NOTA DARI JAKARTA: Mudik di Indonesia: Ketika Tradisi Mengatasi Jarak
Setiap tahun, Jakarta, kota terpadat di Indonesia dengan lebih daripada 11 juta penduduk, seolah-olah diberikan kesempatan untuk bernafas lega apabila kira-kira separuh penduduknya meninggalkan kota itu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Para pemudik bersiap sedia menaiki bas yang disediakan oleh pemerintah daerah. (Gambar: Antara.com)
Ketika itu, jalan-jalan di Jakarta yang biasanya sesak menjadi lengang selama beberapa hari sehingga tahap pencemaran udara juga menurun secara drastik. Fenomena ini berlaku setiap kali menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri sehingga beberapa hari selepasnya. Inilah fenomena tahunan khas Indonesia yang dikenali sebagai “mudik.”
Mudik dipercayai berasal daripada Bahasa Jawa “mulih ndhisik” yang bermaksud pulang sebentar. Ada juga versi lain yang mengatakan perkataan mudik berasal daripada Bahasa Melayu “udik” yang bererti “hulu” atau “ujung,” atau dalam Bahasa Betawi yang bermaksud “kampung.”
Lama-kelamaan, mudik berkembang menjadi fenomena migrasi tahunan terbesar di Indonesia dan salah satu yang terbesar di dunia. Sebagai contoh, pada tahun 2024, jumlah pergerakan pemudik mencatat rekod terbesar dalam sejarah, mencapai sehingga 193.6 juta orang. Bayangkan, lebih daripada 71 peratus penduduk Indonesia bergerak meninggalkan kota-kota besar.
Kemuncak mudik biasanya berlaku 2 hingga 3 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan 2 hingga 3 hari selepasnya, apabila mereka kembali ke kota-kota, yang dikenali sebagai “arus balik mudik". Fenomena ini melibatkan logistik yang luar biasa besarnya.
Kesan Ekonomi Mudik dan Bayangan Ketidaktentuan Ekonomi 2025
Pergerakan manusia ketika mudik secara automatik membawa kesan besar kepada ekonomi negara. Berbilion rupiah bertukar tangan dalam tempoh beberapa hari kerana kebanyakan pemudik membawa bonus gaji yang dikenali sebagai Tunjangan Hari Raya (THR). THR ini meningkatkan kuasa beli masyarakat bagi keperluan pengangkutan, makanan, hadiah keluarga, dan perbelanjaan lain.
Menurut Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN), sepanjang musim Aidilfitri, jumlah wang yang beredar dalam masyarakat mencapai lebih daripada 150 trilion rupiah atau kira-kira S$13 bilion, dengan sebahagian besarnya dibelanjakan untuk sektor pengangkutan dan bahan api.
Selain itu, perbelanjaan isi rumah turut meningkat secara mendadak, terutamanya untuk pembelian persiapan Hari Raya seperti pakaian, makanan, dan cenderamata. Sektor perniagaan kecil dan sederhana juga merasai manfaat dengan peningkatan keuntungan sehingga 50 peratus berbanding hari biasa, sementara sektor pelancongan dan hiburan mencatat lonjakan jumlah pelawat kerana ramai pemudik mengambil kesempatan untuk bercuti di kampung halaman. Tradisi pemberian THR turut menjadi faktor utama yang merangsang kuasa beli masyarakat, dengan berbilion rupiah bertukar tangan dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Namun begitu, tahun ini kesan ekonomi dijangka menurun sejajar dengan kelembapan ekonomi Indonesia. Jumlah wang yang beredar sepanjang musim Aidilfitri 2025 dianggarkan menurun kepada 137.97 trilion rupiah, lebih rendah berbanding tahun sebelumnya yang mencapai 150 trilion rupiah. Penurunan ini berpunca daripada sikap lebih berhati-hati masyarakat dalam berbelanja, terutamanya bagi keperluan bukan asas seperti pakaian dan cenderamata.
Jumlah pemudik pada tahun ini juga diramalkan menurun. Menurut Kementerian Pengangkutan Indonesia, jumlah pemudik pada tahun 2025 dijangka berkurangan sebanyak 24 peratus.
Akibatnya, aktiviti ekonomi semasa musim perayaan turut mengalami penurunan kerana ramai yang mengurangkan perbelanjaan sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.
Tradisi yang Tidak Pudar Ditelan Zaman
Meskipun dihambat ketidaktentuan ekonomi, tradisi mudik di Indonesia tetap berterusan sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat, di mana kerinduan untuk berkumpul bersama ibu bapa dan keluarga menjadi keutamaan, walaupun dalam pelbagai keterbatasan.
Mudik bukan sekadar fenomena tahunan tetapi sebahagian daripada identiti sosial masyarakat Indonesia. Tradisi ini telah berlangsung selama bertahun-tahun sebagai tanda penghormatan kepada ibu bapa dan leluhur.
Bagi ramai orang, pulang ke kampung halaman semasa Aidilfitri bukan sekadar meraikan perayaan besar, tetapi juga satu tanggungjawab moral dan sosial yang mengatasi faktor ekonomi. Kembali ke rumah pada detik sakral ini adalah cara untuk menunjukkan bakti kepada keluarga dan mengekalkan hubungan yang telah terjalin merentas generasi.
Di tengah-tengah tekanan kehidupan bandar besar, mudik juga menjadi peluang untuk melarikan diri daripada kepenatan. Kota-kota metropolitan seperti Jakarta, Surabaya, dan Bandung mungkin menawarkan keselesaan moden, tetapi bagi kebanyakan orang, kampung halaman tetap memberikan kehangatan emosi yang tidak dapat digantikan. Rumah di desa, bau dapur nenek yang unik, jalan kecil yang penuh kenangan - semua itu mencipta perasaan yang tidak dapat ditemui di bandar besar.
Malah bagi mereka yang telah berjaya di perantauan, kembali ke kampung halaman menjadi peringatan tentang asal usul mereka serta betapa keluarga tetap menjadi asas utama dalam kehidupan.
Menariknya, walaupun teknologi komunikasi semakin canggih, mudik masih menjadi pilihan utama bagi kebanyakan rakyat Indonesia. Kini, sesiapa sahaja boleh melakukan panggilan video, menghantar mesej pada bila-bila masa, atau berkongsi detik bersama di media sosial. Namun, jutaan orang tetap sanggup menempuh perjalanan jauh, menghadapi kesesakan trafik yang teruk, dan membelanjakan wang dalam jumlah besar semata-mata untuk bertemu keluarga secara langsung.
Keadaan itu begitu buruk sehingga menyebabkan 17 orang meninggal dunia akibat keletihan, dehidrasi, dan kurangnya akses perubatan. Tragedi tersebut menjadi titik perubahan pada pengurusan arus mudik oleh pihak berkuasa.
Selain itu, setiap tahun, pemandangan keluarga menunggang motosikal berboncengan sambil membawa timbunan barang, menempuh perjalanan ratusan kilometer demi beraya di kampung halaman, menjadi simbol keteguhan tradisi ini.
Trend ini turut melahirkan aksi solidariti yang mengharukan, di mana pemudik bermotosikal yang tidak mengenali satu sama lain bergerak secara berkumpulan untuk saling membantu sekiranya menghadapi masalah di jalan.
Semua ini membuktikan bahawa silaturahim tidak boleh digantikan sepenuhnya oleh teknologi, kerana interaksi fizikal mempunyai makna yang lebih mendalam.
Walau apa pun cabaran - harga tiket yang mahal, kesesakan lalu lintas yang ekstrem, atau kegawatan ekonomi - mudik di Indonesia tetap bertahan sebagai tradisi yang kukuh. Selagi rasa rindu dan nilai kekeluargaan terus dijunjung tinggi, mudik akan kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Indonesia, tidak kira sejauh mana zaman telah berubah.
MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.