Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Generasi Muda Mencorak Landskap Media Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Tanya sahaja generasi muda hari ini, adakah mereka masih tahu apa itu surat khabar?

Mungkin mereka tidak tahu lagi. Malah ada anekdot yang mengatakan anak muda kini tahu rupa akhbar (surat khabar) selepas dijadikan pembungkus makanan yang dijual di tepi jalan. Tetapi itu bukan bermakna mereka tidak mencari berita dan maklumat. Hanya corak penggunaan media sahaja yang mungkin berbeza.

Pelbagai tinjauan mendapati bahawa generasi muda hari ini lebih banyak mencari berita dari platform media sosial berbanding portal berita online, apatah lagi akhbar (surat khabar) dan televisyen. Fenomena ini menjadi tumpuan perhatian besar di Indonesia yang mengalami apa yang dikenali sebagai 'bonus demografi', iaitu apabila jumlah penduduk usia produktif akan lebih besar daripada jumlah usia tidak produktif, mencapai hampir 70%.

Bonus demografi di Indonesia dijangka mencapai kemuncaknya sekitar tahun 2030 dan akan didominasi oleh Generasi Milenial (lahir pada tahun 1981-1996) dan Generasi Z (lahir pada tahun 1996-2010).

Keadaan ini sudah mula muncul dalam Pilihan Raya Indonesia baru-baru ini, di mana lebih 55% pengundi berasal dari usia muda. Fakta ini membuat para calon presiden dan calon ahli parlimen sibuk bertungkus lumus mencari cara yang mereka fikir boleh menarik perhatian generasi muda.

Related article image
(Gambar: AFP/Adek BERRY)

Lihat sahaja Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto yang kini berumur 72 tahun dalam kempen pilihan rayanya digambarkan dengan wajah ala watak anime dan menggunakan istilah popular seperti “gemoy” atau comel. Bukan pula semena-mena Prabowo selalu berjoget dalam hampir setiap kempen dan kemudian menjadi viral di media sosial. Sudah tentu ini adalah usaha mendekati generasi muda. Corak seperti ini dijangka akan berterusan kerana dalam beberapa bulan lagi Indonesia akan menghadapi pilihan raya di semua provinsinya (wilayahnya).

Tetapi bukan ahli politik sahaja yang mencuba semakin rapat dengan generasi muda. Bagi industri media di Indonesia, menyesuaikan diri dengan corak penggunaan media golongan muda khususnya Generasi Z amat penting agar media terus relevan pada masa hadapan. Hasilnya, kita melihat banyak perubahan dalam corak penyampaian berita dan maklumat oleh media arus perdana, serta kemunculan media-media baharu.


Corak Konsumsi Media Berubah

Tinjauan terbaharu dari Reuters Institute for the Study of Journalism (RISJ) pada tahun 2024 ini mendedahkan perubahan yang sangat signifikan dalam corak penggunaan (konsumsi) media di Indonesia. Tiga tahun lalu atau 2021, masih terdapat 20% responden di Indonesia yang menyebut surat khabar sebagai sumber berita mereka. Pada 2024, jumlah itu jatuh kepada hanya 9%.

Jadi ke mana mereka pergi untuk mencari berita? Hampir 80% mencari dengan menggunakan media online, termasuk media sosial.

Jika dibandingkan dengan corak penggunaan (konsumsi) media generasi muda di Indonesia, data ini menjadi cukup relevan. IDN Research Institute bersama Advisia dalam laporan Indonesia Gen Z Report 2024 menyatakan bahawa 73% responden menyebut media sosial sebagai rujukan utama untuk mencari berita. Surat khabar hanya membentuk 1% dan televisyen membentuk 7%.

Related article image
(Gambar: Pexels)
Maka wajarlah banyak media arus perdana hadir di pelbagai platform media sosial popular di Indonesia seperti Instagram, YouTube, Facebook, X (Twitter) dan TikTok.

Ya, generasi yang lebih tua mungkin tertawa apabila menyedari platform yang sentiasa sinonim dengan joget-joget itu kini menjadi tempat rujukan pencarian berita golongan muda. Namun pada kenyataannya, banyak media arus perdana seperti Kompas, Detik, Kumparan, Tempo dan CNN Indonesia yang telah berjaya mendapat jutaan pengikut di media sosial.

Begitu banyak media arus perdana Indonesia mula menghadirkan konten (kaundungan) ala TikTok atau Instagram Reels yang popular dengan ciri-ciri berdurasi pendek, tajuk berciri 'click bait' yang menimbulkan rasa ingin tahu, teks singkat dan berukuran besar serta muzik latar yang biasa diambil dari muzik yang popular.

Tetapi adakah kandungan pendek cukup untuk menjadi sumber berita yang boleh dipercayai? Adakah itu cukup untuk menggoda penonton untuk mencari versi berita yang lebih panjang? Ini masih perlu dibuktikan. Jawapannya mungkin ada dalam medium podcast.
Related article image
(Gambar: Pexels)
Podcast: Media Bentuk Panjang (Long Form) Baharu Indonesia? Podcast Bocor Alus

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Tempo, salah satu media paling dipercayai dan paling lama di Indonesia mula memberi perhatian kepada podcast sebagai medium untuk mencapai pendengar. Tidak seperti negara lain yang menggunakan platform Apple, Podcast telah mula menjadi media popular di Indonesia sejak 2018 menerusi platform Spotify.

Beberapa tinjauan mendedahkan bahawa penonton (pengikut/audiens) podcast di Indonesia kebanyakannya didominasi oleh generasi muda dari kalangan Milenial dan Gen-Z.

Ini boleh menjadi salah satu sebab Tempo mula menggunakan medium podcast untuk membungkus (menyampaikan) berita dengan cara yang lebih mudah difahami. Mereka mencuba beberapa format untuk bercakap dengan lebih mendalam tentang pelbagai peristiwa yang berlaku dan menjadi perhatian Tempo. Bagaimanapun, kemungkinan Tempo sendiri tidak pernah menjangkakan format podcast terbaharu mereka, yang mungkin paling sederhana malah berjaya menarik perhatian orang ramai.

Kira-kira setahun yang lalu, tepatnya pada 20 Mei 2023, Tempo memperkenalkan format podcast baharu bertajuk "Bocor Alus" yang menjadi sangat popular, terutamanya semasa pilihan raya.

Dari namanya sahaja podcast ini kedengaran sangat popular dalam kalangan masyarakat Indonesia. “Bocor Alus” atau kebocoran halus ialah istilah apabila tayar atau roda kenderaan tercucuk oleh objek tajam yang sangat kecil sehingga udara di dalamnya keluar sedikit demi sedikit dan jika dibiarkan lama ia akan habis.

Istilah ini popular dalam kalangan tukang membaiki tayar kereta dan motosikal yang sering ditemui di tepi jalan di bandar-bandar di Indonesia. Dalam perkembangannya, "Bocor Alus" juga membawa maksud apabila seseorang membocorkan maklumat sedikit demi sedikit tetapi kerap dan akhirnya ia menjadi berita besar.

Format Podcast “Bocor Alus” Tempo adalah sangat mudah iaitu perbualan ringan antara wartawan mengenai maklumat yang mereka sediakan untuk versi cetak atau digital.

Oleh sebab itu podcast ini adalah semacam pengenalan kepada pembaca untuk mengetahui berita yang sedang berlaku sebelum diterbitkan. Tetapi walaupun berupa perbualan ringan antara wartawan, adalah menarik bahawa mereka masih mengutamakan etika kewartawanan yang sangat dipegang erat oleh Tempo.
Related article image
(Gambar: YouTube/Bocor Alus Politik)
Sebagai contoh, mereka sentiasa menyebut sumber maklumat atau sekurang-kurangnya di mana maklumat ini diperolehi dan pihak-pihak mana yang boleh mengesahkannya. Dengan cara ini pendengar akan menerima berita yang boleh dipercayai, tepat dan disampaikan dalam gaya bersembang yang sangat santai supaya mudah difahami. Mereka juga memberikan hak membalas kepada pihak yang disebut dalam podcast untuk dapat membuat klarifikasi (penjelasan).

"Bocor Alus" nampaknya menggunakan formula yang betul, bermula daripada memilih nama, format perbualan yang ringan tetapi padat, tajuk yang menarik perhatian dan pemilihan topik yang sedang dibincangkan.

Ambil contoh apabila Bocor Alus menyiasat skandal di Mahkamah Perlembagaan (Mahkamah Konstitusi) yang mengakibatkan anak Presiden Jokowi, Gibran Rakabuming Raka boleh menjadi calon Naib Presiden bagi Prabowo Subianto. Satu lagi episod yang turut dibincangkan secara meluas malah dilaporkan kepada Dewan Pers (Press Council) ialah skandal permit pertambangan (mining) (perlombongan) yang didakwa melibatkan salah seorang menteri Jokowi.

Apa yang menarik tentang Podcast “Bocor Alus” ialah cara mereka membuat liputan dalam setiap episod yang lengkap dan dibahas dari pelbagai sudut pandangan. Ini mengingatkan kita tentang format kandungan bentuk panjang (long form) dalam surat khabar atau majalah dan televisyen dalam bentuk feature atau konten investigatif (kandungan bercorak penyiasatan). Mungkinkah ini format panjang baharu dalam dunia media di Indonesia?

Boleh jadi Tempo adalah yang pertama menggunakan format podcast seperti ini sambil tetap menjunjung prinsip kewartawanan, di tengah-tengah banyaknya kandungan podcast berformat serupa yang kelihatan lebih seperti gosip politik tanpa asas yang jelas, walaupun ia menjemput sumber nama-nama besar.
Related article image
(Gambar: Facebook/Catch Me Up)
Daripada Anak Muda kepada Anak Muda

Di tengah-tengah kesibukan media arus perdana di Indonesia yang bersaing untuk menarik perhatian generasi muda, terdapat juga media baharu yang menyasarkan golongan muda sejak awal, malah tidak sedikit juga yang diusahakan juga oleh golongan muda.

Catch Me Up ialah media yang dicipta oleh golongan muda. Mereka menggunakan format surat berita harian yang dihantar kepada emel pelanggan setiap hari pada jam 6.00 pagi.

Kandungannya mengandungi berita tetapi menggunakan gaya bahasa yang tipikal (lazimnya) untuk generasi muda. Menurut laman web mereka, Catch Me Up memenuhi keperluan generasi Milenium yang sibuk dan tiada masa luang. Format surat berita melalui emel ini boleh menjadi semacam ringkasan peristiwa yang berlaku supaya golongan Milenial dapat terus mengetahui pelbagai peristiwa yang berlaku di tengah-tengah kehidupan mereka yang sibuk. Catch Me Up juga mempunyai saluran podcast yang dikenali sebagai Listen Up.

Masih banyak kandungan serupa yang juga popular dalam kalangan generasi muda Indonesia. Sebut saja Podcast “Makna Talks” bersama hos Iyas Lawrence yang membangkitkan perbualan tentang pelbagai hal ehwal semasa untuk generasi muda.

Terdapat juga Podcast Subjektif, salah satu perintis masa awal podcast di Indonesia bersama hos Iqbal Hariadi. Podcast ini membincangkan tentang kerjaya dan pembangunan diri yang relevan untuk generasi Milenial.

Namun, apabila bercakap mengenai media khusus untuk generasi muda, ada satu perkara yang perlu diambil kira iaitu kehadiran IDN Media. Mereka mendakwa sebagai media terkemuka khusus untuk Generasi Milenial dan Gen-Z dengan menggunakan pelbagai platform dan saluran kandungan.
 
Related article image
(Gambar: Facebook/IDN Media)
IDN Media diasaskan oleh dua beradik Winston Utomo dan William Utomo. Sepuluh tahun lalu Winston, yang masih bekerja di Google Singapore, menjemput adik lelakinya William, yang tinggal di Amerika Syarikat, untuk menubuhkan sebuah syarikat media.

Hasrat ini tercetus selepas mereka melihat bahawa tidak ada media yang menyasarkan golongan Milenial dan Gen Z secara khusus.

Sepuluh tahun kemudian IDN Media menukar namanya kepada IDN dengan fokus kepada live streaming (khidmat penstriman), 'creator economy', hiburan dan media digital. Salah satu produk mereka yang kini mula mendapat perhatian ramai ialah IDN Times, yang merupakan media digital pelbagai platform Indonesia untuk generasi muda.

Melibatkan generasi muda masa kini sangat penting kerana mereka adalah masa depan sebuah negara.

Presiden Joko Widodo pernah memproklamirkan (mengisytiharkan) apa yang dinamakannya “Indonesia Emas 2045.” Inilah era ketika Indonesia akan menjadi negara maju yang salah satunya bermodalkan bonus demografi yang tinggi bagi penduduk usia produktif khususnya dalam kalangan generasi muda.

Memetik kata-kata legendaris Presiden pertama Indonesia, Sukarno, "Beri saya 1000 orang tua, saya pasti akan mencabut Gunung Semeru dari akarnya. Berikan saya 10 orang muda, saya pasti akan menggegarkan dunia."

Sudah tentu peranan media sangat strategik dalam membentuk mereka dimulai dari sekarang, kerana tak terasa 2045 tidak terlalu jauh di hadapan.

Jangan biarkan kata-kata Sukarno berhenti menjadi luahan kosong semata-mata.
Related article image
MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita