Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Mendamba Pemimpin Beradab

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Mendamba Pemimpin Beradab

Beberapa ahli parlimen berjoget mengikut alunan muzik ketika persidangan bersama Presiden Prabowo Subianto pada 15 Ogos 2025 (Gambar: TV Parlimen)

JAKARTA: Ada sesuatu yang berbeza di jalan-jalan Jakarta sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kesesakan teruk memang belum berkurangan, namun satu perkara hampir lenyap daripada pandangan dan pendengaran, iaitu lampu-lampu strob yang berkelip serta semboyan yang meraung tanpa henti.

Sebelum ini, pemandangan sedemikian sudah menjadi perkara biasa di ibu kota Indonesia. Rombongan pemimpin negara yang dikawal motosikal polis dengan bunyi nyaring memecah deretan panjang kenderaan, atau kereta peribadi yang memasang lampu strob biru, semua ingin didahulukan.

Semua ingin menembusi kesesakan, semua merasa paling penting. Namun kali ini, orang ramai nampaknya sudah muak. Di tengah-tengah kesesakan yang hampir tidak bergerak, sentiasa ada sahaja yang menuntut jalan dibuka untuk mereka, menggunakan simbol-simbol yang sepatutnya hanya diperuntukkan bagi kegunaan pengiring polis atau kecemasan seperti ambulans dan bomba.

Rasa jengkel itu akhirnya meledak di media sosial. Rakyat yang sudah penat dengan kesesakan memuat naik video kenderaan dengan lampu strobo dan semboyan, lengkap dengan nombor plat yang jelas kelihatan. Ruangan komen menjadi medan kemarahan bersama. Ada yang menulis, “Kami pun ingin segera pulang, bukan hanya kalian!” atau “Wang cukai kami ada pada kenderaan mu. Hentikan bising di jalan!”

Dalam beberapa video, kelihatan pengguna jalan enggan memberi laluan, malah ada yang menjerit ke arah kenderaan yang memaksa didahulukan meskipun lalu lintas sangat padat.

Gelombang protes (bantahan) yang menjadi tular itu akhirnya sampai ke pengetahuan pihak berkuasa. Polis Republik Indonesia segera mengumumkan pemberhentian penggunaan lampu strob dan semboyan di jalan raya, khususnya pada waktu puncak kesesakan, kecuali bagi ambulans, bomba, iringan presiden atau pemimpin negara sahabat, dan kenderaan polis yang sedang bertugas.

Kementerian Sekretariat Negara turut mengeluarkan peringatan kepada para pegawai agar menunjukkan teladan. Mereka mencontohkan bagaimana Presiden Prabowo Subianto sendiri sering terperangkap dalam kesesakan dan berhenti di lampu isyarat seperti pemandu lain.
Tulisan pada pelekat sebuah kereta yang memprotes penggunaan siren dan lampu strobo di jalan-jalan kota Jakarta. (Gambar: Threads.net)
Dari Suara Semboyan ke Suara Rakyat

Apabila masyarakat menolak semboyan dan lampu strob, mereka sebenarnya sedang menolak wajah kekuasaan yang angkuh. Ia bukan sekadar protes soal lalu lintas, tetapi lambang kepada sesuatu yang lebih mendalam iaitu peringatan bahawa kesabaran rakyat ada hadnya.

Masih segar dalam ingatan bagaimana pada penghujung Ogos lalu, jalan raya Indonesia yang biasanya sesak bertukar menjadi lautan orang yang tunjuk perasaan. Protes (bantahan) yang bermula daripada rasa tidak puas hati terhadap tingkah laku golongan elit politik akhirnya menjelma menjadi rusuhan yang menandakan rapuhnya kepercayaan terhadap kepimpinan negara.

Semuanya bermula daripada kenyataan Timbalan Speaker DPR (Dewan Perwakilan Rakyat), Adies Kadir, yang menyebut elaun perumahan Ahli Parlimen sebanyak Rp50 juta sebulan (sekitar S$4,000) sebagai sesuatu yang “masuk akal”.

Dalam keadaan ekonomi yang lemah, kata-kata itu kedengaran seperti ejekan terhadap jutaan rakyat yang berjuang untuk hidup.

Sebagai perbandingan, kadar gaji minimum setiap bulan di Jakarta hanya sekitar 10 peratus daripada tunjangan perumahan para Ahli Parlimen.

Kenyataan serupa datang daripada Nafa Urbach, selebriti yang kini menjadi Ahli Parlimen, yang mengeluh tentang kesesakan jalan raya sebagai alasan perlunya elaun perumahan, seolah-olah lupa bahawa jutaan rakyat lain juga terpaksa menempuh kesesakan yang sama setiap hari untuk mencari rezeki.

Menjawab desakan rakyat, seorang lagi Ahli Parlimen, Ahmad Sahroni, mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina. “Boleh komplen (merungut), boleh maki, tidak mengapa, kami terima. Tetapi ada adab yang mesti dijaga,” katanya. Namun pada masa yang sama, beliau menyebut pihak yang menuntut pembubaran Parlimen sebagai memiliki “mentaliti orang tolol”.
Ahli Parlimen Indonesia Ahmad Sahroni ketika memberikan kenyataan yang akhirnya mencetuskan rusuhan massa (Gambar: YouTube TribunNews)
Dalam konteks Indonesia, perkataan itu sangat kasar dan menambahkan lagi kemarahan orang ramai.

Sahroni mungkin tidak menyangka kata-katanya menjadi seperti minyak yang disiram ke api apabila ia tular di media sosial. Ironinya, beliau menekankan soal adab, namun melakukannya dengan cara yang dianggap tidak beradab.

Tidak lama selepas itu, tular pula video beberapa ahli DPR berjoget di tengah-tengah sidang yang turut dihadiri Presiden Prabowo. Ada yang membela dengan alasan ia berlaku semasa sesi hiburan selepas mesyuarat, tetapi bagi rakyat yang sedang bergelut dengan kesempitan hidup, adegan itu menjadi lambang betapa jauhnya jurang antara penderitaan rakyat dan kelakuan pemimpinnya.

Hari-hari berikutnya menjadi babak hitam dalam sejarah Indonesia. Rumah Ahmad Sahroni dijarah, kereta mewahnya dibakar, dan barangan berharga dilarikan oleh orang ramai.
Kediaman Ahli Parlimen Indonesia Ahmad Sahroni menjadi sasaran penjarahan; kereta dirosakkan dan koleksi patung Iron Man bernilai ratusan juta rupiah turut musnah (Gambar: IG Live)
Beberapa rumah pegawai lain, termasuk milik Nafa Urbach dan Menteri Kewangan Sri Mulyani, turut diserang. Beberapa kemudahan awam, Bangunan Parlimen dan balai polis juga tidak terlepas daripada amukan massa.

Namun, muncul kecurigaan bahawa tidak semua kekerasan itu berpunca daripada kemarahan rakyat semata-mata. Ada pihak berpendapat bahawa kelompok politik tertentu mengambil kesempatan untuk menunggang situasi bagi merosakkan kestabilan.

Corak ini mengingatkan kepada peristiwa pada Mei 1998 apabila kemarahan rakyat turut dimanipulasi oleh kepentingan politik.

Sejarah menunjukkan bahawa kemarahan rakyat sering lahir daripada luka sosial yang nyata, namun ia mudah diperalatkan oleh kepentingan lain. Ada yang mendakwa tindakan kekerasan kali ini juga bertujuan untuk menjejaskan imej negara.
Mantan Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani, kediamannya turut dijarah perusuh (Gambar: TV Parlemen)
Bayangkan bagaimana pandangan pelabur asing apabila rumah seorang Menteri Kewangan boleh menjadi sasaran perusakan (vandalisme)?

Padahal, kekerasan bukanlah tujuan protes (bantahan) itu. Rakyat hanya menuntut akauntabiliti (kebertanggungjawaban) daripada para pemimpin yang dianggap tidak peka terhadap penderitaan mereka di tengah-tengah kemerosotan ekonomi.

Sejak awal pentadbiran Presiden Prabowo Subianto pada 2024, tanda-tanda kelemahan ekonomi memang sudah mula kelihatan. Beliau mewarisi beban hutang yang menimbun, projek besar seperti pembinaan Ibu Kota Nusantara yang menguras belanjawan, dan kelas menengah yang semakin terhimpit oleh kos sara hidup.
Presiden Indonesia Prabowo Subianto. (Gambar: Youtube/Sekretariat Presiden)
Untuk menutup defisit, pemerintah melakukan pemotongan besar dalam pelbagai sektor, sementara janji politik yang menelan perbelanjaan besar tetap diteruskan, termasuk program makanan bergizi, peningkatan perbelanjaan pertahanan dan subsidi tenaga.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin menekan, sikap dan ucapan segelintir elit politik yang terpisah daripada realiti hidup rakyat hanya melukakan hati sahaja.

Krisis Adab dan Pentingnya Mengembalikan Maruah Politik

Di Indonesia, gaya komunikasi politik para pemimpin nampaknya berubah dengan drastik. Dahulu, ucapan dan tindakan mereka dilakukan dengan penuh berhati-hati. Kini ramai yang gemar melontarkan kenyataan spontan bernada angkuh, yang akhirnya menjadi tular di media sosial.

Salah satu contoh berlaku di Pati, Jawa Tengah, pada awal Ogos 2025. Penduduk setempat menyuarakan bantahan terhadap kenaikan cukai tanah dan bangunan (PBB) sehingga 250 peratus yang dianggap terlalu membebankan.

Namun, bukannya untuk menenangkan keadaan, Bupati (Datuk Bandar) Pati, Sudewo, secara terbuka mencabar rakyat supaya turun ke jalan. “Jangankan 5,000 orang, 50,000 orang pun saya tidak gentar!” katanya dalam satu wawancara yang segera menjadi tular. Rakyat Pati tidak mengambil masa lama untuk menyahut cabaran itu apabila lebih 50,000 orang berarak menuju Pejabat Bupati.

Demonstrasi (tunjuk perasaan) dan rusuhan besar yang melanda pelbagai kota di Indonesia pada penghujung Ogos memperlihatkan satu hakikat: rakyat sudah jenuh. Ucapan sambil lewa dan gaya hidup mewah para pemimpin tidak lagi dilihat sebagai kesilapan peribadi, sebaliknya menjadi lambang yang menunjukkan hilangnya adab politik.
Sejak era Jokowi hingga Prabowo, konvoi kenderaan presiden sering kelihatan di tengah kesesakan lalu lintas Jakarta dan sepatutnya menjadi contoh kepada para pemimpin serta ahli politik Indonesia. (Gambar: Youtube)

Ahli politik Indonesia perlu belajar daripada teladan pemimpin terdahulu. Salah satu yang sering disebut-sebut ialah Naib Presiden pertama, Mohammad Hatta. Diceritakan bahawa beliau sangat mengidamkan sepasang kasut berjenama. Hatta memotong iklan kasut itu daripada majalah dan menyimpannya rapi, berharap suatu hari nanti beliau mampu membelinya.

Namun hingga akhir hayat, kasut itu tidak pernah dibeli. Potongan iklan yang sudah kekuningan ditemui dalam arkib peribadinya. Padahal, jika mahu, sebagai Naib Presiden beliau tentu boleh memintanya bila-bila masa.

Dalam sebuah negara di mana rakyat masih bergelut untuk keluar daripada kemiskinan, sikap angkuh, kata-kata tidak wajar dan perbuatan mempamerkan kemewahan hanya akan melukakan hati rakyat.

Hakikatnya, yang paling menyakitkan bukanlah kemiskinan itu sendiri, tetapi rasa dihina kerana kemiskinan itu.

Para pemimpin politik harus sedar betapa pentingnya menjaga adab dan komunikasi dengan masyarakat. Dari Pati hingga Jakarta, dari jalan raya hingga ke Bangunan Parlimen, rakyat telah menunjukkan bahawa mereka bukan lagi penonton yang pasif. Apa yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menjadi pelajaran berharga bahawa adab dan kuasa tidak boleh dipisahkan.

Apabila pemimpin kehilangan adab, kuasa yang mereka pegang boleh menjadi senjata makan tuan.

Di sinilah terletaknya tugas berat Presiden Prabowo untuk mengingatkan barisan menteri serta ahli politik di sekelilingnya. Kerana agaknya politik Indonesia kini berada di persimpangan sama ada mahu mengembalikan maruahnya atau terus tenggelam dalam gelombang ketidakpercayaan, bukan hanya rakyat tetapi juga para pelabur asing.

MENGENAI PENULIS
 

Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita