Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

NOTA DARI DUBAI: Benua Arab Pesta Bola

Anggaran Waktu Membaca:
NOTA DARI DUBAI: Benua Arab Pesta Bola

Gambar: Gabriel Bouys/AFP

BERITAmediacorp: Hanya tinggal kurang seminggu sahaja sebelum pertandingan bola sepak terbesar lagi terkemuka di dunia - Piala Dunia 2022 -  yang dinanti-nantikan, akan diraikan dengan acara penuh gemilang apabila pasukan tuan rumah Qatar berentap dengan pasukan Ecuador.

Dengan keghairahan memuncak di merata  dunia dan lebih-lebih lagi di negara-negara Timur Tengah, Qatar, yang buat julung-julung kalinya menjadi tuan rumah bagi pertandingan bola sepak paling “gah” di peringkat sejagat itu, kini menjadi tumpuan masyarakat dunia.
 

Lukisan mural di Kampung Kebudayaan Katara menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar. (Gambar: AFP/Giuseppe Cacace)
Hampir tiga juta (2.9 juta) tiket Piala Dunia telahpun laris dibeli oleh para peminat seluruh dunia sejak pertengahan bulan lalu, menurut Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Baki tujuh peratus akan dijual berdasarkan yang dahulu didahulukan.

Justeru, masih belum lagi terlambat untuk menyaksikan Piala Dunia jika anda sanggup untuk mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Anda juga tidak perlu menginap di Doha, ibu kota Qatar, jika sukar mendapatkan penginapan atau hotel di sana.

Khidmat Penerbangan Ulang-Alik

Ini kerana terdapat khidmat penerbangan ulang-alik disediakan antara Doha dengan kebanyakan bandar utama Timur Tengah. Dengan kemudahan itu para peminat Piala Dunia boleh menginap di luar negara Teluk yang kecil itu dengan memanfaatkan penerbangan ulang-alik jarak dekat untuk menyaksikan pertandingan antara pelbagai pasukan negara yang layak, di sepanjang Piala Dunia tahun ini.
 
Pasukan Korea Selatan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar pada 14 Nov 2022 menjelang Piala Dunia 2022. (Gambar: AFP/Odd Andersen)
Terdapat hampir seratus penerbangan ulang-alik disediakan dari Doha ke bandar-bandar utama Timur Tengah termasuk Muscat, Riyadh, Jeddah dan Kuwait di sepanjang musim Piala Dunia kali ini.

Kebanyakan khidmat penerbangan tersebut akan beroperasi dari Dubai, yang hanya mengambil masa 55 minit penerbangan ke Doha. Tiket penerbangan ulang-alik dari Dubai ke Doha pada hari perasmian pertandingan Piala Dunia pada Ahad, 20 November ini adalah sekitar AS$2,000.

Pemerintah Qatar juga telah melonggarkan peraturan bagi pemeriksaan COVID-19 supaya ketibaan para peminat bola sepak ke Qatar lebih licin lagi.

Hotel Penginapan

Bagi bilik hotel penginapan di Qatar pula sebanyak 130,000 bilik disediakan bagi para peminat Piala Dunia. Menyediakan penginapan yang mencukupi itu menjadi satu cabaran besar bagi pihak penganjur. Justeru, pada bulan lalu, pihak berkuasa Qatar mengambil keputusan untuk membuka semula ribuan bilik hotel di sana yang sebelum itu ditutup untuk peruntukan tempahan lain.

Ini bertujuan untuk memudahkan penginapan bagi orang awam khususnya para peminat Piala Dunia yang mengunjungi Qatar.
 
Para penyokong pasukan Tunisia berkumpul di luar sebuah hotel di Doha pada 14 Nov 2022 menjelang Piala Dunia Qatar 2022. (Gambar: AFP/Giuseppe Cacace)
Menyedari betapa besarnya cabaran itu, pihak berkuasa Qatar juga bekerjasama dengan negara-negara jirannya bagi memenuhi permintaan tinggi para peminat sejagat untuk mendapatkan bilik hotel dan tempat penginapan bagi menyaksikan Piala Dunia.

Warga Singapura Turut Serta

Seorang daripada para peminat yang akan turut membanjiri lautan manusia bagi menyaksikan Piala Dunia 2022 di Qatar adalah warga Singapura, Encik Abdul Rohim Sarip. Beliau akan menonton sebanyak dua kali perlawanan Piala Dunia kali ini. Pertama, bersama teman-temannya bagi pertandingan di Peringkat Kumpulan pada November ini dan satu lagi bagi pertandingan di peringkat suku akhir bersama isterinya pada bulan Disember.

Menurutnya, ini kali keempat beliau menyaksikan pertandingan bola sepak Piala Dunia di stadium negara-negara tuan rumah. Kali pertama pada 1998 bagi perlawanan akhir Piala Dunia di Paris.

Beliau juga menyaksikan pertandingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan pada 2010. Terakhir, beliau turut menyaksikan pertandingan Piala Dunia di Rusia bagi pertandingan peringkat kumpulan pada 2018.

“Sebenarnya menonton di kaca TV dengan menonton langsung di stadium pertandingan berbeza sama sekali. Kita tenggelam dalam suasana riuh-rendah dan sorak gemuruh para penonton jika bersama menonton di stadium pertandingan. Kita juga dapat menyapa dan mengenali ramai kawan baru dengan para peminat seluruh dunia.

“Saya jangkakan Piala Dunia di Qatar 2022 ini buat kali ini sahaja diadakan di Timur Tengah. Ia adalah sesuatu yang unik dan saya tidak rasa ia akan berulang lagi di Timur Tengah,” tambah Encik Rohim yang akan menginap di Oman bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan tersebut.

Seorang lagi warga Singapura, Dr Maszenan Abdul Majid pula akan ke Qatar pada 13 Disember ini untuk menyaksikan perlawanan peringkat suku akhir Piala Dunia.

“Ini merupakan pertama kali saya menyaksikan pertandingan Piala Dunia langsung di stadium negara tuan rumah. Mungkin ini peluang sekali seumur hidup dan saya teruja untuk merasakan sendiri betapa hebatnya suasana pertandingan Piala Dunia terutama di peringkat separuh akhir nanti,” kata beliau yang akan menginap di rumah anaknya yang bekerja di Doha dan tambahan beberapa hari lagi bagi penginapan di hotel.

Beliau menganggarkan perbelanjaan keseluruhan sekitar $5,500 termasuk tiket penerbangan dan penginapan hotel bagi menyaksikan pertandingan Piala Dunia di Qatar itu.

“Sungguhpun ghairah, namun saya berharap pihak penganjur menitikberatkan soal keselamatan agar tidak berlaku insiden rusuhan bola sepak seperti di stadium Malang, Indonesia baru-baru ini,” ujarnya.

Industri Pelancongan Melonjak 

Sedang ribuan peminat merancang untuk menggunakan negara-negara jiran Qatar di Timur Tengah sebagai “pangkalan” bagi Piala Dunia Qatar 2022, Dubai - yang menjadi pilihan utama dengan penerbangan kurang sejam sahaja dari Doha - menjangkakan peningkatan  melonjak bagi industri pelancongannya.

Banyak pemilik hotel di Dubai yang dilaporkan media setempat di sini mendedahkan tempahan bilik hotel bagi suku keempat tahun ini, yang kebetulan selari dengan musim dingin pelancongan dari Oktober hingga Februari, melonjak hampir lima kali ganda berbanding 2019 - tahun sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Dubai - Pesta Peminat FIFA Rasmi

Bersama bandar-bandar dunia seperti London, Mexico City, Rio de Janeiro, Sao Paulo dan Seoul, Dubai di Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah dipilih sebagai salah satu daripada enam bandar utama dunia sebagai tuan rumah rasmi bagi Pesta Peminat FIFA atau FIFA Fan Festival.

Pesta Peminat FIFA di Dubai akan menawarkan siaran langsung pertandingan bola sepak Piala Dunia di layar perak bagi setiap perlawanan hinggalah ke pertandingan akhir.

DJ-DJ antarabangsa, pemuzik dan penghibur terkemuka setempat dan antarabangsa serta pemain-pemain legenda bola sepak FIFA akan turut menyemarakkan lagi suasana dalam Pesta Peminat FIFA di Dubai Harbour yang dilengkapi dengan layar raksasa dan alat pembesar suara 4D yang canggih.Tiket masuk berharga antara $30 hingga $50 dikenakan bagi setiap pertandingan.     

Zon Peminat Tidak Rasmi

Malah, zon-zon pesta yang tidak rasmi yang dipanggil zon-zon peminat atau “fan zones” juga tumbuh bak cendawan selepas hujan, terutama di merata Timur Tengah termasuk di Dubai bagi memenuhi permintaan para peminat antarabangsa dan peminat setempat yang sangat tinggi.

Zon-zon peminat tidak rasmi itu menyediakan peluang-peluang keemasan bagi golongan peminat yang berlibur di Dubai serta peminat setempat yang tidak dapat membeli tiket atau tanpa tiket Piala Dunia agar dapat turut menikmati pelbagai aksi menarik sepanjang pertandingan selama sebulan itu.

emirates towers museum of future dubai fan zone
Zon peminat di hotel berprestij Jumeira Emirates Towers, menghadap bangunan ikonik terbaru, Muzium Of The Future.


Antara zon peminat yang menarik perhatian di Dubai ialah di hotel berprestij Jumeira Emirates Towers yang menyediakan lebih 500 kerusi untuk peminat Piala Dunia. Tempat duduk khas disediakan di kawasan lapang di luar restoran dengan layar besar dibangunkan menghadap bangunan ikonik terbaru yang tersergam indah di Dubai - Muzium Of The Future.

Tiket berlainan harga setiap perlawanan ditawarkan hotel tersebut dengan harga awal pertandingan peringkat kumpulan $38 (100 dhm), peringkat suku akhir $95 (250 dhm), peringkat separuh akhir dan peringkat akhir $172 (450 dhm). Juga, tempat VIP khas turut disediakan bagi kumpulan maksimum 10 orang dengan harga $1,910 (5,000 dhm).

Satu lagi zon peminat yang digemari pelancong adalah kawasan Dubai Marina - dengan pelbagai hotel canggih dan bangunan pejabat pencakar langit di sana menjadi kegemaran ramai. Banyak restoran dan kafe terkemuka di sana turut menyediakan kawasan menarik zon peminat bagi menyaksikan pelbagai aksi perlawanan antara negara-negara pasukan Piala Dunia.
 

Lain-lain zon peminat di Dubai yang dijangka menarik perhatian ramai termasuk “Football Park at Dubai International Financial Centre (DIFC)” yang menyediakan kawasan sepanjang 900 meter antara dua stesen metro (mrt) di bandar utama Dubai.

Menyemarak Suasana, Keuntungan Bersama

Apapun yang pasti Piala Dunia Qatar 2022 dijangka dapat menyemarakkan semula suasana muram dan cuaca mendung sejak lebih dua tahun lalu menyusuli pandemik COVID-19.

Sukan popular dunia yang dianjurkan empat tahun sekali itu dijangka bukan setakat dapat menghiburkan jutaan ramai peminat bola sepak di merata dunia, pastinya ia juga berupaya meningkatkan lagi prestasi ekonomi terutama dalam industri pelancongan - bukan sahaja bagi negara tuan rumah Qatar, tetapi juga banyak bandar utama di negara-negara jirannya di Timur Tengah terutama Dubai di UAE.

MENGENAI PENULIS:

Rosebi Mohd Sah adalah warga Singapura yang bermastautin di Dubai.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa