Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Roda Ekonomi Ramadan di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Roda Ekonomi Ramadan di Indonesia

“Takjil War” – keseronokan berebut-rebut beli kuih-muih untuk buka puasa (Gambar: kompas.com)

JAKARTA: Ada sesuatu yang berbeza di Indonesia apabila Ramadan tiba. Ketika matahari mula terbenam, jalan-jalan yang biasanya hanya dipenuhi oleh orang ramai yang bergegas pulang dari kerja kini berubah menjadi seakan-akan pasar malam, menjual pelbagai jenis makanan dari yang tradisional hingga ke yang moden.

Udara dipenuhi dengan aroma pisang goreng yang baru diangkat dari minyak panas, harum daun pisang yang membalut lontong dengan pelbagai inti, bau santan yang sedang mendidih dalam periuk, serta sirap merah yang dituangkan ke dalam gelas-gelas berisi potongan kelapa muda, buah alpukat (avokado) dan nangka.

Inilah waktu yang paling dinantikan oleh semua orang di Indonesia iaitu saat berburu “takjil”. Mungkin hanya di Indonesia istilah takjil digunakan untuk makanan ringan berbuka puasa. Perkataan takjil berasal daripada bahasa Arab ‘ajjala, yang bermaksud menyegerakan atau mempercepatkan. Dalam konteks Ramadan, istilah ini merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang menganjurkan umat Islam agar segera berbuka puasa sebaik sahaja azan maghrib berkumandang.

Namun, di Indonesia, perkataan takjil telah mengalami pergeseran makna daripada tindakan menyegerakan berbuka kepada makanan atau minuman untuk berbuka puasa. Pergeseran ini kemungkinan besar berlaku kerana dalam tradisi berbuka, umat Islam dianjurkan untuk berbuka dengan sesuatu yang ringan seperti kurma atau air sebelum menikmati hidangan utama.
 
Para pekerja membeli takjil selepas kerja. (Gambar:liputan6.com)


Akhirnya, istilah takjil difahami sebagai makanan ringan untuk berbuka puasa.


Malah, beberapa kali dalam bulan Ramadan, pengguna media sosial di Indonesia mencetuskan istilah popular “Takjil War.” Inilah fenomena di mana masyarakat Muslim dan bukan Muslim berlumba-lumba membeli pelbagai jenis makanan yang kebanyakannya hanya boleh didapati pada bulan Ramadan, lalu mendokumentasikannya di media sosial.

Trend ini bukan sahaja mencetuskan kegembiraan, tetapi juga menjadi satu aktiviti yang menyeronokkan, terutama dalam kalangan anak muda.

Kegembiraan ini tentunya turut dirasakan oleh para peniaga. Pasar takjil memang menjadi pusat aktiviti ekonomi yang meriah, dari pusat beli-belah di bandar hingga lorong-lorong kecil di kawasan perumahan. Malah, tidak sedikit yang hanya berniaga sepanjang bulan Ramadan untuk mendapatkan pendapatan tambahan bagi menyambut Hari Raya.

Ramadan bukan hanya bulan penuh pahala. Ia juga bulan penuh berkah di mana seluruh roda ekonomi berputar lebih pantas daripada biasa. Daripada lonjakan aktiviti membeli-belah secara besar-besaran hingga ke industri pelancongan, perniagaan besar mahupun kecil mengalami pertumbuhan ekonomi yang jarang berlaku pada waktu lain sepanjang tahun.

Warna-warni kuih takjil. (Gambar: RRI.co.id)
Lebih dari Takjil: Bisnes Popular Sepanjang Ramadan di Indonesia

Bukan hanya takjil, secara keseluruhannya industri kuliner di Indonesia mengalami peningkatan yang ketara sepanjang bulan Ramadan. Malah, banyak warung dan restoran beroperasi selama 24 jam untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Gaya hidup moden yang semakin sibuk menyebabkan ramai orang kesulitan untuk menyediakan makanan sahur dan berbuka sendiri. Kesempatan ini dimanfaatkan oleh para usahawan dengan membuka bisnes katering Ramadan yang menawarkan menu yang sihat, pelbagai dan praktikal.

Permintaan bagi perkhidmatan ini semakin meningkat, terutamanya di kawasan bandar, di mana masyarakat yang sibuk lebih cenderung memilih makanan siap saji yang tetap berkhasiat.

Acara berbuka puasa bersama di tempat kerja juga menjadi peluang besar bagi perniagaan yang menawarkan pakej majlis berbuka puasa, daripada restoran mewah hingga ke pengusaha rumahan. Malah, tidak jarang tempahan penuh sehingga pelanggan perlu masuk dalam senarai menunggu selama beberapa hari. Selain itu, bisnes kuih-muih turut mengalami lonjakan permintaan menjelang Hari Raya, menjadikan industri makanan sebagai salah satu sektor yang mengalami pertumbuhan paling ketara sepanjang bulan Ramadan.
Pekerja di Jakarta membeli makan di sebuah warung kecil. (Gambar: kompas.id)

Menurut data daripada Persatuan Pengusaha Runcit Indonesia (Asosiasi Pengusaha Ritel Indonesia – Aprindo), perbelanjaan dalam sektor makanan meningkat antara 30 hingga 40 peratus sepanjang Ramadan, menjadikannya salah satu musim paling menguntungkan dalam setahun bagi penguasaha industri makanan dan minuman.

Selain makanan, salah satu bisnes yang mengalami lonjakan ketara sepanjang Ramadan ialah penjualan busana Muslim dan kelengkapan ibadah. Tradisi membeli pakaian baharu untuk menyambut Aidilfitri menjadikan gamis (baju kemeja), baju koko, telekung dan songkok sangat diminati, begitu juga dengan kelengkapan ibadah seperti sejadah dan Al-Qur’an.

Dalam era digital, trend pencarian produk-produk ini meningkat pesat di platform e-dagang dan media sosial, mendorong para usahawan untuk mengoptimumkan strategi pemasaran dalam talian (online), termasuk promosi melalui influencer (pempengaruh) dan marketplace (pasar online).

Dalam beberapa tahun terakhir, bisnes digital semakin berkembang sepanjang Ramadan. Dengan lebih ramai orang beralih kepada berbelanja dalam talian, peluang baharu muncul bagi perkhidmatan seperti pembuatan kedai online, pengurusan stok, dan pemasaran digital. Perniagaan kecil dan sederhana yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada penjualan 'offline' kini semakin menyesuaikan diri dengan teknologi, memanfaatkan media sosial dan platform e-dagang untuk memperluaskan pasaran mereka.

Sementara itu, tradisi mudik atau balik kampung turut menggerakkan ekonomi dalam skala besar. Jutaan orang pulang ke kampung halaman menggunakan pelbagai mod pengangkutan, menyebabkan lonjakan permintaan dalam sektor pengangkutan, penginapan dan perbelanjaan harian.

THR: Tiga Huruf yang Paling Ditunggu

Bagi para pekerja di Indonesia, salah satu momen yang paling dinantikan sepanjang Ramadan adalah pembahagian Tunjangan Hari Raya (THR). Ini merupakan bonus tahunan yang wajib diberikan oleh majikan, biasanya setara dengan satu bulan gaji. THR menjadi salah satu faktor utama yang menggerakkan roda ekonomi di Indonesia sepanjang bulan Ramadan.

Dampak (Impak) THR sangat terasa di pelbagai sektor, terutama dalam industri ritel (runcit) dan konsumsi. Banyak orang memanfaatkan dana ini untuk membeli pakaian baharu, kelengkapan rumah serta hadiah Lebaran, yang menyebabkan lonjakan penjualan di pusat beli-belah dan platform e-dagang. Selain itu, ramai juga yang memilih untuk berinvestasi (melabur) dalam bentuk emas dan tabungan, menjadikan Ramadan sebagai waktu peningkatan simpanan kewangan bagi sebahagian masyarakat.

THR juga memberikan kesan besar kepada bisnes kecil, di mana ramai individu memanfaatkan dana ini sebagai modal untuk perniagaan musiman, seperti menjual kuih Raya, 'hampers' atau membuka gerai takjil.

Fenomena ini memberikan dorongan besar kepada industri perhotelan, restoran, serta perniagaan kecil di destinasi mudik, menjadikan Ramadan sebagai satu tempoh di mana pelbagai sektor perniagaan mengalami pertumbuhan pesat dalam masa yang singkat.

Beli baju Raya di pasar Tanah Abang.(Gambar:liputan6.com)


Fenomena ini tidak hanya meningkatkan pendapatan peniaga kecil, tetapi juga mempercepatkan perputaran ekonomi dalam waktu singkat.

Menurut data Bank Indonesia, pengeluaran pengguna sepanjang Ramadan boleh meningkat sehingga 20 peratus berbanding bulan-bulan lain, menjadikannya salah satu periode (tempoh) paling produktif dalam siklus (kitaran) ekonomi tahunan. Bahkan, pada Ramadan dan Aidilfitri tahun lalu sahaja, perputaran wang di Indonesia mencapai sekitar 197 trilion rupiah atau sekitar S$16 bilion, menjadikan bulan suci ini sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi tahunan.

Namun, di sebalik lonjakan aktiviti ekonomi sepanjang Ramadan, pemerintah Indonesia juga harus bekerja lebih keras dalam menghadapi pelbagai cabaran, terutama dalam mengawal harga bahan pokok.
Kenaikan harga beras, minyak masak, gula dan daging menjadi isu tahunan yang berulang akibat permintaan yang tinggi sepanjang bulan Ramadan. Fenomena ini sering kali menyebabkan inflasi, yang akhirnya mempengaruhi daya beli masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Bagi mengatasi hal ini, pemerintah mengambil beberapa langkah strategik seperti mengimport bahan pokok dalam jumlah besar untuk memastikan stok mencukupi. Selain itu, pasar murah bersubsidi turut dikawal agar masyarakat dapat membeli bahan makanan dengan harga lebih rendah. Pemerintah juga memperketatkan pengawasan terhadap spekulasi harga untuk mencegah permainan harga oleh pihak-pihak yang ingin mengambil keuntungan berlebihan daripada kenaikan permintaan.

Langkah-langkah ini menjadi bahagian penting dalam usaha memastikan stabilitas (kestabilan) ekonomi dan kesejahteraan masyarakat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Di penghujung hari, dapat dikatakan bahawa Ramadan di Indonesia bukan sekadar fenomena ekonomi - tetapi juga waktu untuk merayakan persatuan, kemurahan hati dan tradisi budaya yang mendalam.

Lonjakan ekonomi hanyalah kesan sampingan daripada sesuatu yang jauh lebih besar: sebuah bangsa yang berkumpul untuk merayakan iman, keluarga dan semangat berbahagi.

Bahkan di tengah hiruk-pikuk distrik (daerah) kewangan Jakarta, antara gedung pencakar langit yang menjulang tinggi, para pekerja kantor (pejabat) berkumpul di warung kaki lima untuk berbuka puasa bersama, menikmati hidangan sederhana sambil berbagi (berkongsi) dengan mereka yang berada di sekitar.

Di masjid-masjid, para sukarelawan membahagikan takjil percuma kepada mereka yang kurang mampu, menunjukkan bagaimana Ramadan bukan hanya tentang ritual keagamaan, tetapi juga tentang kepedulian sosial dan kebersamaan.

Ramadan memang membawa dampak (impak) ekonomi yang besar - tetapi lebih dari itu, ia adalah musim kebersamaan, di mana seluruh lapisan masyarakat bersatu dalam semangat memberi dan berbagi.


MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.

Sumber : BERITA Mediacorp/AE
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita