Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Semboyan “Bhinneka Tunggal Ika” inspirasi sambutan sulung Hari Kebudayaan Nasional Indonesia

Indonesia melalui Menteri Kebudayaan Fadli Zon menetapkan tarikh 17 Oktober 2025 sebagai Hari Kebudayaan Nasional.

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Semboyan “Bhinneka Tunggal Ika” inspirasi sambutan sulung Hari Kebudayaan Nasional Indonesia

Tarian Saman, warisan budaya suku Gayo di Aceh, sarat dengan unsur tradisi serta pengaruh Islam (Sumber: TMII)

Diterbitkan : 16 Oct 2025 04:56PM
JAKARTA: Indonesia melalui Menteri Kebudayaan Fadli Zon menetapkan tarikh 17 Oktober 2025 sebagai Hari Kebudayaan Nasional.

Ketika beliau pertama kali mengumumkan keputusan ini pada bulan Jun lalu, masyarakat terkejut kerana ia dianggap dibuat secara mendadak tanpa melalui perbincangan awam yang luas. Kejutan itu bertambah apabila orang ramai menyedari bahawa tarikh 17 Oktober bertepatan dengan hari lahir Presiden Prabowo Subianto yang ke-74.

Penetapan ini segera menimbulkan tanda tanya. Banyak pihak berpandangan bahawa pemilihan tarikh tersebut bukan sekadar kebetulan, malah mungkin mempunyai muatan politik atau tujuan pencitraan tertentu.

Tambahan pula, Fadli Zon dikenali sebagai antara individu yang paling rapat dengan Prabowo Subianto sejak pemimpin itu memulakan semula kerjaya politiknya di Indonesia dengan menubuhkan Parti Gerindra.
Related article image
Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon bersama Presiden Prabowo Subianto. (Sumber: Instagram @FadliZon)
Beberapa penganalisis mengkritik kurangnya ketelusan dalam proses membuat keputusan itu dan menyifatkannya tergesa-gesa tanpa perundingan yang melibatkan para penggiat seni dan budaya. Tokoh teater terkenal, Butet Kartaredjasa, menyindir bahawa keputusan itu kelihatan terlalu berusaha menyenangkan pihak berkuasa jika benar dikaitkan dengan tokoh politik tertentu.

“Tidak boleh dengan bahasa kekuasaan seperti yang berlaku hari ini. Ini adalah negara dengan kekuatan rakyat, bukan negara milik penguasa,” kata Encik Butet kepada media.
Related article image
Budayawan terkemuka Indonesia, Butet Kartaredjasa, turut mempersoalkan asas penetapan Hari Kebudayaan Nasional. (Sumber: Instagram @MasButet)
Dari sudut politik, Ketua Parlimen Indonesia Puan Maharani turut meminta penjelasan rasmi daripada Menteri Kebudayaan agar dasar tersebut tidak menjadikan kebudayaan sekadar lambang eksklusif kekuasaan.

Sebahagian pihak lain cuba meredakan polemik itu. Ahli politik Aria Bima dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menyeru masyarakat agar tidak terlalu cepat mengaitkan isu ini dengan hari lahir Presiden, sambil meyakinkan bahawa Prabowo Subianto sendiri tidak menginginkan pemuliaan seperti itu.

Namun, ahli akademik seperti Bivitri Susanti menilai keputusan tersebut kurang mempunyai keperluan mendesak dan berisiko menimbulkan konflik kepentingan, kerana dibuat tanpa prosedur yang terbuka dan menyeluruh.

Dalam sebuah negara, termasuk Indonesia, budaya dan kuasa memang sering bersilang-selirat. Kuasa memerlukan budaya untuk membina legitimasi moral dan citra sosial, manakala budaya pula sering bergantung kepada sokongan politik untuk terus hidup dan berkembang.

Hubungan yang saling bergantung ini menjadikan garis pemisah antara pemajuan budaya dan kepentingan politik begitu rapuh. Maka, setiap keputusan kultural yang datang daripada negara lazimnya mengandungi muatan simbolik yang lebih luas daripada sekadar urusan kebudayaan semata-mata.

Asal Usul Hari Kebudayaan Nasional Indonesia

Menjawab pelbagai soalan awam, Menteri Kebudayaan Fadli Zon menjelaskan bahawa penetapan 17 Oktober sebagai Hari Kebudayaan Nasional bukanlah keputusan spontan, tetapi hasil kajian yang melibatkan seniman, ahli akademik dan aktivis budaya sejak awal tahun 2025. Beliau menyebut beberapa tarikh telah dipertimbangkan, namun setelah melalui proses panjang, 17 Oktober dipilih kerana dianggap mempunyai dasar sejarah yang kukuh serta makna simbolik yang berkaitan dengan semboyan kebangsaan Indonesia, “Bhinneka Tunggal Ika.”

Menurut Encik Fadli, tarikh tersebut bertepatan dengan momen lahirnya semboyan negara “Bhinneka Tunggal Ika,” yang secara harfiah bermaksud “berbeza-beza tetapi tetap satu”.

Semboyan ini terpahat pada lambang negara Garuda Pancasila, dan menurut beliau, makna itu menggambarkan inti kebudayaan Indonesia di mana kepelbagaian berpadu dalam identiti nasional.

Semboyan “Bhinneka Tunggal Ika” berasal daripada karya sastera klasik Sutasoma, yang ditulis pada abad ke-14 oleh Mpu Tantular, seorang penyair dari zaman Kerajaan Majapahit di Jawa Timur. Karya tersebut lahir dalam konteks sosial dan keagamaan masyarakat Majapahit, ketika dua agama besar, Hindu dan Buddha, hidup berdampingan.
Related article image
Replika karya sastera klasik Sutasoma dari abad ke-14, hasil karya Mpu Tantular yang ditulis dalam bahasa Jawa Kuno. Daripada karya inilah lahir semboyan “Bhinneka Tunggal Ika.” (Sumber: Museum Nasional Indonesia)
Melalui karya itu, Mpu Tantular menyuarakan pesan toleransi dan perpaduan, yang berabad-abad kemudian diangkat kembali oleh para pendiri Indonesia sebagai prinsip moral dan politik bagi bangsa yang majmuk.

Indonesia, Titik Temu Budaya Dunia Yang Menjadi Tamadun

Tidak dapat dinafikan bahawa Indonesia ialah negara dengan kepelbagaian budaya yang luar biasa besar. Negara ini terbentuk hasil pertemuan panjang pelbagai peradaban di persimpangan laluan laut dunia.

Dengan lebih 17,000 pulau yang terbentang hampir 5,000 kilometer dari Aceh hingga Papua, Indonesia sejak dahulu menjadi ruang pertemuan perdagangan, migrasi dan pertukaran kepercayaan antara Asia dan Australia, antara Lautan Hindi dan Pasifik.

Daripada pertemuan itu lahirlah peradaban yang terus berevolusi: bermula dari warisan Austronesia dengan kepakaran pelayaran dan pertanian, pengaruh India dan Parsi yang melahirkan seni ukiran serta candi megah seperti Borobudur dan Prambanan, hingga arus Islam dan Tionghoa (Cina).
Related article image
Borobudur di Jawa Tengah yang dibangun pada tahun 778 Masihi. Ia adalah candi Buddha terbesar di dunia yang telah diiktiraf UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.
Zaman kolonial Eropah kemudian menambah lapisan dalam bahasa, seni bina dan sistem sosial.

Kepelbagaian itu nyata pada masyarakatnya yang amat berbilang. Indonesia mempunyai sekitar 1,340 kumpulan etnik dan lebih 700 bahasa dan dialek tempatan, di samping ratusan tradisi lisan dan aksara. Setiap kumpulan memiliki seni, muzik, adat dan pandangan hidup tersendiri, daripada tarian Saman di Aceh hingga upacara batu bakar di Papua, daripada alat muzik Sasando di Rote hingga pepatah petitih Minangkabau yang sarat falsafah di Sumatera Barat.
Related article image
Festival Rendang dianjurkan sebagai usaha mempromosikan hidangan tradisional Indonesia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa (Sumber: Wikipedia).
Kepelbagaian ini menjadikan Indonesia bukan sekadar masyarakat berbilang kaum, tetapi sebuah tamadun yang berdiri dengan jati dirinya sendiri.

Keistimewaan budaya Indonesia terletak pada sifatnya yang hidup dan dinamik, bukan hanya sebagai warisan di muzium. Tradisi di sini tidak membeku di masa lalu, tetapi sentiasa diperbaharui. Wayang kulit, misalnya, menggabungkan epos Hindu kuno dengan falsafah Islam serta kritik sosial masa kini.

Batik dan tenun setiap daerah membawa corak dan simbol spiritual tersendiri. Gamelan, ensembel muzik tradisional daripada logam dan buluh, digunakan dalam upacara agama mahupun persembahan moden.

Dalam dunia kuliner (masakan), kepelbagaian rasa dan teknik memasak menjadi cerminan sejarah pertembungan budaya.

Kepelbagaian budaya itu telah tersebar luas melintasi sempadan, jauh sebelum wujudnya negara bernama Indonesia. Justeru tidak hairan jika pada masa kini terdapat banyak persamaan budaya di negara-negara jiran, seperti seni batik, hidangan rendang dan tarian Reog.

Namun, di tengah-tengah kekayaan dan kedalaman warisan budaya itu, Indonesia kini berdepan persoalan baharu iaitu bagaimana untuk memastikan kebudayaan yang lahir daripada sejarah panjang peradaban ini tetap hidup dan relevan dalam dunia yang terus berubah.

Mengapa Perlu Anjur Hari Kebudayaan Nasional?

Dalam arus globalisasi yang serba pantas, budaya tempatan di Indonesia kini berhadapan cabaran besar. Media sosial, industri hiburan global dan budaya popular antarabangsa sering menenggelamkan nilai-nilai tempatan yang tumbuh dari akar masyarakat.

Banyak tradisi hanya diberi perhatian apabila timbul perdebatan mengenai klaim (tuntutan) budaya oleh negara lain, seperti dalam kes tarian Reog atau batik, yang akhirnya membangkitkan kesedaran nasional tentang pentingnya pelestarian warisan tersebut.
Related article image
Tarian Reog berasal dari Ponorogo, Jawa Timur. Seni persembahan ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Takbenda. (Sumber: Wikipedia)
Padahal, budaya itu telah lahir jauh sebelum wujudnya sempadan bernama negara. Dalam konteks ini, Hari Kebudayaan Nasional boleh menjadi pengingat kolektif bahawa budaya perlu dipelihara, bukan sekadar dijadikan komoditi politik.

Cabaran lain terletak pada dunia pendidikan. Menyepadukan budaya tempatan ke dalam sistem pendidikan nasional bukanlah perkara mudah di negara yang sangat beragam.

Pendidikan karakter dan pemahaman budaya sering tersisih akibat tekanan akademik yang berorientasi pada nilai dan pencapaian, sementara aspek kebudayaan diletakkan di tempat kedua. Antara contoh yang menyedihkan ialah bagaimana karya-karya sasterawan klasik Indonesia kini lebih banyak dipelajari di negara jiran, sedangkan di tanah air sendiri ia mula dilupakan.

Selain itu, era digital membawa cabaran baharu berupa krisis toleransi dan rendahnya literasi digital. Dalam masyarakat yang plural seperti Indonesia, perbezaan agama, etnik dan pandangan mudah mencetuskan konflik apabila berita palsu dan ujaran kebencian tersebar tanpa kawalan.

Mengajar literasi (celik) digital dengan menanam nilai hormat-menghormati dan empati menjadi kunci untuk mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian. Hari Kebudayaan Nasional boleh menjadi ruang untuk menghidupkan kembali nilai toleransi, dialog dan penghargaan terhadap perbezaan di ruang digital.

Merayakan Perbezaan

Hari Kebudayaan Nasional sebenarnya boleh menjadi momentum yang bermakna. Ia berpotensi menjadi wadah untuk memperkukuh penyertaan awam, melestarikan bahasa dan tradisi tempatan, serta pada masa yang sama meningkatkan literasi digital dan kesedaran budaya dalam kalangan generasi muda.

Perayaan ini juga mengingatkan bahawa budaya bukanlah sekadar peninggalan masa lalu, tetapi sumber kekuatan untuk membentuk masa depan. Alangkah ruginya jika ia dikerdilkan menjadi sekadar perayaan politik atau acara 'ceremonial' (istiadat) yang bersifat normatif.
Related article image
Pementasan La Galigo, yang diinspirasikan daripada karya sastera Bugis yang dikatakan lebih panjang daripada kisah Mahabharata (Sumber: IndonesiaKaya)
Akhirnya, Hari Kebudayaan Nasional perlu dilihat sebagai seruan bersama untuk meneguhkan semangat “Bhinneka Tunggal Ika” agar terus hidup.

Merayakan perbezaan bererti merawat kemanusiaan serta kebersamaan yang menjadi inti kepada jati diri Indonesia.
Related article image
Seorang pelajar mempersembahkan seni pencak silat dalam festival belia di Sulawesi Barat (Sumber: YOI BNPT)

Sesungguhnya, bangsa yang mengenali asal usulnya akan lebih teguh dan bersedia menentukan arah langkahnya ke hadapan.

Selamat Hari Kebudayaan Nasional kepada seluruh rakyat Indonesia. Tentunya, selamat ulang tahun juga kepada Presiden Prabowo Subianto.

MENGENAI PENULIS

Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita