KOMENTAR: Tunaikan haji mungkin pertingkat modal politik calon presiden Indonesia tetapi tidak jamin kemenangan

(Gambar: Fahmi Ali/TEMPO)
SINGAPURA: Hampir semua calon presiden dan naib presiden Indonesia menunaikan haji tahun ini. Mereka adalah sebahagian daripada 229,000 jemaah haji Indonesia yang berhimpun di Makkah, Arab Saudi.
Walaupun mereka mungkin berada di Makkah atas sebab-sebab kerohanian atau urusan negara, haji secara tidak langsung dapat meningkatkan modal simbolik dan politik calon, yang masih kurang dalam kalangan sesetengah pihak.
Ibadah haji, bagaimanapun, tidak mungkin membawa mereka kemenangan mutlak dalam pilihan raya; tetapi bagi sesetengah orang, perjalanan ke tanah suci hanya akan memperkukuhkan imej Islam mereka kepada para pengundi.
Ini akan menjadi musim haji terakhir sebelum Pilihan Raya Presiden dan perundangan Indonesia yang akan diadakan pada Februari 2024. Pada masa lalu, beberapa ahli politik Indonesia menunaikan umrah sejurus sebelum pilihan raya. Sebagai contoh, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menunaikan umrah sebelum Pilihan Raya 2014 dan 2019 dan beliau memenanginya.

Pesaingnya, Prabowo Subianto sebaliknya menunaikan umrah pada 2018 tetapi kalah dalam Pilihan Raya 2019. Tidak ada kaitan langsung antara umrah dan kemenangan-kemenangan Jokowi, tetapi ia membantu presiden itu menghapuskan berita palsu dan kempen fitnah yang dibuat terhadapnya. Pada tahun 2014, terdapat khabar angin yang mendakwa bahawa Jokowi bukan seorang Muslim dan pada tahun 2019 pula, beliau dituduh sebagai anti-Muslim.
Berbeza dengan haji, umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. Dalam hal ini, haji mempunyai kepentingan yang lebih besar daripada umrah. Lazimnya di Indonesia, kaum lelaki yang telah menunaikan ibadah haji akan diberi gelaran "haji" sebelum nama mereka dan "hajjah" untuk kaum wanita, dan gelaran itu tidak diberikan kepada jemaah umrah. Apabila mereka kembali ke tanah air mereka, mereka juga menjadi lambang kebenaran, kesucian, dan orang-orang "terpilih" di rumah Tuhan iaitu Kaabah.
Calon Presiden Anies Baswedan menunaikan ibadah haji tahun ini. Beliau menggambarkannya sebagai "perjalanan kerohanian yang penting" untuk dirinya dan merupakan satu "titik permulaan sebelum perjuangan yang lebih besar akan datang". Beliau juga menegaskan bahawa "perjuangan bukan tentang beliau atau keluarganya tetapi mengenai seluruh negara, terutamanya, yang lemah."
Dengan imej Anies sebagai pemimpin Islam yang soleh, beliau tidak semestinya mendapat lebih banyak sokongan daripada pihak pro-Islam. Walaupun beliau disokong oleh parti Islamis, Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Anies kekal terpinggir daripada Nahdlatul Ulama (NU). Beliau tidak pernah dikaitkan dengan pertubuhan Islam terbesar di Indonesia. Pilihan raya lalu telah menunjukkan bahawa sokongan NU adalah kunci untuk memenangi pilihan raya.
Sandiaga Uno, calon naib presiden, juga dilaporkan telah pergi ke Makkah. Beliau menunaikan iabdah haji pertamanya pada tahun 1998. Seperti Anies, Haji sepatutnya meningkatkan daya tarikan Muslimnya, tetapi ibadah hajinya mungkin tidak banyak mempengaruhi sokongan NU kerana beliau bukan dari kalangan pertubuhan itu. Sandiaga baru-baru ini mengorak langkah politik yang strategik dengan bertukar daripada parti nasionalis Gerindra kepada PPP Islam (Partai Persatuan Pembangunan).

Perubahan kesetiaan politik ini memberi isyarat bahawa Sandiaga berkemungkinan berupaya menambat hati pengundi Muslim. Sandiaga turut berkongsi ibadah hajinya kali ini adalah secara kebetulan, kerana rancangannya adalah untuk menghadiri Simposium Haji di Jeddah anjuran kerajaan Saudi pada 20 Jun.
Beliau adalah Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif merangkap Kepala Badan Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia. Seorang jurucakap memberitahu pihak media bahawa Sandiaga akan berdoa untuk Indonesia yang lebih baik di hadapan Kaabah. Dalam kalangan calon presiden dan naib presiden, hanya Sandiaga yang mengerjakan haji buat kali kedua.
Selain Anies dan Sandiaga, Ganjar Pranowo dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) turut menunaikan ibadah haji tahun ini. Beliau akan disertai oleh Puan Maharani sekeluarga. Puan Maharani ialah anak perempuan Megawati Sukarnoputri, mantan presiden Indonesia, anak kepada presiden pengasas Indonesia Sukarno dan pengerusi PDI-P. Ganjar berada di belakang lawannya dari segi kelayakan daya tarikannya dalam kalangan pengundi Muslim.

Menunaikan haji memberinya peluang untuk menunjukkan komitmennya terhadap akidah Islam, tetapi dengan sendirinya, ia tidak semestinya menjamin kemenangannya dalam pilihan raya. Haji meningkatkan imejnya, tetapi hakikatnya, beliau perlu mendapatkan sokongan daripada parti dan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti NU.
Prabowo Subianto dari Gerindra adalah calon presiden yang tidak menunaikan ibadah haji tahun ini. Pada tahun 1991, beliau menunaikan ibadah itu bersama mantan Presiden Suharto, menerima liputan menyeluruh di Indonesia. Sebaliknya, Pengerusi Gerindra Sufmi Dasco Ahmad dilaporkan menuju ke Makkah. Berbanding pesaingnya, Prabowo telah memperoleh sokongan yang kukuh selepas bertanding dalam dua pilihan raya sebelum ini.

Sama ada beliau menunaikan haji tahun ini tidak mungkin mengubah persepsi orang ramai terhadapnya dalam sekelip mata; malah mungkin mempunyai kesan sebaliknya iaitu beliau mengerjakannya setakat kerana kepentingan politik.
Hakikatnya, hanya Allah yang dapat menilai niat calon presiden dan naib presiden apabila mereka melaksanakan rukun Islam yang kelima itu. Menunaikan ibadah haji tidak menjamin kemenangan mutlak calon ataupun meletakkan mereka di hadapan lawan mereka kerana mendapat sokongan daripada pertubuhan Islam yang dominan seperti NU tetap penting.
Ujiannya, bagaimanapun, adalah sama ada mereka pulang ke Indonesia dengan semangat haji yang sebenar, iaitu tidak menunjuk-nunjuk kekayaan, status dan kelas ekonomi mereka. Sebaliknya berkhidmat kepada rakyat jelata dengan jujur, adil dan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
*Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk Pilgrimage, Piety, and Politics: “Haji” Presidents in Indonesia.
MENGENAI PENULIS:
Dr Norshahril Saat ialah Zamil Kanan dan Penyelaras bagi Program Kajian Sosial & Budaya Serantau, ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Dr Ahmad Muhajir ialah Zamil Pelawat di ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau seorang pensyarah di Fakulti Syariah UIN Antasari Banjarmasin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.