KOMENTAR: Teladani ketangkasan Sang Arnab meski dunia masih dibayangi pandemik, dicengkam inflasi

Arca-arca arnab didirikan di Chinatown sempena sambutan Tahun Arnab bagi masyarakat Cina di Singapura. (Gambar: Jawatankuasa Pesta Chinatown)
Tetapi apakah perubahan-perubahan besar mahupun kecil yang diamalkan oleh masyarakat Cina selepas mengambil ikhtibar daripada pengalaman membendung wabak COVID-19 dalam masa lebih tiga tahun yang lalu?
2023 adalah Tahun Arnab, haiwan keempat dalam Zodiak Cina. Ciri-ciri individu yang dilahirkan pada Tahun Arnab termasuk perhatian dan ketelitian terhadap perincian, keramahan dan kebaikan.
Arnab dikenali sebagai haiwan yang paling bertuah di antara kesemua 12 haiwan zodiak, yang melambangkan belas kasihan, keanggunan dan kecantikan.

Arnab air ini adalah simbol yang membawa keamanan, panjang umur, serta kemakmuran.
Pemaknaan simbol ini datang tepat pada waktunya, sedang kita memasuki fasa pandemik seterusnya dan semoga Tahun Arnab membawa kemakmuran dan keamanan bagi segenap lapisan masyarakat.
Ini kerana kita telah melalui tempoh yang sangat perit dan mencabar sejak COVID-19 menggemparkan dunia pada awal 2020.
Ia diburukkan lagi dengan krisis politik dan kekangan pertumbuhan ekonomi yang sedikit sebanyak disebabkan oleh elemen-elemen geopolitik dunia dan perang, khususnya pencerobohan Rusia di Ukraine yang masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir.
Persiapan bagi sambutan Tahun Arnab bermula seminggu dua sebelum 22 Januari ini. Ramai suri rumah, datuk nenek yang akan berpusu-pusu ke pasar ataupun pasar raya terdekat untuk membeli bekalan yang secukupnya untuk juadah yang akan dihidangkan pada jamuan malam Tahun Baru.
Ramai juga berkunjung ke Chinatown untuk membeli perhiasan yang paling menarik.
GOLONGAN MUDA KINI LEBIH RINGAN TANGAN MEMBANTU
Sejak COVID-19 melanda, golongan muda lebih ringan tangan untuk menemani datuk nenek mereka ke pasar ataupun Chinatown bagi memastikan warga tua dalam keluarfa mereka tidak dibebani dengan bungkusan-bungkusan yang berat.
Datuk nenek juga diingatkan oleh cucu-cucu mereka supaya jangan melanggani tempat-tempat sesak terutama sekali lorong-lorong yang sempit di Chinatown bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan COVID-19.
Biasanya sebelum ketibaan Tahun Baru Cina, masyarakat Cina akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menjamu selera dengan orang tua dan keluarga tersayang. Ini merupakan salah satu amalan bagi mengeratkan pertalian kekeluargaan dan amat bermakna bagi mereka yang bekerja di luar negara ataupun mereka yang telahpun mendirikan rumahtangga masing-masing.

Ramai yang akan menjamu selera bersama keluarga besar mereka di restoran kerana tahun ini merupakan tahun pertama had pengunjung restoran ditarik balik sejak COVID-19 melanda Singapura pada awal 2020.
Mereka yang kurang sihat pasti akan melakukan ujian kendiri dengan kit ART sebelum mereka menghadiri majlis jamuan sebegini. Mereka yang negatif tetapi masih bergejala seperti batuk-batuk atau selesema pula digalakkan supaya memakai pelitup agar anggota keluarga yang lanjut usia terselamat dan tidak terdedah kepada sebarang jangkitan.
E-HONGBAO SEMAKIN POPULAR SEJAK PANDEMIK MELANDA
Pada hari pertama Tahun Baru, seisi keluarga biasanya memakai pakaian baru untuk menziarahi saudara-mara dan sahabat handai untuk melafazkan ucapan Selamat Tahun Baru atau “Gong Xi Fa Cai” antara sama satu lain.

Datuk nenek dan mereka yang telahpun mendirikan rumahtangga akan memberi “hongbao” kepada anak-anak dan sejak COVID-19 melanda, wadah e-hongbao semakin mendapat perhatian dan lebih kerap digunakan melalui aplikasi Paylah ataupun PayNow.
SEMANGAT TANGKAS SANG ARNAB
Melalui rencana ini, saya juga ingin menasihatkan golongan muda supaya berani menghadapi apa-apa saja cabaran mendatang dengan mengambil semangat ketelitian dan ketangkasan 'Sang Arnab' sempena Tahun Baru Cina kali ini.
Menerusi semangat seumpama itu, kita akan dapat membina Singapura sebagai sebuah negara yang lebih cemerlang dan bermanfaat kepada semua.

Saya berharap ciri-ciri arnab ini akan dapat menjadi rujukan yang berguna untuk kita menempuhi 2023 dengan lebih yakin dan berani dan semoga kita sentiasa dapat mengatasi sebarang situasi buruk yang mungkin menimpa kita.
Pandemik COVID-19 telah mengubah cara kita menjalankan perniagaan dan kita mesti berani menyahut cabaran-cabaran baru untuk terus maju ke hadapan.
Aspek yang sentiasa diketengahkan pada setiap sambutan Tahun Baru adalah semangat kekeluargaan dan pentingnya mentaati ibu bapa yang turut merupakan salah satu elemen terpenting dalam ajaran Confucius.
Semoga kita semua diberikan kekuatan dan kecekalan dalam mengharungi tahun baru 2023, dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa tabah menempuhi apa saja rintangan.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.