Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Sistem Haji Indonesia: Antara Keadilan atau Kemampuan

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Sistem Haji Indonesia: Antara Keadilan atau Kemampuan

Keberangkatan salah satu rombongan jemaah haji Indonesia. (Gambar: BPKH)

Diterbitkan : 24 May 2026 09:20PM
JAKARTA: Bayangkan satu pagi di mana ribuan orang menatap skrin komputer atau telefon, jari sudah bersedia menekan butang, berebut mendapatkan satu tiket daripada jumlah yang sangat terhad. Detik bergerak pantas. Yang cepat dan bernasib baik, merekalah yang berjaya memperolehnya. Yang lain, terpaksa mencuba lagi, mungkin tahun hadapan.

Situasi ini, menurut penulis Rane Hafied, dikenali sebagai “ticket war”, sesuatu yang sudah biasa dalam dunia konsert, dan sering dilihat dalam konsert K-Pop. Sistem ini dianggap adil kerana permintaannya sangat tinggi. Tidak jarang ribuan tiket menjadi rebutan jutaan orang dan habis terjual dalam hanya beberapa saat.

Namun kebelakangan ini, apabila istilah yang sama mula muncul dalam perbincangan tentang pendaftaran ibadah haji, ada sesuatu yang terasa pelik dan mula mencetuskan perdebatan.

Haji merupakan kemuncak perjalanan spiritual bagi umat Islam. Bayangkan, setiap tahun jutaan orang dari lebih 170 negara berebut sekitar 2 juta tempat untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Related article image
Jemaah haji Indonesia di Tanah Suci. (Gambar: Kemenhaj)
Sudah tentu ini menjadi satu cabaran besar bagi setiap negara, termasuk Indonesia sebagai negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di dunia.

Cabaran Kuota Haji

Dalam sistem kuota yang berasaskan kepada perkadaran populasi umat Islam di setiap negara, Indonesia menerima bahagian paling besar. Kuota global ini ditentukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi.

Namun, disebabkan permintaan dalam negara yang sangat tinggi, Indonesia bukan sahaja menjadi penghantar jemaah terbesar di dunia, tetapi juga antara negara yang paling merasai tekanan daripada keterbatasan sistem haji itu sendiri.

Masalah utama haji di Indonesia kelihatan ringkas, tetapi kesannya sangat kompleks: permintaannya sentiasa jauh melebihi ketersediaan. Setiap tahun, Indonesia menerima sekitar 220,000 kuota jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi. Sementara itu, setakat Januari 2026 sahaja, jumlah bakal jemaah yang sudah mendaftar mencecah sekitar 5.7 juta orang.

Akibatnya, senarai menunggu menjadi sangat panjang. Di peringkat nasional, purata pendaftar haji di Indonesia perlu menunggu antara 25 hingga 30 tahun. Ini bermakna seseorang yang mendaftar hari ini mungkin hanya dapat berangkat ke Tanah Suci apabila sudah berusia lanjut, atau bahkan tidak sempat berangkat sama sekali. Soal usia, tiada siapa yang pasti.

Kesedaran tentang betapa strategiknya pengurusan jemaah haji inilah yang sepertinya mendorong Presiden Prabowo Subianto untuk secara khusus menubuhkan Kementerian Haji dan Umrah. Sebelum ini, selama bertahun-tahun, pengurusan haji berada di bawah Kementerian Agama.

Sebelum ini, pada era kepimpinan Presiden Joko Widodo, ditubuhkan Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) sebagai sebuah institusi negara yang khusus bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan haji.
Related article image
Pengukuhan pegawai penyelenggara ibadah haji Indonesia bagi tahun 2026. (Gambar: Kemenhaj)
Penubuhan BPKH dan Kementerian Haji dan Umrah ini mencerminkan pengiktirafan bahawa isu haji sudah terlalu besar untuk ditangani dengan pendekatan lama. Senarai menunggu yang panjang, cabaran operasi, serta keperluan penyelarasan antarabangsa, semuanya memerlukan tumpuan yang lebih khusus.

Pelbagai Pendekatan Pengurusan Haji

Secara umum, keberangkatan haji dari Indonesia terbahagi kepada beberapa kategori yang berkaitan dengan kos dan senarai menunggu.
Related article image
Keberangkatan salah satu rombongan jemaah haji Indonesia. (Gambar: BPKH)
Yang paling lazim ialah haji reguler, yang dahulunya dikenali sebagai ONH (Ongkos Naik Haji). Dalam skema ini, sebahagian kos ditampung melalui dana haji, menjadikannya lebih mampu diakses, namun dengan senarai menunggu yang panjang, sehingga puluhan tahun.

Kos haji reguler pada masa ini berada sekitar Rp87 juta bagi setiap jemaah (sekitar S$7,500). Namun, jumlah yang perlu dibayar secara langsung oleh bakal jemaah hanyalah sekitar Rp54 juta (sekitar S$4,600), manakala selebihnya ditampung melalui hasil pengurusan dana haji.

Di atasnya terdapat haji khusus atau ONH Plus, yang diuruskan oleh pengendali swasta dengan kos tinggi. Dengan haji khusus ini senarai menunggu boleh menjadi jauh lebih singkat, lazimnya dalam lingkungan beberapa tahun sahaja.

Kos haji khusus pula lazimnya jauh lebih tinggi, dengan pakej yang boleh mencecah antara AS$8,000 hingga AS$15,000 (sekitar S$11,000 hingga S$20,000), bergantung kepada tahap perkhidmatan yang ditawarkan.

Selain itu, terdapat juga haji furoda, iaitu laluan undangan langsung daripada Kerajaan Arab Saudi di luar kuota rasmi negara, yang membolehkan jemaah berangkat tanpa menunggu giliran. Namun, kosnya jauh lebih tinggi.

Dalam banyak kes, pakej haji furoda yang ditawarkan boleh mencecah antara AS$15,000 hingga AS$30,000 (sekitar S$20,000 hingga S$40,000), malah ada yang lebih tinggi bergantung kepada tahap perkhidmatan.

Laluan ini turut datang dengan ketidakpastian, kerana kelulusan visa bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa Arab Saudi, dan dalam beberapa kes, jemaah dilaporkan gagal berangkat apabila visa tidak dikeluarkan.

Perbezaan kos ini juga menunjukkan bahawa sistem haji kini semakin berkembang mengikut kemampuan kewangan, walaupun masih terikat kepada batas kuota global.

Beberapa langkah juga telah diambil oleh Indonesia. Antaranya, distribusi kuota antara daerah kini mula menjadi perhatian. Jika sebelum ini berasaskan jumlah penduduk Muslim, kini mula diselaraskan dengan mempertimbangkan panjang senarai menunggu di setiap daerah. Tujuannya jelas, untuk mengurangkan ketimpangan yang terlalu ketara antara daerah.

Selain itu, pemerintah juga melakukan pengemaskinian data senarai menunggu. Ini termasuk memastikan hanya jemaah yang masih aktif dan memenuhi syarat kekal dalam sistem, sementara rekod yang tidak lagi relevan dikeluarkan.

Pada masa yang sama, amalan pembiayaan haji melalui pinjaman turut dihadkan, kerana dianggap mendorong pendaftaran awal tanpa kesiapan kewangan, sekali gus memanjangkan senarai menunggu secara tidak sihat.

“Ticket War” dan Pencarian Solusi Baharu

Di tengah upaya untuk mencari penyelesaian dengan lebih cepat, muncul pelbagai gagasan baharu. Salah satu yang paling menonjol ialah konsep “ticket war” untuk haji.

Gagasan “ticket war” ini sempat dikemukakan oleh Menteri Haji dan Umrah, Mochamad Irfan Yusuf, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencari alternatif terhadap senarai menunggu haji yang panjang.
Related article image
Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Muhammad Irfan Yusuf, meninjau-ninjau persiapan penginapan jemaah haji di Makkah. (Gambar: Kemenhaj)
Secara sederhana, gagasan ini membayangkan satu jalur alternatif di luar sistem menunggu reguler, di mana jemaah yang mampu membayar kos penuh, tanpa subsidi, berpotensi mendapatkan akses lebih cepat. Pendekatan ini seakan membentuk satu mekanisme di mana jemaah dapat memperoleh kuota secara langsung, yang dalam praktiknya menyerupai logik pembelian tiket.

Sekilas, ini dilihat sebagai penyelesaian. Ia membuka peluang bagi mereka yang tidak ingin menunggu puluhan tahun. Namun, kontroversi mula timbul, dengan persoalan utamanya: adakah sistem ini adil?

Haji selama ini berasaskan prinsip senarai menunggu. Siapa yang mendaftar lebih awal, dialah yang berangkat terlebih dahulu. Sistem ini mungkin lambat, namun ia mempunyai asas keadilan yang jelas.

Antara Senarai Menunggu dan Kemampuan Kewangan

Masalah haji di Indonesia pada akhirnya bukan soal senarai menunggu yang panjang, tetapi jumlah tempat yang terhad.

Selagi kapasiti global tidak berubah, setiap usaha mempercepatkan sebahagian orang hanya akan melengahkan yang lain.

Di sinilah dilema itu muncul. Pilihannya bukan lagi sekadar teknikal, tetapi prinsip: mempertahankan sistem yang lambat namun relatif setara, atau membuka laluan lebih cepat dengan risiko ketimpangan kewangan.

Gagasan seperti “ticket war” mungkin kedengaran sebagai penyelesaian baharu. Namun tanpa penambahan kapasiti, ia tidak mengurangkan senarai menunggu, hanya mengubah urutannya.

Pada akhirnya, tidak ada dasar yang mampu menghapuskan senarai menunggu selagi jumlah tempat kekal terhad.

Yang boleh diubah hanyalah cara ia dibahagikan. Di situlah terletaknya persoalan paling mendasar: adakah senarai menunggu akan terus mencerminkan keadilan, atau akhirnya digantikan oleh sistem yang berpihak kepada kemampuan kewangan?

MENGENAI PENULIS
Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita