Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Harapan Generasi Muda Bagi Keharmonian Agama Di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: “Inilah Indonesia yang sebenarnya!”

Kata-kata ini adalah satu daripada ribuan komen pada episod program YouTube di Indonesia yang bertajuk "Log In".

Dalam dua tahun kebelakangan ini, Log In menjadi salah satu program dakwah paling popular di Indonesia kerana ia membawa mesej keharmonian antara umat beragama.

Nama Log In sendiri berasal daripada istilah dalam dunia teknologi tetapi kemudiannya menjadi istilah jenaka bagi mereka yang ingin menukar agama atau kepercayaan.

Format jenaka dan komedi inilah yang kemudiannya digunakan dalam acara itu, di mana seolah-olah hos program, seorang ulama muda, cuba meyakinkan rakan hosnya yang bukan beragama Islam untuk “log-in” ke agama Islam.

Namun realitinya sangat berbeza. Program tersebut sebenarnya mengajak penonton mengenali pelbagai fahaman agama yang wujud di Indonesia dan mencari titik temu yang boleh dipersetujui bersama. Itulah sebabnya setiap episod menampilkan tetamu daripada pelbagai agama, dari Kristian, Buddha, Hindu, Sikh hingga agnostik. Di sinilah acara tersebut secara tidak langsung membawa mesej penting untuk saling menghormati dan sikap toleransi antara manusia dan kepercayaan yang berbeza.

Habib Jafar Al Hadar, ulama muda Indonesia yang menjadi hos Log In berkata, program itu bertujuan memperkukuhkan komitmen setiap jemaah terhadap agama yang dianuti.
Petikan gambar dari YouTube.
Menerusi akaun Instagramnya, Habib Jafar menulis bahawa dia tidak mahu agama hanya menjadi sekadar warisan daripada ibu bapa sejak lahir tetapi sebagai sebuah pilihan berdaulat dan ditaati.

Penerbit program itu seolah-olah sengaja ingin menunjukkan bahawa setiap manusia mempunyai pelbagai perbezaan termasuk perbezaan agama dan kepercayaan dan itu tidak menjadi masalah dalam kehidupan di negara majmuk seperti Indonesia.

Dalam salah satu episod yang popular, Log In menjemput seorang ibu Cina dari Surabaya bersama anaknya. Si ibu mengambil keputusan untuk memeluk Islam semasa anak-anaknya masih beragama Kristian. Apabila salah seorang anaknya berkahwin, ibunya tetap datang ke gereja untuk berdoa dengan ajarannya. Begitu juga apabila mereka pergi umrah, anak-anak mereka tanpa berfikir dua kali terus membayar perjalanan ibu mereka. Episod yang indah, penuh dengan gelak tawa dan tangisan yang mengundang banyak komen positif penonton yang kini mencecah hampir 6 juta orang.

Satu episod lain yang juga sangat popular ialah apabila Log In menjemput seorang paderi muda Kristian yang menjadi viral di Internet dengan trend "Perang Takjil."
Trend ini bermula apabila pengguna media sosial atau netizen bukan Muslim beramai-ramai ikut membeli takjil atau juadah berbuka di bulan Ramadan sebelum waktu berbuka. Pengguna media sosial Muslim kemudian membalas dengan mengatakan bahawa mereka akan membeli semua telur semasa perayaan Paskah. Orang yang tidak memahami konteks mungkin melihatnya sebagai satu penghinaan. Malah itu, semua hanya gurauan yang kemudiannya membuka jalan kepada penonton mengenali budaya dan kepercayaan antara agama yang berbeza. Episod itu telah ditonton rlebih 6 juta orang.

Apakah yang menjadikan acara seperti Log Ini begitu popular?

Pertama, pendekatan jenaka atau komedi yang mewarnai keakraban dua hos dan tetamu berlainan agama.

Kedua, dari hos hingga ke tetamu sampai penonton, kebanyakannya terdiri daripada golongan muda. Istilah-istilah Bahasa yang mereka gunakan juga sangat popular dalam kalangan golongan muda Indonesia. Log In adalah salah satu daripadanya.

Ada bertanggapan bahawa generasi muda sekarang sudah lebih biasa hidup dalam keberagamaan kerana pendidikan mereka lebih tinggi. Pesatnya perkembangan Internet juga menjadikan generasi muda sekarang lebih terpapar pada globalisasi dan ini membuatkan mereka berfikiran lebih terbuka. Ini terutama berlaku di kota-kota besar yang mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang maju.

Namun bukan bermakna generasi muda yang hidup di daerah-daerah tidak mempunyai kebiasaan yang sama, kerana selain faktor globalisasi, Indonesia sebenarnya sudah mempunyai bibit-bibit toleransi dalam adat, budaya dan kebiasaan hidup mereka. Ini misalnya boleh ditemui ketika menuju ke wilayah di bahagian timur Indonesia.

Nusa Tinggi Toleransi

Setiap tahun umat Kristian Katolik di Indonesia mengadakan acara besar yang dinamakan Pesta Paduan Suara Gerejani atau PESPARANI. Ia merupakan pertandingan paduan suara atau koir antara gereja-gereja dari seluruh Indonesia yang diadakan secara bergilir-gilir setiap tahun di kota berbeza di Indonesia.

Pada tahun 2022 PESPARANI diadakan di Nusa Tenggara Timur (NTT), sebuah wilayah di bahagian timur Indonesia di mana 90.56 peratus penduduknya beragama Kristian.
Pesta Paduan Suara Gerejani Katolik 2022. (Petikan gambar: Komsos Keuskupan Agung Ende (KAE)/YouTube)
Apa yang menarik, ketua pengerusi panitia (jawatankuasa) aktiviti itu adalah seorang ulama terkenal di NTT yang berasal daripada pertubuhan Islam Nahdlatul Ulama bernama Kyai Haji Jamaluddin Ahmad. Kejadian itu menjadi sorotan pelbagai media di Indonesia kerana ia dianggap jarang berlaku. Namun, mungkin bagi penduduk NTT ia adalah kejadian biasa.

NTT adalah provinsi (wilayah) yang sejak duhulu terkenal dengan keharmonian beragamanya sehingga masyarakatnya sering menyebut singkatan NTT sebagai “Nusa Tinggi Toleransi” atau pulau yang tinggi tingkat toleransinya.

Ia bukan sekadar ungkapan semata-mata. Setiap tahun Kementerian Agama di Indonesia mengeluarkan apa yang dinamakan Indeks Kerukunan (Keharmonian) Beragama atau KUB.

Indeks itu yang mengukur tahap keharmonian antara agama dan dibangunkan daripada tiga unsur iaitu toleransi, kerjasama dan kesetaraan (kesaksamaan). Pada 2023, Indeks KUB negara mencapai 76.02 atau meningkat daripada 72.30 poin (mata) pada 2021, manakala di peringkat wilayah tahun ini indeks tertinggi adalah Wilayah NTT dengan 81.07 poin (mata) atau lebih tinggi daripada peringkat nasional.

“Kalau nak belajar toleransi, datanglah ke Nusa Tenggara Timur,” kata Kyai Haji Pua Monto Umbu Nay, Ketua Nadhlatul Ulama NTT.

Tidak berlebihan jika beliau berkata demikian kerana masyarakat Islam di NTT yang hanya sekitar 9.5 peratus sudah biasa hidup bersama masyarakat Kristian tanpa pernah berselisih faham soal agama. Menurutnya, ini boleh berlaku kerana semua penganut agama mengamalkan agama masing-masing dengan baik dan itu juga bermakna hidup aman sesama manusia tanpa mengira etnik, bangsa dan agama.

Apa yang perlu diberi perhatian ialah keharmonian antara masyarakat beragama di NTT telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka sejak sekian lama dan telah diwarisi turun-temurun, sehinggalah ke golongan muda masa kini.
Golongan muda di Nusa Tenggara Timur. (Gambar: Megaswara Rizqy/Unsplash)
Golongan muda di wilayah tersebut giat terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk membina rumah ibadat mana-mana agama. Pada Hari Natal (Krismas), belia Islam menjaga keselamatan di sekitar gereja. Begitu juga ketika Hari Raya Aidilfitri, pemuda Kristian juga menjaga masjid agar orang ramai dapat beribadat dengan baik.

NTT hanyalah satu wilayah kerana banyak wilayah lain di Indonesia juga mempunyai budaya hidup rukun walaupun berbeza suku, bangsa dan agama. Menurut Kementerian Agama di bawah NTT, ada wilayah lain yang juga memiliki Indeks Kerukunan Beragama yang tinggi seperti Papua, Sulawesi Utara, Bali, Kalimantan, Maluku, Kepulauan Riau dan masih banyak lagi.

Memang suatu ketika Indonesia mengalami pelbagai serangan oleh golongan berfahaman radikal yang cuba mengganggu kehidupan di negara ini.

Namun radikalisme ini semakin lama semakin berkurang kerana Indonesia sebenarnya sudah lama mempunyai budaya yang menghormati perbezaan dalam masyarakatnya. Budaya ini adalah aset utama untuk mengekalkan keharmonian dan harus diwarisi turun-temurun khususnya generasi muda.
(Gambar hiasan: Eyestetix Studio/Unsplash)

Ini penting kerana pada masa ini generasi muda benar-benar menjadi asas harapan untuk masa depan yang lebih baik bagi kerukunan beragama di Indonesia, lebih-lebih lagi kerana jumlah Gen-X dan Gen-Z kini mendominasi penduduk Indonesia, mencecah lebih 50 peratus

Orang NTT mempunyai ungkapan yang baik untuk menggambarkan perkara ini, iaitu: "Katong Samua Basodara" atau kita semua bersaudara!
 



MENGENAI PENULIS
Rane Hafied adalah penulis dan podcaster dari Jakarta.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan