinan membawa program MBG ke luar negara, termasuk ke Sekolah Indonesia Jeddah di Arab Saudi, tempat anak-anak pekerja migran Indonesia bersekolah.
Related article image
Dadan Hindayana, mantan Ketua Badan Gizi Nasional Indonesia. (Gambar: Instagram/Sekneg)
Namun hanya dua hari selepas mengemukakan idea itu, iaitu pada 2 Jun 2026, rakyat Indonesia dikejutkan dengan keputusan Presiden Prabowo melucutkan Dadan daripada jawatan Ketua Badan Gizi Nasional, agensi yang menguruskan projek MBG. Dua orang timbalannya turut diberhentikan.

Keadaan menjadi lebih gempar apabila sehari selepas itu, media menyiarkan gambar Dadan keluar dari pejabat Kejaksaan Agung (Pejabat Peguam Negara Indonesia) di Jakarta dengan kepala tertunduk, tangan bergari dan memakai baju tahanan berwarna merah jambu.

Beliau dan dua orang timbalannya disyaki terlibat dalam kes rasuah besar membabitkan nilai bertrilion rupiah.

Presiden Prabowo kemudian melantik Nanik Sudaryati Deyang sebagai Ketua Badan Gizi Nasional. Sebelum ini, Nanik merupakan Timbalan Ketua Bidang Komunikasi Awam dan Siasatan di BGN.
Related article image
Nanik S. Deyang, Ketua Badan Gizi Nasional Indonesia yang baharu. (Gambar: BGN)
Bagi rakyat Indonesia, ini bukan sekadar pertukaran pegawai. Ini saat apabila salah satu janji sosial terbesar Prabowo berubah menjadi ujian terhadap kredibiliti negara.

Bermula dari Janji Popular Semasa Berkempen

Makan berkhasiat percuma ialah salah satu janji besar Prabowo semasa kempen Pilihan Raya Presiden pada 2024. Malah, janji ini boleh dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada kemenangannya, kerana ia menyentuh keperluan asas ramai orang dan menjanjikan manfaat secara langsung.

Program ini dikaitkan dengan usaha mengurangkan kadar 'stunting' (pembangunan) dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia. Stunting merujuk kepada keadaan apabila pertumbuhan fizikal kanak-kanak terbantut akibat kekurangan nutrisi, sehingga tinggi badannya lebih rendah berbanding purata kanak-kanak seusianya.

Pada masa ini, kadarnya mencecah 19.8 peratus dan berlaku di beberapa wilayah, termasuk Papua, Nusa Tenggara Timur serta Jawa Barat.

Masalahnya, niat yang baik tidak selalu berubah menjadi pelaksanaan dasar yang baik. Daripada tertumpu kepada kawasan yang benar-benar memerlukan, program makan berkhasiat percuma ini menyasarkan hampir semua kanak-kanak di Indonesia. Maka, pengurusannya menjadi satu cabaran yang sangat besar, begitu juga dengan anggarannya.

Bagi 2026, pemerintahan Prabowo menyediakan peruntukan anggaran sekitar Rp268 trilion (S$22.2 bilion).

Sehingga April 2026, perbelanjaan sebenar program ini sudah mencecah sekitar Rp75 trilion (S$5.4 bilion).

Awal tahun ini, Presiden Prabowo sempat menyatakan bahawa program makan berkhasiat percuma telah mencapai 74.8 peratus daripada sasaran nasional. Namun, pelbagai keluhan daripada masyarakat tetap tidak dapat dielakkan, bermula daripada isu pengurusan, mutu makanan, hingga gangguan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak.
Related article image
Presiden Prabowo Subianto ketika melancarkan program makan tengah hari percuma pada hari pertama kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024. (Gambar: Gerindra.id)
Program ini juga membuka ruang besar kepada rasuah, dan itulah yang disyaki berlaku di bawah mantan Ketua Badan Gizi Nasional, Dadan Hindayana, bermula daripada dakwaan menaikkan harga perolehan barangan, proses pengesahan pelaksana di pelbagai daerah, hingga pemantauan terhadap kualiti makanan.

Kejaksaan Agung Indonesia (Pejabat Peguam Negara Indonesia) masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan kes rasuah ini. Namun, tidak dapat dielakkan bahawa kepercayaan masyarakat semakin melemah.

Kepercayaan Awam Menjadi Pertaruhan Besar

Skandal yang disyaki berlaku dalam pengurusan program makan berkhasiat percuma ini bukan sahaja soal pengurusan dan birokrasi, tetapi juga soal kepercayaan masyarakat.
Related article image
Salah satu menu Makan Berkhasiat Percuma di sebuah sekolah di Indonesia. (Gambar: BGN)
Para ibu bapa tidak hanya bertanya sama ada makanan itu percuma, tetapi sama ada makanan itu selamat untuk anak-anak mereka. Guru dan pihak sekolah pula mungkin tidak lagi sekadar bertanya sama ada makanan akan tiba tepat pada waktunya, tetapi siapa yang harus bertanggungjawab jika berlaku masalah seperti kes keracunan makanan.

Dalam konteks yang lebih luas, rakyat Indonesia wajar mempersoalkan sama ada wang cukai mereka digunakan dengan betul. Apatah lagi, keadaan ekonomi ketika ini tidak boleh dikatakan baik. Harga minyak terus meningkat, manakala nilai dolar Amerika berbanding rupiah terus mengukuh hingga mencecah paras rekod Rp18,000 bagi setiap dolar Amerika.

Di sinilah pemerintah berdepan ujian besar untuk memperbaiki pengurusan program dan memulihkan kepercayaan awam.

Sebagai contoh, satu hidangan makanan berkhasiat percuma bernilai sekitar Rp15,000 (S$1.10).

Persoalannya, adakah jumlah ini mencukupi? Sudah menjadi rahsia umum bahawa ramai pengelola di setiap daerah cuba memotong kos tersebut atas alasan keperluan operasi harian. Jika begitu, adakah ia benar-benar dapat menjamin kandungan nutrisi yang mencukupi untuk kanak-kanak Indonesia?

Antara Cita-Cita Besar dan Ambisi Mengejar Sasaran

Program makan berkhasiat percuma di Indonesia bukan satu-satunya di dunia. India sudah lama melaksanakan program serupa yang menjangkau hingga 125 juta kanak-kanak. Ada juga Brazil yang memberi makan hingga 40 juta kanak-kanak, dan China yang menjangkau hampir 35 juta kanak-kanak di kawasan luar bandar. Malah, Amerika Syarikat mempunyai program serupa yang menjangkau sekitar 30 juta murid sekolah.

Ada satu persamaan dalam semua program pemberian makanan harian ini: ia melibatkan operasi logistik yang sangat besar. Namun, yang membezakan Indonesia ialah negara ini masih baru melaksanakan program seperti ini, tetapi sudah mengejar sasaran pada skala yang sangat ambisius (bercita-cita besar).

Presiden Prabowo pernah membandingkan kelajuan pelaksanaan program MBG dengan Brazil. Menurut beliau, Brazil memerlukan 11 tahun untuk memberi manfaat kepada 40 juta kanak-kanak, sedangkan Indonesia dalam tempoh setahun sahaja sudah mampu mencapai 55 juta kanak-kanak.

Tetapi kelajuan bukan satu-satunya ukuran kejayaan. Dalam program sebesar MBG, persoalan yang lebih penting ialah sama ada makanan itu selamat, anggaran bersih, penyedia makanannya dipantau, dan masyarakat percaya kepada sistem yang melaksanakannya. Tanpa semua itu, angka yang besar sebaliknya boleh berubah menjadi risiko yang besar.

Ujian terbesar MBG bukan terletak di ruang media pemerintah, tetapi di dapur pelaksana, di sekolah, di gudang bahan makanan, di laluan pengedaran, serta di meja murid-murid sekolah yang menerimanya.
Related article image
Murid sekolah di Bekasi bersedia menikmati makan berkhasiat percuma. (Gambar: BGN)
Ujian itu kini berada di tangan Nanik S. Deyang, yang menggantikan Dadan Hindayana. Antara rancangannya ialah memfokuskan program MBG kepada sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan perbaikan nutrisi pemakanan. Dengan itu, peruntukan anggaran dapat benar-benar disalurkan kepada pihak yang tepat.

Di sisi lain, program yang menelan kos ratusan trilion rupiah ini akan turut menjadi perhatian pasaran domestik, bahkan serantau. Skalanya yang besar dan berulang menjadikan MBG bukan lagi sekadar isu kebajikan, tetapi juga ujian disiplin fiskal: mampukah pemerintah membiayainya tanpa menambah tekanan terhadap defisit, hutang dan perbelanjaan negara yang lain?

Nampaknya perlu ada kesedaran untuk membezakan antara cita-cita besar dengan sikap tergesa-gesa mengejar sasaran.

MBG tidak boleh hanya menjadi perlumbaan untuk mencapai sasaran penerima. Ia harus menjadi program yang boleh diaudit, dinilai, dan diperbetulkan, kerana memikul tugas berat untuk mengembalikan kepercayaan awam.

Tanpa itu, makanan yang berkhasiat sahaja tidak akan mencukupi.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita