Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Warisan - Membangun Ketukangan dan Wacananya

Warisan menyangkuti soal benda, idea dan nilai yang terungkap dalam sesuatu usaha/karya yang diwarisi dari generasi terdahulu. Menyebut tentang warisan sesuatu budaya, bukanlah setakat harus akur mewarisnya dengan amanah tetapi juga melestarikannya dengan utuh. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Warisan - Membangun Ketukangan dan Wacananya

Persembahan dokumentari tarian Melayu Sri Warisan.

BERITAmediacorp: Warisan menyangkuti soal benda, idea dan nilai yang terungkap dalam sesuatu usaha/karya yang diwarisi dari generasi terdahulu. Menyebut tentang warisan sesuatu budaya, bukanlah setakat harus akur mewarisnya dengan amanah tetapi juga melestarikannya dengan utuh.

Ini bersangkutan dengan proses keberlanjutan dan sesuatu warisan itu tidak akan menjadi warisan sekiranya tidak ada sisi keberlanjutan ini.

Dalam masyarakat Melayu terdahulu, kekata adat resam juga menandakan warisan yang diperturunkan atau yang disimpan semenjak dari zaman nenek moyang. Kemudian istilah “budaya” dipakai dan sebahagian besar dari korpus budaya juga bisa dianggap sebagai warisan. Kemudian itu pula istilah “tamadun” dan “peradaban” yang juga ada dimensi warisan terdahulu di dalamnya.

Namun, warisan sebagai kesadaran wacana budaya dan ilmiah agaklah baharu. Ini tidaklah bererti masyarakat terdahulu tidak menghargai dan memahami warisan. Malah adat resam yang diperturunkan itu harus disempurnakan dengan baik atau tidak boleh dilanggar. Malah ada yang takut pada penyimpangan dari melakukan tradisi yang telah diperturunkan itu, yang bisa saja mendapat tulah dari raja atau nenek moyang.

Gambar: Taman Warisan Melayu

Hari ini warisan sering disebut-sebut dan dunia akademik kian memberikan perhatian serius, selain pihak penguasa memberikan dana dan perancangan untuk pengurusan warisan. Apabila badan dunia seperti UNESCO merancakkan penyenaraian warisan di banyak negara, terjadi persaingan sengit antara negara yang dalam zon kebudayaan yang serupa atau serumpun. Di saat sebeginilah wacana warisan sangat penting.

Wacana warisan bermaksud penulisan, perbincangan, kajian, forum, pertukaran idea, dokumentasi dan analisis yang memberi kefahaman kepada sesuatu perkara, baik keluasan dan kedalamannya. Ia memberi makna dan tafsiran akan segi-segi sejarah, peranan, potensi dan keistimewaan sesuatu warisan itu. Di sinilah kita harus fikirkan sejenak. Bagaimana wacana warisan kita, sama ada di peringkat nasional mahupun komuniti?

Dari pemerhatian kasar, sering kali warisan yang terlestari dan dikedepankan berlangsungan dengan baik, namun yang agak langka atau tidak terbangun baik adalah wacananya. Contohnya kita ada acara tarian, muzik Melayu tradisional ataupun lantunan syair. Mantap bila ditampilkan sebagai persembahan.

Namun yang tiada adalah wacananya dari perbincangan, penulisan, penerbitan sehinggalah kajian untuk mendokumentasi dan merungkai sesuatu warisan itu baik dari sejarahnya, perubahannya, tukang karyanya dan lain-lain.

MEMPERKENALKAN HADIAH WARISAN & HARI WARISAN

Di Singapura, kita beruntung kerana wadah warisan diberikan perhatian, dengan Lembaga Warisan Negara (NHB) mengambil perhatian khusus kepada pemeliharaan dan pelestarian warisan.

Taman Warisan Melayu. (Gambar: Helmy Saat)

Dalam masyarakat Melayu, terdapat banyak kumpulan kesenian dan kebudayaan yang memberi perhatian kepada perihal warisan. Yayasan Warisan Melayu Singapura (MHF), yang menaungi Taman Warisan Melayu (MHC), Istana Kampong Gelam, adalah satu badan masyarakat yang terpanggil mengurusi dan merencana perihal warisan, khasnya dalam aspek penganugerahan, dokumentasi dan wacana warisan.

Buat julung-julung kalinya, penganugerahan Hadiah Warisan akan dimulakan tahun ini, selain diadakan Hari Warisan yang akan dirasmikan oleh Presiden Republik Singapura, Puan Halimah Yacob pada 13 November 2021 di MHC. Inilah antara usaha untuk menyemarakkan kepedulian dan minat terhadap warisan.

Selain itu beberapa usaha telah dan sedang digerakkan. Antaranya kuliah webinar bulanan, Sembang Ilmu untuk para belia dan siswa berforum tentang hal warisan dan budaya, serta ceramah bersiri Cendekiawan Lestari.

Juga tahun ini, akan dilantik “Teman Warisan” yang akan menjadi Duta Warisan.

WACANA WARISAN ADALAH KEPEDULIAN

Apa-apa pun, warisan bukanlah semata untuk sambutan dan penghargaan. Tidak ada makna warisan kalau tiada kepedulian budaya dan masyarakat.

Di sinilah letaknya penting wacana warisan yang tahu membedakan warisan yang hidup – yakni yang dapat membekalkan daya hidup dengan warisan yang mati, hasil dari nostalgia yang terpuruk oleh romantisme silam dan tradisionalisme budaya yang menyempit.

Encik Latiff Hashim, 64 tahun, antara mereka yang masih lagi mengamalkan warisan membuat dan memasang bubu untuk menangkap ikan. 

Rata-rata warisan hidup masih berdenyut, diamal dan dihargai dalam masyarakat kita. Lihatlah pada perkahwinan Melayu, yang di dalamnya terkandung banyak bentuk warisan, baik yang bersifat keagamaan, sampailah adat istiadat upacara bersanding, busana pengantin, muzik iringan, permainan silat atau persembahan tradisional lain, serta masak-memasak. Dalam kehidupan masyarakat Melayu, upacara 'rites de passage', dari kelahiran sampai ke pengebumian, dimensi warisan tidak terputus.

Menarik diperhatikan contoh warisan yang pernah berkembang di suatu tempat dan masa, menjadi warisan yang kemudian terbangun dan terpakai di tempat kita. Contoh terbaik ialah persembahan dikir barat. Seni yang berasal dari pantai timur Semenanjung, sekarang ini menjadi sebahagian daripada warisan budaya Melayu Singapura semenjak ia diperkenalkan pada tahun 1970-an.

'Pujangga' dibina pada 1997 dan digunakan untuk berlumba di kepulauan Riau. 

Ini disebabkan banyak faktor, namun yang hilang itu kadang kala tidak perlu sangat kita sebak kehilangannya sebab faktor sumber, kesempatan dan masa sudah tidak wujud lagi.

Antara warisan yang “mati” ialah pembinaan rumah tradisional, permainan tradisional (contoh kolek air yang pernah subur di kepulauan Selatan), pemukulan beduk dan kentong di masjid, pertukangan tradisional dan beberapa lain persembahan dan hiburan.

WAWASAN PERLUKAN PERANCANGAN

Pemerhatian untuk menjelas, mengumpul, membincangkan warisan makanya perlukan wacana yang padu dan berterusan.

Pembangunan kebudayaan tidak akan ke mana kalau kita hanya ditingkat produksi dan konsumsi. Tanpa wacana kita tidak dapat mengapresiasi warisan itu dengan bersungguh, betapa lagi kalau kita mahu berbagi kepada mereka yang bukan dari komuniti kita.

Membangun wacana warisan pastilah bukan tempat merintih atau merayakan bahawa segala sesuatu yang dibilang sebagai “warisan” itu wajar atau kena pada tempatnya. Pastilah warisan feudalisme Melayu tidak wajar dikedepankan sebagai warisan masyarakat Melayu, yang sekarang ini hidup dalam masyarakat yang moden, demokratik, majmuk dan egaliter (egalitarian).

Membangun wacana warisan sebaiknya ada pendekatan serampang dua mata. Melestarikan bererti melanjutkan dan mengekalkan, dengan kepandaian, kemahiran tertentu terus terbangun dan terjaga mapan.

(Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Melestarikan warisan tegasnya tidak harus berhenti pada ketukangan. Ia memerlukan wadah wacana. Dalam konteks masyarakat yang lebih terdidik, sesuatu warisan yang disaksikan lewat pameran, persembahan dan media massa, membuat mereka mahu tahu akan maksud dan sejarah warisan tersebut. Pelestarian warisan yang didukungi oleh wacana yang memikat akan menjadikan warisan itu lebih bermutu dan padu sifatnya.

Tegasnya, wawasan dan perancangan warisan harus diperkirakan dengan cermat. Apabila warisan ini dilestarikan, harus pula kita menilai sama ada kita setakat memperaga atau meromantiskannya. Contohnya kerana ghairah warisan, hasil dari bacaan sejarah yang kurang jelas, maka kita tidak dapat membedakan antara warisan massa Melayu dengan warisan dari tradisi feudal Melayu.

Begitulah apabila berdestar dan bertanjak yang menjadi sebahagian daripada pemakaian golongan pembesar feudal, dianggap pula sebagai warisan nenek moyang Melayu, walaupun dalam sejarah pemakaian sedemikian dihadkan kepada kelompok tertentu saja.

Lebih parah apabila asosiasi dengan warisan silam itu kita kaitkan sebagai zaman bahari kegemilangan budaya Melayu, yakni suatu pandangan sejarah yang bertoleh ke belakang untuk mencari paradigma budaya. Dalam beberapa masyarakat lain, fenomena ini disebut sebagai 'romantic consumption'.

Kumpulan gendang tradisional, Nadi Singapura, semasa satu sesi latihan. (Gambar: BERITAmediacorp)

Kita perlukan kebanggaan sejarah untuk memperkukuh konsep warisan. Tetapi berlebih-lebih sehingga adanya peromantisan itulah yang akan membuat cara fikir tentang warisan tersendat dan tertutup. Warisan harus dibina, dipelihara dan bukan bernostalgik akan zaman lalu yang tidak mungkin dapat diulangi.

Dalam perancangan, sebaiknya kita bina prasarana di mana warisan dapat dihidupkan semula. Kalau kita kagum pada warisan keris, bangunkanlah teknologi pandai besi, melatih beberapa anak bangsa untuk mendalami kemahiran itu. Begitu juga kepandaian menukang kayu ukiran, mengayam tembikar, bertukang rumah dan perabot tradisional dan banyak lagi. Ini tidak mustahil tetapi perlu perancangan, sumber, tekad dan wawasan.

Kesadaran sejarah harus segandingan dengan kepedulian sosiologis yang mencermati apa yang diperlukan masyarakat. Dengan wujudnya kedua-dua ini, merancang warisan akan lebih jelas, tanpa terperangkap oleh feudalisme, konsumerisme, anti-intelektualisme, nasionalisme mundur, malah orientalisme yang angkuh.

Moga Hari Warisan anjuran MHF yang diraikan pada 13 November 2021 ini memulakan tirai perancangan cermat kita ke arah landasan warisan yang mahu kita capai.

Usaha mendokumentasi warisan harus dilipat segarakan, sama juga analisis korpus warisan agar terbit pencerahan. Ngugi wa Thiong’o pernah berkata: “Acknowledgement of the past becomes the basis of strengthening the present and opening out to the future.” Begitulah sifatnya warisan kalau kita memahami akan tugas dan potensinya.  

MENGENAI PENULIS:

Gambar: Yayasan Warisan Melayu (MHF)

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan