NOTA DARI JAKARTA: Trend Filem Seram Indonesia - Seram di Layar, Untung di Pasaran
Poster filem Pengabdi Setan di beberapa negara. (Gambar: Brilio.net)
Adegan-adegan seperti ini bukan sahaja menakutkan, malah sering tular di media sosial. Filem KKN di Desa Penari (2022), misalnya, pernah mendominasi perbualan online kerana satu adegan ritual mistik yang dianggap terlalu menyeramkan. Begitu juga dengan video-video reaksi penonton selepas menonton filem Siksa Kubur (2024). Ada yang menangis tersedu-sedu, ada yang termenung panjang, bahkan ada juga yang berkali-kali membaca doa memohon taubat.
Namun tetap sahaja, mengapa masyarakat Indonesia tidak pernah "bertaubat" daripada menonton filem seram? Mengapa pawagam tetap penuh setiap kali filem seram ditayangkan? Apakah yang menyebabkan masyarakat Indonesia begitu menggemarinya?
Seram bukanlah genre baharu dalam dunia perfileman Indonesia. Pada era 1970-an hingga 1980-an, filem-filem seperti Bernapas dalam Lumpur (1970), Beranak dalam Kubur (1971), Kutukan Nyai Roro Kidul (1979), Pengabdi Setan (1980), Sundel Bolong (1981), Malam Jumat Kliwon (1986), dan Malam Satu Suro (1988) mendominasi layar perak.
Filem-filem ini sarat dengan unsur spiritual dan adat tempatan dan memadukan rasa takut dengan pesan moral.
Memasuki dekad 1990-an, genre ini mula merosot. Selera penonton beralih kepada komedi, drama percintaan dan aksi, terutama sekali filem-filem dari Hollywood. Genre seram dianggap murah dan kurang bernilai komersial.
Kebangkitan mula berlaku pada awal 2000-an melalui Jelangkung (2001), yang mengetengahkan permainan tradisional pemanggil roh. Frasa ikonik "Datang tak dijemput, pulang tak diantar" (dihantar)menjadi begitu popular dalam masyarakat. Era ini juga dicirikan dengan tema-tema filem yang diambil daripada legenda urban (urban legend) popular dalam masyarakat seperti Hantu Jeruk Purut (2006), Suster Ngesot (2007) dan Terowongan Casablanca (2007).
Puncaknya berlaku pada dekad terakhir ini. Filem seram seolah-olah bangkit dari kuburnya dan menguasai industri perfileman nasional. Pengabdi Setan (2017) karya pengarah Joko Anwar menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan menjadi antara filem Indonesia yang paling berjaya di peringkat global.
Sementara itu, KKN di Desa Penari (2022) pernah mencatatkan sejarah sebagai filem Indonesia paling laris dengan lebih daripada 10 juta penonton. Filem ini diadaptasi daripada kisah tular di Twitter yang ditulis oleh sebuah akaun anonim (nama samaran). Ia mengisahkan pengalaman pelajar universiti yang mengikuti program khidmat masyarakat dikenali sebagai Kuliah Kerja Nyata (KKN). Mereka ditempatkan di sebuah kampung misteri yang penuh dengan unsur mistik dan larangan adat.
Elemen budaya tempatan dan ketegangan naratif menjadikannya sangat dekat dengan penonton muda serta memberi jendela kepada budaya Indonesia untuk penonton luar.
Budaya Mistik Sebagai Memori Kolektif
Salah satu ciri menarik filem seram Indonesia ialah keterkaitannya dengan unsur budaya mistik yang sangat kuat. Di banyak kawasan, cerita tentang alam ghaib bukan sekadar dongeng, malah masih diyakini dan menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kepercayaan terhadap makhluk halus, tempat keras, dan ritual tertentu mewujudkan satu bentuk memori kolektif yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
Filem seram berjaya menghidupkan ketakutan yang begitu dekat dengan realiti penonton. Mereka tahu bagaimana rasanya melalui lorong gelap pada waktu malam, mendengar suara aneh dari dapur, atau melanggar pantang larang yang diwarisi turun-temurun oleh ibu bapa.
Bagi ramai orang, filem seram dari Indonesia lebih menakutkan kerana ia relevan dengan pengalaman hidup seharian mereka. Inilah mungkin strategi yang menjadikan filem seram tempatan laris manis di tengah gempuran filem seram dan 'thriller' dari Barat. Malah, pernah satu ketika watak hantu Valak dalam filem The Conjuring (2016) lebih dikenali kerana menjadi bahan jenaka dalam meme dan lirik lagu dangdut, meskipun filem itu mencatat kutipan 'box office' global.
Filem seram juga merupakan pengalaman kolektif. Menontonnya bersama teman atau pasangan memperkuatkan kesan emosional. Jeritan, kejutan, dan tawa yang tercetus secara spontan membina hubungan sosial. Ia menjadi semacam ritual moden yang menyeramkan, namun menyeronokkan apabila dikongsi.
Lebih daripada itu, banyak filem seram membawa cerminan realiti sosial. Di sebalik kisah-kisah mistik sering terselit kritikan terhadap institusi keluarga, kemiskinan, trauma, kepercayaan masyarakat, hingga kezaliman pihak berkuasa. Hantu dalam filem bukan sekadar entiti ghaib, tetapi lambang kekecewaan, ingatan dan luka kolektif yang belum sembuh.
Namun, di sebalik segala lapisan makna dan pengalaman, peranan Lembaga Penapis Filem tetap merupakan unsur penting yang tidak boleh diabaikan. Di Indonesia, lembaga ini dikenali sebagai Lembaga Sensor Film (LSF). LSF bertanggungjawab memastikan bahawa ketegangan dan unsur menyeramkan dalam filem seram tidak melampaui batas etika, moral, atau memberi kesan negatif terhadap psikologi penonton. Filem KKN di Desa Penari dan Pengabdi Setan, sebagai contoh, diklasifikasikan untuk tontonan 13+ atau untuk umur 13 tahun ke atas kerana mengandungi tema 'supernatural', ketegangan emosi, dan nuansa keagamaan yang boleh mempengaruhi penonton muda jika tidak difahami secara matang.
Pengelasan (klasifikasi) ini bertujuan untuk memberikan perlindungan khusus kepada golongan usia yang lebih rentan, sambil tetap membuka ruang kepada pembikin filem untuk meneroka cerita yang relevan dengan budaya dan masyarakat.
Di era moden ini, media sosial memainkan peranan besar dalam melonjakkan populariti filem seram di Indonesia. Klip-klip adegan menyeramkan mudah menjadi tular di TikTok dan Instagram. Dalam konteks ini, filem seram bukan sekadar tontonan, tetapi juga persembahan sosial. Industri kemudiannya memanfaatkan hal ini sebagai promosi organik yang menjimatkan kos dan amat berkesan.
Antara contoh yang paling menonjol ialah filem Do You See What I See (2024), yang diadaptasi daripada salah satu episod popular podcast seram dengan judul sama.
Podcast ini diasaskan oleh Rizky Ardi Nugroho atau lebih dikenali sebagai ‘Mizter Popo’ dan sering tersenarai antara podcast yang paling popular di Indonesia.
Podcast Do You See What I See menghimpunkan ratusan kisah yang dihantar oleh pendengarnya dari seluruh pelosok Indonesia, lalu dijadikan naratif audio yang menyeramkan.
Komuniti pendengar setianya menamakan diri mereka "Warga Desa Sukawedhi", gabungan kata "suka" (senang) dan "wedhi" (takut) dalam Bahasa Jawa. Populariti podcast ini menarik perhatian penerbit filem besar di Jakarta untuk mengangkatnya ke layar perak.
Bahkan, filem seram paling laris dalam sejarah perfileman Indonesia, KKN di Desa Penari, juga bermula daripada kisah yang ditulis di Twitter pada tahun 2019. Cerita itu menjadi tular dan mencetuskan pelbagai teori serta perbincangan hangat di media sosial. Ia kemudian diterbitkan sebagai novel sebelum diadaptasi ke layar perak oleh MD Pictures dan Pichouse Films.
Lebih 10 juta orang menonton filem itu. Proses ini membuktikan bahawa naratif seram digital boleh tumbuh menjadi fenomena budaya nasional.
Dari segi industri, genre seram merupakan pilihan strategik buat penerbit. Kos produksinya rendah kerana tidak memerlukan kesan khas (special effects) yang rumit atau pelakon paling ternama, tetapi menjanjikan keuntungan sangat besar.
Filem Pengabdi Setan (2017), misalnya, hanya menghabiskan kos pembuatan sekitar 2 bilion rupiah (lebih kurang S$150,000). Namun, kutipan dalam negerinya sahaja melebihi S$12 juta. Ini belum termasuk hasil tayangan di 42 negara termasuk Singapura, Malaysia, Jepun, Hong Kong, Amerika Syarikat, Mexico dan Colombia. Di Malaysia, Thailand, dan Mexico, filem ini telah menduduki tangga teratas kutipan 'box office'. Ia menjadi salah satu filem seram Indonesia paling berjaya di arena antarabangsa.
Genre ini juga memberi ruang kepada pengarah muda dan syarikat produksi bebas untuk bereksperimen. Dengan naskhah yang kuat dan nuansa yang tepat, filem seram mampu menjangkau jutaan penonton. Tidak sedikit juga yang berjaya menarik perhatian festival filem antarabangsa.
Kita mungkin melihat hantu di layar, tetapi yang benar-benar menghantui ialah bagaimana kuasa menindas kebenaran, bagaimana kemiskinan menjadi warisan, dan bagaimana masyarakat dibisukan ketika keadilan tidak kunjung tiba.
Dalam keadaan seperti ini, filem seram bukan semata-mata hiburan. Ia menjadi ruang selamat untuk meluahkan ketakutan yang lebih besar, dan kadangkala, kemarahan yang tidak mampu diungkap.
Marah terhadap ketidakadilan, terhadap kes-kes rasuah yang tidak terbendung, terhadap sistem yang kehilangan jiwa. Bila hantu muncul di layar, kita bebas menjerit. Tapi bila ketakutan datang dari realiti hidup, siapa yang berani memekik?
MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.