Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Terbuka kepada sebarang idea walaupun tidak popular demi menjana pembaharuan

Adakah benar tokoh-tokoh agama atau tokoh-tokoh Islam dari Timur Tengah lebih diutamakan masyarakat Melayu/Islam kita di sini. Dek kecenderungan itu, apakah ini juga menunjukkan bahawa kita kurang yakin dengan para pemikir kita sendiri atau yang datang dari rantau kita sendiri?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Terbuka kepada sebarang idea walaupun tidak popular demi menjana pembaharuan

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Diterbitkan : 26 Jul 2018 11:42PM Dikemas Kini : 27 Jul 2018 12:01AM

BERITAMediacorp: Adakah benar tokoh-tokoh agama atau tokoh-tokoh Islam dari Timur Tengah lebih diutamakan masyarakat Melayu/Islam kita di sini. Dek kecenderungan itu, apakah ini juga menunjukkan bahawa kita kurang yakin dengan para pemikir kita sendiri atau yang datang dari rantau kita sendiri?

Itulah antara persoalan yang dikupas zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat dalam artikel KOMENTAR yang beliau sumbangkan kepada BERITAMediacorp ini.

Gambar hiasan (Gambar fail: BERITAmediacorp)

Dalam satu sesi perkongsian ilmiah, pernah saya diberitahu oleh seseorang pensyarah bahawa umat Islam boleh menyertai politik dan turut serta dalam proses demokrasi kerana ini dibenarkan oleh seorang cendekiawan Islam yang hidup di abad ke 14.

Setelah mendengar komentar sedemikian rupa, tiga persoalan yang menjadi tanda-tanya dalam diri saya. Pertama, wujudkah sistem pilihan raya sepertimana yang kita amalkan pada hari ini pada kurun ke 14?

Kedua, perlukah kita mendapatkan pandangan seorang tokoh yang hidup berkurun-kurun lalu, sedangkan di tanah Melayu ini sendiri, orang Islam sudah lama menyertai proses pilihan raya, menubuhkan parti-parti politik, dan sama-sama menghidupkan proses demokrasi?

Ketiga, apakah pemikir-pemikir masa kini kurang Islamik sehingga kita perlu melangkah jauh ke belakang?

CIRI PEMIKIRAN FUNDAMENTALIS

Bagi saya, pandangan yang dilontarkan tadi mengandungi ciri-ciri pemikiran fundamentalis, yang cuba membandingkan zaman kini dan dahulu, walaupun kedua-duanya amat berbeza. Tambahan lagi, ada semacam pemikiran sekarang ini yang hanya mengiktiraf pandangan tokoh-tokoh yang dianggap “Islamik” sahaja.

Misalnya, ada yang mahu mengambil iktibar daripada perjalanan politik Islamis-demokratik Rachid al-Ghannouchi (1941-sekarang). Beliau berjaya mengubah satu gerakan massa yang berbentuk Islamik kepada satu parti politik Islam yang bertanding dalam pilihan raya negaranya.

Namun, wajarkah kita memandang ke Tunisia untuk mendapatkan inspirasi, sedangkan di tanah Jawa, ramai cendekiawan Islam yang turut serta proses demokrasi?

Di Malaysia sendiri, tokoh-tokoh Islam membina parti-parti politik. Sebagai contoh, parti Gerakan di Malaysia ditubuhkan oleh Professor Syed Hussein Alatas. Parti itu sudah berdekad-dekad bertanding dalam politik, dan masih aktif hingga ke hari ini walaupun ideologinya sudah berubah daripada asalnya.

Apakah tokoh seperti Professor Alatas kurang Islamnya?

DAYA PEMIKIRAN RANTAU INI

Akademik kita seperti kurang yakin dengan sumbangan para pemikir dari rantau ini. Kita lebih senang mengambil pandangan pemikir daripada Timur Tengah atau Barat dalam isu-isu Islam tanpa melihat pada sumbangan intelektual dari Malaysia dan Indonesia.

(Gambar: Oka Budhi/ AFP)

Gambar fail mendiang Abdurrahman Wahid. (Gambar: Oka Budhi/AFP)

Malah tidak ramai asatizah kita yang terdedah kepada pemikir-pemikir Indonesia seperti Nurcholis Majid atau Abdurrahman Wahid (Gus Dur). Apatah lagi pemikir-pemikir kurun lepas seperti Tjokrominoto, Kyai Ahmad Dahlan (Muhamamdiyah), dan Hasyim Ashaari (Nahdlatul Ulama), sedangkan tulisan-tulisan mereka masih menjadi tulisan asas bagi gerakan politik kontemporari. 

Ada segelintir pula yang bicaranya seakan tahu wacana Islam Indonesia, tapi sebenarnya hanya tahu satu atau dua tokoh sahaja, misalnya Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

Kurang diperhatikan adalah evolusi pemikiran Hamka sendiri yang berubah mengikut peredaran zaman, percaturan politik antara penjajah dan pemerintahan lokal, dan juga polemik semasa pemerintahan Sukarno dan Orde Baru Suharto.

TERBUKA KEPADA IDEA PROGRESIF

Jika ada perbincangan tentang sumbangan tokoh dari Timur Tengah, yang dipilih adalah yang bersifat konservatif. Ini berlainan dengan masyarakat di Indonesia di mana mereka lebih terbuka berbincang idea-idea progresif.

Dr Azhar Ibrahim dalam sebuah makalah dalam buku 'Islam in Southeast Asia: Negotiating Modernity' (Islam Asia Tenggara: Merundingkan Kemodenan) suntingan saya sendiri menyatakan semangat berwacana di kalangan inteligensia Indonesia yang menterjemahkan bahan-bahan pemikir Timur Tengah yang progresif, bukan sahaja yang konservatif atau Islamis.

(Gambar: ISEAS)

Menterjemah penulisan-penulisan dari Timur Tengah ini tidak menjadikan mereka sebuah masyarakat Arab. Malah bagi saya proses Arabisasi bukan masalahnya —seperti yang dikhuatirkan sesetengah pihak — tetapi apa yang diambil daripada rantau tersebut; nilai-nilai progresif atau tertutup.

Bagaimana pula dengan pemikir-pemikir dari rantau ini? Selain daripada Hamka, Gus Dur dan Nurcholis Majid, kita harus didedahkan dengan penulisan-penulisan yang berbentuk sosiologi Islam.

SIMPATI DENGAN PERJUANGAN ISLAM

Walaupun penulis-penulis ini tidak menulis soal teologi, mereka bersimpati dengan perjuangan Islam. Mereka yakin dengan perlunya menghidupkan ruh Islam demi kemajuan masyarakat.

Mereka cuba menggabungkan perspektif daripada sosialisme, kapitalisme, moden dan sebagainya, dan turut kritikal pada aspek yang tidak sesuai dengan budaya dan agama masyarakat setempat.

Misalnya, tokoh-tokoh Indonesia yang masih hidup dan menggunakan pendekatan tersebut adalah Professor Amin Abdullah dan Professor Syafii Maarif.

Gambar fail Professor Chandra Muzaffar. (Gambar: Shamshahrin Shamsudin/ AFP)

Di Malaysia pula, ada tokoh-tokoh seperti Professor Chandra Muzaffar dan Professor Shad Saleem Faruqi. Malangnya, tulisan-tulisan tokoh sebegini kurang diiktiraf sebagai menyumbang pada wacana Islam. Ini kerana mereka bukan lulusan daripada universiti-universiti Islam terkemuka seperti Al-Azhar, Madinah atau Yarmouk, sedangkan pemikir-pemikir ini mahu melihat masyarakat mereka maju berlandaskan lunas-lunas Islam.

HARUS CERMINKAN NILAI-NILAI MURNI

Demi mencapai kemajuan masyarakat, kita perlu membuka minda dan tidak hanya mengkategorikan ilmu sebagai Islam dan Barat. Adalah penting untuk memastikan ilmu yang kita pelajari mencerminkan nilai-nilai yang diajarkan dalam agama Islam: rendah diri, integriti, keadilan, kegemilangan, dan hak asasi manusia.

Kita boleh mengambil iktibar daripada ilmuan-ilmuan Barat walaupun mereka tidak beragama Islam, jika idea-idea yang dikembangkan mempunyai aspek-aspek keadilan, kemajuan sosial, dan kesamarataan.

Dalam masa yang sama, pemikir-pemikir yang kita anggap Islamik tapi masih mahu memperjuangkan idea-idea yang antisains, mengagungkan unsur-unsur materialis, tahyul, dan elitisme harus ditolak.

Kadangkala, idea-idea yang tidak popular bagi kita itulah yang wajib dibaca, digarap dan diperdebatkan. Tidak semua pandangan demi kemajuan masyarakat itu sedap didengar.

Adakalanya kita perlu menelan pil yang pahit untuk sembuh.

IDEA BARU DAN TIDAK POPULAR

Malah, kemajuan masyarakat Islam satu masa dahulu adalah natijah daripada idea-idea yang baru dan tidak popular.

Renungkan bagaimana idea kesamarataan dan kecaman terhadap elitisme yang dibawakan oleh Islam ke pada masyarakat Quraish yang hierarkikal 1400 tahun dahulu.

Sesuatu yang tidak popular pada asalnya itu kemudian menjadi aliran utama (mainstream) dan memajukan kehidupan rakyat yang lebih bermakna. Adalah penting untuk masyarakat kita membendung diri daripada bersifat emosional dalam memilih bahan-bahan bacaan kita.

Usahlah bersifat terlalu patriotik dan bermegah-megah dengan ketamadunan Islam zaman dahulu, sedangkan perjuangan untuk memajukan masyarakat harus dilakukan setiap waktu, dan disesuaikan dengan konteks kehidupan masakini.

Zamil Penyelidik ISEAS - Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat. 

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak. Beliau juga Timbalan Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF) dan penulis buku Tradition and Islamic Learning: Singapore Students in the Al-Azhar Universiti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan