Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Ngauman Harimau Besi Kenderaan Rasmi Presiden Prabowo

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Ngauman Harimau Besi Kenderaan Rasmi Presiden Prabowo

(Gambar: AP Photo/Dita Alangkara)

JAKARTA: Ada yang menarik perhatian ramai orang di saat pelantikan Presiden Prabowo Subianto pada pertengahan Oktober lalu, iaitu kenderaan yang dinaiki beliau ketika berkeliling di jalan utama Jakarta.

Kereta berwarna putih terang dengan saiz besar ini memiliki ketinggian kira-kira 1.8 meter, panjang lebih daripada 5 meter dan lebar 2 meter. Ia nampak bergerak perlahan dan anggun, membuka jalan di tengah kerumunan orang yang ingin menyaksikan Presiden ke-8 mereka yang melambai dari 'sunroof' di bahagian atas kenderaannya.

Dengan bentuk badan yang kukuh dan struktur berbentuk kotak dengan garis-garis tegas, kenderaan ini kelihatan begitu gagah. Tayar besar yang tinggi, logo Garuda di bahagian depan, serta plat nombor merah bertuliskan "Indonesia 1" semakin menyerlahkan kehadirannya di tengah-tengah orang ramai, seolah-olah ingin berkata, inilah kenderaan sang pemenang yang bersedia menghadapi cabaran baharu di masa depan.

Rakyat Indonesia sebenarnya sudah tidak asing lagi dengan kenderaan berwarna putih ini kerana sekitar satu bulan sebelumnya, Paus Fransiskus (Pope Francis) yang datang ke Jakarta telah menggunakan kenderaan yang sama. Namun, kenderaan tersebut telah dimodifikasi secara khas dengan bumbung tinggi yang terbuka, sofa tunggal di bahagian belakang, serta lambang Vatican di kedua-dua sisi. Ini adalah ciri khas kereta milik Paus (Pope) yang selalu terbuka supaya beliau boleh berinteraksi dengan masyarakat dan dikenali sebagai “Pope Mobile.”
(Gambar: AP Photo/Achmad Ibrahim)
“Pope Mobile” di Indonesia tampak sedikit lebih pendek dari kenderaan yang digunakan oleh Prabowo, tetapi jenisnya sama: Maung MV3.

Maung ialah keluaran Perindustrian Angkatan Darat (Pindad), sebuah syarikat milik negara Indonesia yang berfokus kepada pembuatan alat pertahanan dan keselamatan negara. Pindad ditubuhkan untuk menyokong keperluan ketenteraan Indonesia, dengan menghasilkan senjata, peluru, kenderaan taktis (taktikal) dan peralatan ketenteraan yang lain.

Dari Kenderaan Tempur Taktikal ke Kenderaan Kepresidenan

Pada tahun 2018, Pindad mengembangkan konsep kereta taktikal ringan dengan tujuan menyediakan kenderaan ketenteraan buatan dalam negeri untuk keperluan operasi Tentera Nasional Indonesia (TNI). Indonesia bukan negara pertama yang membangunkan kenderaan tempur taktis (taktikal) seperti ini; contohnya ialah Humvee di Amerika Syarikat, Hawkei di Australia, GAZ Tigr di Rusia dan Sherpa Light di Perancis.

Konsep kenderaan taktis (taktikal) ini kemudian diwujudkan dalam bentuk prototaip dan mula menarik perhatian.

Prabowo, yang ketika itu Menteri Pertahanan Indonesia, menyatakan sokongannya kerana ini sejalan dengan usahanya untuk mencipta kemandirian dalam pertahanan negara.

Beliaulah yang memperkenalkan prototaip ini kepada Presiden Joko Widodo, yang kemudian menamakannya “Maung,” yang bererti Harimau dalam bahasa suku Sunda.

Maung pada mulanya memiliki penampilan yang kukuh dan tangguh (handal), dengan badan berbentuk kotak berwarna hijau tentera untuk penyamaran di medan operasi. Kenderaan ini direka dengan garis tegas dan sudut kaku yang memberi kesan gagah dan bersedia menghadapi medan perang.

Bahagian hadapan dilengkapi dengan gril lebar dan lampu utama persegi untuk pandangan jelas dalam pelbagai keadaan. Tayar besar berjenis off-road menjamin kemampuan untuk merentasi medan berat seperti hutan, lumpur dan bukit berbatu. Kabinnya sederhana tetapi banyak fungsinya, sesuai untuk mengangkut personel (askar) dan peralatan taktis (taktikal), manakala bumbungnya boleh dibuka untuk membolehkan penggunaan senjata atau pengawasan semasa operasi.

Namun, kenderaan ini kemudian juga menarik minat pihak awam. Pada tahun 2023, Pindad memperkenalkan “Maung Versi 3” atau MV3 sebagai pengembangan daripada varian (versi) sebelumnya, Maung MV2. Terdapat beberapa jenis Maung MV3, termasuk yang paling popular baru-baru ini iaitu Maung MV3 VIP atau lebih dikenali sebagai “Garuda Limousine.”

Maung Garuda Limousine adalah varian kenderaan taktis (taktikal) yang direka khas untuk membawa pegawai VVIP seperti Presiden Indonesia. Kenderaan ini memiliki badan yang kukuh dengan reka bentuk moden tetapi masih mengekalkan karakter tangguh (hebat) Maung. Berwarna putih mencolok, Garuda Limousine dilengkapi dengan lapisan antipeluru pada cermin dan badannya, memberikan perlindungan tambahan kepada penumpangnya.

Bahagian dalamnya lebih luas dan dilengkapi dengan kerusi yang selesa serta ciri keselamatan dan keselesaan bertaraf tinggi, menjadikannya sesuai untuk acara ceremonial (istiadat) dan perjalanan kenegaraan (lawatan negara). Bumbung yang boleh dibuka membolehkan penumpang berdiri untuk menyapa masyarakat dalam acara rasmi.

Kenderaan ini panjang 5.05 meter, lebar 2.06 meter dan tinggi 1.87 meter, dengan beratnya mencapai 2.95 tan. Dilengkapi dengan enjin berkuasa 202 PS (199 HP, kuasa kuda) serta transmisi automatik 8 kelajuan, kenderaan ini mampu mencapai kelajuan maksimum 100 km/sejam. Dari aspek keselamatan pula, eksteriornya (bahagian luarnya) dilengkapi dengan bahan komposit yang tahan peluru, memberikan perlindungan optimal kepada penumpang.

Selain itu, kenderaan ini juga dilengkapi dengan tayar jenis Run Flat Tyre (RFT) yang membolehkannya terus bergerak walaupun mengalami kebocoran tayar.

Lambang Kemajuan Industri Automotif Indonesia

Kembali ke pelantikan Presiden Prabowo pada bulan Oktober lalu. Biasanya, selepas dilantik di Bangunan Parlimen, presiden yang lama akan pulang dengan kenderaan bernombor plat awam sebagai tanda beliau telah kembali menjadi rakyat biasa. Itulah yang dilakukan oleh Presiden Joko Widodo. Beliau tidak lagi menggunakan kenderaan rasmi Mercedes-Benz S680 Guard berwarna hitam yang digunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai kenderaan rasmi Presiden Indonesia.

Namun, kali ini ada yang berbeza. Presiden Prabowo memutuskan untuk menggunakan Maung MV3 Garuda Limousine sebagai kenderaan rasminya. Tentunya keputusan ini melalui pelbagai pertimbangan dan evaluasi (penilaian) keselamatan daripada Pasukan Pengamanan Presiden atau PASPAMPRES, yang menjaga keselamatan Presiden 24 jam sehari.

Pelbagai ciri keselamatan membolehkan kenderaan ini lulus ujian keselamatan, walaupun media sempat melihat Mercedes-Benz S680 Guard berwarna putih, warna kegemaran Prabowo, di tengah iringan konvoi kepresidenan.

Cerita Maung ini tidak berakhir di kenderaan rasmi presiden. Tidak lama kemudian, Presiden Prabowo mengeluarkan arahan yang melarang menteri-menteri menggunakan produk luar negeri. Malah, beliau memerintahkan semua kementerian dan ketua-ketua agensi negara untuk menggunakan Maung sebagai kenderaan rasmi.

Selama ini, kenderaan rasmi menteri-menteri di Indonesia adalah Toyota Crown 2.5 HV G-Executive jenis hybrid.
Jika dihitung, jumlah menteri, wakil menteri, dan ketua-ketua agensi negara adalah lebih dari 100 unit Maung MV3 yang akan digunakan.
Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Erick Thohir, mendedahkan bahawa Pindad telah menerima tempahan sekitar 4,600 unit kenderaan Maung dari Kementerian Pertahanan untuk tempoh dua tahun.

Tempahan ini adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk meningkatkan penggunaan produk tempatan dan menyokong industri pertahanan negara.

Adakah ini termasuk tempahan untuk menteri-menteri Prabowo? Masih belum jelas.

Namun begitu, arahan Presiden Prabowo yang mewajibkan penggunaan Maung MV3 adalah promosi yang sangat besar terhadap produk automotif buatan asli Indonesia.

Meskipun Maung masih belum 100% buatan dalam negeri, tapi menurut peraturan yang ada, maka untuk disebut buatan tempatan sekurang-kurangnya 40 hingga 50% komponennya harus dihasilkan di dalam negeri.

Maung sendiri mengandungi hingga 70% komponen tempatan, manakala selebihnya terdiri daripada komponen luar negara seperti dari Toyota Jepun, Ssangyong Korea, dan Mercedes-Benz Jerman.

Prabowo bukan presiden pertama Indonesia yang memiliki inisiatif untuk menggunakan produk kenderaan buatan tempatan. Di era kepemimpinan mertuanya, Presiden Soeharto, Indonesia mula mengembangkan industri automotif melalui kerjasama dengan syarikat Jepun seperti Toyota dan Mitsubishi, termasuk program kereta yang dikenali sebagai Timor.

Program ini diperkenalkan di penghujung era Soeharto tetapi terhenti akibat Krisis Ekonomi Asia pada 1997-1998 yang diikuti dengan kejatuhan pemimpin Indonesia itu.

Satu kisah menarik juga datang dari Joko Widodo jauh sebelum menjadi presiden. Pada tahun 2012, ketika menjawat sebagai Datuk Bandar Solo, Jokowi memilih untuk menggunakan kenderaan dari jenama “ESEMKA” sebagai kenderaan rasmi. Ini mengejutkan banyak pihak yang sebelumnya sama sekali tidak pernah mengenali jenama tersebut.

“ESEMKA” adalah kenderaan yang dirakit (direka) oleh pelajar Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) di Solo dengan tujuan untuk membangunkan industri automotif tempatan dan mempromosikan produk buatan tempatan. Padahal ketika itu ramai pemimpin di daerah tersebut menggunakan kereta mewah buatan Jepun, Korea Selatan, Amerika atau Jerman.

Langkah ini mendapat perhatian luas dan meningkatkan populariti Jokowi di peringkat nasional.

Perjalanan Jokowi dengan Esemka dan kini Prabowo dengan Maung mencerminkan betapa teramat pentingnya peranan pemimpin dalam mempromosikan kemandirian produk tempatan dan menyokong produk tempatan sebagai sebahagian daripada pembangunan ekonomi negara.

Adakah harimau besi, kenderaan Presiden Prabowo ini, akan terus "mengaum" bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di luar Indonesia? Sangat menarik bagi kita untuk melihat apa yang akan berlaku di hadapan nanti.

MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan