Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Usulan M'sia untuk hidupkan semula HSR dipertikai; isu lama belum terhurai

Para pakar pengangkutan dan ekonomi di Malaysia berpendapat bahawa satu sebab utama untuk menghidupkan semula projek HSR adalah landskap politik di Malaysia yang berubah dengan begitu dramatik dalam tempoh 11 bulan sejak perjanjian awal tamat pada 31 Dis tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Usulan M'sia untuk hidupkan semula HSR dipertikai; isu lama belum terhurai

(Gambar: MyHSR)

Diterbitkan : 01 Dec 2021 11:53AM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 12:10PM

BERITAmediacorp: Pergolakan politik di Malaysia baru-baru ini menjadi faktor utama mengapa negara tersebut menimbangkan semula idea Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkannya dengan Singapura, menurut para pakar pengangkutan dan ekonomi.

Bagaimanapun, isu mengenai kos dan faedah ekonomi masih menimbulkan keprihatinan sejak projek itu dihentikan 11 bulan lalu, menurut para pakar.

PM M'sia Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama PM Lee Hsien Loong di Istana pada 29 Nov 2021 (Gambar: MCI, Singapura)

PM M'sia Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama PM Lee Hsien Loong di Istana pada 29 Nov 2021 (Gambar: MCI, Singapura)

Idea untuk menghidupkan semula projek itu dibangkitkan semasa Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Nov) dalam lawatan rasminya yang pertama ke sini.

PM Lee turut mendedahkan bahawa pihak Malaysia yang menyarankan untuk menghidupkan semula projek itu setelah perjanjian awal menemui jalan buntu apabila terdapat perselisihan pendapat mengenai struktur pemilikan HSR Singapura-KL itu.

Sejak pengumuman itu pada Isnin, reaksi ahli politik di Malaysia bercampur-campur. Mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengkritik idea itu sambil berkata Malaysia menjadi bahan senda kerana mencadangkan idea untuk menghidupkan semula HSR.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad sebaliknya menyokong langkah itu sambil menegaskan bahawa mana-mana projek HSR yang baru perlu "bermula dari awal".

Mengulas perkembangan terbaru itu, para pengamat seperti Profesor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dari Universiti Sains Malaysia yang berpangkalan di Pulau Pinang berkata, beliau tidak menjangkakan sama sekali perkembangan tersebut.

Meskipun ada pihak yang mahu projek itu diteruskan, keprihatinan terhadap kos dan model pendapatan HSR serta kesan pandemik ke atas permintaan perjalanan bermakna walau apa sekalipun, masih terlalu awal untuk menimbangkan semula cadangan tersebut dengan Singapura, menurut pakar ekonomi pengangkutan itu.

"Adalah terlalu awal untuk merancang projek pengangkutan mega seperti itu tatkala keadaan masih sangat dinamik dan tidak menentu," jelasnya.

Dr Rosli Azad Khan, pengarah urusan syarikat pakar runding pengangkutan MDS Consultancy yang berpangkalan di Selangor, berkata: “(Rakyat Malaysia) sama-sama terkejut dengan pengumuman PM Malaysia kerana tiada tanda-tanda perkara itu akan dibangkitkan apabila beliau meninggalkan Malaysia untuk melakukan lawatan ke Singapura."

MENGAPA MALAYSIA MASIH MAHUKAN HSR

Mengulas isu itu lebih lanjut, para pakar pengangkutan dan ekonomi di Malaysia memberitahu pihak kami bahawa mereka percaya satu sebab utama untuk menghidupkan semula projek itu adalah landskap politik di Malaysia sudah berubah dengan begitu dramatik dalam tempoh 11 bulan sejak perjanjian awal tamat pada 31 Dis tahun lalu.

Menurut Profesor Ekonomi Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, pembatalan projek HSR adalah di bawah kerajaan lalu yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Walaupun kerajaan sekarang tetap Perikatan Nasional (PN) yang sama, dengan sebahagian besar menteri yang sama, pertukaran perdana menteri adalah faktor penting sama ada projek itu mendapat sokongan ataupun tidak,” kata Prof Williams.

HSR yang menghubungkan kedua-dua negara itu sememangnya bermanfaat dari segi ekonomi bagi Malaysia, namun para pakar berpendapat manfaatnya mungkin terlalu digembar-gemburkan.

Dr Ahmad Hilmy Abdul Hamid, pakar pengangkutan dari Universiti Sains Malaysia, berkata ketersambungan antara mana-mana dua negara boleh membawa manfaat yang besar kepada perniagaan, hubungan sosial, perindustrian, pelancongan dan banyak aspek lain yang menjadi kunci kepada hubungan dua hala yang positif antara kedua-dua negara.

"Tetapi untuk projek HSR ini, saya berpendapat perkara yang lebih penting untuk dipertimbangkan adalah daya maju kewangan dan kemampanannya."

Pameran pada 2016 menunjukkan kemajuan usulan projek HSR KL-S'pura (Gambar: MyHSR/Facebook)

Gamba diterbitkan pada 2016 menunjukkan pameran berhubung projek HSR KL-S'pura (Gambar: MyHSR/Facebook)

Prof Williams berpendapat para pengkritik projek mega seperti itu percaya bahawa HSR akan memanfaatkan kepentingan bersama, perniagaan besar, pelabur asing dan para pembiaya.

"Para pengkritik dari perspektif ini menyifatkan HSR sebagai satu gangguan untuk mengalihkan tumpuan kepada usaha membangunkan semula syarikat-syarikat kecil dan sederhana, mewujudkan peluang pekerjaan yang luas dan memberi tumpuan kepada pembinaan semula prasarana sosial dan kesihatan pasca COVID-19."

Dr Ahmad Farhan menegaskan permintaan dan model pendapatan saja belum cukup untuk menjadikan projek itu berdaya maju, terutama untuk laluan yang berakhir di Singapura dan Kuala Lumpur.

POTENSI METERAI PERJANJIAN BARU?

Perkara-perkara yang dipertikaikan tentang faedah ekonomi adalah sebab mengapa penjajaran HSR dan bandar mana yang akan disambungkan boleh menjadi isu utama, tambah para pemerhati.

Mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada Parlimen Malaysia pada September supaya laluan itu dilanjutkan ke Thailand untuk menghubungkannya dengan seluruh Asia, yang dinukil sebagai contoh oleh Dr Rosli.

Dr Francis Hutchinson dari Institut Iseas-Yusof Ishak yang berpangkalan di Singapura pula berpendapat bahawa sebarang perbincangan mengenai model HSR pada masa akan datang berkemungkinan akan berkongsi persamaan struktur dengan apa yang sudah dibincangkan sebelum ini setelah mengambil kira pendekatan "sedikit demi sedikit" projek HSR mencatat kemajuan.

Gambar dipetik pada 2018 menunjukkan tapak disyorkan bagi stesen HSR Melaka di Ayer Keroh (Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Gambar dipetik pada 2018 menunjukkan tapak disyorkan bagi stesen HSR Melaka di Ayer Keroh (Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Beliau turut menarik perhatian kepada perhentian-perhentian lain yang ditempatkan di pusat-pusat bandar yang lebih kecil seperti Muar, Ayer Keroh dan Batu Pahat sambil menambah: "Semua stesen baru itu bertujuan untuk menjadi projek pembaharuan bandar yang bercita-cita tinggi untuk merancakkan semula pusat bandar masing-masing dan merupakan sebahagian daripada rangsangan skala besar untuk mempertingkatkan pengangkutan kereta api yang cuba disokong oleh kerajaan Malaysia.”

Dr Rosli, sebaliknya, membayangkan PM Ismail Sabri mungkin mempunyai rancangannya sendiri "untuk menggariskan satu penjajaran baru melalui kerusi Parlimen Bera yang disandangnya di Pahang di sepanjang negeri pantai timur termasuk Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan" sebelum disambungkan dengan Thailand.

PERTIKAIAN ISU ASSETSCO

Selain penjajaran kereta api, perkara utama yang menjadi pertikaian ialah model AssetsCo yang disifatkan oleh Singapura sebagai "bahagian utama" dalam perjanjian HSR.

Apabila perjanjian itu pertama kali dimeterai, Malaysia dan Singapura bersetuju dengan penubuhan AssetsCo yang dilantik secara bersama dan dibiayai secara privet yang akan memiliki dan mengendalikan aset HSR seperti kereta api.

Pihak berkuasa pengangkutan kedua-dua negara melancarkan tender pada 2017 — dan kemudian melanjutkan tarikh akhir sehingga hujung 2018 — untuk melantik AssetsCo, yang dilaporkan berhasil memikat enam pembida yang berpotensi.

Tender itu bagaimanapun digugurkan pada 2018 selepas Pilihan Raya Umum Malaysia apabila mantan Perdana Menteri Mahathir Mohammed berkata bahawa beliau mahu mengkaji semula projek HSR.

Malaysia kemudian menyarankan untuk mengubah perjanjian HSR, sambil mengusulkan untuk menggugurkan AssetsCo, dengan para pegawai Malaysia mendakwa ia akan menghambat keupayaan mereka "untuk mengembangkan HSR ke bahagian-bahagian lain Malaysia bagi memperluaskan impak ekonominya", memandangkan satu keputusan muktamad perlu dibuat secara bersama.

Encik Ong Ye Kung, yang ketika itu adalah menteri pengangkutan Singapura, berkata awal tahun ini bahawa Pemerintah tidak dapat menerima saranan Malaysia untuk menggugurkan AssetsCo.

Kedua-dua negara tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk mengendalikan HSR dan oleh itu, kedua-dua negara bersetuju untuk melantik pemain industri yang "terbaik" untuk dipertanggungjawabkan oleh Singapura dan Malaysia, tambah Encik Ong.

Berdasarkan kedudukan dan pendirian Singapura, Prof Williams yakin saranan baru dari Malaysia itu berkemungkinan akan menerima pakai model AssetsCo.

“Dengan Singapura kelihatan bertegas tentang model AssetsCo, Malaysia berkemungkinan akan menurutinya dan satu perjanjian untuk menjaga maruah mungkin akan dimeterai bagi membolehkan projek itu diteruskan,” kata Prof Williams.

Encik Ong Ye Kung, ketika itu Menteri Pengangkutan S'pura, saksikan upacara pecah tanah bagi laluan RTS pada 22 Jan 2021 (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Encik Ong Ye Kung, ketika itu Menteri Pengangkutan S'pura, saksikan upacara pecah tanah bagi laluan RTS pada 22 Jan 2021 (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Dr Rosli bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan sebaliknya menegaskan bahawa Malaysia tidak mungkin akan berganjak berhubung isu AssetsCo dan mungkin akan mengusulkan model yang berbeza seperti yang digunakan bagi Sistem Transit Laju (RTS) Johor-Singapura.

Laluan RTS dikendalikan oleh RTS Operations, iaitu satu usaha sama antara pengendali pengangkutan awam Singapura, SMRT dan pengendali kereta api Malaysia, Prasarana.

IBARAT TIADA ROTAN, AKAL PUN BERGUNA

Satu cara atau yang lain sekalipun, masih belum jelas sama ada sebarang saranan dari Malaysia boleh dilaksanakan, kata Dr Rosli.

Dr Ooi Kee Beng, zamil kanan di Institut Jeffrey Cheah mengenai Asia Tenggara, menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan, tiada sesiapa pun yang tahu secara pasti mengenai saranan baru HSR yang ingin diusulkan oleh Malaysia jika mengambil kira landskap politik di Malaysia.

Menurut Dr Ooi: "Saya yakin Singapura sudah belajar dan menyedari bahawa adalah lebih baik untuk mengambil mudah hal ini kerana tiada yang kekal di Malaysia."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan