Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Antara Warisan dan Visi: Mengapa Hari Kemerdekaan Indonesia kembali disambut di Jakarta tahun ini?

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Antara Warisan dan Visi: Mengapa Hari Kemerdekaan Indonesia kembali disambut di Jakarta tahun ini?

Majlis peringatan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 pada tahun 2024 di Ibu Kota Nusantara (Gambar: Sekretariat Negara)

JAKARTA: Tahun 2024 menjadi penanda sejarah bagi Indonesia, sedang majlis peringatan bagi Hari Kemerdekaan buat pertama kalinya diadakan di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur.

Ini merupakan peristiwa yang sangat besar kerana selama ini majlis peringatan biasanya berlangsung di Jakarta. Ia seolah-olah ingin menyampaikan mesej bahawa pusat kekuasaan telah bergeser dan Indonesia sedang memasuki babak baharu.

Rakyat Indonesia sudah mula membayangkan bahawa Jakarta bukan lagi pusat pemerintahan, seiring dengan pemindahan kekuasaan ke jantung Kalimantan. Majlis Peringatan Hari Kemerdekaan di IKN bukan sekadar soal lokasi, tetapi merupakan pernyataan politik daripada Presiden Indonesia ke-7, Joko Widodo ketika menutup satu dekad masa kepimpinannya.

Namun hanya setahun kemudian, menjelang peringatan 80 tahun kemerdekaan Indonesia, pemerintahan baharu Presiden Prabowo Subianto memutuskan bahawa majlis peringatan Hari Kemerdekaan akan kembali diadakan di halaman Istana Merdeka, Jakarta, lokasi yang selama puluhan tahun memang telah menjadi pusat ritual Hari Kemerdekaan negara.

Menurut Timbalan Menteri Sekretaris Negara Indonesia, Juri Ardiantoro, keputusan ini diambil kerana Nusantara masih dalam proses pembangunan.

“IKN masih dalam proses penyelesaian pembangunan, jadi kami memberi tumpuan untuk menyiapkannya terlebih dahulu,” kata Encik Juri. Beliau turut menambah bahawa majlis peringatan tetap akan diadakan secara tempatan di IKN, meskipun pusat perayaan nasional tahun ini kembali ke Jakarta.

Juri Ardiantoro, Timbalan Menteri Sekretariat Negara Indonesia ketika mengumumkan perubahan lokasi majlis peringatan Hari Kemerdekaan ke-80. (Gambar: Antara)
Namun begitu, wajar sekiranya kembalinya majlis peringatan Hari Kemerdekaan ke Jakarta ini ditafsirkan sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar isu teknikal atau kesiapan prasarana. Jika melihat dari segi pembangunannya, hingga akhir Disember 2024, pembangunan Fasa 1 Ibu Kota Nusantara (IKN) telah mencapai 96 peratus, maka secara teknikal seharusnya sudah jauh lebih siap dibandingkan ketika majlis peringatan diadakan pada 17 Ogos 2024.

Presiden Prabowo pada tahun lalu juga pernah dipetik sebagai berkata bahawa majlis peringatan akan kembali diadakan di Nusantara. Kepada media Tempo, beliau berkata, "Insya-Allah (majlis peringatan) akan digelar di sini lagi." Maka apabila keputusannya berubah, wajar jika muncul pertanyaan: ada apa sebenarnya?

Jakarta Sebagai Simbol Politik Yang Masih Kukuh

Pada pagi Jumaat, 17 Ogos 1945, di sebuah rumah sederhana di Jalan Pegangsaan Timur No. 56, Jakarta, Ir. Soekarno membacakan naskah Proklamasi Kemerdekaan Indonesia yang telah disusun bersama Mohammad Hatta dan tokoh-tokoh lainnya pada malam sebelumnya.
Presiden pertama Indonesia, Sukarno, membacakan Proklamasi Kemerdekaan sambil ditemani oleh Timbalan Presiden Mohammad Hatta. (Sumber: Perpustakaan Nasional)
Pembacaan dilakukan sekitar pukul 10.00 pagi di halaman depan rumah dengan disaksikan oleh sejumlah tokoh pergerakan, para pemuda, dan penduduk setempat yang berkumpul secara spontan.

Setelah proklamasi dibacakan, bendera Merah Putih yang dijahit tangan oleh isteri Presiden Soekarno, Fatmawati, dikibarkan buat pertama kalinya, diiringi lagu "Indonesia Raya." Tidak ada pentas mewah, tanpa sistem suara moden, namun saat itu menjadi asas lahirnya negara Indonesia. Peristiwa itu bukan sekadar titik mula kemerdekaan, tetapi juga menetapkan Jakarta sebagai tempat kelahiran sebuah negara baharu di dunia bernama Indonesia.

Jakarta adalah kota tempat Proklamasi dibacakan, tempat bendera pertama dikibarkan, dan lokasi majlis perayaan Hari Kemerdekaan Indonesia sejak tahun 1946. Ia menjadi pusat pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Indonesia, daripada reformasi, revolusi, hingga rekonsiliasi. Maka, kembalinya majlis peringatan kemerdekaan ke kota ini lebih daripada sekadar bersifat nostalgik.
Majlis peringatan Hari Kemerdekaan Indonesia pertama pada 17 Ogos 1945 di Jakarta yang berlangsung dalam suasana penuh kesederhanaan dan spontanitas daripada rakyat (Sumber: Wikipedia)
Mungkin hal ini memperlihatkan bahawa Kota Jakarta, walaupun secara pentadbiran sedang dipersiapkan untuk melepaskan status sebagai ibu kota, tetap menjadi pusat politik, sejarah, dan simbol kenegaraan Indonesia.

Namun begitu, ada penafsiran bahawa Prabowo sebagai presiden baharu ingin menegaskan arah pembangunannya sendiri, dan itu tentu sahaja berbeza daripada Jokowi, termasuk dalam melanjutkan projek mega pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Nusantara.

Masa Depan Nusantara Pada Era Prabowo

Sejak awal, Presiden Prabowo tidak pernah menyatakan penolakan terhadap Nusantara. Sebaliknya, beliau mengatakan bahawa pembangunan ibu kota baharu itu akan tetap dilanjutkan. Malah, Prabowo meluluskan peruntukan bajet sebanyak Rp48.8 trilion untuk fasa lanjutan pembangunan IKN bagi tempoh 2025-2029. Namun di sisi lain, beliau juga menyatakan bahawa pemindahan rasmi hanya akan dilakukan sekiranya seluruh prasarana utama, termasuk bangunan eksekutif, legislatif, dan kehakiman, sudah siap sedia.
 
Majlis peringatan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 pada tahun 2024 di Ibu Kota Nusantara (Gambar: Sekretariat Negara)

Pendekatan Prabowo terhadap IKN nampak sangat teknokratik dan berhati-hati. Basuki Hadimuljono, Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Otorita IKN, pernah menyebut bahawa Presiden Prabowo menyasarkan untuk mula menjalankan tugas rasmi di Nusantara pada 17 Ogos 2028, bukan dalam masa terdekat ini.

Tambahan pula, pengganti Basuki sebagai Menteri PUPR, Doddy Hanggodo menyatakan bahawa pembangunan IKN semasa era Prabowo tidak akan secepat era Jokowi dan akan mengikuti ritme (rentak) pembangunan yang lebih "realistik dan ikut fungsinya." Apa maknanya?

Pemerintahan baharu Indonesia tampaknya memilih pendekatan strategik: meneruskan projek warisan Jokowi, namun tanpa mengangkatnya sebagai ikon tunggal pada era Prabowo. Apatah lagi, pemerintahan kini lebih memfokuskan kepada program unggulan mereka sendiri yang menelan belanja sangat besar, termasuk makan percuma bergizi, sekolah rakyat, koperatif desa, serta pembentukan badan pengelola pelaburan strategik negara yang dikenali sebagai Danantara.

Kerana itulah sejak awal pentadbiran kepimpinannya, Prabowo melakukan pemotongan bajet pelbagai sektor. IKN termasuk yang terkena dampaknya. Untuk tahun 2025 ini, meskipun projek tetap berjalan, bajet untuk ibu kota baharu itu dipangkas (dipotong) sebesar Rp1.15 trilion. Hal ini boleh dibaca sebagai isyarat bahawa IKN tetap dilanjutkan, tetapi dengan pendekatan yang lebih berhitung dan selektif.

Meskipun secara rasmi Prabowo menyatakan bahawa projek IKN akan diteruskan, tidak semua suara politik memberikan sokongan sepenuhnya. Dari Parlimen, Parti NasDem pernah mengusulkan wacana moratorium atau penghentian sementara pembangunan ibu kota baharu. Mereka menyoroti beberapa isu mendasar: belum adanya asas hukum yang kukuh, ketidaktentuan status formal IKN sebagai ibu kota negara, serta keperluan untuk menegaskan posisi Nusantara dalam rancangan pembangunan nasional.

Di samping itu, NasDem juga menyoroti tekanan fiskal negara yang memerlukan bajet besar dan menyarankan agar Indonesia mengutamakan prasarana yang sudah tersedia serta menyelaraskan pembangunan dengan keperluan mendesak rakyat. Wacana ini belum menjadi sikap rasmi parlimen, tetapi cukup menunjukkan bahawa projek IKN belum mencapai tahap konsensus nasional yang mantap dalam kalangan anggota parlimen.

Lapan Dekad Indonesia: Antara Warisan dan Visi

Pemerintahan Presiden Prabowo memang tidak menghentikan projek ibu kota baharu Nusantara, tetapi juga tidak meletakkannya sebagai keutamaan dalam kepimpinannya.

Pendekatannya nampak lebih berhati-hati dan penuh perhitungan strategik. Keputusan untuk mengembalikan majlis peringatan Hari Kemerdekaan ke Jakarta seolah-olah menyampaikan mesej: meskipun pembangunan kota baharu di tengah hutan belantara Kalimantan Timur itu masih terus berjalan, kota itu masih sering dianggap sebagai warisan pemerintahan yang terdahulu, bukannya simbol nasional yang sudah benar-benar mengakar.

Sebaliknya, Jakarta sebagai tempat proklamasi kemerdekaan pertama kali dibacakan dan selama puluhan tahun menjadi pusat majlis peringatan Hari Kemerdekaan Indonesia, kembali dipilih sebagai panggung utama.

Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, secara rasmi melancarkan logo dan tema Hari Ulang Tahun (HUT) ke-80 Kemerdekaan Republik Indonesia dalam satu majlis di Istana Negara, Jakarta, pada Rabu, 23 Julai 2025. (Gambar: Sekretariat Kabinet)

Ini rasanya bukan hanya sekadar soal kemudahan perbekalan dan pertimbangan bajet, tetapi penegasan simbolik: negara masih memilih untuk bersuara dari tempat yang secara sejarah dan emosi telah tertanam kuat dalam kesedaran kolektif warganya.

Dengan ibu kota baharu yang masih dalam pembinaan, dan Jakarta tetap menjadi pusat perayaan, Indonesia kini berada di antara dua persimpangan: satu yang penuh sejarah, satu lagi yang masih berupa visi masa hadapan.

Seperti kota baharu yang belum sepenuhnya selesai, naratif kebangsaan Indonesia juga masih dalam proses pembentukan. Momen lapan dekad kemerdekaan bukan hanya tentang menoleh ke belakang, tetapi juga menilai arah ke hadapan.

Apakah Indonesia akan terus berpijak pada simbol-simbol lama yang telah teruji, atau berani mencipta pusat-pusat kekuasaan dan identiti baharu?

Pertanyaan-pertanyaan inilah yang menjadikan peringatan lapan dekad kemerdekaan Indonesia ini lebih daripada sekadar ritual tahunan.

Ia sepatutnya menjadi cermin untuk melihat siapa Indonesia hari ini, dan ke mana ia ingin menuju.

Dalam lima tahun ke hadapan, Presiden Prabowo akan menjadi nakhoda yang menentukan haluan, apakah akan meneruskan warisan yang ada, atau menyusun ulang peta masa depan negaranya.

MENGENAI PENULIS
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita