NOTA DARI JAKARTA: 'Asik Bang' dan 'YOI' ajak anak muda Indonesia cinta budaya, hindar ajaran radikal

Finalis Youth of Indonesia Festival di Pontianak dengan seni budaya khas Dayak. (Gambar: Rane Hafied)
JAKARTA: Petang itu Cannia Tsamararifa, gadis muda berusia 17 tahun, tampil menari dengan penuh keyakinan di atas pentas Taman Budaya di kawasan Lampung. Dia memakai pakaian tradisional berwarna cerah khas daerahnya. Cannia adalah salah satu peserta “Youth of Indonesia Festival” atau Festival Belia Indonesia, sebuah kompetisi (pertandingan) seni budaya untuk anak muda yang diadakan di Provinsi Lampung pada 26 Jun 2024.
Pada festival itu, Cannia menarik perhatian juri, bukan sahaja kerana dia menari secara tradisional dengan indah dan bersemangat, tetapi kerana dia melakukannya sambil memakai kasut bilah roda atau roller blade.

Bagi Cannia, ini adalah perkara biasa kerana dia merupakan atlet bilah roda antarabangsa yang telah menjelajah ke banyak negara dari Thailand, China hingga Singapura. Namun apabila kemahirannya digabungkan dengan gerak tari tradisional, dia berjaya menarik perhatian juri yang tanpa teragak-agak memilihnya sebagai pemenang tempat pertama.
Bukan hanya Cannia keseorangan kerana aktiviti ini akan diadakan di 34 wilayah seluruh Indonesia sepanjang tahun 2024, semuanya diikuti anak-anak muda seusianya.
Ada satu perkara mengenai festival ini yang boleh mencetuskan pertanyaan ramai orang. Aktiviti ini dianjurkan oleh Badan Nasional Penanggulangan Terorisme atau Agensi Kebangsaan Antiterorisme atau dalam Bahasa Indonesia disingkatkan kepada BNPT Republik Indonesia.
Mengapakah institusi negara yang menangani pencegahan terorisme (pengganasan) melaksanakan sebuah aktiviti seni dan budaya untuk golongan muda?
Menurut Ketua Subdirektorat Pemerkasaan Komuniti (Kepala Subdirektorat Pemberdayaan Masyarakat) BNPT, Kolonel Harianto S.Pd. M.Pd, jika dilihat pada statistik tahun 2021 sahaja, golongan belia telah mencapai hampir seperempat daripada jumlah penduduk di Indonesia iaitu sekitar 23.90% atau sekitar 63.92 juta orang yang didominasi oleh golongan berusia 19 hingga 24 tahun.

Dalam mesyuarat nasionalnya pada awal 2024 ini, BNPT menyatakan terdapat tiga golongan dalam masyarakat yang paling terdedah kepada proses radikalisasi, iaitu wanita, anak muda dan kanak-kanak.
Proses radikalisasi ini dijalankan secara sistematik, besar-besaran dan terancang dengan memanfaatkan simbol-simbol yang berkaitan dengan agama tertentu.
Bercakap mengenai terorisme, pada tahun 2024 kedudukan Indonesia dalam Global Terrorism Index atau Indeks Terorisme Global berubah dari peringkat ke-31 kepada peringkat ke-24. Menerusi laman BNPT, perubahan peringkat ini menjadikan Indonesia memasuki kategori impak rendah mengikut terorisme (low impact by terrorism) selepas berada dalam kategori impak medium (sederhana) (medium impact) pada tahun 2023.
Ini dapat dilihat daripada ketiadaan serangan terorisme sejak 2023 hingga pertengahan 2024. Malah dalam berita terkini dilaporkan para bekas pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) telah mengisytiharkan diri untuk bubar dan berjanji tidak lagi akan menggunakan kekerasan.
Sememangnya fakta baharu ini cukup melegakan rakyat Indonesia, tetapi ia tidak bermakna penurunan kewaspadaan. Pada awal tahun ini, Direktur atau Pengarah Pencegahan BNPT, Prof. Dr. Irfan Idris, MA, pernah dipetik media Indonesia sebagai berkata, pergerakan rangkaian pengganas di Indonesia hari ini tidak lagi terang-terangan, sebaliknya melalui pendekatan lembut yang dibalut dengan naratif dan simbol agama.

Salah satu corak perekrutan yang popular buat masa ini adalah menggunakan media sosial yang sudah tidak asing lagi bagi golongan muda, bukan sahaja di Indonesia malah di seluruh dunia. Inilah sebabnya mengapa mereka perlu menjadi tumpuan perhatian.
Festival YOI: Menghadapi Radikalisme dengan Kearifan Tempatan
Anak muda merupakan antara sasaran utama Subdirektorat Pemerkasaan Komuniti BNPT yang diketuai oleh Dr. Harianto. Kerana itu untuk menjemput penglibatan mereka perlu menggunakan kaedah yang popular dalam kalangan anak muda.
“Kami mengadakan aktiviti dalam sektor belia dan pendidikan yang menyasarkan semua aktiviti mereka. Kenapa? Kerana untuk mencegah radikalisme, kita tidak tahu siapa sasaran dan subjeknya. Terutama belia zaman sekarang dengan media sosial mereka,” kata Dr. Harianto.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini pelbagai aktiviti diadakan untuk anak muda di seluruh Indonesia, dari Aceh hingga Papua, dari Kalimantan Utara hingga Nusa Tenggara Timur. Jika pada tahun-tahun sebelumnya golongan muda ini didekati dengan aktiviti muzikal yang dinamakan Aksi Muzik Anak Bangsa atau lebih dikenali sebagai “Asik Bang,” maka pada tahun ini budaya dan kearifan tempatan menjadi tema besar, dengan nama aktiviti Youth of Indonesia Festival atau singkatannya YOI Festival. Singkatan "Yoi" itu sendiri dekat dengan orang muda Indonesia kerana ini adalah bahasa slang (slanga) yang biasa mereka gunakan yang bermaksud "Ya."


Pemilihan budaya dan kearifan tempatan sebagai tema aktiviti pada tahun ini bukanlah secara kebetulan.
“Kerana mereka yang menyebarkan radikalisme dan sikap tidak bertoleransi cenderung tidak menyukai budaya dan kearifan tempatan. Mereka menganggapnya tidak selaras dengan kepercayaan mereka,” kata Ken Setiawan, Ketua Pemuda dan Pendidikan di Forum Koordinasi Pencegahan Terorisme atau FKPT Wilayah Lampung. FKPT adalah organisasi yang menjalankan tugas BNPT di peringkat wilayah. Ken dulunya adalah mantan anggota organisasi radikal yang kini giat membantu mantan anggota lain yang telah mengisytiharkan peletakan jawatan mereka.
Pada masa yang sama, aktiviti YOI Festival diharap dapat menjadikan anak muda di seluruh Indonesia lebih mencintai budaya tempatan mereka sendiri. Oleh sebab itu, mereka telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam kompetisi (pertandingan) yang bertemakan budaya tempatan.
Hasilnya sangat menarik kerana melalui gabungan semangat khas anak muda dan pemahaman budaya, mereka mementaskan karya-karya menarik mulai dari lagu daerah, puisi, gurindam, hingga tarian tempatan dengan sentuhan moden ala anak muda, seperti yang dibawakan oleh Cannia di Lampung.
YOI Festival juga turut memanfaatkan medium podcast yang kini popular dalam kalangan anak muda Indonesia. Di setiap wilayah satu episod podcast dirakamkan yang mengandungi perbincangan tentang budaya tempatan, pencegahan radikalisme serta sikap tidak bertoleransi, dan memaparkan karya budaya anak muda yang dipertandingkan di festival tersebut.
Hasil rakaman itu diterbitkan di beberapa saluran podcast dengan nama Youth of Indonesia Podcast atau YOI Podcast. Aktiviti ini masih diteruskan sehingga kini, dan apabila festival itu berakhir menjelang penghujung tahun 2024, akan ada 34 episod YOI Podcast dengan pelbagai cerita dan persembahan kebudayaan dari pelbagai wilayah di Indonesia.
Ini boleh menjadi rekod tersendiri kerana tidak pernah ada podcast yang dirakam secara bergilir-gilir dari satu wilayah ke wilayah lain untuk mencapai hampir semua wilayah di Indonesia.
“Nusa Tinggi Toleransi:” Indahnya Saling Menghormati Perbezaan
Bercerita tentang perbezaan, ada perkara menarik yang dirakamkan oleh YOI Podcast di Kupang, ibu kota Provinsi (wilayah) Nusa Tenggara Timur, yang mengambil masa lebih 3 jam penerbangan dari Jakarta.
Dalam kalangan masyarakat Kupang, singkatan Nusa Tenggara Timur atau NTT sering disebut sebagai Nusa Tinggi Toleransi, kerana toleransi yang tinggi antara pelbagai agama dan budaya di sana. Nusa Tinggi Toleransi bukan sekadar permainan kata. Di kawasan di mana lebih daripada 80% penduduknya menganut agama Kristian, perbezaan tidak menjadi masalah.

Penduduk NTT saling membantu di tengah-tengah perbezaan, contohnya ketika membina rumah ibadat atau semasa sambutan hari perayaan agama di mana mereka menjaga keselamatan masing-masing. Semua ini sering berlaku secara spontan.
Menariknya, beberapa tahun lalu NTT menjadi tuan rumah sebuah festival koir gereja penganut Kristian yang menjemput peserta daripada seluruh wilayah Indonesia. Pada masa itu ketua panitia (jawatankuasa) kegiatan berasal dari tokoh pertubuhan Islam, Nahdlatul Ulama Wilayah NTT.
Kejadian ini menunjukkan betapa kuatnya toleransi di NTT. Hal ini disahkan oleh Kyai Haji Pua Monto Umbu Nay, Pengerusi Nahdlatul Ulama Wilayah Nusa Tenggara Timur. Menerusi YOI Podcast, beliau malah berkata jika anda ingin belajar toleransi, datanglah dan tinggal di NTT, kerana anda akan merasainya secara langsung.
Menghormati perbezaan adalah mesej penting yang ingin dibawakan oleh YOI Festival kepada anak muda Indonesia. Menerusi festival itu, mereka boleh melihat sendiri kepelbagaian budaya di Indonesia. Bagi golongan muda, perbezaan ini tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang pelik dan memecahbelahkan.
Inderjit Singh adalah salah satu contohnya. Anak muda berketurunan India yang dilahirkan dan dibesarkan di Indonesia ini tinggal di Batam dan merupakan pemenang kedua pertandingan podcast seluruh Indonesia bernama “Karakter ID” yang diadakan oleh BNPT tahun lalu. Dia menyedari sendiri betapa perbezaan adalah sesuatu yang normal dan sebenarnya boleh menyatukan, bukan memecah belah.
“Jika bercakap tentang perbezaan, adakah aku kurang berbeza? Aku memakai penutup kepala, agamaku Sikh yang jarang ditemui di Indonesia, aku belajar di sekolah Kristian dan tinggal di negara majoriti Muslim. Tetapi di sekolah, kawan-kawan melayan aku dengan baik. Tak ada masalah,” katanya di hadapan peserta pelatihan podcast tahun lalu. Gaya bertutur bahasa Melayunya kedengaran sangat pekat.
Ciri-ciri ajaran radikal yang tidak toleran ialah mudah mengkafirkan orang lain dan menentang mereka yang mempunyai cara hidup dan pemahaman yang berbeza, termasuk budaya yang berbeza.
Justeru seperti Inderjit, golongan muda perlu diajak memahami dan melihat sendiri betapa perbezaan bukanlah sesuatu yang memecah belah, malah membuat kita menjadi bersatu. Ini serupa dengan pendapat Nanang Hape, pemerhati budaya dan dalang Jawa yang sudah beberapa bulan menjelajah pelbagai wilayah di Indonesia untuk menjadi juri YOI Festival.
“Awak nak pilih yang mana? Pilih untuk berpura-pura bersatu tetapi mengabaikan perbezaan, atau menyedari perbezaan kemudian menyedari perpaduan. Jika saya memilih untuk menyedari perbezaannya terlebih dahulu. Jadi kita kena sedar perbezaan dahulu, baru fikirkan perpaduan.” kata Nanang menutup perbualan dalam episod YOI Podcast daripada BNPT RI.
MENGENAI PENULIS

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.