Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Indonesia Juara Piala ASEAN FIFA 2026, Selepas Itu Apa?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Indonesia Juara Piala ASEAN FIFA 2026, Selepas Itu Apa?

Pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia menerima trofi edisi sulung Piala ASEAN FIFA 2026 daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. (Gambar: Kompas)

Diterbitkan : 10 Oct 2026 07:12PM
NOTES FROM JAKARTA: Indonesia are 2026 FIFA ASEAN Cup champions - what next?
  • Indonesia celebrated their first 2026 FIFA ASEAN Cup title at Gelora Bung Karno Stadium on Oct 5, 2026 after beating Thailand on penalties.
  • Ole Romeny held up the jersey of the injured Marselino Ferdinan as a symbol of the bond between local players and the diaspora in the national team.
  • Under Erick Thohir, PSSI has actively recruited players of Indonesian descent from overseas, but public support has existed alongside concerns about over-reliance.
  • Akmal Marhali and Ratu Tisha stressed grassroots development, healthy competition and professional pathways so that more Indonesian youths can replace the current generation.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Ada satu adegan yang menarik perhatian di tengah-tengah sambutan kemenangan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, pada 5 Oktober 2026.

Penyerang Indonesia, Ole Romeny, membentangkan sehelai jersi dengan nama pemain yang tidak beraksi dalam perlawanan itu.

Nama pada jersi tersebut ialah Marselino.

Marselino Ferdinan ialah pemain penyerang berusia 22 tahun yang memulakan kerjayanya bersama Persebaya Surabaya sebelum beraksi di Eropah. Beliau pernah menjadi rakan sepasukan Romeny di Oxford United, England. Kecederaan menyebabkan Marselino terlepas kejohanan tersebut, namun Romeny mahu sahabatnya turut diraikan.
Related article image
Ole Romeny menjulang jersi sahabatnya, Marselino Ferdinan, ketika meraikan kemenangan Indonesia dalam Piala ASEAN FIFA 2026. (Gambar: Tribunnews)
Indonesia baru sahaja menjuarai edisi sulung Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menewaskan Thailand 4–2 menerusi penentuan sepakan penalti, setelah kedua-dua pasukan terikat 2–2 hingga tamat masa tambahan.

Di tangan Romeny, jersi milik Marselino itu seakan menyatukan dua perjalanan menuju pasukan kebangsaan: Romeny dibesarkan dalam budaya bola sepak Belanda, manakala Marselino memulakan kerjayanya di Indonesia.

Bangga, Namun Masih Ada Persoalan

Beberapa hari sebelumnya, Indonesia menewaskan Singapura 2–0.

Kesebelasan utama pasukan Indonesia didominasi pemain naturalisasi dan pemain berketurunan Indonesia yang lahir serta membina kerjaya di luar negara. Pemain kelahiran Indonesia, termasuk Rizky Ridho dan Rayhan Hannan, hanya masuk padang pada separuh masa kedua.

Apabila Indonesia menang, perhatian orang ramai turut beralih kepada wajah pemain yang dianggap sebagai “bule”, istilah Bahasa Indonesia bagi mereka yang mempunyai paras seperti orang Barat.

Indonesia bukan satu-satunya negara yang mendapatkan bakat dari luar negara. Menurut laporan beberapa media, Filipina mempunyai 19 pemain berketurunan, Indonesia 18, manakala Malaysia dan Singapura masing-masing 12 dan lima pemain dalam gabungan kategori pemain berketurunan dan naturalisasi.

Namun, kejayaan pasukan kebangsaan Indonesia di Piala ASEAN FIFA 2026 tidak semestinya menggambarkan kemajuan pembangunan pemain tempatan. Pandangan masyarakat terhadap isu ini juga bukan sekadar menyokong atau menolak.
Related article image
Pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia menerima trofi edisi sulung Piala ASEAN FIFA 2026 daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. (Gambar: Kompas)
Tinjauan nasional oleh firma penyelidikan Indikator pada Oktober 2024 mendapati 71.5 peratus responden menyokong naturalisasi pemain kebangsaan. Bagaimanapun, 31.5 peratus berpendapat jumlahnya sudah terlalu ramai dan mahu keutamaan diberikan kepada mereka yang disebut sebagai “pemain asli Indonesia”.

Walaupun dijalankan hampir dua tahun sebelum kejohanan ini, tinjauan tersebut memperlihatkan bagaimana sokongan boleh wujud bersama kebimbangan terhadap kebergantungan.

Pemerhati bola sepak Akmal Marhali turut mengkritik kelemahan pembangunan pemain dan sistem pertandingan. “Pasukan kebangsaan yang kuat lahir daripada pembangunan pemain yang baik dan pertandingan yang sihat,” katanya kepada Medcom.id pada 13 Julai 2026.

Namun, Encik Marhali tetap mengalu-alukan keputusan penyerang muda Mitchell Baker menjadi warganegara Indonesia. Mengkritik dasar naturalisasi, jelasnya melalui pendirian itu, tidak bererti menolak pemain berkenaan.

Di Sebalik Usaha Memburu Bakat

Di bawah kepimpinan Erick Thohir, yang kini turut menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) giat mengajak pemain berketurunan Indonesia di luar negara menyarung jersi kebangsaan. Usaha badan induk bola sepak negara ini meneruskan langkah yang bermula sebelum beliau memimpin PSSI.

Dalam wawancara Reuters pada 24 Disember 2024, Encik Erick, bekas Presiden kelab Inter Milan, menjelaskan bahawa pemain tertarik dengan cita-cita mencapai kejayaan serta ikatan keluarga. “Mereka mahu kembali kepada asal usul mereka kerana mempunyai ikatan sentimental dengan ibu, bapa, nenek dan datuk mereka,” katanya.
Related article image
Menteri Belia dan Sukan Indonesia merangkap Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino. (Gambar: Kemenpora)
Naturalisasi menjadi sebahagian daripada usaha meningkatkan prestasi, dengan sasaran membawa Indonesia ke kelompok 100 terbaik dunia. Saat ini kedudukan Indonesia dalam ranking FIFA meningkat daripada tangga ke-173 pada Disember 2019 hingga ke-117 pada Oktober 2026. Indonesia juga buat pertama kalinya mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia FIFA 2026.

Encik Erick menggambarkan strateginya sebagai pembangunan dari puncak piramid ke bawah, iaitu memperkukuh pasukan kebangsaan sambil membina bakat muda di tanah air.

Untuk mengenal pasti bakat, PSSI melantik legenda Ajax Amsterdam berketurunan Maluku, Simon Tahamata.

Tumpuannya merangkumi pemain diaspora iaitu mereka yang tinggal atau dibesarkan di luar negara tetapi mempunyai pertalian keluarga dengan Indonesia, serta pemain muda dari pelbagai daerah. Cabarannya bukan hanya mencari pemain yang sedia beraksi, tetapi membuka laluan kepada generasi seterusnya.

Kisah Keluarga Di Sebalik Jersi

Dalam wawancara dengan kumparanBOLA pada Februari 2024, pemain tengah kelahiran Belanda, Thom Haye, menceritakan proses menyertai pasukan Indonesia yang melibatkan semakan latar belakang keluarga dan perbincangan dengan Encik Erick.

“Saya benar-benar merasakan hubungan yang erat dengan Indonesia kerana datuk dan nenek saya berasal dari sana. Saya juga mempunyai ramai ahli keluarga di sana,” katanya. Beliau sering mengunjungi saudara-mara di Jakarta dan Bali. Indonesia sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sebelum tertera pada jersinya.

Penjaga gol Maarten Paes pula memperlihatkan hubungan itu secara bersahaja. Dalam video Instagram rasmi pasukan kebangsaan, pemain kelahiran Belanda itu menjawab “Kediri!” apabila ditanya asalnya. Beliau kemudian berseru, “Peh!”, ungkapan khas Kediri yang membawa maksud lebih kurang “Wah!”. Kediri bukan tempat kelahirannya, sebaliknya kampung halaman neneknya.

Dalam satu lagi video Instagram rasmi pada 24 September, menjelang perlawanan akhir, pemain sayap Luke Vickery berkata: “Saya lahir di Hawaii tetapi saya berasal dari Medan.” Kapsyennya berbunyi: “Tempat lahir berbeza, tetapi hati kita tetap satu.” Di ruangan komen, ada yang meraikan perpaduan, mengucapkan terima kasih kepada pemain yang sebelumnya dianggap “bule”, dan ada juga yang menyindir.
Related article image
Tangkap layar catatan di akaun Instagram rasmi pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia pada 24 September 2026 yang memaparkan asal usul keturunan para pemainnya. (Gambar: IG Timnas)

Selepas kemenangan ke atas Singapura, jurulatih John Herdman menyimpulkan pendiriannya: “Tiada pemain tempatan, tiada pemain diaspora. Kami adalah Indonesia,” katanya dalam sidang media yang dilaporkan ANTARA. Baginya, tempat lahir tidak mengurangkan nilai seseorang sebagai warganegara.

Dalam soal identiti, perdebatan mungkin boleh berakhir di situ. Mereka mempunyai kisah masing-masing, sudah menjadi rakyat Indonesia dan bermain untuk negara ini. Namun, persoalan lebih penting masih menanti: sampai bila pasukan kebangsaan bergantung kepada pemain yang dibentuk oleh sistem bola sepak negara lain?

Sampai Bila Mahu Bergantung Kepada Pemain Naturalisasi?

Bayangkan jika dalam lima tahun akan datang tiada pemain seperti Romeny, Paes dan Vickery menyertai pasukan kebangsaan. Mampukah mutu bola sepak Indonesia terus meningkat?

Jawapannya bergantung kepada mutu kejurulatihan, pertandingan peringkat usia muda yang berterusan, peluang beraksi di kelab profesional serta akses kepada latihan bagi kanak-kanak berbakat di seluruh negara.

Ketika meninjau kejohanan bola sepak akar umbi di Gresik pada Jun 2024, Naib Ketua Umum PSSI Ratu Tisha menekankan pentingnya pembangunan sejak usia muda. Beliau turut menyatakan komitmen memperluaskan kejohanan sedemikian dan mengenal pasti bakat yang berpotensi menjadi pemain profesional.

Sebenarnya laluan ke pentas antarabangsa sudah wujud. Selain Marselino, Egy Maulana Vikri dan Witan Sulaeman pernah beraksi di Eropah, sementara Pratama Arhan dan Asnawi Mangkualam mencuba nasib di Jepun dan Korea Selatan. Persoalannya, bagaimana peluang serupa dapat dibuka kepada lebih ramai anak muda Indonesia?

Pada malam kemenangan bersejarah di Stadium Gelora Bung Karno, tindakan Romeny membentangkan jersi Marselino seakan memberi isyarat tentang masa depan bola sepak Indonesia.

Kerana di sebalik kebanggaan melihat siapa yang menyarung jersi merah putih hari ini, ada persoalan yang jauh lebih penting: siapakah yang sedang disiapkan untuk menyarung jersi itu pada masa hadapan?

MENGENAI PENULIS

Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita