Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tidak salah gunakan pendekatan agama tapi janganlah pamerkan pemikiran sempit

Janganlah pemikiran sempit dan kecetekan pemahaman terhadap agama menjadi alat untuk memburukkan lagi keadaan dalam kita berusaha untuk menangani penularan virus korona.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Tidak salah gunakan pendekatan agama tapi janganlah pamerkan pemikiran sempit

Penduduk Indonesia di sebuah masjid di Jakarta. (Gambar: Bay Ismoyo/AFP)

Dalam apa jua situasi yang boleh dianggap sebagai satu kecemasan, pastinya ia menimbulkan perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat, apatah lagi jika situasi kecemasan itu membabitkan isu keselamatan dan kesihatan.

Virus COVID-19 telah menimbulkan perasaan bimbang kepada warga dunia walaupun adanya jaminan supaya masyarakat awam tidak seharusnya berasa panik tetapi sebaliknya menjalankan tanggungjawab sivik dengan sebaik mungkin.

Seorang kakitangan di luar hospital baru yang diperuntukkan khas untuk merawat pesakit COVID-19 di Wuhan. (Gambar: AP)

Namun sayangnya di tengah-tengah keadaan yang memerlukan masyarakat untuk bersatu bagi memerangi virus sejagat itu, sesetengah segmen masyarakat mempamerkan sikap dan reaksi negatif.

Apa yang lebih membimbangkan ialah komen-komen itu datang daripada golongan kepimpinan yang berpengaruh.

PEMIKIRAN SEMPIT

Contohnya, baru-baru ini seorang ‘guru agama’ tempatan menerbitkan komen yang boleh dikatakan menyinggung perasaan Orang Cina dengan menggambarkan masyarakat Cina sebagai pengotor dan tidak menjaga kebersihan.

Guru agama itu kemudian membuat kesimpulan bahawa virus COVID-19 yang berlaku sekarang ini adalah satu ‘balasan Tuhan’ ke atas orang China kerana menindas masyarakat Muslim Uighur.

Lelaki Uighur di sebuah pasar pakaian di Urumqi, Xinjiang. (Gambar fail: REUTERS/Carlos Barria)

Atas teguran Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, guru agama itu kemudian meminta maaf kerana sedar bahawa ia telah menyinggung perasaan beberapa pihak.

Apa yang membimbangkan ialah reaksi yang ditonjolkan oleh pemimpin agama itu bukanlah satu kes yang berasingan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Sepanjang penularan COVID-19 di sini, sering juga kita kedengaran sentimen dan reaksi anti perkauman yang dilaungkan oleh masyarakat Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam di lapangan media sosial.

KURANG KEMATANGAN

Menyedihkan lagi, apabila streotaip dan prejudis yang dilontarkan itu ditujukan terhadap kaum tertentu dengan berasaskan kepada “hujah agama”.

Natijahnya, persoalan dan masalah yang bersangkutan dengan krisis sejagat, tidak lagi dilihat daripada lensa kesihatan, sebaliknya ia dengan mudah dilabelkan sebagai masalah akidah atau keimanan.

Solat hajat yang dijalankan di Masjid Ba'alwie. 

Reaksi yang bersikap perkauman dengan menyatakan virus COVID-19 sebagai satu ‘balasan Tuhan’ dan ‘bala’ yang dikatakan ‘seharusnya’ menimpa bangsa tertentu itu, jelas menunjukkan kesempitan pemikiran sesebuah masyarakat dalam melihat dan menilai isu semasa.

Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam lagi ia juga mempamerkan masalah yang lebih besar, iaitu kecetekan pemahaman dan kematangan dalam perihal agama.

BUKAN UNTUK MENCEMASKAN

Sosiologis Islam, Ali Shariati dalam bukunya ‘Agama lawan Agama’ berpendapat salah satu masalah yang boleh mencengkam sesebuah masyarakat itu adalah disebabkan oleh kekalutan intelek sesetengah pihak dalam mentafsirkan dan memahami agama.

Agama Islam menurut Shariati, tidak bergerak mahupun terlahir atas rasa takut atau dalam istilah lain ‘menakut-nakutkan’ penganut Islam, mahupun yang golongan yang tidak mempercayai agama Islam.

Hujah Shariati jika kepercayaan terhadap agama itu bertolak atas rasa takut, pemahaman terhadap agama itu tidak akan berlandaskan nilai-nilai baik yang dibawa agama itu.

Sebaliknya ia akan diselubungi rasa ketakutan terhadap azab dan balasan yang akan ditimpa ke atas dirinya.

Pemimpin belia raikan Minggu Keharmonian Silang Agama Sedunia di Masjid An-Nahdhah. (Gambar: MUIS)

Agama Islam sebaliknya menurut Shariati, sangat memperjuangkan sifat rahmah dan kasih sayang di samping mengedepankan tradisi keterbukaan dan inklusif.

ELAK SIKAP NEGATIF

Pendapat Shariati itu turut dikongsi sama sarjana Islam yang lain seperti Dr Abdullah Saeed.

Dr Saeed berkata terdapat banyak teks dalam ajaran Islam yang menyokong interaksi sosial yang positif, seperti bagaimana penganut Islam harus sentiasa berhemah dan berlembut apabila bercakap dengan golongan yang berbeza agama.

(Dr Abdullah Saeed. Gambar: Muis Academy/Facebook)

Perlunya umat Islam bekerjasama dengan bukan Islam dan bagaimana mereka harus mengejar kebaikan untuk masyarakat secara umumnya.

Dr Saeed juga berhujah banyak prinsip dan idea yang lahir dalam Al-Qur'an mementingkan perspektif inklusif.

Misalnya, dari aspek tradisi sejarah, Al-Qur'an memang sangat kritikal terhadap kepercayaan, agama, dan amalan tertentu di Mekkah.

Namun begitu pada masa yang sama ia juga menasihati umat Islam untuk tidak bercakap tentang perkara yang negatif mengenai agama lain.

Habib Hassan bersama Venerable Master Hsin Tao. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ira Musfirah)

Malah, teks Al-Qur'an menurut Dr Saeed juga meminta orang Islam untuk mengadakan dialog dengan masyarakat dari agama lain dengan lembut, ramah dan dengan cara yang baik.

PERSPEKTIF INKLUSIF

Masyarakat Islam di sini boleh berasa lega kerana kepimpinan di sini menitikberatkan perspektif inklusif.

Timbalan Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir misalnya baru-baru ini membuat gesaan kepada umat Islam untuk tidak mengatakan kata-kata negatif kepada masyarakat berlainan agama. Kata beliau:


Apabila berlaku sesuatu yang menjejas sesuatu pihak dan kaum yang berlaku kepada jiran, kepada teman, kepada sesuatu tempat peribadatan. Itu bukan masanya untuk kita mengungkapkan kata-kata negatif dan juga menjatuhkan moral dan memburukkan seseorang.

Islam sama sekali melarang daripada kata-kata sedemikian. Tetapi peranan dan tanggungjawab kita adalah untuk memberikan sokongan kita.

HARAPAN KEPADA MASYARAKAT

Harapan kita adalah dengan pemahaman sebegini dapatlah ia dilaungkan dengan efektif kepada masyarakat umum agar mereka faham nilai dan signifikasi kenyataan ini.

Masyarakat haruslah faham bahawa setiap komen yang kita lontarkan sebenarnya satu cerminan terhadap mutu dan taraf pemikiran kita keseluruhannya.

Jemaah semasa solat Jumaat pada 24 Jan. (Gambar: Zainal Abidin Omar)

Juga penting adalah janganlah sesekali kerana pemikiran sempit dan kecetekan pemahaman terhadap agama menjadi alat untuk memburukkan lagi keadaan.

Sebaliknya agama seharusnya dijadikan sandaran dan senjata dalam membantu kita mencapai penyelesaian terhadap masalah bersama.

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan