Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Suharto dan Kontroversi Gelaran Pahlawan Nasional

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Suharto dan Kontroversi Gelaran Pahlawan Nasional
Lukisan wajah Suharto di bahagian belakang sebuah lori di Jakarta. (Gambar: Liputan6)
JAKARTA: Ada sesuatu yang tidak biasa dalam senarai penerima gelaran Pahlawan Nasional Indonesia yang diumumkan setiap kali sambutan Hari Pahlawan pada 10 November.

Di antara nama-nama tokoh yang diumumkan oleh pemerintah di Istana Negara, terselit satu nama yang berasal daripada keluarga petani miskin di Jawa.

Marsinah namanya. Marsinah ialah seorang pekerja kilang jam tangan di Sidoarjo, Jawa Timur. Pada bulan Mei 1993, beliau dilaporkan hilang selepas menyertai demonstrasi menuntut keadilan terhadap sistem gaji minimum pekerja. Beberapa hari kemudian, jasadnya ditemui dengan kesan penderaan yang amat mengerikan.

Kematian Marsinah mendapat perhatian luas di peringkat nasional dan antarabangsa. Organisasi pekerja, badan hak asasi manusia, malah media asing menyorot pembunuhan itu sebagai lambang penindasan terhadap gerakan pekerja kilang semasa pemerintahan Orde Baru.

Sehingga kini, pihak yang bertanggungjawab atas pembunuhan Marsinah masih belum diadili. Namun, namanya kekal sebagai simbol keberanian wanita kelas pekerja yang enggan tunduk kepada ketidakadilan.
Related article image
Para pekerja membawa bendera bergambar Marsinah dalam satu demonstrasi di Jakarta. (Gambar: Antara)
Lebih tiga dekad kemudian, namanya kini diiktiraf secara rasmi oleh negara sebagai Pahlawan Nasional dalam bidang perjuangan sosial dan kemanusiaan.

“Marsinah ialah simbol keberanian moral dan perjuangan hak asasi manusia daripada kalangan rakyat biasa,” demikian kata pengacara majlis sewaktu dua orang adik-beradik Marsinah menerima anugerah tersebut daripada Presiden Prabowo Subianto bersama para pahlawan nasional lainnya.

Di sisi mereka terletak gambar Marsinah dalam bingkai berwarna emas. Gambar itu menjadi ikon perjuangan pekerja Indonesia hingga hari ini.

Namun yang juga tidak biasa ialah kerana dalam senarai sepuluh penerima gelaran Pahlawan Nasional itu terdapat nama Jeneral Besar Suharto, Presiden kedua Indonesia yang memerintah pada masa ketika Marsinah dibungkam (ditindas). Tidak pernah terbayang bahawa kedua-dua nama ini kini berdiri berdampingan dalam sejarah rasmi negara.

Seorang melambangkan kekuasaan dan pembangunan, sementara seorang lagi mewakili perjuangan serta keberanian rakyat biasa.

Suharto: Dari Bapa Pembangunan ke Pahlawan Nasional

Dalam sistem kenegaraan Indonesia, gelaran Pahlawan Nasional ialah anugerah tertinggi yang diberikan kepada individu yang berjasa luar biasa dalam perjuangan atau pengabdian kepada bangsa. Gelaran ini hanya dianugerahkan selepas tokoh tersebut meninggal dunia dan melalui proses yang panjang serta berlapis-lapis, bermula daripada cadangan masyarakat, perbincangan di peringkat daerah, penilaian oleh Kementerian Sosial, hingga keputusan akhir oleh Presiden.

Aspek moral turut menjadi syarat mutlak: integriti, keteladanan, tidak pernah berkhianat, dan tidak mempunyai rekod jenayah berat.

Tahun ini terdapat sepuluh nama yang diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional Indonesia selain Suharto dan Marsinah, termasuk Presiden keempat Indonesia, KH Abdurrahman Wahid atau Gus Dur, diplomat terkemuka Mochtar Kusumaatmadja, serta beberapa pahlawan lain dari Sumatra Barat, Sumatra Utara, Jawa Timur hingga Nusa Tenggara Barat.

Namun kali ini, tiada nama yang lebih menjadi tumpuan ramai selain Suharto. Bagi sebahagian masyarakat, wajar jika pemimpin yang membawa kestabilan dan pertumbuhan ekonomi itu diberi penghargaan tertinggi negara. Tetapi bagi sebahagian yang lain, langkah ini dianggap sebagai pengkhianatan terhadap sejarah dan luka yang belum sembuh.

Wacana mengenai pemberian gelaran Pahlawan Nasional kepada Suharto telah berulang kali muncul sejak beliau meninggal dunia pada tahun 2008. Presiden ketika itu, Susilo Bambang Yudhoyono, menyatakan bahawa cadangan tersebut bukan keutamaan memandangkan masih terdapat proses hukum dan luka sejarah yang belum sembuh.
Related article image
Suharto meletakkan jawatan pada 21 Mei 1998. (Gambar: Wikipedia)
Dalam dekad berikutnya, nama Suharto beberapa kali muncul dalam senarai calon Pahlawan Nasional, namun sentiasa terhenti di meja keputusan akhir.

Penyokong cadangan pemberian gelaran Pahlawan Nasional kepada Suharto melihat beliau sebagai tokoh yang meletakkan asas pembangunan moden Indonesia. Pada masa pemerintahannya yang dikenali dengan Orde Baru, Indonesia mencapai tahap sara diri beras, mengekang inflasi, membina infrastruktur luar bandar, serta mengekalkan kestabilan politik selepas kemerdekaan. Ketika itu, beberapa media antarabangsa bahkan menjuluki Indonesia sebagai “Harimau Asia.”

Suharto juga menerima gelaran rasmi sebagai “Bapa Pembangunan Indonesia” kerana dianggap berjaya mewujudkan kestabilan nasional, pertumbuhan ekonomi dan pembahagian hasil pembangunan yang lebih merata. Prinsip ini menjadi asas kepada dasar kepimpinan Orde Baru yang dikenali sebagai Trilogi Pembangunan.

Namun bagi pihak yang menolak, cadangan itu dianggap sebagai ancaman terhadap ingatan bersama bangsa. Amnesty International Indonesia menilai bahawa pemberian gelaran kepada Suharto bererti menghapuskan penderitaan para korban daripada pelbagai pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku semasa pemerintahannya.

Belum lagi mengambil kira amalan korupsi (rasuah) dan nepotisme yang berakar dalam hampir setiap lapisan birokrasi dan dunia perniagaan pada masa itu.

Era Orde Baru akhirnya sinonim dengan budaya patronase (naungan) serta penyalahgunaan kuasa yang tersusun rapi dari peringkat bawah hingga ke atas, termasuk dalam kalangan anak-anak dan keluarga Suharto sendiri.

“Penak Jamanku, Tho?”: Bagaimana Masyarakat Melihat Sosok Suharto

Pandangan masyarakat terhadap Suharto sebenarnya jauh lebih rumit daripada sekadar hitam putih. Dua dekad selepas kejatuhannya, sebahagian besar rakyat Indonesia masih mengingati beliau dengan nada positif, terutamanya kerana keadaan ekonomi pada era Orde Baru yang dianggap berjaya.

Sekitar awal tahun 2013, ketika harga minyak di Indonesia meningkat secara drastik, muncul ungkapan dalam bahasa Jawa: “Piye kabare? Penak jamanku, tho?” yang bermaksud “Apa khabar? Masih enak zaman saya, bukan?” Ungkapan ini sering disertai gambar Suharto yang tersenyum sambil melambaikan tangan. Gambar itu muncul di mana-mana sahaja, daripada kemeja-T dan pelekat kenderaan hingga dilukis di belakang lori dan tular sebagai meme di internet.

Beberapa pengkaji Indonesia, atau yang sering disebut Indonesianis, menamakan fenomena ini sebagai “nostalgia autoritarianisme.” Istilah itu merujuk kepada kerinduan masyarakat terhadap kestabilan ekonomi dan kepimpinan yang kuat pada zaman Orde Baru, walaupun tempoh itu turut diselubungi pelanggaran hak asasi manusia dan sekatan kebebasan politik.

Mungkin faktor nostalgia autoritarianisme ini juga tercermin dalam beberapa tinjauan yang masih menempatkan Suharto sebagai presiden yang paling popular. Kajian Indo Barometer pada tahun 2018, misalnya, menempatkan beliau di kedudukan teratas, mengatasi Presiden pertama Sukarno dan Presiden Joko Widodo. Beberapa tinjauan lain juga menunjukkan bahawa faktor ekonomi menjadi pertimbangan utama berbanding faktor-faktor lain.

Namun di sisi lain, terdapat juga penyelidikan yang menunjukkan satu fenomena yang disebut sebagai “amnesia sejarah.” Dalam kajian terbaharu tahun 2024, pengkaji Indonesia Ehito Kimura dari University of Hawai‘i at Māno menyorot bahawa banyak masyarakat tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi tentang sisi gelap era Orde Baru.

Fenomena ini turut memunculkan kembali ungkapan popular “Kepenak jamanku, tho” sebagai bentuk nostalgia terhadap masa tersebut, menandakan bahawa sebahagian rakyat lebih mengingati kestabilan ekonomi dan keteraturan sosial berbanding pentingnya demokrasi serta hak asasi manusia.
Related article image
Lukisan wajah Suharto di bahagian belakang sebuah lori di Jakarta. (Gambar: Liputan6)
Pelbagai hasil tinjauan dan kajian ini menunjukkan bahawa warisan Suharto masih menjadi medan tarik-menarik dalam ingatan bersama. Di satu sisi ada kerinduan terhadap kestabilan dan kemakmuran ekonomi, sementara di sisi lain pula ada kesedaran untuk tidak menutup mata terhadap pelanggaran yang pernah berlaku.

Menerima Masa Lalu Tanpa Menghapus Luka

Penganugerahan gelaran Pahlawan Nasional kepada Suharto dan Marsinah pada waktu yang sama menandakan fasa baharu hubungan bangsa Indonesia dengan masa lalunya. Buat pertama kali dalam sejarah, dua simbol yang bertentangan, kekuasaan dan perjuangan, menerima pengiktirafan dalam ruang penghargaan yang sama.

Di banyak negara yang pernah mengalami pemerintahan autoritarian seperti Korea Selatan, Argentina dan Jerman, proses pemulihan biasanya dimulakan dengan kejujuran terhadap sejarah, iaitu membuka arkib, mengakui para korban, dan memastikan negara belajar daripada kesilapan masa lalu.

Indonesia pula cenderung memilih jalan kompromi simbolik dengan menggabungkan tokoh-tokoh yang saling bertentangan dalam sejarah tanpa pembacaan yang mendalam terhadap latar sejarahnya.

Di sisi lain, keputusan negara untuk menganugerahkan gelaran kepada Suharto juga memunculkan soalan mendalam.

Adakah kejayaan ekonomi dapat menebus pelanggaran hak asasi manusia? Adakah kestabilan lebih penting daripada kebebasan?

Pertanyaan-pertanyaan ini bukan sekadar tentang masa lalu, tetapi juga cerminan arah moral bangsa pada masa kini.

Pada akhirnya, persoalan ini bukan lagi tentang siapa yang benar atau salah, tetapi tentang keberanian untuk melihat sejarah secara utuh.

Bangsa yang besar bukanlah bangsa yang melupakan sejarah, melainkan bangsa yang mampu mengingatinya dengan jujur dan mengambil pengajaran daripadanya.

Berdirinya gambar Marsinah dan Suharto di dalam Istana Negara mengingatkan bahawa sejarah sentiasa penuh dengan paradoks.
Mungkin inilah cara bangsa ini belajar menatap masa lalu, antara mengenang jasa dan mengakui luka yang masih terasa hingga kini.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita