Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Warisan Adat Harus Bermanfaat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sastera yang terbangun dalam masyarakat memerlukan dukungan yang pelbagai dan berpadu.

Di satu sisi, barisan penulis yang berani, tekun dan berharapan, dapat menentukan perkembangan sastera. Di satu sisi lain pula, sastera juga terpengaruh oleh lingkaran dan cengkaman penguasa.

Andainya sang penguasa sangat kemaruk dengan kekuasaan, pastilah ia akan takut kepada teguran dan sanggahan daripada para seniman dan sasterawan. Tambah lagi, khalayak umum yang memiliki kesedaran budaya dan politik yang tinggi, pasti dapat mengapresiasi kesenian dan idea pembebasan dalam kehidupan.

Inilah sebenarnya yang menjadi harapan para penulis besar. Dalam lembaran sejarah sastera Indonesia moden, A.A. Navis adalah antara penulis yang memiliki pendirian seperti yang disebutkan tadi.
 
(Gambar hiasan: iStock)
Ali Akhbar Navis atau A.A. Navis, penulis asal tanah Minang, Sumatera. Beliau dilahirkan di Padangpanjang, Sumatera Barat, pada 17 November 1924. Tanah Minang dalam sejarah telah menjadi bumi subur menghasilkan barisan pemikir dan pemimpin Indonesia.

Antaranya Haji Agus Salim, Mohamad Hatta, Sutan Takdir Alisjahbana, Hamka dan ramai lagi. Semestinya A.A. Navis terkira dalam barisan tokoh-tokoh ini.

Navis mendapat pendidikan di INS Kayatanam, sebuah sekolah berhaluan nasional dan mandiri, yang didirikan oleh tokoh pendidik Indonesia yang terkenal, Muhammad Sjafeí. Pendidikan awalnya di Sekolah INS Kayutanam memberi asas pendedahan kebangsaan yang baik, selain menjadikan beliau mandiri. Inilah sebabnya beliau menjadi seorang 'autodidact' ataupun mereka yang belajar sendiri dari buku dan pengalaman diri.

Dari sekolah itu Navis belajar bermain muzik, melukis dan membuat patung. Dunia seni sudah dihirupnya dari awal.

Walaupun tidak melanjutkan pendidikan tinggi, dek berkat dari belajar sendiri, dengan bakat dan kesedaran yang dianugerahi, beliau tampil sebagai penulis yang prolifik, baik dalam bentuk cereka mahupun bukan cereka.

Beliau adalah anak negeri yang menghargai dan berbangga dengan sumbangan pemimpin, pemikir dan penulis yang ada di wilayah kebudayaan Minang. Buku kecil Geo Sastra dan Seni Minangkabau (1997) adalah penyenaraian berguna tentang sasterawan dan tokoh nasional Indonesia yang berasal dari Tanah Minang.

 
(Gambar hiasan: iStock)
Warisan Adat Harus Bermanfaat

Bagi Navis, tradisi yang jumud harus ditepis. Malah beliau senada dengan Hamka yang berani menegur adat Minangkabau yang usang dan ketinggalan. Adat tradisi bukan barang pameran. Adat juga bukan penetapan mutlak, dengan sifat yang seolah-olah tidak boleh diubah. Sebaiknya, adat harus bergerak seiring dengan zaman:

“Sekali air besar
Sekali tepian berubah
Nan air ke hilir juga
Sekali kuasa berlegar
Sekali aturan berubah
Yang adat begitu juga.”


Sebaliknya beliau menanggapi dinamika warisan adat sebagai falsafah hidup, gagasan nilai etika dan peraturan hidup yang diterima pakai dalam masyarakat. Inilah yang dapat kita pelari daripada buku Alam Terkembang Jadi Guru: Adat dan Kebudayaan Minangkabau. (1984).

Di lain tempat, beliau telah menghuraikan makna daripada ungkapan “Alam Terkembang Jadi Guru,” dalam konteks pelbagai kelompok hidup bermasyarakat yang saling mendukung:

“Ajaran itu memberi tafsiran bahawa kedudukan setiap kelompok orang atau bangsa sama dengan yang lain. Dalam erti kata lain, tidak ada sesuatu yang lebih tinggi dari sesiapa pun, baik sebagai individu, sebagai kelompok atau bangsa. Seperti api, air, tanah dan angin yang berkedudukan sama dan tak dapat saling menghancurkan. Karena ajaran itu mereka saling berlomba untuk meningkatkan martabat harga diri masing-masing, sebagai individu, sebagai kelompok dan sebagai suku bangsa, agar sama dengan yang lain.”

Pemerhatian Navis tajam dalam beberapa hal. Beliau bertanggapan keghairahan anak perantau pulang ke daerah tempat asal mereka dan kemudian beria-ia membina bangunan berseni bina budaya tempatan, atas nama mengangkat martabat budaya tanah asal mereka.

Namun kecenderungan sebegini bukanlah lahir dari kesedaran yang utuh untuk merevitalisasikan kebudayaan. Sebaliknya, ia adalah “kehendak naluri yang terpesona dengan kecemerlangan material dari kehidupan metropolitan.”

Bagi Navis, budaya yang terjebak dengan tradisionalisme akan menjerat kebudayaan itu sendiri. Pemuliharaan tradisi makanya jangan disamakan dengan daya kreatif mencipta budaya. Apabila ini menjadi keliru, ertinya kita tiada memberi peluang untuk membangunkan budaya yang berdaya maju. Maka itu, kefahaman tentang tradisi yang berdepan dengan proses perubahan sangat penting dimiliki, khasnya oleh tampuk kepimpinan.

Keteguhan Intelektual

A.A. Navis adalah seorang juara cerpen, mungkin sebesar bakatnya seperti Idrus. Cerpen dan esei adalah karya utama, walaupun beliau juga menulis novel dan puisi. Bukunya Yang Berjalan Sepanjang Jalan (1999), menghimpunkan pelbagai esei yang rencam temanya, namun khas membawa gaya Navis yang kreatif dan kritis, terkadang sinis.

Navis umumnya mengkhuatirkan kelesuan dan ketandusan berfikir yang menempel dalam kalangan penulis. Ada kalanya terdapat lantunan intelektual yang kelihatannya maju, tetapi isi pemikirannya “tidak terlepas daripada bentuk pengulangan simbol-simbol tradisional.”

 
(Gambar hiasan: iStock)
Dunia kesusasteraan tidak boleh terpisah daripada dunia kecendekiawanan. Kedalaman intelektual akan membolehkan para penulis untuk mengapung dan mengupas persoalan-persoalan ini dalam karya-karya mereka. Namun kalau sisi ini tidak berakar dengan baik, maka karya sastera menjadi hamburan penceritaan, perasaan dan keasyikan sendiri.

Dalam banyak penulisan Navis, terakam kepedulian sosial yang padu, terkadang bersifat humor, dengan susunan kalimat yang sederhana tetapi menyentak. Huraian beliau tidak berjela, namun cukup bernas. Paling jelas adalah keterlibatan beliau dalam sesuatu perkara yang ditimbulkan. Tidak membelok dan mengelak, tapi membelek perkara sambil mengajak agar kita sama-sama memikirkan tantangan yang sedang dihadapi.

Navis juga menegur akan kondisi yang berlaku di Indonesia, dengan jumlah penduduknya yang terbanyak, namun para penulisnya belum tampil dengan aktif membicarakan tentang tradisi dan pemikiran Islam dalam karya-karya mereka.

“Banyak pikiran-pikiran baru baru dari pemuka Islam yang telah membuka selubung kebodohan bangsa… Akan tetapi, tidak ada karya sastera Indonesia yang bicara tentang itu. Kalau pun ada sangat sedikit.”

Atas kesedaran ini jugalah Navis berani mengangkat tema untuk mengupas kebelengguan akibat daripada orientasi Islam yang tradisional sehingga gagal menanggapi pesan-pesan Islam yang universal dan maju menghala kepada kemaslahatan kemanusiaan.

Navis yang Reformis

Reformis Islam sudah lama berakar dalam tradisi Islam di Tanah Minang, dengan etos pembaharuan mengundang tekad membangunkan kebajikan umat lewat pendidikan, ekonomi dan pembudayaan yang rasional. Navis lahir dari konteks kebudayaan dan keagamaan seperti ini, dan ini sangat terpancar dalam banyak karya beliau.
 
(Gambar hiasan: iStock)
Tugas sasterawan itu harus berguna atau berfungsi kepada masyarakatnya. Kegagalannya adalah pengabaian segi-segi intelektual dan etika moral. Dalam puisinya berjudul “Kenapa” yang dihasilkan seawal Oktober1948, Navis telah mempersoalkan mengapa ada kepimpinan yang buta hati melihat penderitaan, kerosakan dan pengabaian. Navis bermadah:

“Tidakkah tuan dengar segala rintih
keluh kesah suara serak
oleh tangis sepanjang waktu?

Tidakkah tuan lihat bangkai hidup
tinggal kulit pembalut tulang
oleh lapar yang diderita?

Dia telah jauh dilamun ombak nestapa
sedang tuan bergembira di benua bahagia.

Lupakah tuan sumpah dan ikrar
kala jabatan mula dipangku
membela, menyantun siapa derita?

Lupakah tuan jaya yang tiba
karena jabatan ciptakan sorga dalam dunia
setelah muluk janji yang diberi?

Megah tuan sekarang
buta pada yang terang
dalam nikmat tuan kini
lupa pada janji.

Dapat tuan bermegah
lupa sengaja pada sumpah.
Kenapa?”


A.A. Navis adalah cendekia-sastera yang bakti seninya memperkayakan khazanah kesusasteraan Melayu-Indonesia.

A.A. Navis yang reformis dan humanis, kami tabik dengan hormat berlapis.

MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau juga Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan anggota Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Sahabat Sastera.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan