NOTA DARI JAKARTA: Ruang Kritikan Dalam Landskap Politik Indonesia
Pandji Pragiwaksono adalah nama yang tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan lawak 'stand-up comedy' atau komedi pentas solo di Indonesia.
Andrie Yunus bersama rakan aktivis membantah perbincangan draf undang-undang TNI di hotel mewah, Mac 2025, sebagai bantahan terhadap proses tertutup. (Gambar: Amnesty International)
Beliau, menurut Rane Hafied, adalah antara perintisnya. Selama lebih sedekad, Pandji Pragiwaksono dikenali sebagai salah seorang pelawak stand-up paling berpengaruh, dengan jelajah persembahan solo yang secara konsisten memenuhi dewan berkapasiti ribuan penonton.
Beliau kini menetap di New York bagi mengembangkan kerjaya stand-up di peringkat antarabangsa.
Pada awal 2026, rakaman 'Mens Rea' diterbitkan di platform penstriman global Netflix. Selama hampir dua jam, Pandji menyentuh pelbagai perkara, termasuk tindak-tanduk elit politik, kedekatan pertubuhan keagamaan dengan kuasa, serta dinamika di sekitar Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka. Jenaka tentang Naib Presiden Gibran menjadi antara bahagian yang paling hangat diperkatakan.
Kes ini membuka persoalan yang lebih luas tentang ruang kritikan di Indonesia hari ini. Kritikan tidak semestinya berakhir sebagai perdebatan idea. Ia ternyata boleh berlanjutan kepada tekanan sosial atau proses undang-undang.
Dari Orde Baru ke Pemerintahan Masa Kini
Ketegangan antara kestabilan dan kritikan sudah lama menjadi ciri-ciri politik Indonesia. Semasa era Orde Baru, kestabilan nasional dijadikan asas legitimasi kuasa. Kritikan, khususnya yang menyentuh isu SARA iaitu suku, agama, ras (kaum) dan antara golongan, dikawal ketat kerana dianggap berpotensi menggugat perpaduan bangsa.
Media berada di bawah kawalan, pembangkang ditekan, dan perbezaan pandangan sering dilihat sebagai ancaman terhadap keselamatan negara.
Reformasi 1998 membuka ruang kebebasan yang jauh lebih luas. Media berkembang pesat, organisasi masyarakat tumbuh dengan lebih pelbagai, dan kritikan menjadi sebahagian normal daripada kehidupan awam. Namun, warisan bahasa kestabilan tidak pernah benar-benar hilang.
Dalam pemerintahan masa kini, naratif tentang kestabilan, perpaduan dan disiplin nasional kembali menonjol. Kritikan sering dibezakan antara yang dianggap membina dan yang dilihat mengganggu. Dalam beberapa kenyataan umum, kritikan diposisikan sebagai sah selagi tidak menjejaskan perpaduan negara.
Jambatan antara era Orde Baru dan masa kini bukan terletak pada persamaan dasar, tetapi pada persamaan bahasa. Kestabilan kekal menjadi kata kunci, cuma kini ia berjalan seiring dengan prosedur demokrasi yang bersifat formal.
Apabila Kritikan Berhujung Serangan Fizikal
Beberapa peristiwa dalam dua tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa cara negara merespons (menangani) kritikan masih terus diuji di Indonesia.
Kes terbaharu yang melibatkan Andrie Yunus, Wakil Koordinator Bidang Eksternal KontraS, memperlihatkan bagaimana kritikan boleh beralih menjadi risiko fizikal terhadap individu. KontraS merupakan organisasi masyarakat sivil yang memberi tumpuan kepada isu hak asasi manusia, khususnya kes kehilangan paksa, penyeksaan dan pelanggaran oleh aparatus negara.
Nama Andrie mula mendapat perhatian awam apabila beliau bersama beberapa rakan aktivis mendatangi dan mempertikaikan satu sesi perbincangan tertutup berkaitan draf Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia yang diadakan di sebuah hotel mewah.
Dalam perkembangan terbaharu, beliau dilaporkan diserang dengan disiram air keras ketika dalam perjalanan menaiki motosikal pada suatu malam oleh individu tidak dikenali. Insiden tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan dengan cepat tersebar luas di ruang digital, mencetuskan kecaman terhadap ancaman ke atas kebebasan bersuara daripada pelbagai lapisan masyarakat. Beliau mengalami kecederaan kritikal dan menerima rawatan di hospital.
Dalam persepsi awam, insiden ini hampir tidak dapat dipisahkan daripada sikap vokal Andrie Yunus dalam mengkritik pembahasan draf Undang-Undang Tentera Nasional Indonesia.
Hanya beberapa hari kemudian, publik (orang ramai) dikejutkan dengan pengumuman pihak polis mengenai penahanan beberapa individu yang didakwa terlibat, termasuk yang dikaitkan dengan unsur perisikan Tentera Nasional Indonesia. Namun, motif penuh di sebalik serangan ini masih dalam siasatan dan belum diperincikan secara rasmi.
Apa yang terjadi pada Andrie Yunus memperlihatkan bahawa kritikan di Indonesia masa kini masih hidup, tetapi tidak sentiasa bebas daripada implikasi peribadi dan sosial mahupun tindakan undang-undang.
Dalam banyak keadaan lain, tekanan terhadap pengkritik tidak hanya berlaku dalam bentuk serangan fizikal. Ia juga boleh berlaku melalui saluran yang lebih tidak langsung, termasuk mobilisasi kumpulan masyarakat yang bertindak atas nama kepentingan tertentu.
ORMAS & Mekanisme Tekanan Tidak Langsung
Organisasi massa atau ORMAS di Indonesia ialah kumpulan masyarakat yang mempunyai struktur keanggotaan serta kemampuan mobilisasi sosial. Sejak era Orde Baru, sebahagian ORMAS mempunyai hubungan yang dekat dengan kuasa. Selepas Reformasi, ORMAS berkembang dengan lebih pelbagai, merangkumi organisasi keagamaan besar hingga kumpulan berasaskan budaya dan identiti.
Dalam beberapa kes mutakhir, laporan terhadap pengkritik dibuat oleh ORMAS, bukan secara langsung oleh institusi negara. Apabila laporan undang-undang datang daripada kumpulan-kumpulan masyarakat, isu tersebut boleh dilihat sebagai konflik mendatar, bukan tindakan represif oleh negara.
Namun bagi individu yang dilaporkan, perbezaannya sering kali tidak ketara, kerana proses undang-undang tetap berjalan dan risiko peribadi tetap perlu ditanggung.
Sokongan massa kumpulan ORMAS ini boleh membentuk persepsi bahawa sesuatu kritikan telah melampaui batas. Dalam konteks ini, undang-undang, opini (pandangan) awam dan mobilisasi sosial saling memperkukuh, mewujudkan mekanisme pembatasan yang tidak semestinya kelihatan sebagai penapisan langsung, namun tetap berkesan dalam mempengaruhi tingkah laku para pengkritik.
Ruang Kritikan dan Respons Kuasa
Hakikatnya, ruang kritikan di Indonesia tidak sepenuhnya tertutup. Kritikan tetap hadir dalam pelbagai bentuk. Pelawak stand-up Mega Salsabila, misalnya, dikenali melontarkan kritikan terhadap institusi kepolisian dan bahkan pernah diundang membuat persembahan di hadapan anggota keselamatan dengan bahan yang tetap tajam.
Kiki Syahputri pula secara rutin “me-roast” pegawai kanan negara serta para elit politik dalam forum rasmi dan di televisyen, dan amalan itu setakat ini diterima sebagai sebahagian daripada budaya hiburan dalam sebuah demokrasi.
Dalam sebuah podcast, Pandji turut menyebut bahawa Gibran pernah menyatakan hasrat untuk hadir menonton persembahannya, walaupun tidak terlaksana.
Akhirnya, persoalannya bukan sekadar tentang satu tokoh atau satu pemerintahan tertentu. Ia berkait dengan bagaimana sistem respons suara yang berbeza. Kestabilan dan kebebasan tidak semestinya saling menafikan.
Namun apabila kritikan beralih kepada kriminalisasi (jenayah) dan intimidasi (tindakan menakut-nakutkan), apatah lagi sehingga mengorbankan keselamatan individu seperti dalam kes Andrie Yunus, tidakkah ini suatu keadaan yang memprihatinkan dan menuntut perhatian langsung daripada Presiden Prabowo Subianto?
Di sinilah landskap politik Indonesia masa kini benar-benar diuji: bukan pada ada atau tidaknya kritikan, tetapi pada sejauh mana kritikan itu boleh disuarakan dengan selamat.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.