Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Waspada budaya ‘pengawas’ terhadap orang lain dalam media sosial

Apakah kehidupan masyarakat akan menjadi lebih baik atau sebaliknya jika budaya suka menghakimi dan menghukum orang lain semakin menyerap dalam amalan media sosial seharian kita?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Waspada budaya ‘pengawas’ terhadap orang lain dalam media sosial

(Gambar: Media sosial)

BERITAmediacorp: Apakah kehidupan masyarakat akan menjadi lebih baik atau sebaliknya jika budaya suka menghakimi dan menghukum orang lain semakin menyerap dalam amalan media sosial seharian kita?

Apabila kita mengambil tindakan sendiri, di luar lingkungan pihak berkuasa, untuk menghakimi dan menghukum mereka yang kita anggap bersalah, ia adalah perbuatan 'vigilante' – iaitu bertindak sebagai pengawas atau pengawal terhadap orang lain.

Dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu, ia mungkin seperti melakukan ‘tangkap basah’ bagi pasangan yang berkhalwat.

Atau, ibarat sekumpulan anak muda yang kononnya menjaga keselamatan kampung dengan meronda-ronda untuk mematahkan jenayah.

Malangnya, sering juga kumpulan inilah yang menimbulkan rasa kurang senang masyarakat sekeliling dengan kelakuan mereka yang berlebih-lebihan dalam menjalankan tugas ini.

BUDAYA VIGILANTE

Dengan teknologi yang semakin canggih, kita mendapati, pengawasan perilaku masyarakat sekeliling menjadi lebih senang dan segera.

Kemudahan merakam melalui telefon bijak dan terus memuatnaikkannya ke media sosial menjadikan setiap kita seperti wartawan dan penyiasat sulit.

(Gambar: Media Sosial)

Individu yang memuatnaikkan rakaman video ini mungkin ingin mengetengahkan isu yang meruncing yang perlukan keadilan. 

Mungkin juga harapannya adalah agar perhatian dan sokongan daripada orang ramai akan memberi tekanan kepada pihak sasaran agar bertindak untuk memperbetulkan keadaan.

Naluri manusia yang benci kepada ketidakadilan mahukan pelaku-pelaku kesalahan ini dikesan, ditangkap dan dihukum dengan wajar oleh pihak berkuasa.

Sehinggakan, sebahagian mereka yang bijak IT boleh menjejak latar belakang pelaku-pelaku kesalahan ini dan menularkan maklumat peribadi yang dicungkil ke media sosial untuk mengaibkan mereka (doxxing).

Kesannya adalah untuk mengenakan tekanan sosial sebagai hukuman alternatif daripada pihak orang awam.

BERTINDAK KETERLALUAN

Inilah yang membimbangkan. Dalam keghairahan untuk menegakkan keadilan, mentaliti gerombolan (mob mentality) boleh menjerumuskan kita untuk bertindak keterlaluan yang melangkaui etika masyarakat dan melanggar undang-undang.

Petikan gambar daripada video yang tular di media sosial.

Oleh kerana media sosial menjadi wadah penyebaran rakaman dan pendapat, ia akan mengundang komentar dan luahan perasaan.

Walaupun kebanyakan komentar adalah sekadar luahan emosi terhadap apa yang berlaku, ada segelintir yang agak keterlaluan sehinggakan melemparkan kata-kata kesat terhadap mereka yang terbabit.

Para panglima papan kekunci (keyboard warriors) pula boleh memburukkan keadaan dengan mengapi-apikan secara menokok tambah isu yang diketengahkan.

MENJEJAS KEHIDUPAN

Tidak kurang juga yang menganjurkan melakukan perkara-perkara yang boleh menjejas kehidupan seperti menjejaki di mana si pelaku itu bekerja dan memalukan ahli keluarganya.

Atau, yang agak ekstrem, menginginkan si pelaku untuk mati sahaja sebagai menebus kesilapan.

Ada pula komentar yang berbaur perkauman; menghina bangsa dan agama individu tersebut dan sekali gus, mengheret orang lain dalam pertukaran kata-kata nista.

(Gambar: Media sosial)

Akhirnya, walaupun niat asal individu yang memuatnaikkan video adalah untuk mendapatkan keadilan, ia berubah kepada pembulian siber yang tidak terkawal.

Kita perlu fikirkan sejauh manakah kita inginkan budaya vigilante siber di media sosial ini menerap ke dalam masyarakat kita?

FIKIRKAN KESAN

Jika kita ingin memuat naik bahan yang bakal menjadi kontroversi, sudahkah kita memikirkan tentang kesannya terhadap diri kita, mereka yang terbabit dan mereka yang memberikan reaksi?

(Gambar: Facebook/Lectress Pat)

Ini adalah tanggungjawab yang perlu kita pikul. Kita perlu sedar apabila bahan yang dimuat naik menjadi tular, kita tidak mungkin akan dapat mengawalnya nanti.

Walaupun begitu, kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab sebagai pencetus asalnya.

Fikirkanlah: adakah media sosial wadah yang terbaik untuk mengetengahkan isu ini?

Bolehkah ia ditangani dengan lebih sesuai oleh pihak polis, agensi dan kementerian yang bertanggungjawab atau pihak berkuasa yang lain?

Jika kita yang memberi reaksi pula, fikirkanlah apa pula peranan kita dalam menjernihkan keadaan.

Ia tidak terhenti setelah meluahkan kata-kata sokongan atau kejian sahaja. Ia telah terakam sebagai pendirian kita yang akan dipertanggungjawabkan kelak.

ADAB LUAHKAN PENDAPAT

Apa yang kita sampaikan di alam siber adalah bukti kepada sikap dan pendirian kita.

Menyatakan perasaan marah kita dengan kata-kata kesat dan menyakitkan hati jelas mencerminkan akhlak kita sebagai individu.

Kita mencela kelakuan buruk yang terakam di video tular tetapi kita sendiri merakamkan akhlak buruk kita di perenggan-perenggan komentar di media sosial.

Tiada bezanya kita dengan mereka jika kita tidak dapat menjaga adab dalam meluahkan pendapat dan perasaan walaupun ia membuak inginkan keadilan.

Tanpa berperanan sebagai vigilante siber, kita masih boleh menggembleng sokongan dan memacu perubahan menerusi media sosial jika ia digunakan dengan berhemah.

MENGENAI PENULIS: 

Encik Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan