Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tumbangnya kerajaan Melaka bayangkan kerapuhan politik M’sia

Meskipun belum diketahui motif sebenar empat Ahli Dewan Undangan Negeri berpaling dari kerajaan negeri Melaka, langkah itu adalah suatu peringatan tentang perbalahan yang berterusan di dalam dan antara parti-parti Melayu, lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Meskipun belum diketahui motif sebenar empat Ahli Dewan Undangan Negeri berpaling dari kerajaan negeri Melaka, langkah itu adalah suatu peringatan tentang perbalahan yang berterusan di dalam dan antara parti-parti Melayu, lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan. Hakikat ini menimbulkan banyak tanda tanya tentang percaturan politik seterusnya menjelang Pilihan Raya Umum seterusnya.

(Gambar: BERNAMA)

Pembentukan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuktikan kemampuan parti-parti seteru untuk mencapai kata sepakat. Sepuluh daripada 11 pemimpin UMNO yang menarik sokongan terhadap mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akhirnya bersetuju untuk mencalonkan Ismail Sabri - daripada kelompok UMNO bertentang - dan tidak menamakan seseorang daripada kelompok mereka sendiri untuk mengisi jawatan tertinggi itu.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal utuh hasil tolak ansur tersebut. Seteru-seteru Muhyiddin juga tidak tawar-menawar. Muhyiddin serta Anggota-Anggota Parlimen (AP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyokong PM Ismail Sabri sungguhpun ia bermakna mereka perlu berganding bahu dengan sepuluh pemimpin UMNO yang berkomplot untuk menyingkirkan Muhyiddin.

KERAPUHAN DALAM UMNO

Pada 4 Oktober, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dari UMNO. Langkah itu tidak menjejas kerajaan persekutuan secara langsung namun ia menimbulkan tanda tanya tentang kedamaian politik yang dicapai dalam kalangan anggota UMNO.

Dua daripada empat ADUN tersebut merupakan anggota UMNO, termasuk mantan Ketua Menteri Idris Haron. ADUN yang ketiga adalah daripada Bersatu, iaitu parti pimpinan mantan PM Muhyiddin; seorang lagi adalah ADUN bebas. Sebelum ini, kerajaan PN di Melaka yang diterajui UMNO memegang 17 kerusi DUN sementara gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) mengisi 11 kerusi. 15 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Ini akan menjadi kali kedua kerajaan Melaka bertukar tangan sejak pilihan raya umum 2018. Pada Mac 2020, PN mengambil alih tampuk kepimpinan di Melaka selepas empat ADUN berpaling dari PH. Sebelum 2018, DUN Melaka hanya pernah dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO.

Kemelut politik Melaka sekarang mendedahkan bagaimana UMNO masih dibelenggu perbalahan di dalam parti dan dengan parti-parti lain. Di dalam parti, anggota-anggota kanannya terus bertelingkah. Perang dingin antara UMNO dengan Bersatu juga mulai berputik.

(Gambar: Bernama)

Hakikat itu bercanggah dengan seruan Yang di-Pertuan Agong dalam ucapannya di Parlimen pada September agar ahli-ahli politik meleraikan ketegangan politik, menumpukan perhatian kepada pembinaan semula ekonomi dan menangani krisis COVID-19.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Mohd Rustam sudahpun membubarkan DUN bahkan sebelum mana-mana parti sempat mengusulkan huraian alternatif. Pengerusi PH Melaka Adly Zahari yang juga mantan Ketua Menteri berkata Mohd Ali Rustam sepatutnya menemu duga kesemua 15 ADUN yang menarik sokongan terhadap Sulaiman - seperti mana yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri.

Suruhanjaya pilihan raya telah menetapkan tarikh 20 November sebagai tarikh pilihanraya negeri Melaka, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19. Buat masa ini, sudah ada dua pilihan raya kecil bagi dua kerusi parlimen yang ditunda, dan begitu juga dengan pilihan raya negeri Sarawak.

KESAN SUSULAN JANGKAUI MELAKA

Melaka mempunyai DUN yang kedua paling kecil selepas Perlis. Namun perkembangan terbaru itu mungkin mendatangkan kesan susulan kepada DUN di negeri-negeri lain dan bahkan hingga ke Putrajaya juga. Jika Melaka dibenarkan mengadakan pilihan raya di tengah-tengah pandemik, mungkin saja ada pihak lain yang akan menuntut agar pilihan raya umum, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Julai 2023, dipercepat.

Kemelut politik Melaka menimbulkan banyak tanda tanya. Sebagai permulaan, hasrat sebenar ADUN berkenaan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka masih kabur. Kelompok UMNO mana yang disokong mereka juga tidak jelas.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengancam untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang melanggar arahan oleh parti: kekal taat kepada kerajaan yang diterajui UMNO dan BN. Beliau juga dengan pantas menggesa agar pilihan raya negeri dipercepat untuk meleraikan kemelut politik Melaka.

Amaran beralas oleh Ahmad Zahid sebenarnya ditujukan kepada Idris kerana “mengkhianati” kerajaan pimpinan UMNO di Melaka. Namun peringatannya kepada anggota-anggota UMNO untuk menjaga disiplin dalam parti juga boleh ditafsirkan sebagai kiasan agar UMNO bertanding dalam pilihan raya menuruti syarat-syarat yang ditetapkannya.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid pernah berkata UMNO akan bertanding bagi kesemua kerusi yang pernah dimenanginya dalam pilihan raya umum seterusnya. Ini sekali gus menghakis segala kemungkinan UMNO akan berunding dengan Bersatu untuk membahagi-bahagikan kerusi parlimen.

Perkembangan di Melaka tentunya akan menarik perhatian mereka yang ingin meramalkan aturan politik antara UMNO dengan Bersatu dalam PRU 15. UMNO adalah parti paling dominan di Melaka dan berhasrat mengekalkan kedudukannya. Semasa pilihan raya negeri nanti, masih tidak jelas sama ada UMNO akan bertanding bagi dua kerusi ADUN yang dipegang Bersatu.

Sebaliknya, langkah menyingkirkan Bersatu dari Melaka bercanggah dengan semangat muafakat yang menegakkan kerajaan PN di peringkat persekutuan. Ini memandangkan Bersatu sudahpun menunjukkan muhibah dengan bersetuju untuk mengekalkan PM Ismail Sabri dalam jawatannya. Bersatu tidak mungkin akan sekadar memberi laluan meskipun ia peka terhadap jentera akar umbi UMNO di Melaka tiada tolok bandingnya.

(Gambar: Bernama)

Bersatu tidak akan bersetuju untuk melepaskan dua kerusi ADUN di Melaka tanpa bertanding memandangkan ia tidak mempunyai banyak kerusi untuk dipertahankan. Selain itu, pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin sudahpun mengeluarkan kata putus dengan memberitahu UMNO secara terang-terangan bahawa partinya bersedia untuk beradu dengan parti lebih besar itu dalam pilihan raya seterusnya sekiranya rundingan bertemu jalan buntu.

Krisis politik Melaka juga akan merungkaikan siapa sebenarnya yang menguasai jentera UMNO di peringkat negeri. Sungguhpun Ismail Sabri memegang jawatan perdana menteri, beliau bukanlah presiden parti mahupun timbalan presiden. Lazimnya presiden UMNO dipilih sebagai perdana menteri Malaysia sejak kemerdekaan hingga 2018.

Berdasarkan Perhimpunan Agung UMNO 2020, majoriti cawangan UMNO lebih cenderung untuk bertanding dalam pilihan raya seterusnya tanpa kerjasama dengan Bersatu. PM Ismail Sabri perlu meyakinkan akar umbi di Melaka sekiranya beliau ingin menjalin kerjasama dengan Bersatu seperti mana dilakukan di peringkat persekutuan.

Namun Bersatu hanyalah salah satu batu loncatan yang perlu diatasi untuk mengekalkan kuasa - UMNO masih perlu berdepan dengan jentera Pakatan Harapan yang masih padu di negeri itu.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS-Institut Yusof Ishak bertajuk “Malacca’s Political Crisis: A Microcosm of Fragmented Malay Political Alignments.”

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau pakar politik Indonesia, Malaysia dan Singapura di institusi tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan