Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Tidak mengejutkan untuk M'sia umum PRU15 pada tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Tidak mengejutkan untuk M'sia umum PRU15 pada tahun ini
Seorang pelanggan menonton siaran langsung perutusan khas Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob, apabila beliau mengumumkan Parlimen dibubarkan pada 10 Okt 2022. (Gambar: AP/Vincent Thian)
BERITAmediacorp: Ia berlaku, akhirnya. Pada Isnin (10 Okt), Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pilihan raya itu bakal diadakan pada masa yang penting demi masa depan Malaysia.

Spekulasi mengenai bila PRU15 akan diadakan bertiup kencang selepas bekas Perdana Menteri Najib Razak dihukum penjara atas kesalahan-kesalahan berhubung 1MDB pada Ogos lalu dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pula dibebaskan daripada sejumlah tuduhan rasuah.

Sebilangan pemain politik di Malaysia memaklumkan kepada saya bahawa PRU15 sepatutnya diadakan pada separuh kedua 2021. Ini memandangkan perintah kawalan pergerakan bagi membendung COVID-19 - di mana pilihan raya tidak boleh diadakan - dimansuhkan pada 1 Ogos 2021.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan kemudian, UMNO ternyata mempunyai momentum. Barisan Nasional (BN) meraih majoriti mutlak di Melaka dan Johor. Begitu juga dengan sekutunya sejak sekian lama, Gabungan Parti Serawak (GPS) di Sarawak.
Para pemimpin tertinggi UMNO bersama Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob di penghujung Perhimpunan Agung UMNO pada 19 Mac 2022. (Gambar: Bernama)
MASA TERBAIK UNTUK BARISAN NASIONAL

Namun momentum itu tidak mungkin dapat terus memacu BN mengharungi keadaan ekonomi yang merudum. Berlatarbelakangkan perang di Ukraine dan nilai mata wang Ringgit yang melemah berbanding Dolar Amerika, harga pengguna akan terus meningkat memandangkan kebanyakan barangan diimport.

Bajet Malaysia 2023 bernilai RM373.3 bilion (S$114.4 bilion) yang dibentangkan pada Jumaat (7 Okt) menawarkan pelbagai subsidi besar bagi hampir 70 peratus penduduk Malaysia, termasuk bayaran tunai secara langsung. Ia merupakan bajet yang dibentangkan sempena pilihan raya dan perkara-perkara yang sama akan disertakan dalam manifesto BN.

Memang tiada masa lebih baik untuk mengadakan pilihan raya sekiranya UMNO ingin memanfaatkan momentum politik yang diraihnya sekarang dan membuat persiapan untuk mengharungi ekonomi yang merudum. Dari segi undang-undang, PRU15 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan berdepan dengan tentangan hebat terhadap usulan pilihan raya diadakan semasa musim monsun, lebih-lebih lagi selepas banjir maut pada Disember 2021. Tentu sekali Malaysia tidak mahu mengadakan "pilihan raya banjir"?
(Gambar fail: BERNAMA)
Tetapi ini tidak pernah menjadi hujah yang kuat. Misalnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan pada 20 November 2021 dan Sarawak melakukan perkara yang sama pada 18 Disember 2021, kedua-duanya di tengah-tengah musim tengkujuh.

Barisan Nasional (BN) juga secara tradisinya mempunyai kelebihan yang jelas sekiranya tidak ramai penduduk keluar mengundi. Maka itu, UMNO mungkin bertanggapan bahawa "pilihan raya monsun" akan memanfaatkan mereka dengan cara sebegini.

UNDI MELAYU PENTING

Keputusan PRU15 bergantung kepada undi Melayu.

Para pengundi Melayu di kawasan-kawasan luar bandar menyumbang kepada kira-kira 90 daripada 222 kerusi Parlimen. Dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu pada 2018, undi Melayu di luar bandar sedikit sebanyak terbahagi sama rata antara UMNO, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin oleh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada ketika itu.

Kali ini, secara teori, undi Melayu bakal menjadi pertarungan empat penjuru - UMNO, PAS serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah dari gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua Bersatu dan Dr Mahathir (seorang ikon dalam kalangan pengundi Melayu di luar bandar) tidak lagi menganggotai PH. PKR dan Amanah juga sudah memperhebatkan usaha mendampingi para pengundi Melayu di kawasan-kawasan luar bandar yang pernah ditandingi Bersatu pada 2018.

PAS pula sedang mencuba untuk bertindak sebagai dalang politik atau 'kingmaker' dengan berdolak-dalik dengan kedua-dua UMNO dan Bersatu. Kedua-dua PAS dan Bersatu merupakan anggota gabungan Perikatan Nasional (PN) tetapi ia juga "sahabat" UMNO demi kepentingan perpaduan politik dalam kalangan masyarakat Islam.

PAS mahu kerajaan seterusnya menjadi kerajaan Melayu/Islam sahaja. PAS mahu berdiri di tengah-tengah agar ia dapat berpihak kepada pemenang mutlak pilihan raya seterusnya. Namun UMNO dan Bersatu sudahpun memberikan kata putus kepada PAS untuk memilih hanya satu pihak saja sebelum hari penamaan calon.

Soalan terpenting seterusnya adalah pengundi di Sabah dan Sarawak yang bakal diwakili oleh 57 Ahli Parlimen, membentuk sekitar 25 peratus jumlah kerusi.

Namun ahli-ahli politik di kedua-dua negeri itu lebih prihatin tentang pelibatan mereka dalam gabungan kerajaan persekutuan agar mereka dapat menambah dana pembangunan serta memperluaskan autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Para pemimpin itu akan memainkan peranan lebih besar sebaik saja percaturan untuk membentuk kerajaan persekutuan dibentangkan pada sebelah malam hari mengundi.

PRU15 PENENTU HALA TUJU MALAYSIA

PRU15 akan menjadi pilihan raya penting bagi masa depan Malaysia atas dua sebab mudah. Pertama, ia merupakan pilihan raya pertama pasca COVID-19. Rakyat Malaysia menginginkan kerajaan yang kukuh dan stabil untuk membawa Malaysia keluar dari ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik.

Kedua, rakyat Malaysia sudah naik jemu dan kecewa dengan kerapuhan politik negara itu - tiga perdana menteri dan dua kerajaan gabungan - sejak 2018. Mereka mahukan kestabilan demi kemakmuran negara.

Parti-parti pembangkang juga terlalu berpecah belah untuk mencabar BN di peringkat nasional. Ia jelas kehilangan momentum sepanjang pandemik dan saya tidak dapat melihat sebarang petanda mereka mampu memulihkan trend itu dalam tempoh kurang 60 hari akan datang.

Itulah antara sebabnya mengapa parti-parti pembangkang cuba untuk menangguhkan PRU15, termasuk menghulurkan sokongan kepada Encik Ismail Sabri di Parlimen agar beliau dapat bertahan di tengah-tengah tekanan daripada Encik Ahmad Zahid Hamidi dan Encik Najib Razak untuk mempercepatkan PRU15.

Pilihan raya kali ini juga mungkin akan menamatkan riwayat Pejuang, iaitu parti politik yang baru ditubuhkan oleh Dr Mahathir. Selain kebimbangan tentang keadaan kesihatannya pada usia 97 tahun, banyak pihak yang berpendapat beliaulah yang menjadi punca ketidakstabilan politik Malaysia selepas beliau meletak jawatan secara mengejut pada 2020.

PARA PENGUNDI DIJANGKA PILIH KESTABILAN

Lantaran itu, melainkan ada sesuatu yang tidak dijangkakan sama sekali, saya menjangkakan para pengundi Melayu di luar bandar akan menyifatkan PRU15 sebagai pertarungan antara parti-parti Melayu yang melambangkan kestabilan politik, iaitu UMNO dan PAS.

Para pengundi akan memilih salah sebuah parti itu sebagai parti dominan dan tidak mungkin akan membahagikan undi mereka seperti yang berlaku pada 2018. Maka itu, parti-parti lain yang bertanding di semenanjung Malaysia tidak mungkin akan mencapai kemajuan yang ketara.

Sabah dan Sarawak akan berpihak kepada mana-mana gabungan yang membentuk kerajaan seterusnya untuk memastikan majoriti kukuh di Parlimen demi menstabilkan lagi keadaan.

Apa-apa saja boleh berlaku dalam tempoh 60 hari akan datang. Namun jika tiada perkembangan politik yang mengejutkan, saya meramalkan PRU15 akan membawa kepada sebuah kerajaan persekutuan yang kukuh dengan parti Melayu sebagai teras utamanya. Dalam erti kata lain, Malaysia mungkin akan kembali kepada kestabilan politik dengan UMNO memegang tampuk kepimpinannya.

MENGENAI PENULIS:
James Chin adalah Profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania dan Zamil Kanan di Institut Jeffrey Cheah bagi Asia Tenggara.

*Komentar ini pertama kali diterbitkan oleh CNA dengan tajuk "Commentary: No surprise Malaysia is calling for a general election this year" pada 10 Oktober 2022.
Sumber : CNA/zm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa