Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Waspada terhadap segala bentuk ekstremisme

Tragedi serangan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch (New Zealand) baru-baru ini menggemparkan dunia. Ia meragut 50 jiwa dan mencederakan ramai orang yang tidak bersalah. Mangsa-mangsa sedang menunaikan solat Jumaat ketika serangan itu berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Waspada terhadap segala bentuk ekstremisme

Andrew Graystone memegang papan dengan tulisan: "Kamu sahabat saya. Saya akan terus memerhati suasana sedang kamu solat." (Gambar: Zia Salik/Twitter)

BERITAmediacorp: Serangan pengganas di New Zealand mengingatkan kita bahayanya fahaman ekstrem ke atas masyarakat. Pengamat politik Dr Norshahril Saat menulis bahawa fahaman ekstrem wujud dalam pelbagai bentuk termasuk sebagai budaya menghasut, yang jika tidak dibendung, boleh berubah menjadi ancaman ganas yang berbahaya.

Tragedi serangan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch (New Zealand) baru-baru ini menggemparkan dunia. Ia meragut 50 jiwa dan mencederakan ramai orang yang tidak bersalah. Mangsa-mangsa sedang menunaikan solat Jumaat ketika serangan itu berlaku.

Selama ini, negara tersebut telah berhasil menyatukan masyarakat yang rencam, dan masyarakat Islam di sana sendiri telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Masyarakat di sana saling menghormati amalan penganut agama-agama lain. Walaupun serangan berskala sebesar ini belum pernah berlaku di New Zealand, ini bukan kali pertama masyarakat Islam menjadi mangsa pengganasan di tempat lain.

Yang jelas, keganasan, atau orientasi ekstrem tidak mengenal agama, kaum atau warna kulit.

Serangan di Christchurch ini menunjukkan bahawa ekstremisme mempunyai pelbagai wajah. Kita tentu sudah didedahkan dengan beberapa fahaman ekstrem yang berlegar dalam masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Apa yang berlaku di Christchurch ini membuktikan bahawa masyarakat Islam sendiri menjadi mangsa keganasan, dan dalam hal ini, kepada fahaman 'Ketuanan Kulit Putih' (White Supremacy) yang berunsur perkauman.

Seseorang yang berfahaman sedemikian menyifatkan golongan berkulit putih sebagai golongan yang unggul. Ini bukan kali pertama serangan seperti ini dilakukan oleh seseorang yang berfahaman sedemikian.

Fahaman radikal bukan hanya berlaku dalam bentuk agama dan ras, tetapi juga dalam politik kebangsaan atau yang disebut sebagai fasisme. Kita teringat akan apa yang berlaku pada Perang Dunia Kedua di mana fasisme menular sehingga terjadinya konflik seantero dunia.

Pemahaman ekstrem juga bukan disebabkan pergeseran antara kaum, tapi juga mereka yang berkongsi agama tetapi berbeza pandangan. Malah, ekstremisme bukan sahaja harus dilihat dari sudut keganasan, kerana ada juga ekstremisme yang dalam bentuk tidak ganas (non-violent extremism).

Kedua-dua bentuk ini berkaitan. Misalnya, kita melihat ada fahaman yang cuba menindas golongan minoriti, seperti apa yang berlaku antara golongan berfahaman Sunni dan Syiah dan juga fahaman-fahaman lain di merata dunia, atau terhadap golongan yang berbeza pandangan atau gaya hidup.

BERBENTUK HASUTAN

Ekstremisme tidak ganas boleh bertukar menjadi ganas bagi sesetengah pihak. Tindakan Brenton Tarrant sendiri bermula daripada rasa perkauman, anti-Islam dan imigrasi.

Orang awam di luar Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand menyusuli serangan pengganas pada 15 Mac 2019. (Gambar: Martin Hunter/Reuters)

Tidak dapat dinafikan ada segelintir golongan kulit putih yang merasakan mereka tidak meraih hasil pendapatan negara disebabkan adanya dasar imigrasi terbuka.

Di negara seperti Amerika dan sebahagian di Eropah, rakyat cenderung memilih pemimpin populis seperti Donald Trump. Dalam senario sebegini, rakyat menyatakan ketidakpuasan mereka lewat pilihan raya. Malangnya, ia berlaku dalam bentuk keganasan di New Zealand.

FABRIK SOSIAL

Mengapa ada golongan yang memilih tindakan keganasan demi merealisasikan pandangan mereka? Salah satu sebabnya adalah untuk menakutkan masyarakat dan memecah-belahkannya.

Mayat mangsa serangan pengganas Christchurch mula diserahkan kepada keluarga. (Gambar: Jorge Silva/Reuters)

Jika masyarakat tidak bersatu dan rapuh, ia sebenarnya tergelincir dalam perangkap pengganas. Tentu sekali natijah daripada satu serangan itu boleh menyebabkan trauma.

(Gambar Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern bersama wakil Pusat Pelarian Canterbury di Christchurch. Gambar: Marty Melville/AFP)

Di sini, ada dua cara untuk melawan keganasan. Pertama adalah untuk menangkis elemen-elemen ekstrem di akarnya. Misalnya, masyarakat harus bekerjasama dengan pihak wewenang dan melaporkan individu-individu yang berkelakuan ekstrem.

Kita tidak boleh membenarkan, sebagai contoh, golongan yang pernah menghina agama, menyebarkan pandangan mereka di sini, walaupun salurannya berbentuk seni atau hiburan.

TINDAKAN TEGAS

Baru-baru ini, pemerintah mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan “black metal” Watain dari Sweden kerana mengancam keharmonian sosial.

Pendakwah Ismail Menk juga tidak dibenarkan masuk ke Singapura atas pandangannya sebelum ini yang tidak sesuai dalam konteks Singapura. Namun, usaha pemerintah ini adalah sebahagian daripada huraian membendung fahaman radikal.

(Gambar: Vincent Thian/AP)

Hal yang sama berlaku semasa serangan di New Zealand ini, di mana pemimpin-pemimpin gereja Katolik, Taoist, Buddhist Singapura, dan Pertubuhan Antara Agama (IRO) juga menyatakan rasa kesal mereka, walhal serangan itu berlaku terhadap umat Islam.

Kedua, tindakan mengutuk serangan ini berlaku bukan kerana ia terkena kepada masyarakat kita, tetapi kerana atas dasar kemanusiaan. Justeru, penting bagi pemerintah dan masyarakat berganding bahu membendung fahaman ekstremisme, mentelah daripada aspek masyarakat.

Kadangkala, budaya menghasut, jika tidak dibendung, boleh diapi-apikan dan menjurus kepada sentimen benci-membenci, dan masyarakat boleh terdorong menjadi ekstrem, pada mulanya dalam bentuk tidak ganas, dan kemudian berbentuk ganas.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau penulis buku Tradition and Islamic Learning: Singapore Students in the Al-Azhar University (ISEAS, 2018), dan The State, Ulama, and Islam in Malaysia and Indonesia (Amsterdam University Press, 2018).

Sumber : BERITA Mediacorp/ai

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa