Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: VTL S’pura-KL ibarat penyambung nyawa bagi pekerja, peniaga Johor

Pembukaan sempadan antara Singapura dengan Malaysia secara beransur-ansur membawa sinar harapan kepada rakyat yang terkandas di kedua-dua belah Seberang Tambak.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pembukaan sempadan antara Singapura dengan Malaysia secara beransur-ansur membawa sinar harapan kepada rakyat yang terkandas di kedua-dua belah Seberang Tambak. Pengumuman itu paling dinanti-nantikan para penduduk dan peniaga di Johor yang menaruh harapan agar laluan darat dengan Singapura akan dibenarkan semula.

Tempoh 21 bulan yang lalu ini sangat mencabar bagi rakyat kedua-dua negara yang terpisah dek pandemik COVID-19.

Malaysia dan Singapura menjalin hubungan ekonomi, sejarah dan ikatan kekeluargaan yang sangat mendalam.

Sejak Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, pasangan suami isteri, ibu bapa dan sanak-saudara perlu membuat keputusan yang genting dan menyulitkan.

Antara yang terjejas termasuk Iman Nurhannah, 22 tahun, yang terpaksa menghentikan pengajiannya dalam kursus perniagaan dan pengurusan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Singapura untuk menjaga datuk neneknya yang menetap di Johor. Sehingga ke hari ini, dia masih berada di Johor.

Ada pula yang terpaksa melafazkan kata-kata terakhir kepada orang-orang tersayang menerusi panggilan telefon bagi keluarga-keluarga yang menanggung kesan paling perit akibat COVID-19. Mereka setakat boleh berharap dapat menziarahi pusara anggota keluarga yang tewas kepada pandemik sebaik saja sempadan dibuka semula kelak.

Tambak yang memisahkan penduduk kedua-dua negara mungkin tidaklah begitu panjang namun ia berasa seperti sangat jauh sekali.

Bahkan kira-kira 20 keluarga yang dipisahkan oleh Selat Johor sanggup menyewa bot pesiaran pada Oktober 2020 setakat untuk melambai-lambai kepada orang-orang tersayang di Woodlands Waterfront.

Sebelum vaksin COVID-19 dihasilkan, sekatan-sekatan perjalanan yang dikenakan sangat ketat sekali. Hanya 250 penduduk Singapura dibenarkan menyeberangi Koswe atas sebab-sebab ihsan dengan bantuan Kementerian Ehwal Luar, dedah Menteri Ehwal Luar Singapura Vivian Balakrishnan pada Februari.

Lantaran itu pengumuman bersama oleh kedua-dua perdana menteri Malaysia dan Singapura bahawa Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) bagi penerbangan antara kedua-dua negara akan dilancarkan pada hujung November melegakan ramai penduduk yang sejak sekian lama berjauhan dari sanak saudara dan sahabat handai. Ia menawarkan peluang untuk akhirnya bertemu satu sama lain.

JOHOR PERLUKAN PEMBUKAAN SEMPADAN SINGAPURA

Hakikatnya, penutupan sempadan di selatan Malaysia itu menjejas teruk ekonomi Johor.

Memandangkan sebahagian besar ekonomi Johor bergantung kepada pelaburan, perniagaan dan pelancong dari luar negara, lebih-lebih lagi dari Singapura, ramai ahli politik Malaysia menggesa supaya pembukaan semula laluan darat dijadikan sebagai salah satu keutamaan Ismail Sabri Yaakob sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia pada Ogos.

Tanpa kemasukan para pelawat dari Singapura dan negara-negara lain seperti biasa menerusi Koswe dan Link Kedua, banyak perniagaan di Johor Bahru merintih.

Akibat pelancongan yang disekat sama sekali di merata negara, perkhidmatan di Johor termasuk spa, kedai dandan, rumah urut, kedai makanan dan minuman (F&B) dan bengkel-bengkel kereta teruk terjejas. Malah Hotel Puteri Pacific yang ikonik turut gulung tikar. Suasana tempat rehat B Point yang dahulu meriah dengan kehadiran pelancong dari Singapura, kini sepi dan lengang.

Para peruncit kehilangan pelanggan tempatan dan luar negara. Ini menyebabkan banyak pusat beli-belah berhampiran kompleks kastam dan imigresen seperti City Square Mall umenghentikan operasi selama beberapa bulan.

Selepas sekatan perjalanan antara daerah dan negeri digugurkan pada Oktober, para pelancong tempatan sudah kembali ke Johor. Namun para pengendali seperti Desaru Coast dan pemain-pemain industri pelancongan Johor bertegas Singapura tetap menjadi pasaran tumpuan utama mereka yang mendatangkan ramai pengunjung.

MENYARA HIDUP TATKALA SEMPADAN DITUTUP

Kebanyakan daripada beratus-ratus ribu pekerja yang dahulu berulang-alik antara Johor dengan Singapura mengalami kesukaran untuk mencari pekerjaan lain.

Mereka yang cukup “bernasib baik” dapat terus bekerja di Singapura dengan penginapan disediakan untuk mereka, seperti jurutera biologi Lim Kok Leong, merasakan keperitan hidup berjauhan dari orang-orang tersayang. Sudah setahun beliau belum bertemu muka dengan anak perempuannya yang berusia lima tahun.

Sedang ekonomi Singapura merudum, kontrak sesetengah pekerja tidak disambung semula dan sulit untuk mereka mencari pekerjaan lain dan keadaan diburukkan lagi dengan mereka tidak boleh pulang ke Malaysia. Ini menyebabkan sebilangan daripada mereka terpaksa bergelandangan. Namun mereka dibantu oleh penduduk Singapura dan rakyat Malaysia lain yang tampil membela nasib mereka.

Apabila sekatan perjalanan kelihatan seolah-olah tidak akan dilonggarkan dalam masa terdekat, mereka yang tidak mampu bergantung kepada pekerjaan di Singapura terpaksa melakukan pekerjaan sambilan yang ditawarkan di Johor.

Ramai yang bekerja sebagai penghantar makanan. Ada pula yang menjual segala macam barangan yang dijual menggunakan but kereta apabila kedai-kedai sementara dan perniagaan kecil-kecilan dibenarkan beroperasi semasa PKP.

Dalam perbualan saya bersama dengan sebilangan penduduk Johor sedemikian, ramai yang mendedahkan mereka menolak tawaran pekerjaan sepenuh masa kerana mereka sedang menanti-nantikan peluang untuk kembali ke Singapura. Ada pula yang berkongsi tentang majikan yang enggan mengambil mereka atas kemungkinan itu.

Selama berbulan-bulan, terdapat kesedaran dalam kalangan pengguna wadah-wadah media sosial popular seperti kumpulan Facebook JB Tracer: Johor Bahru Traffic, Crime & Community Report bahawa sesetengah daripada mereka, kehidupan berulang-alik antara rumah dengan tempat kerja, yang membentuk kenangan manis meskipun perlu menempuh kesesakan lalu lintas, tidak akan kembali lagi dan ia bukanlah aturan hidup yang diinginkan setelah lama ditinggalkan.

Namun cabarannya buat masa ini adalah para pelawat hanya boleh melakukan perjalanan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menuju ke Singapura di bawah VTL.

Bagi mereka yang sudah tawar hati untuk kembali bekerja di Singapura, mereka memutuskan untuk meninggalkan Johor Bahru dan pulang ke kampung halaman di negeri masing-masing sebaik saja sempadan antara negeri dibuka semula.

Sesetengah daripada mereka terpaksa berbuat demikian kerana tidak lagi mampu untuk melunaskan sewa dan bayaran-bayaran lain yang pernah ditanggung ketika meraih pendapatan dalam mata wang dolar Singapura.

Kesan mentalnya juga ketara. Di peringkat negara, jumlah kes bunuh diri di Malaysia meningkat lima peratus pada 2020. Johor mencatatkan jumlah tertinggi mengikut negeri pada suatu ketika kerana ia amat terkesan dengan sekatan perjalanan antara negeri dan juga penutupan sempadan antarabangsa.

SINAR HARAPAN

VTL memudahkan perjalanan dan amat dialu-alukan menyusuli pelonggaran larangan perjalanan antara Singapura dengan Malaysia sepanjang tahun lalu ketika keadaan serba tidak menentu.

Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang digantung setelah kes jangkitan melonjak, membolehkan para pelawat atas urusan kerja dan tugas rasmi untuk melakukan perjalanan jangka pendek sekali saja buat sementara waktu. Namun ia sebahagian besarnya dikhususkan bagi para pelawat tertentu saja.

Syarat-syarat bagi Aturan Perjalanan Ulang-Alik (PCA), yang diwujudkan khas bagi syarikat-syarikat untuk membawa masuk pekerja dari negara seberang laut, juga ketat.

Para pekerja berkenaan mesti berada di negara masing-masing sepanjang tempoh pekerjaan selama sekurang-kurangnya 90 hari dan kos kuarantin dan ujian amat membebankan para pekerja kolar biru serta majikan mereka.

Sejak pertengahan 2021, kadar vaksinasi di seluruh Malaysia bertambah baik dan negara itu kelihatan sudah mula bangkit daripada pandemik.

(Gambar: AFP)

Sejajar dengan penghantaran bekalan vaksin, Johor mempercepatkan lagi vaksinasi penduduk dewasa. Para penduduk boleh mengunjungi sebilangan pusat vaksinasi tanpa membuat janji temu dan pusat-pusat vaksinasi bergerak mula ditubuhkan. Usaha akar umbi berhasil mendampingi ramai penduduk Johor Bahru untuk mendapat suntikan vaksin masing-masing dan ia diperluaskan ke lebih banyak daerah.

Setakat sehingga 9 November, 77.2 peratus penduduk Johor sudah lengkap divaksin, iaitu lebih tinggi daripada kadar nasional sebanyak 75.4 peratus, dengan kebanyakan daripada mereka disuntik vaksin Pfizer-BioNTech, menurut laman Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kadar rekod 96.8 peratus penduduk dewasa Johor sudah divaksin sepenuhnya dan para belia turut menyegerakan pemvaksinan masing-masing.

Kadar vaksinasi yang lebih tinggi itu membolehkan lebih banyak peraturan dan sekatan untuk ditarik balik dan memberi harapan kepada rakyat Malaysia untuk hidup seperti biasa sekalipun masih di tengah-tengah pandemik COVID-19.

VTL antara Singapura dengan Malaysia ibarat sinar harapan di penghujung jalan menyusuli pandemik bagi kami di Johor.

Namun apa yang lebih menggembirakan adalah luahan penuh optimis oleh kedua-dua perdana menteri yang berpendapat bahawa rancangan VTL serupa bagi perjalanan menerusi Koswe dan Link Kedua sedang mencatat kemajuan – sesuatu yang sangat-sangat dinanti-nantikan oleh ramai penduduk dan peniaga di Johor.

MENGENAI PENULIS:

Zamil Pelawat ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Serina Abdul Rahman

Dr Serina Rahman adalah Zamil Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan