NOTA DARI JAKARTA: Fenomena “Judol” Mencengkam Indonesia
Memang susah untuk dipercaya akal, tetapi ini bukan adegan dari filem fiksyen yang direka-reka. Ini adalah satu kenyataan menyedihkan yang sedang berlaku di Indonesia pada masa ini.
Judi online yang popular di Indonesia dengan istilah “judol” kini telah meresap ke dalam kehidupan kanak-kanak yang sudah memiliki akses kepada telefon bijak. Berdasarkan maklumat yang didedahkan dalam salah satu podcast oleh Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan Indonesia (PPATK), 2 peratus daripada pemain judi online di Indonesia adalah kanak-kanak bawah umur 10 tahun, iaitu sama dengan kira-kira 80,000 kanak-kanak. Jika angka itu belum cukup mengejutkan, ada 11 peratus pemain judol yang berusia antara 10 hingga 20 tahun dan ini menunjukkan bahawa lebih daripada 500,000 daripada golongan muda di negara ini kini terperangkap dalam kancah gelap ini.
PPATK juga mendapati bahawa terdapat lebih daripada 1,000 Anggota Parlimen di peringkat pusat dan daerah yang terlibat dalam transaksi judi online. Keadaan menjadi semakin rumit apabila baru-baru ini terdedah adanya pihak-pihak tertentu dalam salah satu kementerian yang sepatutnya memantau dan menyekat laman-laman judi online, tetapi sebaliknya melakukan perkara bertentangan. Mereka memastikan laman-laman judi tersebut dapat terus beroperasi dengan bebas dengan imbalan bayaran berjuta-juta rupiah setiap bulan.
Bagaimanakah industri haram ini boleh berkembang begitu pesat di Indonesia?
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi generasi muda daripada kehilangan masa depan mereka akibat ketagihan yang tidak kelihatan ini?
Bermula dari Pandemik COVID-19
Penyebaran meluas judi online di Indonesia dan juga kawasan serantau Asia Tenggara lain bermula daripada pandemik COVID-19, apabila sekatan pergerakan manusia dilaksanakan bagi mencegah penularan virus yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.
Menurut Ketua Divisi (Divisyen) Hubungan Antarabangsa Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Krishna Murti, pusat perjudian online ini berpusat di negara-negara wilayah Mekong (Mekong Region) seperti Kemboja, Laos, dan Myanmar. Pada awalnya, kawasan-kawasan tersebut mempunyai zon khas yang dibuka untuk aktiviti perjudian, yang sangat digemari oleh pelancong dari pelbagai negara. Namun, akibat sekatan perjalanan semasa pandemik, para pengendali ini mula mengembangkan perniagaan judi mereka secara online.
Agar perniagaan judi online ini terus berkembang, para pengendali merekrut orang-orang dari pelbagai negara, termasuk Indonesia. Di sinilah masalah menjadi lebih pelik. Menurut Inspektor Jeneral Krishna Murti, sehingga kini ratusan rakyat Indonesia telah direkrut sebagai pekerja di Kemboja, Myanmar, atau Laos untuk menjadi operator judi online yang menyasarkan Indonesia.
Tidak sedikit pun daripada mereka yang tertipu dengan tawaran kerja tersebut kerana pada awalnya menyangka mereka akan bekerja sebagai developer (pembangun) permainan. Namun, ternyata mereka diminta menjadi developer dan operator judi online.
Bentuk perjudian yang dijalankan ini sangat pelbagai, termasuk permainan 'slot', 'poker', 'blackjack', dan 'roulette' yang paling popular di Indonesia.
Judi online ini boleh diakses sama ada melalui komputer mahupun telefon bijak dengan sambungan internet. Kebiasaannya, para pemain membuat deposit melalui pemindahan wang menggunakan mesin ATM atau perbankan online, malah terdapat juga kaedah yang menggunakan potongan kredit telefon bimbit. Kemudahan seperti ini menjadikan “judol” sangat popular dalam pelbagai lapisan masyarakat di Indonesia.
Bermula dari Godaan “Gacor” Hingga Nyawa Terkorban
Judi online sudah hampir berakar dalam masyarakat Indonesia, sehingga dianggap seperti permainan biasa. Namun, seperti bentuk perjudian lain, judi online ini membuat pemain ketagihan sehingga pelbagai cara dilakukan untuk menang, meskipun harus mengorbankan wang yang banyak, bahkan hingga nyawa menjadi taruhan.
Judi 'slot' yang paling popular di Indonesia, misalnya, sangat mudah dimainkan. Pemain hanya perlu menekan satu butang di skrin telefon bijak, yang akan memutar pelbagai jenis gambar. Jika beberapa gambar yang sama muncul, mereka menang, dan wang kemenangan akan dimasukkan ke dalam deposit mereka. Semudah itulah permulaan orang diperangkap oleh judi.
Pada pertengahan tahun lalu, seorang Anggota Parlimen wilayah Jakarta tertangkap kamera wartawan sedang bermain judi slot semasa persidangan. Dalam foto tersebut, nampak dia sedang menekan skrin tablet besar di hadapannya ketika Parlimen Jakarta sedang bersidang. Pada mulanya, dia mendakwa hanya bermain permainan Candy Crush yang sememangnya sedang popular. Namun, apabila foto itu menjadi viral (tular), ramai mengenali paparan di skrin tersebut sebagai permainan judi slot. Anggota Parlimen itu akhirnya memohon maaf dan diberhentikan oleh parti yang menyokongnya.
Judi slot dan bentuk perjudian lain yang banyak berleluasa di Indonesia rata-rata mempunyai pola yang sama, iaitu menjanjikan kemenangan besar kepada mereka yang baru mula bermain. Dalam kalangan pemain, fenomena ini dikenali dengan istilah “gacor,” yang bermaksud “gampang bocor” atau mudah menang.
Justeru kerana selalu “gacor” inilah kebanyakan pemain menjadi ketagih dan terus bermain sehingga akhirnya keajaiban “gacor” itu akhirnya hilang. Ketika itu, mereka mula mengalami kerugian besar sehingga terpaksa berhutang di sana sini. Mangsa pun bertambah ramai.
Di Kalimantan Tengah, seorang guru ditangkap polis kerana mencuri telefon bimbit milik ibunya dan menggunakan kad pengenalan adiknya sebagai jaminan untuk meminjam wang bagi bermain judi dalam talian. Di Jawa Barat, seorang lelaki kehilangan rumah dan keluarganya sehingga akhirnya mengalami gangguan mental kerana tidak mampu menahan tekanan akibat kalah berjudi online.
Apa yang lebih menyedihkan adalah kanak-kanak bawah umur yang menghabiskan wang saku mereka atau mencuri wang ibu bapa untuk berjudi. Ramai daripada mereka terdedah kepada perjudian ini selepas melihat iklan-iklan judi semasa menonton video kegemaran mereka, seperti 'live streaming' permainan video yang kerap mempromosikan judi online.
Tidak kurang juga kes di mana nyawa menjadi taruhan. Di Sumatera Utara, seorang pegawai tentera laut menembak dirinya sendiri kerana terlilit hutang akibat judi online. Sementara itu, di Jawa Timur, seorang anggota polis wanita membakar suaminya kerana marah dia menghabiskan wang perbelanjaan keluarga untuk “judol.”
Indonesia Darurat “Judol”
Indonesia kini berada dalam situasi darurat akibat judi online yang telah merosakkan pelbagai aspek kehidupan, daripada institusi keluarga hingga ke pentadbiran negara. Hal ini antara lain disuarakan oleh sejumlah Anggota Parlimen Indonesia yang mendesak negara agar mengambil langkah tegas untuk membanteras amalan ini.
Pelbagai peristiwa yang berlaku semakin membuka mata pemerintahan Indonesia terhadap fenomena membimbangkan ini.
Menurut Menteri Koordinator Politik dan Keamanan Indonesia, Budi Gunawan, jumlah pemain judi online di Indonesia telah mencapai lebih 8 juta orang, dengan perputaran wang sepanjang tahun 2024 sahaja dianggarkan sekitar 900 trilion rupiah.
Sebagai perbandingan, pembinaan ibu kota baharu Indonesia dianggarkan memerlukan lebih daripada 400 trilion rupiah, itu pun dikeluarkan seara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang.
Sudah tentu negara tidak berdiam diri. Sejak pemerintahan Presiden Joko Widodo, sebuah lembaga khas telah ditubuhkan untuk memerangi judi online, melibatkan pelbagai agensi berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Digital (Komdigi), Kementerian Koordinator Politik dan Keamanan, hingga Kementerian Agama.
Otoritas Jasa Kewangan (OJK) dan Bank Indonesia juga telah memblokir (menyekat) akaun bank dan dompet digital (e-wallet) yang disyaki digunakan untuk transaksi judi online. Sehingga 23 Julai 2024, sebanyak 6,199 akaun bank dan 573 akaun dompet digital telah diblokir berkaitan dengan aktiviti tersebut.
Pemerintah Indonesia juga turut bekerjasama dengan semua pengendali telekomunikasi untuk mengehadkan aktiviti judi online, termasuk mengehadkan jumlah kredit telefon yang boleh dipindahkan setiap hari bagi mengelakkan penggunaannya untuk transaksi judi.
Pelbagai platform media sosial turut menerima amaran daripada pemerintah kerana kebanyakan promosi judi online dilakukan secara besar-besaran melalui media sosial, melibatkan banyak pihak termasuk artis dan 'influencer' (pempengaruh) dengan jutaan pengikut serta bayaran yang sangat tinggi.
Pertumbuhan akses internet di Indonesia sangat pesat, menjadikannya negara dengan jumlah pengguna internet keempat terbesar di dunia. Pada tahun 2024, jumlah pengguna internet di Indonesia telah mencapai lebih daripada 200 juta orang, atau hampir 80 peratus daripada populasi (penduduknya).
Pertumbuhan ini perlu disertai dengan pemahaman literasi digital (celik digital) yang lebih meluas memandangkan kepelbagaian demografi penduduk.
Namun, fenomena judi online di Indonesia bukan sekadar isu literasi digital. Di sebalik janji kekayaan segera yang ditawarkan permainan ini, tersembunyi kehancuran keluarga, kanak-kanak yang kehilangan masa depan, dan masyarakat yang semakin berpecah.
Kini masanya semua pihak, baik pemerintah, masyarakat antarabangsa, dan individu, memainkan peranan untuk memastikan masa depan rakyat tidak berakhir di meja judi.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.