Skip to main content

Komentar

KOMENTAR: Versi baru akhbar Al-Fatihin diterbitkan, ideologi ISIS terus ancam Asia Tenggara

Versi baru akhbar terbitan kumpulan pengganas ISIS, iaitu Al-Fatihin, akan terus mengancam masyarakat Melayu di rantau ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Versi baru akhbar Al-Fatihin diterbitkan, ideologi ISIS terus ancam Asia Tenggara

Syed Huzaifah Alkaff dan Jasminder Singh adalah penyelidik bidang pengganasan di Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Kajian Pengganasan (ICPVTR), RSIS.

BERITAMediacorp: Versi baru akhbar terbitan kumpulan pengganas ISIS, iaitu Al-Fatihin, akan terus mengancam masyarakat Melayu di rantau ini. Propaganda terbaru ISIS itu mungkin tidak dijadikan peranti untuk merekrut anggota, sebaliknya ia mahu sekurangnya-kurangnya membentuk sebahagian ideologi berkaitan agama dan politik.

Risiko itu muncul sedang serangan-serangan nekad pengganas terus berlaku di Indonesia, iaitu di Surabaya hari ini (14 Mei) dan semalam (13 Mei). Dalam KOMENTAR yang dikirimkan kepada BERITAMediacorp kali ini, dua penyelidik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Syed Huzaifah Othman Alkaff dan Jasminder Singh mengetengahkan dapatan kajian berkaitan Al-Fatihin terbaru itu.

Petikan gambar akhbar Al-Fatihin.

PADA 20 Jun 2016, kumpulan ISIS menerbitkan akhbar pertamanya dalam Bahasa Melayu yang diberi nama Al-Fatihin. Penerbitannya kemudian dihentikan dan setelah hampir dua tahun akhbar tersebut dicetak kembali. Sejauh ini akhbar mingguan itu sudahpun diterbitkan sebanyak sembilan edisi.

Akhbar terbaru itu masih diberi nama yang sama, iaitu Al-Fatihin. Namun cogan kata dan isi kandungannya diubah suai khususnya buat para pembaca Indonesia. Cogan kata terbarunya adalah ‘Surat Kabar Mingguan Berbahasa Indonesia, Diterbitkan Dari Daulah Islam’.

AL-FATIHIN: BARU DAN LAMA

Bermula dengan cogan kata itu, versi baru Al-Fatihin terus memenuhi keperluan anggota ISIS dan juga para penyokongnya di rantau Asia Tenggara. Walaupun ia disasarkan khusus buat para pembaca Indonesia, Bahasa Indonesia turut difahami oleh ramai orang di rantau ini, yang bertutur dalam Bahasa Melayu meski dialeknya berbeza-beza.

Al-Fatihin terbaru yang dikeluarkan sejak dua bulan lalu itu hanya setebal 10 hingga 15 muka surat. Meski kelihatan ‘ringan’, seperti Al-Fatihin terdahulu, ia tetap mengandungi pelbagai rencana dalam bentuk berita, laporan, infografik, surat daripada para pembaca dan komentar. Topik utama yang menjadi tumpuan adalah politik dan agama.

Walau sudah tewas dan kehilangan kubu kuatnya di beberapa wilayah di Iraq dan Syria, menerusi akhbar tersebut ISIS menggambarkan seolah-olah ia masih berkuasa dan mendapat sokongan di mana saja ia berada di merata dunia.

Kumpulan itu juga bermegah-megah dengan kekuatannya membunuh musuh, baik di dalam mahupun di luar Iraq dan Syria. Selain itu, Al-Fatihin menghasut para pembaca agar membenci Barat serta fahaman agama ‘lain’ seperti Syiah, Kristian dan sebagainya. Ini termasuk Muslim yang tidak menyokong ISIS, dengan mengajak para pembaca supaya ‘berjihad’ menentang mereka.

Al-Fatihin juga menerapkan nilai-nilai songsang agama menerusi pemahaman literal sumber-sumber agama, yang mewajarkan keganasan serta amalan-amalan yang dibenci.

NADA TERDESAK

Sebagai percubaan untuk kekal relevan di rantau Asia Tenggara, ISIS giat menyebarkan propagandanya. Sekalipun demikian, nada Al-Fatihin yang terbaru itu menampakkan bahawa ISIS terdesak.

Setelah kehilangan wilayah, anggota dan penyokongnya, Al-Fatihin berulang kali dalam setiap edisi yang diterbitkan menggesa supaya para pembacanya menyertai ‘jihad’, dengan mewajarkannnya sebagai kewajipan agama serta menekankan bahawa tindakan sedemikian penting.

Ia turut mengancam mereka yang mengecam ‘jihad’ dengan hukuman-hukuman berat. Gesaan ISIS itu bukan setakat kepada para pembaca lelaki malah juga wanita serta individu-individu muda yang berupaya menyertai perjuangan ganas mereka. Al-Fatihin juga memaparkan beberapa poster dan rencana buat para pembaca wanita, dengan memuatkan penghargaan serta garis panduan untuk menyertai ‘jihad’.

Meskipun berdepan kehilangan, Al-Fatihin mengetengahkan konsep kecekalan kepada para pembacanya. Ia menggambarkan seolah-olah anggota ISIS tidak akan mengkhianati bai’ah atau sumpah taat setia mereka walau apa pun cabarannya dan ditangkap bukan satu pilihan bagi mereka.

Petikan gambar akhbar Al-Fatihin.

KESAN-KESANNYA

Al-Fatihin terbaru itu juga merupakan titik yang menghubungkan ISIS dengan rantau Asia Tenggara. Setelah gagal menubuhkan sebuah khilafah di Filipina, ISIS berusaha untuk mempengaruhi negara Islam terbesar di dunia, Indonesia. Al-Fatihin boleh dilihat sebagai percubaan untuk memancing “hati dan minda” umat Islam, dan pasca-Marawi, untuk memperolehi semula apa yang sudah hilang baik wilayah, anggota mahupun penyokongnya.

Menggunakan sumber-sumber agama untuk mewajarkan agendanya, meskipun kejam, adalah cara pantas untuk “membeli” dan mengerahkan para penyokong mereka. Pada asasnya, ISIS menerapkan identiti agama para anggotanya menerusi perasaan bersalah dan seolah-olah mereka adalah mangsa keadaan serta mewajibkan mereka untuk berkhidmat kepada agama dan menyelamatkan diri menerusi jihad.

Sungguh demikian, mereka yang berfikiran rasional - sekiranya membaca Al-Fatihin - tidak akan termakan dengan idea-idea ISIS. Akhbar tersebut dipenuhi dengan unsur-unsur kebencian, ketaksuban, gesaan untuk melakukan kekejaman, yang mana tiada satu pun daripadanya adalah sebahagian daripada Islam. Hujah-hujah agama yang disampaikan oleh ISIS adalah songsang dan telah ditolak oleh ramai cendekiawan agama terkemuka dan kontemporari.

Matlamat Al-Fatihin bukanlah semata-mata untuk ISIS merekrut anggota. Namun jika terdapat pembaca yang mahu menyertai mereka, ia dianggap sebagai satu bonus bagi mereka. Namun yang lebih penting, propaganda Al-Fatihin adalah untuk membentuk pemikiran para pembacanya dari segi agama dan politik. Ini penting bagi ISIS untuk sekali lagi menarik masyarakat dan juga untuk mereka terus hidup serta relevan. Pada akhirnya, pandangan agama dan politik ISIS, walau terpesong sekalipun, masih diterima oleh para pembaca Al-Fatihin.

MELANGKAH KE HADAPAN

Kesan pengaruh seumpama itu ke atas masyarakat Asia Tenggara adalah besar. Sedang masyarakat di rantau ini berdepan perubahan kepimpinan dan pentadbiran, pengaruh ISIS boleh merosakkan. Walaupun secara fizikal, kewujudkan ISIS tidak lagi dominan, ideologinya akan terus meresapi minda masyarakat kita.

Al-Fatihin yang terbaru itu juga menjadi peringatan kepada kita bahawa Asia Tenggara dan misi ‘jihad’ masih lagi di dalam lingkungan radar (pemerhatian) ISIS.

Ancaman ISIS di rantau Asia Tenggara akan terus bertahan selagi ia mempunyai penyokong. Al-Fatihin hanyalah salah satu daripada banyak peranti propaganda yang digunakan untuk membentuk pemikiran masyarakat Islam. Para ulama agama perlu terus-menerus mendidik masyarakat menentang pandangan songsang agama. Bagi mereka yang mahu mendalami agama, mereka juga perlu memperolehi pengetahuan daripada para ulama yang bertauliah serta menerusi wadah dan saluran yang betul.

MENGENAI PENULIS:

Syed Huzaifah Alkaff dan Jasminder Singh adalah penyelidik bidang pengganasan di Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Kajian Pengganasan (ICPVTR), RSIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita