Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

Komentar: Usaha sepadu memperkasa wanita meniti usia senja

Isu masyarakat yang menua akan terus menjadi cabaran utama kita di Singapura terutama dalam kalangan kaum wanita. 

Anggaran Waktu Membaca:
Komentar: Usaha sepadu memperkasa wanita meniti usia senja

(Gambar: Masjid Yusof Ishak)

BERITAmediacorp: Dengan semakin ramai penduduk dijangka menikmati usia yang lebih panjang, timbul persoalan bagaimanakah persiapan golongan wanita dalam meniti kehidupan mereka di usia tua. Dalam tulisan berikut, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura dan juga anggota pengasas SAWA, satu gabungan terdiri daripada beberapa pertubuhan yang aktif dalam menangani isu penuaan dan kaum hawa, berkongsi langkah-langkah yang boleh difikirkan dalam membantu golongan wanita meniti usia tua dengan lebih bermakna.

Isu masyarakat yang menua akan terus menjadi cabaran utama kita di Singapura, terutama dalam kalangan kaum wanita. Dengan peningkatan jangka hayat, ini bermaksud lebih ramai wanita akan hidup lebih panjang, sekaligus mendedahkan mereka kepada pelbagai kos kehidupan dan kesihatan yang kian meningkat.

Dalam erti kata lain, golongan wanita perlu mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat untuk jangka masa yang panjang.

Golongan wanita tua sering dikategorikan sebagai ‘economically vulnerable’, kerana sering persiapan memasuki usia senja tidak sekukuh kaum lelaki.

Ini disebabkan oleh pendapatan yang kurang dan semakin berkurangan selepas usia persaraan dan ketidakupayaan untuk bekerja atas alasan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Oleh itu, ramai wanita lanjut usia bergantung kepada suami dan anak-anak untuk membiayai hidup. Namun dalam konteks kehidupan hari ini dapatkah amalan sedemikian bertahan? Selain keluarga, dapatkah masyarakat serta pemerintah membantu?

PERIKATAN WANITA DALAM ISU PENUAAN, SAWA

Usaha membantu kaum wanita meniti usia senja mendapat suntikan baru meyusuli pelancaran Singapore Alliance of Women in Aging (SAWA), sebuah gabungan yang terdiri daripada beberapa pertubuhan mapan yang aktif dalam menangani isu penuaan dan kaum wanita.

(Gambar: Rahayu Mohamad)

Perikatan antara Tsoa Foundation, AWARE, PPIS dan SCWO diharap dapat menjadi wadah dalam menyediakan sistem sokongan bagi pelbagai bidang. Antara matlamat SAWA:

  1. Menjadi sebuah wadah atau platform bagi anggota-anggota SAWA untuk mendapatkan, memberikan sokongan dan dukungan dalam menyediakan khidmat kepada warga tua melalui perkongsian sumber, kepakaran dan rangkaian kerja di dalam masyarakat.
  2. Bekerjasama di kalangan anggota menyumbang idea dan usaha dalam menggubal dasar dan cara menyediakan khidmat masyarakat kepada warga tua, khususnya wanita.
  3. Memajukan gagasan, strategi dan amalan yang dapat memastikan warga tua dapat menjalani kehidupan yang bermakna, penuh digniti dan dihargai sebagai aset kepada negara.

ISU-ISU WANITA HADAPI USIA BERSARA

Sempena pelancaran SAWA, sebuah forum turut dianjurkan untuk membahaskan isu-isu yang dihadapi golongan wanita apabila menginjak usia bersara.

Turut dibentangkan pelbagai dapatan hasil kajian yang dijalankan; antaranya persiapan kewangan yang kurang mencukupi bagi wanita untuk hari tua, sedangkan mereka bakal hidup lebih lama.

(Gambar: Rahayu Mohamad)

Melalui kajian 'Financial Security of Older Women: Perspectives from Singapore’ yang dijalankan oleh International Longevity Centre di bawah naungan Tsao Foundation pada tahun 2015, tahap pendidikan yang rendah, kurang penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan formal dan hilangnya peluang pekerjaan disebabkan peran penjagaan adalah antara faktor yang menyumbang kepada sumber kewangan yang rendah dalam kalangan wanita di hari tua.

Dari statistik yang dikongsi pada tahun 2017, purata caruman CPF pekerja 60 tahun ke atas dalam kalangan lelaki dan wanita mencatat perbezaan sekitar $22,000 (lelaki $91,620 dan wanita $69,732).

KEMUNGKINAN KEMISKINAN

Kemungkinan untuk golongan wanita tua hidup dalam kemiskinan adalah lebih tinggi daripada warga emas lelaki.

Oleh itu, golongan wanita tua lebih banyak bergantung kepada bantuan daripada anak-anak dari segi kewangan dan sokongan sosial.

Ia memberi kesan kepada beban tanggungan kepada anak-anak dan juga masyarakat. Peratusan ini boleh dianggap tinggi dan memerlukan perhatian yang sewajarnya dari pihak berwajib.

Hasil daripada dapatan tersebut memberi implikasi bahawa generasi sekarang dan akan datang perlu diberi kesedaran tentang pentingnya persediaan kewangan yang kukuh.

Dari segi dasar, insentif kepada anak-anak untuk membantu ibu bapa dari segi kewangan, psikologi dan emosi perlu dipertingkatkan.

(Gambar: Nashita Kamir)

(Gambar: Nashita Kamir)

Memandangkan majoriti daripada mereka yang telah bersara masih mampu bekerja, program-program yang dirancang untuk membantu golongan ini semestinya boleh menjana pendapatan yang stabil dalam jangka masa panjang.

Dari segi jantina, dasar yang dirangka untuk meningkatkan kualiti hidup warga tua perlu mengambil kira perbezaan jantina.

LANGKAH KE HADAPAN

Jelas bagi memastikan persediaan yang kukuh di hari tua, perancangan kewangan sejak awal adalah kuncinya. Namun dari realiti kehidupan sehari-hari, bagi sebahagian wanita, ini bukan sesuatu yang mudah dicapai.

Bagi wanita yang berpendapatan rendah, apa yang diperolehi hanya cukup untuk memenuhi keperluan asas serta menampung kos hidup seharian. Tiada sisih kewangan yang lebih untuk dijadikan simpanan persiapan di hari tua.

Oleh itu, usaha pencegahan dan pendukungan perlu difikirkan. Selain membantu mereka yang dililit masalah, justeru yang lebih penting menurut SAWA, adalah memastikan generasi seterusnya tidak dibelenggu isu-isu serupa.

(Gambar fail: Mediacorp)

Memandangkan ramai wanita Melayu yang berkongsi profil yang serupa, satu usaha yang sepadu amat perlu bagi memperkasakan golongan ini untuk membuat persiapan awal bagi mengharungi cabaran meniti hari tua. Antara saranan SAWA:

  1. Tingkatkan usaha galak wanita kembali bekerja terutama peluang latihan menerusi SkillsFuture.
  2. Galakkan majikan terapkan kelonggaran masa bekerja serta peluang kerjaya lebih baik untuk wanita.
  3. Wanita yang berhenti bekerja untuk menjaga keluarga dibantu seperti tokokan khas ke dalam akaun CPF mereka.

AGENDA UTAMA

PPIS, sebagai salah satu anggota pengasas SAWA, membawa aspirasi dengan tertubuhnya SAWA serta penglibatan PPIS dengan perbagai pihak yang berkongsi matlamat serupa.

Diharapkan huraian kepada isu-isu wanita dan persiapan di hari tua dapat segera ditemui supaya warga tua kita, khususnya kaum wanita Melayu, dapat menikmati sisa-sisa terakhir hidup mereka dengan lebih bermakna.

Oleh itu, perancangan penjagaan warga emas juga perlu terus menjadi agenda utama, dengan meningkatnya bilangan keluarga nuklear dan bertambahnya penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan yang tidak formal dan hilangnya peluang pekerjaan kerana keperluan penjagaan penduduk yang semakin menua.

Mengenai Penulis:

Rahayu Mohamad adalah Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS). Beliau juga adalah seorang anggota pengasas Singapore Alliance of Women in Aging (SAWA), konsultan pendidikan di peringkat serantau dan juga ahli pengarah di dalam pelbagai badan bantu diri di Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan