Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Menanti Ibu Kota Nusantara

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Menanti Ibu Kota Nusantara

Reka bentuk daerah pemerintah di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara. (Gambar: Penguasa Bandar Ibu Kota Nusantara)

JAKARTA: Indonesia sedang bersiap sedia untuk memindahkan ibu kotanya ke wilayah Kalimantan Timur. Namun di tengah-tengah kesibukan ini, timbul berita yang mengejutkan.

Kepimpinan tertinggi dalam Ibu Kota Nusantara atau disebut Badan Otorita Ibu Kota Nusantara (IKN), Bambang Susantono yang baru 2 tahun memegang jawatan telah mengemukakan peletakan jawatannya kepada Presiden Joko Widodo.

Bukan Bambang sahaja, timbalannya, Dhony Rahajoe, juga melakukan hal yang sama. Peletakan jawatan dua kepimpinan tertinggi yang mengurus Ibu kota baharu Indonesia itu diumumkan oleh Menteri Sekretariat Negara, Pratikno, pada Isnin 3 Jun 2024.

Apa yang sedang berlaku? Pelbagai spekulasi cepat tersebar kerana tarikh akhir perpindahan fasa pertama ke ibu kota Nusantara semakin dekat.

Mengikut perancangan, mulai Julai hingga November 2024, kakitangan semua kementerian dan institusi negara akan mula bergerak secara beransur-ansur dari Jakarta, termasuk para menteri penyelaras dan menteri lain. Kemudian pada 17 Ogos 2024, Presiden Joko Widodo secara rasmi akan menjadi Presiden pertama Indonesia yang menduduki ibu kota baharu yang akan ditandai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79.

Sememangnya ini adalah satu tekanan sendiri kerana hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum hari penting dalam sejarah Indonesia ini terjadi.

Bagaimanapun baik Bambang mahupun Dhony tidak menjelaskan alasan mereka meletak jawatan. Istana Kepresidenan Indonesia juga tidak menjelaskannya, tetapi mereka segera bertindak dengan melantik pemimpin sementara iaitu Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono sebagai pengerusi dan Timbalan Menteri Agraria dan Tata Ruang Raja Juli Antoni sebagai timbalannya.
Istana Merdeka di Jakarta. (Gambar: Adek Berry/AFP)
Ada sesuatu yang menarik tentang pelantikan Basuki dan Raja Juli sebagai pemimpin sementara di IKN. Boleh jadi pelantikan mereka ada kaitan dengan usaha untuk memenangi hati pelabur yang berpotensi dari dalam dan luar negara.

Basuki adalah orang yang paling dipercayai oleh Presiden Joko Widodo dan telah berjaya membina banyak projek infrastruktur besar di Indonesia. Sementara itu, Raja Juli Antoni berasal daripada badan yang mengendalikan urusan tanah dan ini berkaitan usaha mempercepatkan urusan status tanah di Nusantara agar pelabur lebih yakin untuk melaburkan modal mereka di sana.

Seperti Apa Rupa Nusantara?

Nusantara dibina di atas hutan luas yang terletak di antara dua kawasan di Kalimantan Timur iaitu Kutai Kartanegara dan Penajam Paser Utara.

Ibu kota baharu Indonesia itu mencapai luas lebih 256,000 hektar atau sekitar empat kali ukuran kota Jakarta atau tiga kali ukuran Singapura.

Ibu Kota Indonesia yang baharu ini telah dirancang dari semula untuk menjadi sebuah bandar terpadu di bawah institusi peringkat kementerian yang disebut “Otorita Ibu Kota Nusantara.”

Dalam kesempatan mempromosikan Nusantara di Singapura pada awal 2023, Ketua Otorita Ibu Kota Nusantara (IKN), Bambang Susantono yang kini telah meletakkan jawatan berkata Nusantara akan menjadi ibu kota negara pertama di dunia yang melaksanakan konsep bandar hutan (forest city).

Menurut beliau, hanya 25% kawasan Nusantara akan dibangunkan, manakala 75% lagi adalah kawasan hijau yang akan dikekalkan sebagai hutan tropika.

Keadaan ini akan membolehkan warga Nusantara untuk hidup berdampingan dengan alam. Bambang juga berkata, Nusantara adalah penyertaan aktif Indonesia dalam menyokong inisiatif global untuk mengatasi perubahan iklim.

Nusantara dirancang sebagai bandar yang menggunakan 80% pengangkutan awam yang disokong sistem jalan raya bersepadu, termasuk perkhidmatan kereta api yang akan menghubungkan kota tersebut dengan bandar-bandar sekitar dan lapangan terbang antarabangsa.
Ilustrasi ibu kota baharu Indonesia, Nusantara. (Gambar: AFP)
Namun pada masa ini jangan harap untuk melihat sebuah bandar baharu yang utuh dan lengkap. Pembangunan Ibu Kota Nusantara berlangsung dalam beberapa fasa, bermula dengan pembinaan infrastruktur utama seperti Istana Presiden, Bangunan Parlimen, serta infrastruktur dasar untuk fasa awal 500,000 penduduk termasuk kemudahan perumahan bagi kakitangan negara. Proses awal ini akan bermula dari 2022 hingga 2024.

Selanjutnya dari 2024 hingga 2035, pembangunan IKN akan memasuki fasa kedua.

Pada peringkat ini proses pemindahan berbagai lembaga negara termasuk para kakitangannya akan selesai. IKN juga akan dibangunkan sebagai sebuah pusat inovasi dan ekonomi.

Kemudian 2035-2045 merupakan tahap pembinaan keseluruhan infrastruktur dan ekosistem tiga bandar bagi mempercepatkan pembangunan Kalimantan Timur.

Ketiga, bandar tersebut ialah Nusantara dan bandar sokongan terdekatnya iaitu Samarinda dan Balikpapan. Dalam fasa ini kita akan dapat melihat infrastruktur yang lengkap termasuk ketersambungan antara bandar dan pulau.

Hanya pada tahun 2045 ibu kota Nusantara boleh dikatakan selesai sepenuhnya. Menurut laman web rasmi IKN, pada tahun 2045 ia dijangka menjadi salah satu bandar terkemuka di dunia dari segi daya saing.

Nusantara diperkirakan termasuk dalam 10 bandar terbaik untuk didiami di dunia dan mencapai 'net zero carbon emission' kerana menggunakan 100% tenaga terbaharu (tenaga boleh diperbaharui). Nusantara dijangka akan menjadi bandar pertama di dunia dengan populasi lebih 1 juta orang yang akan mencapai sasaran ini.

Bukan kebetulan bahawa 2045 telah ditetapkan oleh Presiden Joko Widodo sebagai era “Indonesia Emas.” Ketika itulah Indonesia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 tahun atau 1 abad.
Lebih daripada 20 tahun bukanlah satu perjalanan yang singkat untuk memindahkan ibu kota Indonesia dari Pulau Jawa ke Pulau Kalimantan kerana ini adalah projek yang luar biasa besarnya.

Sebagai perbandingan, Brazil mengambil masa 10 tahun untuk memindahkan ibu kotanya dari Rio de Janeiro ke Brasilia.

Indonesia bukanlah negara pertama yang memindahkan ibu kota negaranya. Ibu kota Rusia, sebagai contoh, pada asalnya adalah Saint Petersburg, iaitu kira-kira 700km dari ibu kota baharu, Moscow.

Brazil memindahkan ibu kotanya dari Rio De Janeiro ke Brasilia dalam jarak hampir 1,100 kilometer pada tahun 1960. Yang terbaharu adalah apabila pada tahun 2005 Myanmar memindahkan ibu kota negaranya dari Yangon ke Naypyidaw yang berjarak kira-kira 350 kilometer.

Bagaimanapun, pemindahan ibu kota Indonesia dari Jakarta di pulau Jawa ke Nusantara di Kalimantan yang berjarak sekitar 1,700 kilometer boleh menjadi pemindahan antara pulau pertama ibu kota negara di dunia. Boleh jadi inilah yang menyebabkan proses itu mengambil masa yang lama walaupun sejak dulu telah dirancang bagi mengurangkan beban Jakarta yang semakin terancam dengan kepadatan penduduk dan keadaan ekologi yang semakin teruk.

Nusantara: Idea Sukarno, Rancangan Suharto, Pelaksanaan Jokowi

Idea memindahkan ibu kota Indonesia sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu.

Sejarah mencatatkan Indonesia telah beberapa kali memindahkan ibu kotanya iaitu dari Jakarta, Yogyakarta, Bukit Tinggi di Sumatera Barat dan Bierun di Aceh.

Kesemua langkah ini hanya sementara kerana keadaan pasca kemerdekaan dari Belanda yang masih tidak stabil ketika itu. Bagaimanapun dalam perjalanan sejarahnya, rancangan memindahkan ibu kota juga menghadapi pelbagai rintangan terutama masalah politik.

Pada tahun 1957, Presiden pertama Indonesia, Sukarno menjejakkan kaki di Palangkaraya, Kalimantan Tengah setelah menempuh perjalanan jauh melalui Sungai Kahayan, sungai terpanjang di Pulau Kalimantan. Kedatangan Sukarno adalah untuk merasmikan Palangkaraya sebagai ibu kota Kalimantan Tengah setelah berpisah daripada Kalimantan Selatan. Ternyata saat itu beliau dilaporkan melihat potensi lain untuk bandar itu menjadi Ibu Kota Negara.

Terdapat beberapa versi cerita berkenaan perkara ini. Salah satunya Sukarno menganggap Indonesia pada masa itu tidak pernah membina ibu kotanya sendiri kerana Jakarta merupakan kota warisan penjajahan kolonial Belanda. Namun rancangan ini tidak diteruskan kerana keadaan politik di Indonesia ketika itu.
Presiden pertama Indonesia, Sukarno. (Gambar fail: AP/Horst Faas)
Pada zaman pemerintahan Presiden kedua Indonesia, Suharto, keinginan untuk memindahkan ibu kota kembali muncul. Khabarnya rancangan ini terilham daripada pembinaan ibu kota federal Malaysia, Putrajaya, yang dibina pada 1995.

Maka dipilihlah sebuah bandar kira-kira 50 kilometer dari Jakarta bernama Jonggol. Kota ini bertujuan untuk menjadi kota independen (bebas) yang diharap boleh mengurangkan beban kota Jakarta yang semakin teruk. Namun, rancangan ini tidak terlaksana kerana kemelut politik pada tahun 1998 yang membawa kepada kejatuhan Suharto.

Rancangan untuk memindahkan ibu kota muncul daripada beberapa presiden berikutnya tetapi hanya terhad kepada wacana sahaja.

Hanya semasa pemerintahan Presiden Joko Widodo barulah rancangan ini berjaya direalisasikan. Pada 2017, Jokowi meminta dibuat kajian sehubungan dengan rancangan pemindahan ibu kota Jakarta. Tidak perlu waktu lama, hanya dua tahun kemudian Jokowi memutuskan lokasi di Kalimantan Timur untuk menjadi ibu kota baharu. Diputuskan juga bahawa bandar itu akan dinamakan Nusantara.

Asal Usul Nama Nusantara

Nama Nusantara dipilih sendiri oleh Presiden Joko Widodo kerana nama tersebut sudah menjadi ikon dan terkenal di rantau ini dan juga di dunia.

Sejak sekian lama Nusantara juga digunakan sebagai nama tidak rasmi bagi Indonesia.

Jika diteliti sejarahnya, perkataan Nusantara mula muncul di zaman Kerajaan Majapahit pada tahun 1200-an. Nusantara berasal daripada kata “Nusa” yang bermakna pulau dan “Antara” yang bermakna kawasan terluar.

Istilah ini digunakan untuk merujuk kepada wilayah lain di luar pulau Jawa yang meliputi Sumatera, Kalimantan, Nusa Tenggara, Sulawesi, termasuk wilayah Malaya dan Filipina. Kawasan ini disebut oleh Gajah Mada, seorang panglima perang terkemuka dari Kerajaan Majapahit ketika ia bersumpah untuk memasukkan Nusantara sebagai sebahagian daripada Kerajaan Majapahit.

Dalam sejarah silam Indonesia, kata-kata Panglima Gajah Mada dikenali sebagai Sumpah Palapa. Namun sumpah ini tidak menjadi kenyataan dengan runtuhnya Kerajaan Majapahit.
(Gambar: Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia)
Perkataan Nusantara muncul lagi apabila salah seorang pahlawan dan tokoh dunia pendidikan Indonesia, Ki Hajar Dewantara, disebut sering menggunakan perkataan tersebut.

Khabarnya beliau lebih suka menggunakan nama Nusantara untuk menggantikan nama "Hindia Belanda" atau Dutch East Indies, yang merupakan istilah kolonial Belanda.

Menurutnya, Nusantara lebih baik jika dibandingkan perkataan Hindia Belanda yang berasal daripada bahasa asing. Sejak itu Nusantara telah digunakan secara meluas sebagai istilah tidak rasmi untuk merujuk kepada Indonesia.

Pada Januari 2022, Parlimen Indonesia meluluskan Undang-Undang Ibu Kota yang baharu. Undang-undang itu menyatakan nama Nusantara yang dicadangkan oleh Presiden Joko Widodo dijadikan nama rasmi ibu kota Indonesia. Maka bermulalah sebuah perjalanan yang panjang untuk membina ibu kota baharu itu.

Sesungguhnya di sisi lain terdapat pelbagai pihak yang mengkritik pembinaan ibu kota baharu ini. Parti Keadilan Sejahtera, sebagai satu-satunya parti di Parlimen Indonesia yang menolak Undang-Undang Ibu Kota Negara, menilai kesan ekonomi daripada pembinaan projek sebesar ini akan sangat memberi impak kepada Indonesia yang masih belum pulih selepas pandemik COVID-19.

Terdapat juga kritikan pelbagai pihak berhubung impak alam sekitar kerana projek ini dibina di atas kawasan hutan Kalimantan yang diiktiraf sebagai salah satu kawasan yang membantu menyerap pelepasan karbon dunia atau diistilahkan dengan "paru-paru dunia."

Apa pun, ibu kota Nusantara itu kini memasuki fasa pertama. Presiden Joko Widodo akan menjadi presiden pertama yang menduduki ibu kota baharu itu sebelum menyerahkannya kepada Presiden terpilih Prabowo Subianto pada bulan Oktober 2024.
Sebuah poster pilihan raya memaparkan calon Presiden Prabowo Subianto (kiri) dan rakan seperjuangannya Gibran Rakabuming Raka (kanan), di samping Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo, menjelang pilihan raya presiden tersebut.

Semasa berkempen, Prabowo sendiri sudah berjanji akan meneruskan pembangunan IKN sepanjang 5 tahun kepimpinannya.

Salah satu tugas utama Prabowo pada masa hadapan adalah untuk meyakinkan para pelabur, termasuk dari luar negara, untuk melaburkan modal mereka dalam pembangunan Ibu Kota Indonesia yang baharu.

Bukan satu tugas mudah kerana menurut Ketua Badan Koordinasi Pelaburan Indonesia (BKPM), Bahlil Lahadalia, dana daripada bajet belanja negara untuk pembangunan Nusantara hanya 20% manakala 80% dijangkakan daripada sektor swasta.

Adakah Presiden Prabowo mampu melaksanakan tugas berat ini dalam tempoh 5 tahun kepimpinannya?

Rakyat Indonesia menunggu dan dunia memerhatikan.

 

MENGENAI PENULIS
Rane Hafied adalah penulis dan podcaster dari Jakarta.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan