Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Wanita dalam arena teknologi dan konsep kepelbagaian jantina

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Sudah 4 tahun sejak saya mengendalikan firma Parrot Social (www.parrot.social) sebagai seorang wanita minoriti dalam industri Teknologi Maklumat dan Analitik Data di mana pada mata kasarnya, kebanyakannya didorong oleh kaum Adam.

Tapi saya ingin mengatakan dengan bangga bahawa sebenarnya teknologi adalah kerjaya yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja dan ini termasuk kaum wanita juga.

Segala-galanya di sekeliling kita semakin didorong oleh teknologi. Pasar raya kini ibarat sebuah syarikat teknologi, malah pemodelan statistik yang diperlukan untuk memerangi COVID-19 juga didorong oleh teknologi.

Secara amnya, walaupun arena teknologi masih belum mempunyai bilangan wanita yang secukupnya, apa yang saya lihat ialah sejauh mana prestasi wanita dalam bidang teknologi. Kita dapat melihat bahawa wanita secara amnya sama sahaja dengan lelaki dan juga berkemungkinan besar untuk maju sebaik sahaja kerjaya mereka bermula. Secara keseluruhannya, wanita juga dapat memberikan impak yang kuat dalam industri ini.
(Gambar hiasan: BERITAmediacorp/Nurfazirah Azman)
Namun begitu, memandangkan Hari Wanita Antarabangsa berakhir pada bulan Mac lalu, konsep kepelbagaian jantina atau “gender diversity” dalam industri teknologi masih boleh lagi diperbaiki. Sebagai contoh, tinjauan Harvey Nash/KPMG CIO terkini mendapati hanya 11% daripada pemimpin teknologi di seluruh dunia adalah wanita dan hanya kira-kira satu perlima daripada pasukan IT terdiri daripada kaum Hawa.

SINGAPURA HAB INOVASI TEKNOLOGI

Walau bagaimanapun, yang menariknya, Singapura telah disenaraikan sebagai hab inovasi teknologi terkemuka di luar Silicon Valley, mendahului bandar-bandar seperti New York, Beijing dan London untuk dua tahun berturut-turut. Ia adalah salah satu negara yang paling berwayar dan pasaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang maju dari segi teknologi di dunia. Dan pada bulan Jun 2022, kadar penembusan jalur lebar tanpa wayar adalah 201.3% manakala penembusan Mobile atau “Smart Devices” mencapai 163.5%.
 
(Gambar: CNA/Hanidah Amin)
Sebagai industri yang berkembang pesat, pekerjaan teknologi terus mendapat permintaan tinggi dan bilangan pakar teknologi di Singapura telah meningkat kepada lebih 200,000 hari ini, dengan bilangan pekerjaan teknologi meningkat kira-kira 10,000 setiap tahun dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Kajian telah menunjukkan bahawa kepelbagaian jantina boleh memupuk syarikat lebih inovatif dan tangkas serta meningkatkan prestasi kewangan mereka; sebenarnya, syarikat yang mempunyai lebih banyak pasukan kepimpinan yang pelbagai melaporkan hasil inovasi yang lebih tinggi berbanding syarikat yang mempunyai kepelbagaian di bawah paras purata.

Walaupun inisiatif seperti SG Women In Tech telah membawa kepada peningkatan pada kesedaran tentang kepelbagaian jantina atau “gender diversity”, hanya 58% wanita yang lulus dengan ijazah atau diploma STEM meneruskan kerjaya dalam bidang berkaitan, berbanding dengan 70% lelaki.

Di Singapura, wanita merangkumi 41% daripada tenaga kerja teknologi dan walaupun ini lebih tinggi daripada purata global sebanyak 28%, lebih banyak boleh dilakukan untuk menarik, mengekalkan dan membangunkan bakat wanita bagi membolehkan mereka merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.
Orang ramai dilihat di Daerah Pusat Bandar (CBD) Singapura pada 29 Mac 2022. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)
MESTI UBAH PERSEPSI

Digital akan menjadi nadi revolusi dan teknologi akan menjadi lebih penting daripada sebelumnya.

Di peringkat global, akibat pandemik COVID-19, beberapa perkara sudah berubah. Salah satu halangan terbesar bagi wanita adalah budaya bekerja lama di pejabat dalam teknologi. Itu semua telah berubah dengan wabak – ramai yang bekerja secara fleksibel sekarang dan lelaki dan wanita yang mempunyai keluarga muda akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan model bekerja dari rumah/fleksibel di masa kini.

Satu lagi hambatan utama ialah memikat wanita ke dalam sektor itu di awal kerjaya mereka.

Teknologi masih dianggap sebagai industri yang sangat didominasi oleh kaum lelaki, teknikal, - pendek kata, tidak sesuai untuk wanita.
 
Gambar hiasan: iStock
Kita perlu mengubah pemikiran ini melalui mesej yang positif, memperkasakan dan sebagai industri, benar-benar mempromosikan cara wanita boleh maju ke hadapan.

Sungguhpun demikian, terdapat banyak faktor yang boleh mendatangkan perubahan. Ini termasuk mempunyai model peranan “Role Modelling” yang kukuh, program bimbingan / “Mentoring Programme” dan latihan kepelbagaian - dan sebagainya. Sesungguhnya, saya fikir terdapat bahaya sebenar dalam membahagikan kepelbagaian kepada satu set inisiatif dan program sahaja.

PERUBAHAN PADA ANJAKAN MINDA

Kepelbagaian tidak boleh dilihat sebagai "projek". Ia mestilah diterapkan dalam anjakan budaya dan minda yang berterusan, di mana, secara ringkas, semua orang dialu-alukan dan peluang terbuka kepada semua tanpa mengira jantina atau faktor lain. Perubahan perlu di dasar sistemik dan diselaraskan, bukan hanya satu set inisiatif.

Pemerintah juga mempunyai peranan penting dalam hal ini – ia boleh membantu menetapkan agenda pada pelbagai peringkat, daripada membentuk pendidikan dan kurikulum kepada sokongan untuk perantisan dan skim latihan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, program pembiayaan, insentif Penyelidikan & Pengembangan dan selanjutnya.
 
(Gambar: Jeremy Long/CNA)

Walaupun kita tidak melihat kemajuan sebanyak yang kita inginkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini di tahap antarabangsa, tetapi saya tetap optimis.

Dalam dunia baru yang dicipta oleh wabak COVID-19, kita berada di laluan yang dapat melakarkan sebuah masyarakat yang berbeza dan progresif.

Penghargaan terhadap kepentingan penyertaan semakin berkembang dan teknologi mesti mencerminkan perkara ini.

Kita tidak sepatutnya mengadakan perbualan yang sama tentang perkara ini setiap tahun - dan saya percaya, jika setiap daripada kita memainkan peranan yang positif di peringkat keluarga, masyarakat dan pemerintah, pada tahun-tahun akan datang, sudah pasti, mungkin peranan wanita dalam bidang Teknologi akan terus berkembang pesat.

MENGENAI PENULIS:

Hamidah Aidillah adalah pengasas Parrot Social – firma Analitik Data yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk membantu perniagaan dan institusi memahami dengan mendalam tentang media sosial dan trend-trend masa hadapan. Parrot Social merupakan firma Finalis peringkat antarabangsa di wadah online WeConnect International 2022.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan