Skip to main content

Komentar

NOTA DARI JAKARTA: Aidilfitri Ujian Ekonomi Sebenar Bagi Pentadbiran Prabowo

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI JAKARTA: Aidilfitri Ujian Ekonomi Sebenar Bagi Pentadbiran Prabowo
Presiden Prabowo menyambut Aidilfitri bersama masyarakat di Istana Negara, Jakarta, sempena Hari Raya Aidilfitri 2025. (Gambar: BPMI)
JAKARTA: Setiap kali menjelang Aidilfitri, seluruh Indonesia seakan bergerak serentak. Stesen kereta api dipenuhi penumpang, lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju kampung halaman, manakala pasar dan pusat beli-belah dipadati keluarga yang membeli pakaian baharu serta juadah Hari Raya.

Jutaan orang pulang ke kampung dalam tradisi mudik, perjalanan pulang kampung besar-besaran menjelang Aidilfitri yang menjadi antara pergerakan manusia terbesar di dunia. Rane Hafied meninjau sambutan Aidilfitri di Indonesia tahun ini di tengah-tengah konflik di Timur Tengah.

Dengan jumlah penduduk Muslim terbesar di dunia, sambutan Aidilfitri di Indonesia memberi kesan ekonomi yang jauh melangkaui dimensi keagamaan semata-mata.

Sebagai gambaran, tinjauan Kementerian Perhubungan Indonesia menganggarkan sekitar 146.48 juta orang melakukan perjalanan pulang kampung atau mudik pada Aidilfitri 2025 atau kira-kira 52 peratus daripada penduduk Indonesia.
Related article image
Keramaian arus mudik pulang kampung di pelabuhan utama yang menghubungkan Jawa dan Sumatra. (Gambar: Wiki)
Angka ini memang lebih rendah berbanding sekitar 193.6 juta orang pada 2024, namun tetap menunjukkan skala mobiliti yang sangat besar dan berkemungkinan berulang pada tahun ini.

Pergerakan manusia ini hampir selalu diiringi pergerakan wang. Dianggarkan peredaran wang sepanjang musim Aidilfitri berada dalam lingkungan Rp137 trilion hingga Rp145 trilion. Dana ini mengalir dari kota besar ke daerah, daripada syarikat kepada pekerja melalui pembayaran Tunjangan Hari Raya (THR), serta daripada simpanan isi rumah ke pasar, restoran, pengangkutan dan pelbagai sektor ekonomi lain.

Lonjakan mobiliti dan perbelanjaan ini menjadikan Aidilfitri antara penanda penting bagi ekonomi Indonesia.

Dengan jumlah penduduk melebihi 270 juta orang, skala pergerakan manusia dan aktiviti ekonomi sepanjang Aidilfitri jauh lebih besar berbanding sambutan Hari Raya di banyak negara Asia Tenggara lain.

Aidilfitri dan Lonjakan Perbelanjaan di Indonesia

Pertumbuhan ekonomi Indonesia sangat bergantung kepada kuasa beli rakyat. Menurut Badan Pusat Statistik, perbelanjaan isi rumah menyumbang sekitar 54 hingga 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.

Momentum Ramadan dan Aidilfitri menjadi pemacu utama perbelanjaan tahunan kerana pada tempoh ini perbelanjaan isi rumah meningkat ketara, terutama dalam sektor runcit, makanan, pengangkutan dan pelancongan.
Related article image
Suasana sesak di salah satu pusat beli-belah di Jakarta setiap kali menjelang Aidilfitri. (Gambar: Antara)
Lonjakan perbelanjaan ini turut dipacu oleh pembayaran bonus Tunjangan Hari Raya (THR) kepada pekerja menjelang Aidilfitri, bersamaan kira-kira sebulan gaji. Bonus wajib yang unik di Indonesia ini hampir pasti digunakan untuk keperluan Hari Raya, perjalanan mudik atau membantu keluarga di kampung halaman.

Satu tinjauan oleh BSI Institute, institusi penyelidikan ekonomi milik Bank Syariah Indonesia, menganggarkan jumlah peredaran wang sepanjang Ramadan boleh mencecah lebih Rp1,000 trilion, sebahagian besarnya datang daripada bonus THR serta peningkatan perbelanjaan masyarakat sepanjang bulan puasa.

Mengapa Aidilfitri Tahun Ini Penting Bagi Pentadbiran Prabowo?

Aidilfitri tahun ini membawa makna tersendiri bagi kepimpinan Presiden Prabowo Subianto. Beliau dilantik pada Oktober 2024, maka Aidilfitri 2025 tiba hanya beberapa bulan selepas pentadbirannya bermula, ketika kabinet dan pelbagai dasar masih pada peringkat awal penyusunannya.

Namun Aidilfitri pada tahun 2026 berbeza. Ia datang selepas pentadbiran beliau berjalan lebih setahun, ketika pelbagai dasar ekonomi mula dirasai kesannya dalam kehidupan rakyat.

Momentum ini juga berkait rapat dengan cita-cita ekonomi pentadbiran Prabowo yang menyasarkan pertumbuhan sekitar 6 peratus, lebih tinggi daripada kadar sekitar 5 peratus yang relatif stabil sepanjang sedekad lalu.

Namun setakat ini pertumbuhan ekonomi Indonesia masih sekitar 5 peratus, dengan perbelanjaan isi rumah kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK. Oleh itu tempoh Ramadan dan Aidilfitri sering dianggap penting untuk mengekalkan dinamika perbelanjaan domestik.

Jika perbelanjaan masyarakat kekal kukuh sepanjang musim Aidilfitri, momentum itu boleh membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya jika perbelanjaan melemah, ia boleh menjadi isyarat bahawa kuasa beli rakyat sedang tertekan.

Masalahnya, tidak semua petunjuk ekonomi menunjukkan gambaran yang sepenuhnya optimistik.

Tanda-Tanda Berhati-Hati

Data terkini menunjukkan perbelanjaan masih berkembang, namun tekanan harga juga meningkat. Dengan kata lain, masyarakat masih berbelanja tetapi pada masa yang sama berdepan harga yang lebih tinggi.

Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa menilai tekanan inflasi menjelang Aidilfitri masih dalam julat terkawal. Oleh itu walaupun permintaan meningkat sepanjang Ramadan, ekonomi Indonesia belum menunjukkan tanda terlalu panas.
Related article image
Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa. (Gambar: CNA)
Namun perkembangan global kebelakangan ini juga tidak boleh diketepikan. Eskalasi konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel berpotensi mempengaruhi harga tenaga dunia, laluan perdagangan serta kestabilan pasaran kewangan.

Beberapa pemimpin dunia telah mengingatkan rakyat masing-masing tentang kesan konflik Timur Tengah ini terhadap negara mereka, termasuk Presiden Prabowo Subianto. Bagi Indonesia, kenaikan harga minyak dunia akibat konflik itu boleh meningkatkan beban subsidi tenaga dan mengecilkan ruang fiskal negara.

Dengan semua perkembangan ini, persoalan besarnya ialah apakah yang sebenarnya dapat digambarkan oleh sambutan Aidilfitri tahun ini tentang keadaan ekonomi di bawah pentadbiran Prabowo?

Kesibukan di pusat beli-belah atau kesesakan di lebuh raya hanyalah gambaran di permukaan. Jika perbelanjaan kekal kukuh, mudik berjalan lancar dan harga keperluan asas terkawal, maka musim Aidilfitri boleh membantu mengekalkan momentum ekonomi.

Namun jika perbelanjaan isi rumah mula terjejas akibat tekanan harga dan ketidaktentuan global, suasana Aidilfitri juga boleh menjadi peringatan bahawa mencapai sasaran pertumbuhan 6 peratus bukanlah sesuatu yang mudah.

Usaha Menjaga Kuasa Beli Rakyat

Memandangkan pentingnya perbelanjaan domestik kepada pertumbuhan ekonomi, pentadbiran biasanya mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kuasa beli rakyat kekal terpelihara menjelang Aidilfitri, termasuk pada tahun ini.

Pada tahun ini negara menyediakan bonus Tunjangan Hari Raya (THR) bagi pegawai pemerintah, anggota tentera, polis dan pesara, sambil menggalakkan sektor swasta turut membayar bonus THR kepada pekerja mereka.

Selain itu negara turut menyalurkan bantuan sosial dan bantuan makanan, mengekalkan kestabilan harga melalui operasi pasaran serta melancarkan rangsangan bermusim seperti diskaun pengangkutan dan potongan tol.

Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan kuasa beli rakyat kekal terpelihara sepanjang musim perbelanjaan terbesar dalam setahun.

Namun cabaran tidak berhenti setakat Aidilfitri. Negara juga perlu memastikan lonjakan perbelanjaan semasa musim perayaan ini tidak segera merosot selepas tempoh tersebut berakhir. Di sinilah ujian sebenar bermula.

Aidilfitri Hanya Satu Momentum

Salah satu makna utama Hari Raya ialah lambang kemenangan selepas sebulan menahan diri. Dalam tradisi Islam, Aidilfitri difahami sebagai saat kembali kepada kesucian serta tanda kejayaan melalui ujian rohani.

Namun bagi kepimpinan Presiden Prabowo Subianto, kemenangan seperti itu agaknya masih terlalu awal untuk diraikan.

Selepas kesibukan mudik reda dan pusat beli-belah kembali lengang, ujian yang lebih nyata menanti: mampukah mereka mengekalkan momentum ekonomi dalam bulan-bulan berikutnya?

Tekanan inflasi makanan, ketidaktentuan ekonomi global serta sasaran pertumbuhan sekitar enam peratus menuntut dasar yang konsisten selepas musim perayaan berakhir.

Pada masa yang sama negara perlu memastikan pelbagai program keutamaan besar, termasuk program Makan Bergizi Gratis (MBG) serta peningkatan perbelanjaan untuk pembelian peralatan ketenteraan canggih, tidak akhirnya menjadi beban baharu kepada fiskal negara.

Dalam satu ceramah sempena peringatan Nuzulul Quran di Istana Negara pada Mac 2026, ulama terkemuka yang disegani, Prof. Dr. M. Quraish Shihab, mendoakan agar Presiden Prabowo diberi pertolongan oleh Tuhan dalam memikul amanah kepimpinan. Doa itu mengingatkan bahawa kuasa pada akhirnya ialah amanah, bukan sekadar kemenangan.
Related article image
Ulama terkemuka Indonesia, Prof. Dr. M. Quraish Shihab, mendoakan agar Presiden Prabowo dapat menjalankan amanah kepimpinan dengan baik. (Gambar: BPMI)
Jika Aidilfitri adalah lambang kemenangan selepas sebulan menahan diri, maka bagi pentadbiran Prabowo kemenangan itu masih perlu diperjuangkan selepas kemeriahan Hari Raya berakhir.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Rane Hafied ialah penulis dan podcaster dari Jakarta.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita