Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Pelakon muda berbakat perlukan sokongan, pendedahan untuk Asia lahirkan lebih ramai Michelle Yeoh

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kemenangan beruntun Michelle Yeoh dalam musim penghargaan filem tahun ini sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam 'Everything Everywhere All at Once' adalah kemenangan bagi perfileman Asia, khususnya pelakon keturunan Asia.
(Gambar: AFP/Amy Sussman)
Terutama di Academy Awards, dalam 95 tahun sejarahnya baru dua kali ini menganugerahkannya kepada pelakon bukan Kaukasia (kulit putih), yang pertama 21 tahun lalu kepada Halle Berry.

Walau Michelle Yeoh berasal dari Malaysia dan membangunkan kariernya di Hong Kong, saya baru pertama kali menontonnya saat berperanan sebagai gadis Bond dalam filem 'Tomorrow Never Dies' (1997), tiga tahun sebelum filem 'Crouching Tiger Hidden Dragon' kian melejitkan (menaikkan) namanya.

Filem Hong Kong cukup mudah ditemui di Indonesia sejak dulu dan saya lumayan suka filem kungfu, namun entah kenapa saya tidak mengenali Michelle Yeoh sampai filem Hollywood pertamanya.
 
(Gambar: AFP/Sam Yeh)
Hal serupa saya alami dengan banyak bintang Asia lainnya, mungkin dengan pengecualian Gong Li dan Andy Lau. Saat 'Crazy Rich Asians' keluar, selain bintang yang telah main di Hollywood atau Inggeris, hanya Kris Aquino yang saya kenali - itu pun kerana latar belakang keluarganya.

Lewat Google saya berusaha mencari tahu mengenai bintang Singapura dan Filipina lainnya di filem itu, yang ternyata terkenal di negara masing-masing.

KEHEBATAN PELAKON DARI RANTAU INI
(Gambar: Sumber web)
Lucunya, beberapa dekad yang lalu, P. Ramlee, pelakon dan penyanyi Malaysia yang ayahnya berasal dari Aceh, Indonesia amat popular di Indonesia dan Singapura.
(Gambar: OzAsia 2019)
Mungkin penyanyi Malaysia terakhir yang popular di Indonesia adalah Siti Nurhaliza, namun rasanya banyak orang Indonesia tidak bisa menyebutkan nama bintang filem popular Malaysia atau Singapura saat ini.

Hal yang sama berlaku pada bintang Indonesia dalam pengetahuan umum penduduk negara-negara jiran kami.
Pemeran (pelakon) wanita terbesar Indonesia, yang juga beberapa kali membintangi produksi Hollywood, adalah Christine Hakim.

Pemenang penghargaan tertinggi perfileman Indonesia sejak penampilan sulungnya pada dekad 1970-an, Christine Hakim telah memerankan beragam tokoh fiksyen dan salah satu pahlawan perempuan tergigih yang melawan penjajah Belanda, Cut Nyak Din dari Aceh.

Bagi penonton antarabangsa, Christine Hakim umumnya dikenali sebagai pemeran (pelakon) wanita Bali, Wayan, dalam filem 'Eat Pray Love', berbagi banyak adegan dengan Julia Roberts sebagai pemeran utama.

Tahun ini dia mencuri perhatian sebagai ilmuwan spesialis jamur di awal siri TV baru 'The Last of Us'. Adegan pembuka episod kedua itu hanya sekitar 5 hingga 7 minit, namun kegemilangan lakonan Christine Hakim menuai pujian dari penonton siri itu di seluruh dunia, tergambar dari komentar di media sosial saat episod ditayangkan.

Saat ini mungkin bintang-bintang Korea yang paling dikenali di Asia. Kesuksesan drama TV Korea, yang terutama melanda Indonesia sejak pandemik, menambah daftar panjang kepopularan budaya Korea di Asia dan dunia.

Mungkin yang diperlukan Asia, minimal Asia Tenggara, adalah memperbanyak tontonan yang dibintangi pelakon dari beberapa negara. Beberapa tahun lalu ada siri TV produksi HBO Asia, Serangoon Road, di mana pelakon muda Ario Bayu dari Indonesia berperanan di antara bintang Asia lainnya. Masih dari HBO Asia juga adalah Grisse, kisah berdasarkan kota Gresik di zaman kolonial Belanda, yang dibintang Adinia Wirasti dari Indonesia bersama beberapa bintang dari Asia Pasifik.

Dari kedua tayangan ini, saya berkesempatan mengetahui bintang-bintang terbaru dari negara jiran.

KURANG PELUANG MENYERLAHKAN BAKAT DI PASARAN LUAR ASIA

Kolaborasi filem pan-Asia dalam jangka panjang selain memperbesar pasaran serantau juga bisa mengikis persepsi pasaran antarabangsa bahwa Asia adalah monolit tanpa keragaman. Tidak dipungkiri, bintang dari Asia atau keturunan Asia yang dilahirkan di Barat jarang mendapat peranan utama atau berbobot di luar karakter stereotaip Asia - imigran kolar biru, kutu buku di sekolah, 'gangster' jagoh silat.

Michelle Yeoh sendiri pernah terbuka mengeluhkan sempitnya pilihan peranan yang diberikan kepadanya di Hollywood.

Industri perfileman Hong Kong, Bollywood di India, Korea, Jepun dan negara-negara Asia Tenggara, perlu bersatu untuk menghasilkan tayangan yang bukan saja bermutu tetapi juga mewakili beragam sisi Asia baik dari kisah sampai tampilan.

Tidak semua orang Asia berkulit coklat atau bermata sepet, banyak yang berkulit kuning dan kemerahan atau bermata lebar.

Tak semua bangsa Asia jagoh berdagang, tak semua pria Asia ahli IT atau kewangan, dan jelas tak semua perempuan Asia kelas yang dinomerduakan (pilihan nombor dua).

Banyak kemiripan, sebanyak jumlah perbezaan.

Tahniah, Tan Sri Michelle Yeoh! Dari Indonesia, kami mengucapkan selamat dan ikut berbangga. Semoga kemenangan gemilang ini membuka mata puak-puak Asia bahawa kita harus memadukan kreativiti kita dan mempersembahkan tayangan pan-Asia untuk dunia. Asia bisa!

MENGENAI PENULIS:
Lynda Ibrahim adalah penulis dari Jakarta.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan