NOTA DARI JAKARTA: Perjalanan Prabowo Subianto ke Kerusi Presiden Indonesia
Akhirnya Prabowo Subianto Djojohadikusumo berjaya menduduki kerusi Republik Indonesia 1 atau RI 1 adalah istilah yang digunakan untuk jawatan presiden atau orang nombor satu di Indonesia.
Prabowo sebenarnya bukan orang baharu dalam dunia politik. Beliau merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang pernah memegang jawatan tinggi dalam politik Indonesia. Bapanya, Sumitro Djojohadikusumo, adalah seorang ahli ekonomi terkenal yang menjadi Menteri Ekonomi semasa Presiden pertama Indonesia, Soekarno dan Menteri Riset dan Teknologi semasa Presiden kedua, Suharto. Sementara itu, datuk Prabowo, Margono Djojohadikusumo, pernah menjadi ketua Dewan Pertimbangan Agung atau Majlis Penasihat Tertinggi Indonesia dan turut terlibat dalam proses pembentukan kemerdekaan Indonesia.
Sejak kecil Prabowo dan tiga adik-beradiknya juga telah didedahkan kepada kehidupan global. Mereka sekeluarga pernah mengasingkan diri di beberapa negara seperti Singapura, Malaysia, Thailand, Switzerland dan England kerana adanya perbezaan pandangan antara bapanya dengan Presiden Sukarno. Pada masa ini Prabowo menjadi terbiasa dengan pergaulan antarabangsa dan bahkan menguasai beberapa bahasa asing seperti Inggeris, Perancis dan Jerman.
Selepas kepimpinan Presiden Sukarno bertukar kepada Suharto, Prabowo dan ibu bapa serta adik-beradiknya kembali ke Indonesia. Ketika itu beliau memilih untuk belajar di akademi tentera Indonesia yang dikenali sebagai Akademi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia.
Semasa dalam dunia ketenteraan, Prabowo digelari "The Rising Star" kerana cepatnya dia naik kepangkatan (pangkat). Beliau menamatkan pengajian di akademi tentera pada 1974 dan mula berkhidmat di salah satu unit pasukan khas Angkatan Darat Indonesia, Kopassandha, yang kemudiannya dikenali sebagai KOPASSUS atau Komando Pasukan Khusus, dan malah berhasil mencapai peringkat kepimpinan tertinggi.
Pada tahun 1983 Prabowo berkahwin dengan Siti Hediati Hariyadi atau Titiek Suharto, salah seorang anak Presiden Suharto. Bukan satu kebetulan bahawa kerjaya ketenteraannya semakin cemerlang selepas berkahwin dengan anak perempuan orang nombor satu Indonesia ketika itu. Hampir setiap dua atau tiga tahun dia mendapat kenaikan pangkat. Ini adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam tentera Indonesia.
Salah satu kemuncak kerjaya ketenteraannya ialah apabila menjadi Komander Jeneral KOPASSUS pada tahun 1995 dengan pangkat Mejar Jeneral. Tiga tahun kemudian beliau dilantik sebagai Panglima Komando Simpanan Strategik Tentera Darat atau KOSTRAD, dengan pangkat Leftenan Jeneral tiga bintang.
Perlu diingat bahawa bapa mertua Prabowo, Presiden Suharto, pernah memegang jawatan yang sama sebagai Komander KOSTRAD. Inilah yang kemudian mencetuskan spekulasi bahawa Prabowo sangat teringin meneruskan kerjaya yang sama dengan bapa mertuanya dan tidak mustahil suatu hari nanti beliau juga akan menjadi Presiden.
Tetapi sejarah berkata sebaliknya. Pada 21 Mei 1998 Presiden Suharto meletakkan jawatan selepas didesak oleh demonstrasi besar-besaran para pelajar universiti seluruh Indonesia. Insiden ini kemudiannya disusuli dengan beberapa rangkaian peristiwa yang memuncak dengan pemecatan Prabowo daripada tentera kerana penglibatannya dalam kes penculikan aktivis pro-demokrasi Indonesia.
Selepas kerjaya tenteranya terhenti, Prabowo berpindah ke Jordan dan mengembangkan perniagaannya di sana. Beliau kemudian kembali ke Indonesia dan mula menjalankan pelbagai sektor perniagaan dari kilang kertas, perladangan, perikanan dan perlombongan. Perniagaan ini tidak terlepas daripada peranan adiknya Hashim Djojohadikusumo yang terkenal sebagai ahli perniagaan besar dan salah seorang paling kaya di Indonesia. Prabowo sukses besar dalam bidang perniagaan menjadikannya salah satu politisi (ahli politik) terkaya Indonesia dengan kekayaan lebih daripada 1.5 triliun Rupiah.
Cabaran Demi Cabaran Untuk Jadi Presiden
Selepas kejayaan besar dalam bidang perniagaan, Prabowo mula memasuki dunia politik. Langkahnya bermula dengan mencuba menjadi calon presiden daripada salah satu partai tertua di Indonesia, Partai Golkar, untuk Pilihan Raya 2004. Namun beliau dikalahkan oleh Jeneral Wiranto, mantan Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Nasional Indonesia. Wiranto adalah orang yang menghentikan Prabowo daripada kerjaya ketenteraannya pada tahun 1998. Ini adalah rekod pertama kegagalan Prabowo menduduki kerusi RI 1.
Pada tahun 2009, dia bertanding sebagai calon Wakil Presiden (Naib Presiden) bagi Megawati Sukarno Putri. Namun mereka dikalahkan oleh pasangan Susilo Bambang Yudhoyono dan Boediono.
Pada 2014, nama Gabenor Ibu Kota Jakarta, Joko Widodo atau Jokowi, muncul dalam pencalonan Presiden Indonesia. Jokowi ketika itu membawa imej sebagai presiden pertama dari kalangan rakyat biasa dan bukannya dari kalangan elit politik atau tentera seperti Prabowo.
Ramai meramalkan Jokowi yang digandingkan dengan Jusuf Kalla akan mendapatkan kemenangan besar melawan Prabowo dan Hatta Rajasa. Terbukti Jokowi menang dengan margin 6.3%. Prabowo menolak keputusan itu dan memfailkan tuntutan di Mahkamah Konstitusi (Perlembagaan) Republik Indonesia. Bagaimanapun tuntutan itu ditolak. Sekali lagi hasrat Prabowo untuk menjadi RI 1 musnah.
Belum berputus asa, pada 2019 Prabowo bertanding lagi dalam Pemilihan Presiden 2019 melawan Jokowi. Prabowo berpasangan dengan ahli perniagaan Sandiaga Uno dan Jokowi berpasangan dengan ulama KH. Ma'ruf Amin. Pilihan raya ini secara meluas dikatakan sebagai pilihan raya paling berdarah dalam sejarah Indonesia pasca reformasi, apabila Prabowo menolak kemenangan Jokowi malah mendakwa beliaulah yang menang.
Prabowo sekali lagi memfailkan tuntutan ke Mahkamah Konstitusi, tetapi akhirnya mengakui kekalahannya. Bahkan partai yang dipimpinnya, GERINDRA, kemudian turut menyertai koalisi (gabungan) kepimpinan Jokowi dan apa yang agak mengejutkan ketika itu ialah Prabowo dilantik sebagai Menteri Pertahanan Indonesia.
Akhirnya Menjadi Presiden Indonesia ke-8
Perjalanan panjang Prabowo menjadi presiden yang banyak kegagalan akhirnya membuahkan hasil. Pilihan Raya Presiden Indonesia 2024 menyaksikan kegigihan Prabowo untuk akhirnya menjadi Presiden Indonesia ke-8.
Digandingkan dengan anak sulung Presiden Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, Prabowo akhirnya memenangi pilihan raya satu pusingan dengan memperoleh 58.59% undi, jauh mengatasi dua calon lain iaitu Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD.
Munculnya Gibran untuk menjadi calon wakil (naib) presiden juga tidak kurang kontroversinya. Mahkamah Konstitusi mengubah peraturan untuk membenarkan sesiapa bawah umur 40 tahun untuk bertanding asalkan mereka mempunyai sekurang-kurangnya 2 tahun pengalaman dalam jawatan rasmi negeri yang dipilih melalui pilihan raya. Gibran mencalonkan diri pada usia 36 tahun dan pernah menjadi Datuk Bandar di Surakarta selama lebih daripada 2 tahun. Ketua Hakim Mahkamah Konstitusi ketika itu adalah adik ipar Jokowi.
Di sebalik kontroversi yang ada, Prabowo secara rasminya telah ditetapkan menjadi Presiden Indonesia. Semua mata kini tertumpu kepada kepimpinan beliau yang ramai dijangkakan akan sangat mencabar.
Dalam sektor ekonomi, salah satu cabarannya ialah hutang negara yang ditinggalkan oleh kepimpinan Jokowi, terutamanya hasil daripada projek infrastruktur yang sangat besar. Prabowo juga berjanji untuk meneruskan beberapa program Jokowi, termasuk projek membina ibu negara baharu, Nusantara yang bernilai ratusan trilion Rupiah.
Pada masa yang sama, Prabowo juga mesti menunaikan banyak janji semasa berkempen, salah satunya adalah janji untuk menyediakan makanan percuma kepada lebih 80 juta orang, termasuk pelajar sekolah dan ibu yang sedang mengandung.
Dunia juga sedang menunggu untuk melihat bagaimana rupa dasar luar negara Indonesia, yang nampaknya sangat menjadi perhatian Prabowo. Sejak menjadi Menteri Pertahanan dalam era Jokowi sehingga diumumkan secara rasmi sebagai pemenang pilihan raya presiden, beliau telah melawat banyak negara dan bertemu ramai pemimpin. Ini banyak dilihat sebagai satu usaha untuk menunjukkan bahawa Indonesia akan memainkan peranan yang lebih aktif di dunia antarabangsa.
Ini tercermin dalam mesej kempen Prabowo: "Seribu kawan terlalu sedikit dan satu musuh terlalu ramai."
Sebuah era baharu kini menghampiri Indonesia: Era Prabowo Subianto.
MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.