KOMENTAR: Tidak menghairankan rakyat M'sia marah Neelofa kerana berkali-kali langgar SOP
KOMENTAR: Tidak menghairankan rakyat M'sia marah Neelofa kerana berkali-kali langgar SOP.

Pada 2 Mei 2021, Neelofa muat naik gambar & video bersama suami di kedai permaidani di Nilai, Negeri Sembilan. (Gambar: Bernama)
BERITAmediacorp: Noor Neelofa Mohd Noor, yang dikenali ramai sebagai Neelofa, dan suaminya Muhammad Haris Muhammad Ismail (lebih dikenali sebagai PU Riz) adalah selebriti-selebriti pempengaruh atau ‘influencer’ yang popular.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pasangan selebriti itu terpalit dengan kontroversi selepas berkali-kali melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia.
Dari majlis persandingan mereka yang jelas melanggar syarat-syarat penjarakan sosial, “lawatan kerja” ke Langkawi yang mencurigakan, hingga merentas sempadan untuk membeli permaidani dan mengadakan perjumpaan raya pada hari pertama sambutan Aidilfitri, mereka bukan setakat melakukan kesalahan berulang. Bahkan mereka secara terang-terangan merakam dan menguar-uarkan kegiatan mereka menerusi catatan-catatan di media sosial.
Pada minggu ini pula, pasangan tersebut mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal membuat pendaftaran menerusi aplikasi pengesanan kontak MySejahtera semasa melanggani sebuah kedai permaidani di Negeri Sembilan. Atas nasihat Jabatan Peguam Negara, polis menyatakan bahawa pihaknya tidak akan mengenakan tuduhan merentas negeri.
Sejurus selepas prosiding tersebut, warga siber menarik perhatian bahawa Neelofa tidak memakai pelitup di balik niqabnya seperti yang diwajibkan oleh peraturan COVID-19. Siasatan ke atas insiden terbaru itu sudahpun dimulakan.
SIKAP INGKAR SOP
Malangnya, terdapat ramai lagi selebriti selain Neelofa dan PU Riz yang melanggar peraturan COVID-19. Meskipun selebriti-selebriti Malaysia berganding bahu pada peringkat awal pandemik untuk mengingatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi SOP, ramai juga selebriti yang mengingkarinya secara terang-terangan.

Siti Nurhaliza di majlis tahnik anak keduanya Muhammad Afwa pada 19 April. (Gambar: Instagram/ctdk)
Polis telah memulakan siasatan terhadap Siti Nurhaliza, penyanyi tersohor di Malaysia kerana mengadakan majlis tahnik bagi menyambut kelahiran bayinya.
Sikap mengabaikan peraturan bukan ditunjukkan oleh sebilangan individu saja. Malah ia seolah-olah dianggap sebagai satu perkara biasa.
Sepanjang beberapa bulan kebelakangan ini, sebilangan pempengaruh Instagram didenda kerana memberikan keterangan palsu dalam permohonan perjalanan mereka sementara pempengaruh-pempengaruh lain didenda kerana merakam video ucapan Hari Raya tanpa memakai pelitup.
Pertunjukan fesyen oleh jenama tempatan Leeyanarahman Collection di Kuala Lumpur yang diadakan pada Mac lalu pula menunjukkan ramai tetamu yang tidak memakai pelitup.
LAYANAN ISTIMEWA
Kemarahan awam terhadap para selebriti yang melanggar SOP kian memuncak. Petisyen yang menggesa supaya Neelofa dan suaminya dipenjarakan, meraih 25,000 tandatangan oleh rakyat merata negara dalam masa kurang 36 jam. Para penandatangan juga meminta supaya pihak penguat kuasa berhenti memberikan layanan istimewa kepada mereka berdua.
Pada hari yang sama Neelofa, suaminya dan anggota-anggota keluarganya didenda sejumlah RM60,000 (S$19,211) pada April kerana melangsungkan majlis persandingan tanpa menjaga jarak sosial dan memakai pelitup, sedangkan seorang penjaja jalanan di Kelantan didenda RM50,000 (S$16,010) kerana berniaga menjangkaui 10.00 malam.
Ini mencetuskan kemarahan orang awam yang membanding-bandingkan hukuman yang dikenakan. Sehubungan itu, Neelofa tidak teragak-agak membuat tawaran untuk membayar denda peniaga burger tersebut.
Kemarahan terhadap layanan 'istimewa' atau berat sebelah itu nampaknya berkisar kepada persepsi bahawa adalah lebih sukar untuk membuktikan kesalahan para selebriti. Kebanyakan selebriti dan orang-orang kenamaan – termasuk yang perbuatannya dirakam dengan kamera – diminta untuk hadir ke balai untuk disiasat sebelum didakwa.
Sebaliknya sesetengah rakyat biasa dengan pantas dikenakan kompaun yang dendanya jauh lebih tinggi tanpa perlu disiasat lanjut. Sebilangan pula dimasukkan ke penjara kerana tidak mampu membayar denda atau mengemukakan rayuan terhadap tuduhan yang dikenakan.
Adakah selebriti-selebriti itu berfikir bahawa mereka 'kebal' daripada tindakan undang-undang atau hukuman? Tidakkah mereka tahu bahawa mereka melanggar undang-undang?
Mungkin hanya segelintir pempengaruh yang berkelakuan sedemikian. Namun adalah sukar untuk mengetepikan tuduhan 'tidak adil'. Sedang rakyat Malaysia diarahkan supaya duduk di rumah, para selebriti tidak hanya dapat bersiar-siar tanpa memakai pelitup, bahkan mereka juga boleh mengadakan acara-acara seperti “Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021” pada 29 April di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Selebriti-selebriti ini dilihat terlalu bimbang tentang bagaimana PKP akan menjejas kehidupan mereka tanpa menghiraukan cabaran-cabaran yang timbul akibat pandemik sekarang ini yang perlu ditempuhi oleh seluruh negara.
Kamal Adli dan Uqasha Senrose, satu lagi pasangan selebriti, mengumumkan pada pertengahan Mac tentang rancangan untuk mengadakan tiga majlis persandingan. Mereka menaruh harapan agar larangan-larangan SOP akan dilonggarkan sebelum majlis persandingan mereka. Warga siber dengan pantas menarik perhatian bahawa mereka sepatutnya mengharapkan jumlah kes baru COVID-19 akan berkurangan sebelum majlis mereka.
MENUNJUK-NUNJUK KEMEWAHAN
Kesedaran yang paling menyakitkan adalah betapa borosnya para selebriti ini sedangkan ramai rakyat menderita akibat penularan virus tersebut yang menjejas teruk mata pencarian mereka.
Ramai pengguna media sosial mengecam tabiat suka menunjuk-nunjuk itu sebagai sesuatu yang keterlaluan dan tidak dapat diterima sama sekali tatkala ramai yang kehilangan mata pencarian, mengalami kemerosotan hasil pendapatan atau ditimpa penyakit.
Memandangkan sebilangan selebriti ini menggayakan trend-trend hijab untuk menarik perhatian para pengikut mereka di media sosial, sesetengah pihak juga mempersoalkan akhlak mereka dan sama ada mereka wajar disanjung sebagai peran contoh yang dihormati dan disegani ramai.
Terdapat juga pihak-pihak yang menuding jari ke arah suami Neelofa, PU Riz, seorang pendakwah. Tingkah laku pasangan itu yang dianggap terlalu mementingkan diri dan tidak menghiraukan SOP secara terang-terangan, bercanggah dengan nilai-nilai kesederhanaan dan kejujuran yang diharapkan daripada seorang pendakwah.
TUMPU USAHA LAWAN PANDEMIK
Sungguhpun selebriti-selebriti yang berkali-kali melanggar SOP tanpa mengendahkan bahaya COVID-19 dikecam hebat kebelakangan ini, masih terdapat peminat yang begitu taksub menyokong mereka.

(Gambar: AP Photo/Vincent Thian)
Neelofa, misalnya, masih mempunyai pengikut atau follower yang begitu ramai di Instagram, dengan sesetengah daripada mereka menyifatkan beliau sebagai “wanita bersemangat waja” kerana 'tidak gentar' menempuhi kontroversi yang melandanya. Ini juga satu perbuatan yang membimbangkan jika catatan-catatan para influencer itu berupaya mempengaruhi belia Malaysia dan menyampaikan isyarat yang salah tentang betapa pentingnya untuk mematuhi peraturan COVID-19.
Apabila artis-artis melanggar undang-undang tanpa dipertanggungjawabkan dan dilepaskan dengan hukuman yang terlalu ringan, kekecewaan masyarakat dikhuatiri akan mendorong tentangan terhadap peraturan dan mengalihkan perhatian orang ramai terhadap usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan.
Kekurangan fokus ini dianggap lebih berbahaya memandangkan jumlah kes jangkitan COVID-19 kini sudah melepasi 6,000 kes setiap hari dan katil-katil di Unit Jagaan Rapi (ICU) kian berkurangan dan jumlah korban pula semakin meningkat.
Hospital-hospital di Kedah sudahpun berhenti merawat pesakit-pesakit kronik di ICU. Sebuah hospital di Sungai Buloh, Selangor membangunkan khemah berhawa dingin semata-mata untuk menyimpan mayat.
Keadaannya kian menggenting dan rakyat Malaysia perlu menumpukan perhatian terhadap usaha untuk mengekang penularan dan tidak terlalu taksub mengikuti perkembangan ‘drama’ selebriti terkini.
‘Influencer’ seperti Neelofa juga boleh memainkan peranan dalam membanteras COVID-19 – dengan mematuhi undang-undang.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.