KOMENTAR: Transformasi Digital, Pencemaran Alam & Kesan Penggunaan Digital Terhadap Alam Sekitar

(Gambar: Pexels)
BERITAmediacorp: Revolusi digital telah membawa kemudahan dan kemajuan ekonomi, tetapi kesannya terhadap alam sekitar semakin buruk.
Walaupun terdapat beberapa kempen alam sekitar yang menggalak kitar semula, pertanian organik, membendung pelepasan karbon (carbon emissions) dan sebagainya, kesedaran mengenai kesan penggunaan peranti digital terhadap alam sekitar masih rendah.
Oleh itu, komentar ini menyerlahkan cara tabiat digital kita memberi kesan buruk kepada persekitaran dan juga perkara yang boleh kita lakukan untuk mengatasinya.

Kesan pendigitalan (digitalisation) dan ekonomi digital terhadap alam sekitar adalah ketara.
Sama ada hanya melayari internet, mencipta kandungan untuk profil media sosial, menyimpan dan mengedar fail media, atau menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan blockchain, semua aktiviti ini menyumbang kepada penggunaan tenaga dan pelepasan karbon, terutamanya di pusat-pusat data.
Bezanya, fail dan pemprosesan data yang lebih besar akan memerlukan lebih banyak tenaga.
Penggunaan teknologi blockchain, bagaimanapun, mempunyai kesan alam sekitar yang positif dan negatif. Ia boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon dengan membolehkan penggunaan sistem tenaga boleh diperbaharui terdesentralisasi, seperti perdagangan tenaga rakan ke rakan (peer to peer energy trading).

Mengikut statistik terkini, pusat-pusat data di seluruh dunia menggunakan lebih daripada 2% tenaga elektrik dunia dan menjana isi padu pelepasan karbon yang sama seperti industri penerbangan global.
Pelepasan karbon bukan satu-satunya masalah alam sekitar daripada pusat-pusat data. Selain daripada pencemaran yang disebabkan oleh penggunaan bateri, penjana diesel dan bahan penyejuk toksik, isu yang paling kritikal adalah penggunaan air yang tinggi. Air – sebanyak berbilion gelen – diperlukan untuk menyejukkan pusat-pusat data.

Sisa elektronik (e-waste) adalah satu lagi kesan buruk pendigitalan. Memandangkan AI dan teknologi digital lain menjadi lebih meluas, jumlah sisa elektronik yang dijana juga semakin meningkat.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 53.6 juta tan metrik sisa elektronik dijana secara global pada 2019 dan hanya 17.4% daripada sisa ini dikitar semula.
Sisa elektronik ini mengandungi bahan berbahaya yang boleh memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia jika tidak dibuang dengan betul. Di samping itu, jumlah sisa elektronik dijangka meningkat kepada 74.7 juta tan metrik menjelang 2030.
Apa yang paling membimbangkan tentang statistik dan kesan-kesan ini adalah kesannya terhadap masyarakat. Mengenai sisa elektronik, ia mengandungi bahan berbahaya yang boleh memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia jika tidak dibuang dengan betul. Beberapa kajian mencadangkan, masyarakat yang tinggal di kawasan terdedah sisa elektronik mempunyai tahap logam berat yang tinggi dan bahan pencemar organik yang berterusan. Kanak-kanak dan wanita hamil amat terdedah semasa tempoh pendedahan kritikal yang menjejas pelbagai organ biologi.
Penggunaan air yang tinggi pula bermasalah terutama apabila ia menjejas masyarakat yang tinggal berdekatan pusat data.
Syarikat teknologi besar seperti Google dan Amazon misalnya, sudah menghadapi tentangan daripada beberapa masyarakat yang dilanda kemarau di Amerika Syarikat.

Memikirkan Semula Pengeluaran dan Penggunaan Digital
Namun demikian, terdapat beberapa penyelesaian kepada cabaran-cabaran ini.
Pertama, walaupun teknologi telah mengakibatkan kesan buruk alam sekitar ini, kemajuan selanjutnya dalam teknologi berpotensi menanganinya.

Kedua, dari segi dasar pemerintah, pemerintah perlu memahami sepenuhnya pilihan pembangunan ekonomi masing-masing.
Dalam kes masyarakat Amerika Syarikat menentang pusat data, bandar yang kekurangan wang akan mengalu-alukan Big Tech untuk membina ratusan juta dolar pusat data di wilayah mereka.
Persoalannya bagaimanapun, siapa lagi yang telah mereka rujuk?
Ketiga, kita perlu merenung tingkah laku dan tabiat pengguna kita sendiri.
Perlukah kita membeli model iPhone atau Samsung terkini setiap tahun?
Adakah kita tahu bagaimana kita sendiri boleh menangani isu-isu teknikal pada peranti digital kita, daripada membeli peranti yang baru?

Apakah kita mengetahui produk dan layanan digital ramah lingkungan yang tersedia – seperti menggunakan enjin carian yang mengutamakan jejak web dan pusat data mesra alam, atau server digital yang menerapkan kebijakan karbon neutral?
Sesetengah orang mungkin menganggap ini adalah langkah-langkah kecil. Padahal, dengan jumlah masa yang kita menggunakan peranti digital dan perkhidmatan dalam talian, nampaknya berpotensi hebat.
Dengan meningkatkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, menambah baik reka bentuk sistem-sistem teknologi, melupuskan sisa elektronik dengan betul dan menyedari cara kita menghabiskan masa dalam talian, kita boleh memastikan transformasi digital tidak melibatkan bebanan kepada alam sekitar.
Ia sangat penting bagi pemerintah, syarikat dan individu mengambil tindakan untuk menangani isu alam sekitar ini dan memastikan masa depan yang mampan untuk semua.

Sofiah Jamil menyandang jawatan editor di Welchman Keen, sebuah firma penasihat teknologi global yang memudahkan perhubungan yang selamat, saksama dan mampan di negara-negara membangun. Beliau juga adalah mantan penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (RSIS, NTU) dan berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang penyelidikan dan nasihat bagi isu-isu pembangunan mampan dan tadbir urus alam sekitar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.