Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Hidup di Jakarta 'Kota Terpadat' di Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Hidup di Jakarta 'Kota Terpadat' di Dunia
Kesesakan lalu lintas masih menjadi masalah besar di Jakarta sehingga muncul gurauan dalam kalangan penumpang bahawa mereka boleh ‘menjadi tua di jalan’. (Gambar: Antara)
Diterbitkan : 11 Dec 2025 09:54PM Dikemas Kini : 11 Dec 2025 10:04PM
JAKARTA: Pada November 2025, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menempatkan Jakarta sebagai kota paling padat di dunia dengan 42 juta penduduk, jumlah yang melampaui Dhaka dan Tokyo.

Data ini diperolehi berasaskan kaedah baharu yang dinamakan “Degree of Urbanization”, yang memetakan kawasan bandar bukan lagi berdasarkan sempadan pentadbiran tetapi mengikut pola kehidupan dan mobiliti penduduknya.
Related article image
Bjørg Sandkjær, Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan laporan World Urbanization Prospects pada 18 November 2025 yang menyenaraikan Jakarta sebagai kota terpadat di dunia. (Gambar: un.org)
Dengan kaedah baharu ini, angka 42 juta penduduk perlu difahami sebagai merangkumi bandar-bandar seperti Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi, yang setiap hari menyaksikan sebahagian besar warganya berulang-alik ke Jakarta dan menjadikannya kota terpadat di dunia.

Seperti Apa Hidup di Kota Terpadat di Dunia?

Untuk memahami Jakarta hari ini, kita perlu menelusuri kembali perjalanan dua dekad yang lalu. Pada 2004, TransJakarta dilancarkan sebagai sistem “Bus Rapid Transit” (BRT) pertama di Asia Tenggara. Ketika itu, langkah tersebut dilihat sebagai satu penerobosan berani bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian yang menjadikan lalu lintas bandar semakin sesak.
Related article image
Salah satu armada bas TransJakarta, sistem jaringan BRT pertama di Asia Tenggara yang mula beroperasi pada tahun 2004. (Gambar: Desta/Wikipedia)
Beberapa tahun kemudian, Jakarta menambah sistem “Mass Rapid Transit” (MRT) dan “Light Rail Transit” (LRT) sebagai tulang belakang baharu pengangkutan awam. Jalur BRT diperluaskan, laluan pejalan kaki mula dibaik pulih, hingga muncul gurauan dalam kalangan penduduknya bahawa Jakarta kini sudah terasa seperti berada di luar negara.

Namun pada masa yang sama, kadar pertumbuhan penduduk dan peluasan kawasan terbangun bergerak lebih cepat daripada pembangunan infrastrukturnya. Menurut data rasmi, tingkat kepadatan Jakarta ketika ini sekitar 16,000 penduduk bagi setiap kilometer persegi

Kesan daripada keadaan ini terasa dalam kehidupan seharian. Harga rumah di pusat bandar meningkat. Banyak keluarga berpindah ke kawasan pinggir Jakarta. Perjalanan ulang-alik selama empat hingga lima jam sehari sudah menjadi kebiasaan yang tidak lagi mengejutkan.

Cabaran terbesar datang daripada sisi alam sekitar. Kesesakan lalu lintas yang kronik menyumbang kepada pencemaran udara, yang sering melepasi paras selamat. Selain itu penurunan tanah telah direkodkan sejak beberapa dekad lalu sehingga mencapai 12 sentimeter setahun.
Related article image
Kesesakan lalu lintas masih menjadi masalah besar di Jakarta sehingga muncul gurauan dalam kalangan penumpang bahawa mereka boleh ‘menjadi tua di jalan’. (Gambar: Antara)
Jakarta menjadi salah satu contoh paling ketara tentang bagaimana pertumbuhan kota dan tekanan alam sekitar bersilang di titik yang berbahaya.

Nusantara dan Masa Depan Jakarta

Pada September 2025, Presiden Prabowo Subianto menetapkan Nusantara sebagai ibu kota administratif (pentadbiran) Indonesia. Keputusan ini menandakan bermulanya proses pemindahan fungsi pentadbiran pemerintah dari Jakarta ke sebuah kota baharu di tengah hutan Kalimantan Timur.
Related article image
Gambaran Kota Nusantara, Ibu Kota Politik Indonesia, apabila pembangunannya kelak disiapkan sepenuhnya. (Gambar: ikn.go.id)
Keputusan tersebut membuka lembaran baharu dalam sejarah Jakarta. Tanpa beban pentadbiran sebagai ibu kota, Jakarta berpeluang menyusun semula keutamaan pembangunannya. Tumpuan dapat dialihkan dengan lebih jelas kepada pengangkutan awam yang lebih bersepadu, pengurusan alam sekitar yang lebih tegas, serta peningkatan kualiti ruang hidup penduduknya.

Tidak banyak bandar besar di dunia yang memperolehi peluang seperti ini. Lazimnya, sebuah bandar terus berkembang sambil memikul beban politik, ekonomi, dan sosial dalam satu masa. Jakarta sebaliknya berpeluang memisahkan fungsi tersebut. Nusantara memegang peranan pentadbiran dan Jakarta berpotensi menajamkan peranannya sebagai pusat ekonomi, budaya dan kawasan urban terbesar di Indonesia.
Related article image
Monumen Selamat Datang yang diasaskan pada tahun 1961 oleh Presiden pertama Indonesia, Sukarno bagi menyambut tetamu negara. (Gambar: Wikipedia)
Sudah tentu, peluang ini bergantung kepada bagaimana transformasi bandar dirancang secara konsisten. Pemisahan fungsi politik dan ekonomi membuka ruang baharu untuk membayangkan masa depan Jakarta yang lebih manusiawi.

Jakarta sebagai Tapak Eksperimen Urban Abad Ini

Pada 2025, sebahagian besar kota terpadat di dunia berada di Asia. Banyak daripadanya berkembang dalam keadaan infrastruktur yang belum stabil serta tekanan alam sekitar yang tinggi. Jakarta merupakan salah satu wajah paling jelas bagi fenomena tersebut.

Namun di tengah pelbagai cabaran, muncul ruang awam baharu. Perpustakaan awam yang dahulu sepi mula menjadi tempat belajar dan bekerja. Ruang kreatif tumbuh di lorong kecil, rumah kedai dan pusat bandar. Ramai anak muda datang ke Jakarta untuk mencari pekerjaan, membina kerjaya, menyertai komuniti atau sekadar merasai kehidupan bandar yang lebih hidup.

Para penduduk yang berkongsi nasib yang sama turut memunculkan pelbagai inisiatif baharu dalam bentuk pengurusan sampah, pemantauan banjir, atau solidariti setempat ketika bencana melanda.

Ekonomi informal (tidak rasmi) mengisi ruang yang tidak dicapai oleh sistem formal. Bagi sebahagian penduduk, Jakarta bukan semata-mata beban tetapi tempat untuk mencuba perkara baharu, merancang masa depan dan membina hubungan sosial. Ritmenya (rentaknya) keras, namun tetap menawarkan peluang yang tidak selalu wujud di kota-kota yang lebih kecil. Walaupun sarat dengan masalah, kota ini terus melahirkan pelbagai inisiatif untuk bertahan.

Dalam konteks global, Jakarta boleh dilihat sebagai tapak eksperimen urban (bandar) abad ini. Ia menunjukkan bagaimana urbanisasi besar-besaran berlaku dalam keadaan infrastruktur yang belum stabil, bagaimana tekanan alam sekitar memaksa kota berubah dan bagaimana penduduk menyesuaikan diri di tengah-tengah cabaran tersebut.
Related article image
Bangunan pencakar langit di pusat Jakarta seperti dilihat dari kawasan Jakarta Selatan. (Gambar: Shubhi)
Pada akhirnya, memahami sesebuah kota bukan sekadar soal angka. Kaedah "Degree of Urbanization" yang digunakan PBB tahun ini mengingatkan kita bahawa sebuah kota tidak dibentuk oleh bangunan atau sempadan pentadbiran yang kaku tetapi oleh manusia yang membuat urat nadi kota itu terus berdenyut.

Pada tahun 1980-an dan 1990-an, ada satu gurauan yang sering digunakan para pelawak di Jakarta ketika itu: “Sekejam-kejamnya ibu tiri, lebih kejam ibu kota". Itulah gambaran lama tentang Jakarta sebagai kota yang penuh cabaran, kota yang secara berseloroh dikatakan membuat orang ‘menjadi tua di jalan’.
Related article image
Suasana “Car Free Day” di Depok, salah satu kota satelit yang terletak di pinggir Jakarta. (Gambar: Pemkot Depok)
Namun cabaran itu mendorong penduduknya untuk beradaptasi, membina sedikit keselesaan dan membentuk kehidupan yang sewajarnya. Jakarta perlahan-lahan berubah menjadi sebuah kota yang berusaha membuktikan bahawa kepadatan bukan sekadar beban tetapi juga dapat melahirkan pelbagai peluang.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita