Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Pertarungan Nasional di Pentas Pemilihan Gabenor Jakarta

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Pertarungan Nasional di Pentas Pemilihan Gabenor Jakarta

(Gambar: Petikan skrin dari YouTube/Official iNews)

JAKARTA: Dalam kisah-kisah zaman dahulu, sering diceritakan seorang raja yang telah turun takhta akan memilih jalan spiritual sebagai pertapa di atas gunung.

Sang Baginda hanya akan turun dari gunung apabila situasi sangat genting atau ada peristiwa besar yang memerlukan kehadirannya.

Kisah ini mengingatkan kita kepada Joko Widodo yang meskipun belum lama bersara, sudahpun "turun gunung" di tengah-tengah kehangatan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) di Indonesia, terutama Pemilihan Gabenor di Jakarta.

Jokowi bukan lagi presiden, jadi sudah tentu tiada masalah jika beliau secara terbuka menyatakan sokongannya kepada salah satu pihak, dalam hal ini Ridwan Kamil, mantan Gabenor Jawa Barat yang berpasangan dengan Suswono, seorang ahli politik dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS).

Banyak pihak beranggapan keputusan Jokowi untuk “turun gunung” ini berkait rapat dengan hasil kajian beberapa badan tinjauan yang menunjukkan semakin rendah sokongan untuk Ridwan Kamil-Suswono berbanding pasangan calon lain, iaitu pasangan dari PDI Perjuangan, Pramono Anung-Rano Karno.

Namun, terdapat juga spekulasi yang melihat dari sisi lain, iaitu sokongan Anies Baswedan kepada pasangan Pramono Anung-Rano Karno. Anies merupakan tokoh yang patut diperhitungkan dalam arena politik nasional disebabkan oleh rangkaian politiknya yang luas. Dalam Pilihan Raya Presiden lalu, Anies berada di tempat kedua selepas Prabowo Subianto. Jangan lupakan juga bahawa Anies ialah mantan Gabenor Jakarta yang masih mempunyai pengaruh besar.
Jadi, apakah kekuatan dan kelemahan calon-calon Gabenor Jakarta ini? Mari kita teliti satu per satu.

Ridwan Kamil-Suswono: Faktor Rekam Jejak (Track Record)
(Gambar: Instagram/rolldepan)
Pada 18 November 2024, di sebuah kafe di Jakarta, mantan Presiden Joko Widodo menjelaskan alasannya menyokong pasangan ini.

“Jawapan saya adalah rekam jejak. Kenapa saya memilih Ridwan Kamil? Kerana rekam jejak. Saya ulang, kenapa saya pilih Ridwan Kamil? Karena rekam jejak!” berulang kali Jokowi menegaskan frasa “rekam jejak” atau rekod pencapaian ini, seolah-olah mahu memberi penekanan kepada masyarakat tentang kehebatan calon pilihannya.

Tidak dinafikan bahawa Ridwan Kamil memang memiliki rekod yang cemerlang sebagai pemimpin yang banyak membuat inovasi, terutamanya dalam bidang pembangunan bandar dan infrastruktur. Pakar Ilmu Urban Design lulusan University of California Berkeley ini pernah menjadi Datuk Bandar Bandung sebelum menjadi Gabenor Jawa Barat. Beliau juga rapat dengan Jokowi sehingga dilantik menjadi kurator Ibu Kota Nusantara (IKN).

Sebagai pakar Urban Design, karya Ridwan Kamil tersebar di pelbagai wilayah di seluruh Indonesia. Malah, dalam tulisannya bagi akhbar Jakarta Post pada tahun 2015, Ridwan Kamil mengakui bahawa beliau pernah terlibat dalam perancangan induk (master plan) pembangunan Marina Bay Waterfront.

Dalam Pemilihan Gabenor Jakarta, Ridwan Kamil dipasangkan dengan Suswono, mantan Menteri Pertanian era Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau berasal dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang dikenali sebagai partai yang sangat berpengaruh di Jakarta. Tambahan pula, pasangan ini disokong oleh 12 parti politik yang turut mendukung kejayaan Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia ke-8.

Dengan sokongan meluas ini, Ridwan Kamil-Suswono memiliki peluang besar untuk memimpin Jakarta.

Namun, terdapat juga cabaran yang boleh menghalang perjalanan politik mereka. Menjelang hari pemilihan, beberapa kajian menunjukkan bahawa sokongan terhadap mereka berdua semakin menurun berbanding Pramono Anung-Rano Karno.

Salah satu sebabnya ialah persepsi bahawa Ridwan Kamil adalah “orang luar” yang kurang memahami Jakarta. Malah, beliau pernah menerima tentangan daripada ramai penyokong pasukan bola sepak PERSIJA Jakarta, “The Jakmania.” Tentangan ini berdasarkan sejarah perseteruan ketat PERSIJA Jakarta dengan PERSIB Bandung, pasukan bola sepak kegemaran Ridwan Kamil semasa menjadi Gabenor Jawa Barat.

Situasi ini menggambarkan kompleksiti (kerumitan) dinamika sosial dan budaya dalam politik tempatan, di mana afiliasi kelab bola sepak boleh mempengaruhi sokongan terhadap calon pemimpin politik.

Adakah ini yang mendorong Jokowi untuk “turun gunung”? Nampaknya, bagi Jokowi, ini bukan sekadar soal pemilihan Gabenor Jakarta tetapi soal mempertahankan kestabilan warisannya sebagai Presiden dan mantan Gabenor Jakarta.

Pramono Anung-Rano Karno: “PDI Perjuangan VS Everybody”
(Gambar: Instagram/adian__napitupulu)
Dilihat dari segi sokongan politik, Pemilihan Gabenor Jakarta kali ini kelihatan sangat tidak seimbang. Ridwan Kamil-Suswono disokong oleh 12 partai politik, manakala Pramono Anung-Rano Karno hanya disokong oleh Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI Perjuangan). Tidak hairan jika terdapat media yang menyebut pemilihan gabenor ini sebagai “PDI Perjuangan VS Everybody”.

Pada awalnya, nama yang disebut-sebut sebagai calon ialah Anies Baswedan. Nama ini hangat di media, dan menjelang pengumuman calon, spekulasi semakin menguat. Namun, secara tidak disangka, nama Anies tidak disebut oleh Ketua Umum PDI Perjuangan, Megawati Sukarnoputri, semasa mengumumkan calon-calon kepala daerah daripada partinya. Sebaliknya, nama Pramono Anung-Rano Karno muncul, mengejutkan ramai pihak.

Pramono Anung ialah seorang ahli politik senior (mapan) PDI Perjuangan dengan pengalaman panjang dalam bidang legislatif (perundangan) dan pemerintahan. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia dan sejak 2015 berkhidmat sebagai Setiausaha Kabinet di bawah Presiden Joko Widodo. Pramono dikenali sebagai orang kepercayaan Jokowi yang memahami selok-belok pemerintahan, tetapi pada yang masa sama, juga amat rapat dengan Megawati Sukarnoputri.

Sementara itu, nama Rano Karno sudah tidak asing lagi bagi rakyat Indonesia. Beliau seorang pelakon legenda yang juga pernah menjadi Gabenor Banten, wilayah yang berjiran dengan Jakarta. Rakyat mengenali Rano menerusi siri televisyen “Si Doel Anak Sekolahan” yang menggambarkan kehidupan masyarakat asli Jakarta atau Betawi. Faktor “orang Betawi” inilah yang sering ditekankan oleh Rano dalam kempennya untuk menyaingi Ridwan Kamil, yang dianggap ramai sebagai “orang luar”.

Namun, pasangan Pramono Anung-Rano Karno juga mempunyai kelemahan.

Sokongan partai yang terhad merupakan salah satunya. Hal ini kelihatan dalam tinjauan awal yang menunjukkan pasangan ini sentiasa berada di belakang Ridwan Kamil-Suswono. Tambahan pula, identiti Rano sebagai “orang Betawi” juga tidak cukup kuat kerana secara etnik beliau sebenarnya berdarah Jawa-Minang walaupun lahir di Jakarta.

Tinjauan terakhir juga menunjukkan bahawa 32.7% pengundi di Jakarta masih belum membuat keputusan dan boleh mengubah pilihan mereka pada bila-bila masa sahaja.

Di sinilah peranan sokongan Anies Baswedan menjadi signifikan. Sebagai mantan Gabenor Jakarta, Anies masih mempunyai ramai penyokong. Rangkaian pendukungnya semasa Pilihan Raya Presiden juga dinilai mampu membuka peluang untuk membentuk koalisi politik yang lebih luas bagi Pramono-Rano.

Dharma Pongrekun-Kun Wardana: Calon Independen (Bebas)
(Gambar: ANTARA/HO-KPU DKI)
Selain Ridwan Kamil-Suswono dan Pramono Anung-Rano Karno, dalam Pemilihan Gabenor Jakarta kali ini terdapat juga pasangan calon bebas atau independent iaitu Dharma Pongrekun dan Kun Wardana.

Dharma Pongrekun ialah bekas pegawai tinggi polis berpangkat Komisaris Jenderal (Pesuruhjaya Agung), dengan pengalaman luas dalam bidang penyiasatan. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Badan Siber dan Sandi Negara (BSSN) pada 2019.

Sementara itu, Kun Wardana ialah seorang pensyarah dan ahli politik yang dikenali sebagai individu berbakat dengan IQ melebihi purata, malah oleh beberapa media beliau pernah dibandingkan dengan Elon Musk. Ia juga pernah aktif dalam Partai Amanat Nasional.

Pada awalnya, pasangan ini dianggap sebagai calon pelengkap untuk memastikan Pemilihan Gabenor Jakarta tidak hanya diisi oleh satu pasangan tunggal. Ketika itu ramai yang menjangka PDI Perjuangan tidak akan mengemukakan calon gabenornya. Namun, hakikat bahawa mereka berjaya menjadi calon independen (bebas) sahaja sudah merupakan satu pencapaian besar kerana syaratnya yang terkenal sangat sukar. Dalam sejarah Jakarta, hanya satu calon bebas yang pernah bertanding dalam pilihan raya 2012 dan itu pun hanya boleh meraih kurang daripada 5% undi.

Secara keseluruhannya, peluang Dharma Pongrekun-Kun Wardana untuk menang kelihatan tipis, terutama jika trend elektabiliti (sokongan) terhadap mereka kekal pada purata 3 hingga 4% seperti saat ini. Namun, dalam politik Jakarta, perubahan boleh berlaku, dan strategi kempen yang efektif mungkin sahaja meningkatkan populariti mereka.

Dharma Pongrekun, misalnya, dikenali kerana sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversial dan berunsur teori konspirasi semasa berkempen. Salah satu contohnya ialah beliau mendakwa bahawa COVID-19 merupakan agenda asing yang bertujuan untuk merosakkan kedaulatan negara dan permainan industri farmaseutikal yang ingin meraih keuntungan. Tidak sedikit golongan masyarakat bawahan yang tertarik dengan teori-teori konspirasi seperti ini.

Secara umum, rakyat Indonesia sedang menyaksikan satu pertarungan politik nasional dalam Pemilihan Gabenor Jakarta.

Keadaan ini jarang berlaku sehinggakan seorang mantan presiden dan mantan calon presiden pun ikut “turun gunung”.
(Gambar: AFP/Yasuyoshi CHIBA)
Di satu sisi, Jokowi dengan langkah strategiknya berusaha memastikan pengaruh politiknya dapat terus bertahan dan warisan kepimpinannya juga berterusan.

Sementara itu, Anies melihat Jakarta sebagai peluang untuk kembali ke arena politik nasional selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Presiden.

Jakarta mungkin tidak lagi menjadi Ibu Kota Negara Indonesia, tetapi pertarungan kali ini bukan sekadar soal siapa yang akan menjadi Gabenor Jakarta, tetapi siapa yang mampu menguasai percaturan kuasa di peringkat nasional.

Siapakah yang akan berjaya? Jawapannya terletak pada lebih 8 juta penduduk Jakarta yang akan menentukan masa depan kota ini pada 27 November 2024.

MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan