Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Apabila Jakarta Bukan Lagi Ibu Negara Indonesia

Pada akhir bulan lalu Parlimen Indonesia telah meluluskan Undang-Undang Daerah Khusus Jakarta yang akan menentukan nasib kota Jakarta. Undang-undang baharu ini akan membuka jalan bagi Presiden Joko Widodo untuk memutuskan bahawa Jakarta tidak lagi menjadi Ibu Negara Indonesia kerana rasmi akan berpindah ke Nusantara, sebuah kota baru yang terletak di Kalimantan Timur. Jelas hal ini adalah satu peristiwa bersejarah bagi Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Apabila Jakarta Bukan Lagi Ibu Negara Indonesia

(Gambar: Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia)

JAKARTA: Pada akhir bulan lalu Parlimen Indonesia telah meluluskan Undang-Undang Daerah Khusus Jakarta yang akan menentukan nasib kota Jakarta. Undang-undang baharu ini akan membuka jalan bagi Presiden Joko Widodo untuk memutuskan bahawa Jakarta tidak lagi menjadi Ibu Negara Indonesia kerana rasmi akan berpindah ke Nusantara, sebuah kota baru yang terletak di Kalimantan Timur. Jelas hal ini adalah satu peristiwa bersejarah bagi Indonesia.

Dari Sunda Kelapa Menjadi Jakarta

Jakarta memiliki sejarah ratusan tahun, tepatnya 497 tahun. Bahkan kononnya ia adalah kota tertua yang menjadi pusat perdagangan dunia di kawasan Asia Tenggara kerana lokasinya yang strategik, dekat dengan Selat Malaka, Selat Sunda dan juga terhubung dengan beberapa pelabuhan dan bandar perdagangan besar di Jawa, Sumatera, dan Asia Tenggara.

Mulanya kota ini bernama Sunda Kalapa yang menjadi sebahagian daripada kekuasaan Kerajaan Sunda di Jawa Barat. Namun ia kemudian berganti nama menjadi 'Jayakarta' setelah dikuasai oleh Pangeran Fatahillah dari Kerajaan Demak pada 22 Jun 1527. Inilah tarikh yang sehingga kini disambut sebagai hari ulang tahun Jakarta.

Pada tahun 1600-an para pedagang rempah dari Belanda menguasai bandar pelabuhan itu dan mengubah namanya menjadi Batavia. Sejak itulah Batavia semakin menjadi bandar besar yang disinggahi para pedagang dari pelbagai pelosok dunia. Lokasi Jakarta yang sangat strategik ini menjadi perhatian banyak negara yang ingin menguasainya, termasuk Tentera Imperial Jepun pada tahun 1942. Inilah masa ketika Batavia bertukar nama kepada Jakarta dan dipergunakan sehingga kini.

Setelah Indonesia merdeka dari penjajahan Jepun pada tahun 1945, ibu negara Indonesia berpindah beberapa kali - mulai dari Jakarta, Yogyakarta, Bireun Aceh, Bukittinggi sehingga kembali lagi ke Jakarta pada tahun 1961.

Sejak saat itu Jakarta diisytiharkan sebagai ibu negara Indonesia oleh Presiden Pertama Indonesia, Sukarno, dengan nama rasmi Daerah Khusus Ibukota (Ibu Negara) Indonesia atau DKI Jakarta.

Sejak itu Jakarta mengalami pertumbuhan yang sangat pesat menjadi kota megapolitan dengan tingkat perekonomian terbesar kedua di Asia Tenggara setelah Singapura. Jakarta juga adalah ibu kota diplomatik bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
(Gambar: iStock)
Namun di sebalik pertumbuhan yang semakin lama semakin pesat itu, Jakarta menyimpan pelbagai masalah khas sebuah bandar besar.

Semasa kepemimpinan Presiden Suharto, pembangunan negara tertumpu di pulau Jawa, khususnya Jakarta. Akibatnya, beban Jakarta menjadi sangat besar dan mencetuskan pelbagai masalah kependudukan dan juga lingkungan hidup.

Tahap kepadatan penduduk di Jakarta adalah ratusan kali lebih besar daripada bandar-bandar lain di Indonesia. Bandar seluas lebih 664 kilometer persegi ini didiami lebih 11 juta orang.

Idea Memindahkan Ibu Negara Indonesia

Presiden Joko Widodo bukanlah yang pertama berkeinginan memindahkan ibu negara Indonesia.

Pada tahun 1957, Presiden Pertama Indonesia, Sukarno, pernah ingin memindahkan ibu negara Indonesia ke Palangka Raya, Kalimantan Tengah tetapi gagal kerana terjadi pelbagai pergolakan.

Pengganti beliau, Presiden Suharto juga mahu memindahkan ibu negara ke kawasan Jonggol, Jawa Barat. Rancangan itu hampir direalisasikan tetapi pergolakan politik berlaku pada tahun 1998 yang memaksa Suharto berundur daripada jawatannya.

Semasa kepemimpinan presiden Indonesia selanjutnya, wacana memindahkan ibu negara terus muncul, namun tidak juga terwujud kerana pelbagai hal, mulai dari faktor politik hingga ke ekonomi.

Pada saat yang sama Jakarta terus berkembang semakin padat, dan ini memicu pelbagai masalah. Setiap tahun orang dari pelbagai wilayah datang mencari rezeki di Jakarta, menjadikannya salah satu bandar yang mempunyai tahap kesesakan lalu lintas tertinggi di Asia malah dunia.
(Gambar: AFP)
Orang-orang memanggilnya kota yang paling macet di Indonesia. Keadaan ini baru hanya disedari setiap kali cuti Aidilfitri, apabila lalu lintas Jakarta tiba-tiba menjadi sangat sunyi, kerana orang ramai pulang ke kampung masing-masing.

Masalah lingkungan (sekitaran) juga terus menghantui. Hampir setiap tahun Jakarta dilanda banjir besar. Kota metropolitan ini juga mengalami penurunan ketinggian tanah antara 12 hingga 18 cm setiap tahun kerana pembangunan yang terus berlangsung dan eksploitasi air bawah tanah yang berlebihan.

Belum lagi hakikat bahawa pencemaran udara di Jakarta adalah salah satu yang paling teruk di Asia Tenggara.
(Gambar: AFP)
Bukan kebetulan bahawa Presiden Joko Widodo adalah mantan Gabenor Jakarta.

Meskipun hanya sekitar 2 tahun menjadi gabenor, Jokowi pastinya amat memahami pelbagai masalah yang dihadapi kota itu.

Ini kerana saat beliau terpilih menjadi presiden, salah satu hal yang beliau lakukan adalah memulai rencana memindahkan ibu negara Indonesia dengan berbekal pelbagai kajian yang sudah dibuat sejak sebelum masa kepemimpinannya.

"Kalau tidak kita laksanakan kajian-kajian yang ada ini, ya sampai kapan pun tidak akan terjadi. Memang diperlukan keberanian, ada risikonya dari situ, tapi kita tahu kita ingin pemerataan bukan Jawa-sentris tapi Indonesia-sentris," kata Presiden Joko Widodo saat menyampaikan ucapan.

Selain ingin mengurangkan beban Jakarta, Jokowi juga berharap pemindahan ini akan meratakan pertumbuhan ekonomi di Indonesia yang bukan sahaja tertumpu di pulau Jawa, atau apa yang disebutnya sebagai 'Java-centric'.

Apa Yang Akan Terjadi Selanjutnya bagi Jakarta?

Seiring dengan diluluskannya perundangan mengenai Jakarta oleh Parlimen Indonesia maka Presiden Joko Widodo akan mengeluarkan Keputusan Presiden yang menyatakan bahawa Jakarta sudah tidak lagi menjadi Ibu Negara Indonesia.

Bersamaan dengan itu, nama rasmi Jakarta yang semula adalah Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta akan bertukar menjadi Daerah Khusus Jakarta (DKJ). Status Jakarta juga akan menjadi daerah autonomi yang setara dengan provinsi (wilayah) lain di Indonesia, namun dengan sedikit perbedaan.

Ibarat manusia, Jakarta adalah kota yang semakin lama semakin uzur, dengan pelbagai masalah kependudukan dan lingkungan (environmental).
Kerja binaan jalan tol untuk menghubungkan Nusantara dengan bandar-bandar lain.

Tetapi tidak dapat dinafikan fakta bahawa selama beratus-ratus tahun bandar ini telah menjadi salah satu pusat perdagangan utama di rantau ini, dan itu tidak akan tergantikan. Jakarta dijangka akan kekal sebagai pusat perekonomian Indonesia, manakala pusat pemerintahan dan politik negara akan dipindahkan ke Nusantara.

Menurut Undang-Undang Daerah Khusus Jakarta yang baru diluluskan, Jakarta justeru akan menjadi sebuah wilayah besar yang terhubung dengan wilayah lain di sekitarnya dalam hal perencanaan dan tata ruang, yakni Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi dan Cianjur, atau istilahnya Kawasan Aglomerasi.

Sebenarnya konsep ini telah dilaksanakan di Jakarta dan sekitarnya, tetapi mengikut undang-undang baru, kawasan yang terdiri daripada beberapa bandar ini akan ditadbir oleh majlis khas yang dinamakan Majlis atau Dewan Aglomerasi dan akan diketuai oleh Naib Presiden.

Ini adalah konsep yang telah lama dirancang oleh pasangan calon Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka.

Sementara itu Gabenor dan kepala daerah lainnya tetap akan dipilih langsung oleh rakyat, dan mereka akan memimpin kawasan masing-masing. Majlis Aglomerasi yang nantinya akan menyelaraskan kerjasama antara setiap kawasan.

Jika berjaya, maka ini boleh jadi akan menjadikan rantau tersebut sebuah kawasan ekonomi yang sangat besar.

Jakarta boleh jadi adalah sebuah bandar yang semakin tua dan uzur, tetapi akan tetap memiliki peranan yang sangat penting. Sejarah ratusan tahun membuktikan berapa ramai pihak yang datang dan pergi bertempur di bandar besar ini demi mendapatkan lokasi dan potensinya yang sangat besar.

MENGENAI PENULIS

Rane Hafied adalah penulis dan podcaster dari Jakarta.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita