NOTA DARI JAKARTA: Pilkada Indonesia - Strategi Nasional di Wilayah-Wilayah Panas
Pilihan raya terbesar dalam sejarah Indonesia dan mungkin juga di dunia ini dikenali sebagai Pemilihan Kepala Daerah atau Pilkada.
Sebagai gambaran, Indonesia terdiri daripada 38 provinsi (wilayah) yang setaraf dengan negeri di Malaysia. Setiap provinsi mempunyai dua jenis pembahagian pentadbiran, iaitu kabupaten (kawasan luar bandar) dan kota (bandar besar).
Tahun ini, buat pertama kali dalam sejarah reformasi politik Indonesia, pilihan raya tempatan akan berlangsung di 37 provinsi (wilayah), 415 kabupaten (daerah), dan 93 kota (bandar). Satu wilayah, Yogyakarta, tidak menyertai pilihan raya ini kerana status khasnya sejak penubuhan negara Indonesia, di mana Sultan yang bertakhta dengan sendirinya akan menjadi Gabenor.
Pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya tempatan memainkan peranan penting sebagai penghubung antara aspirasi masyarakat tempatan dengan kepimpinan nasional, demi memastikan program pembangunan berjalan lancar tanpa konflik dengan agenda pemerintahan pusat.
Oleh itu, partai-partai politik di peringkat kepimpinan pusat akan berusaha memastikan calon mereka memenangi pilihan raya tempatan bagi menjamin kerjasama serta kelancaran pelaksanaan projek-projek nasional di setiap wilayah tempatan. Namun, hal itu bukanlah sesuatu yang mudah, kerana partai pembangkang pasti juga berusaha untuk mengangkat calon mereka sebagai pemimpin tempatan. Faktor inilah yang menjadikan pilihan raya tempatan di Indonesia sebagai medan pertarungan politik yang sengit dan menarik.
Berdasarkan pilihan raya nasional yang baru sahaja berakhir, terdapat dua pakatan besar yang akan bersaing. Pertama, Koalisi Indonesia Maju atau KIM Plus yang terdiri daripada partai-partai penyokong kemenangan Prabowo Subianto. Kedua, partai pembangkang, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI Perjuangan).
Dalam konteks pertarungan dua blok pakatan ini, beberapa provinsi atau wilayah dijangka menjadi medan perang politik yang panas pada 27 November 2024. Bagi partai pembangkang PDI Perjuangan, pertarungan akan menjadi lebih mencabar kerana bukan sahaja berhadapan dengan partai-partai pakatan KIM Plus penyokong Prabowo, tetapi juga melawan pengaruh besar Jokowi dan keluarganya yang dalam Pilihan Raya Presiden 2024 berpaling daripada partai mereka.
Inilah beberapa wilayah yang dijangka bakal sengit dalam pilihan raya kali ini.
Jakarta: Pusat Penentu Arah Politik Nasional
Selama berpuluh-puluh tahun menjadi pusat pemerintahan, ekonomi dan media, sesiapa sahaja yang menguasai Jakarta akan memiliki reputasi di peringkat nasional. Oleh itu, Jakarta menjadi wilayah panas dalam Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) 2024 dengan dua tokoh politik besar, Jokowi dan Anies Baswedan, berada di belakang dua kubu kuat.
Ridwan Kamil-Suswono disokong oleh 12 partai dalam Koalisi Indonesia Maju (KIM) Plus, manakala Pramono Anung-Rano Karno disokong oleh PDI Perjuangan, parti terbesar di Indonesia. Pertarungan ini mencerminkan betapa pentingnya Jakarta sebagai penentu arah politik nasional. Jokowi dan Anies juga menjadi tokoh penting bagi kedua-dua kubu kerana mereka pernah menjadi Gabenor Jakarta.
Jawa Tengah: Arena Pertempuran Dua Jeneral
Jawa Tengah, pusat ekonomi strategik Indonesia dalam sektor manufaktur (pengilangan), perdagangan dan pertanian, kini menjadi medan pertempuran politik sengit antara dua mantan jeneral. Jeneral Andika Perkasa, mantan Panglima TNI, bergandingan dengan Hendrar Prihadi, mantan Datuk Bandar Semarang, berhadapan dengan Komisioner Jeneral Ahmad Luthfi, mantan Ketua Polis Daerah Jawa Tengah, yang berpasangan dengan Taj Yasin Maimoen, mantan Timbalan Gabenor Jawa Tengah.
Jawa Tengah merupakan kubu tradisional PDI Perjuangan, maka parti itu memberikan sokongan penuh kepada Jeneral Andika. Sementara itu, Jeneral Luthfi bergantung kepada gabungan sembilan partai utama untuk mencabar dominasi tersebut.
Namun, drama politik semakin memuncak apabila mantan Presiden Jokowi, tokoh yang sebelum ini menjadi simbol kekuatan PDI Perjuangan, turun padang untuk menyokong Jeneral Luthfi. Kehadiran Jokowi berpotensi mengubah peta persaingan dengan pengaruhnya yang besar di wilayah ini. Tambahan pula, beberapa tinjauan elektabiliti (sokongan) menunjukkan kedua-dua kubu bersaing sengit dengan hanya perbezaan beberapa peratus sahaja.
Jawa Timur: Tiga Srikandi Politik Berebut Suara NU
Ada sesuatu yang menarik di Jawa Timur, wilayah yang dikenali sebagai kubu kuat Nahdlatul Ulama (NU). Tiga calon gabenor yang bertanding dalam Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) di wilayah ini semuanya adalah wanita.
Mereka adalah pasangan petahana (pemegang jawatan politik) Khofifah Indar Parawansa dan Emil Dardak; mantan Datuk Bandar Surabaya dan Menteri Sosial Indonesia, Tri Rismaharini, yang berpasangan dengan tokoh muda NU, Kyai Haji Zahrul Azhar Asumta; serta mantan anggota Dewan Perwakilan Rakyat, Luluk Nur Hamidah, yang bergandingan dengan salah seorang ketua Majlis Ulama Indonesia, Lukmanul Hakim.
Faktor sokongan daripada organisasi NU menjadi sangat penting di Jawa Timur. Sebagai organisasi Islam terbesar di Indonesia dengan pengaruh terkuat di wilayah ini, sokongan daripada komuniti NU amat menentukan sehingga menjadi rebutan antara ketiga-tiga srikandi politik tersebut.
Survei (tinjauan) Litbang Kompas pada November 2024 menunjukkan bahawa 52.5% responden menyokong pasangan Khofifah-Emil, yang turut mendapat sokongan daripada 14 partai, termasuk Gerindra, partai milik Presiden Prabowo Subianto.
Tri Rismaharini, yang disokong oleh tiga partai termasuk PDI Perjuangan, mencatat tahap elektabiliti (sokongan) sebanyak 20.9%. Sementara itu, elektabiliti Luluk Nur Hamidah berada pada 3.8%. Lebih 22% responden belum membuat keputusan, namun segala kemungkinan masih boleh berlaku pada 27 November nanti.
Sumatera Utara: Jokowi VS PDI Perjuangan
Jika Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) di Indonesia kali ini diibaratkan sebagai sebuah drama bersiri, mungkin tiada episod yang lebih dinanti-nantikan oleh rakyat daripada Sumatera Utara.
Dalam Pilihan Raya Presiden 2024, Joko Widodo yang dikenali sebagai anggota PDI Perjuangan, mengejutkan banyak pihak apabila memberikan sokongan kepada Prabowo Subianto sebagai calon presiden, meskipun partainya sendiri mencalonkan Ganjar Pranowo.
Dengan latar ini, tumpuan masyarakat kini terarah kepada Sumatera Utara, di mana Bobby Nasution, menantu Jokowi, bertanding sebagai calon gabenor. Bobby, yang merupakan suami kepada Kahiyang Ayu, anak kedua Jokowi, sebelum ini menjawat jawatan Datuk Bandar Medan.
Dalam Pilkada Sumut (Sumatera Utara) 2024, Bobby berpasangan dengan Haji Surya, sementara lawannya ialah Edy Rahmayadi, yang berpasangan dengan Hasan Basri Sagala.
Tinjauan elektabiliti (sokongan) terbaharu berdasarkan data Litbang Kompas menunjukkan Bobby mendahului dengan 44.9% berbanding Edy-Hasan sebanyak 28%. Namun, keputusan ini masih boleh berubah bergantung kepada dinamika politik, kempen dan isu sosial-ekonomi yang mempengaruhi pemilih.
Wilayah Lain Yang Perlu Diberikan Perhatian
Masih terdapat wilayah-wilayah lain yang perlu diberi perhatian dalam Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) 2024.
Contohnya, Jawa Barat, Bali dan Kalimantan Timur mempunyai kepentingan strategik dalam politik Indonesia. Jawa Barat, sebagai wilayah dengan jumlah penduduk terbesar dan kawasan yang berbatasan langsung dengan DKI Jakarta, memainkan peranan penting sebagai penampan kepada ibu kota. Dinamika politik di Jawa Barat sering kali mempengaruhi kestabilan Jakarta.
Sementara itu, Kalimantan Timur, sebagai lokasi Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara, menawarkan cabaran dan peluang yang unik. Gabenor yang terpilih bakal memainkan peranan strategik dalam memastikan pembangunan IKN berjalan selaras dengan keperluan masyarakat tempatan sambil menjaga kelestarian alam sekitar. Pilkada di Kalimantan Timur bukan sahaja penting bagi wilayah itu, tetapi juga untuk transformasi politik dan pembangunan nasional.
Ketika tirai Pilkada 2024 dilabuhkan pada malam 27 November, Indonesia bukan sahaja memilih pemimpin-pemimpin baharu tetapi juga akan mengukir arah masa depannya.
Pertarungan sengit di wilayah-wilayah strategik menggambarkan betapa demokrasi Indonesia berada dalam fasa yang penuh warna dan dinamik.
Di tengah-tengah persaingan yang sengit antara dua blok politik utama, keputusan rakyat akan menjadi cerminan harapan mereka terhadap perubahan, kestabilan dan kemajuan.
Namun, lebih daripada sekadar angka atau keputusan, Pilkada ini adalah kisah tentang sebuah negara besar di rantau ini yang terus mencari keseimbangan antara tradisi dan pembaharuan, membangunkan demokrasi di atas kepercayaan rakyat dan menetapkan jalan bagi generasi akan datang.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.